Monday, June 25, 2012

JUAL TANAH PERTANIAN

Adakah anda perlu JUAL TANAH? Tanah merupakan satu komponen penting dalam pembangunan pelbagai sektor termasuk sektor pertanian. Adakah anda semua tahu apakah dia maksud TANAH PERTANIAN?.  Dalam bahasa mudahnya, tanah pertanian adalah tanah yang subur dan sesuai diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman, aktiviti ternakan, ternakair dan pelbagai aktiviti lain yang tergolong dalam ertikata 'pertanian'. Aktiviti Pertanian memerlukan persekitaran khusus untuk tanaman dan ternakan hidup iaitu Tanah dan sumber-sumber lain seperti AIR, BAJA, CAHAYA MATAHARI, UTILITI, KEMUDAHAN PRASARANA, RUANG, BENIH, BAHAN TANAMAN dan SISTEM PENGURUSAN. Dalam kebanyakan buku yang saya baca, banyak yang menyatakan bahawa Tanah adalah sumber utama selain daripada INPUT PERTANIAN, TENAGA KERJA, MODAL dan PENGURUSAN. Saiz tanah adalah salah satu ciri penting dalam sektor tanaman dimana di negara-negara barat mereka mempunyai saiz ladang yang luas untuk penanaman terutamanya tanaman bijirin (Cereal) seperti jagung, gandum dan padi. Bagaimana pun di negara kita, keluasan purata saiz pemilikan tanah adalah dibawah 2 hektar bagi seorang petani terutama merek yang terlibat dengan pengeluaran tanaman makanan. Ramai diantara petani kita yang menjual tanah untuk mendapatkan duit bagi tujuan menunaikan fardu haji, pembiayaan anak sekolah, anak masuk universiti, dijadikan modal untuk aktiviti perniagaan lain. Ramai juga dulu mendapat tanah daripada pembahagian harta pusaka yang keluasannya semakin mengecil. Artikel kali ini saya dapat idea menulis dalam "Anim Agro Technology" satu perkara berkaitan isu menjual atau membeli aset tanah pertanian untuk bacaan umum.

Tanah Bermilik Syarat Pertanian dalam taakrif kebanyakan Kerajaan Negeri adalah tanah yang mempunyai 'Title Hakmilik' atau mudahnya ada geran tanah. Geran tanah ini mempunyai maklumat mengenai pemilik atau nama-nama pemilik (Foto sebelah)lokasi, keluasan, syarat tanah, peta lakar  dan juga didaftar di pejabat tanah. Status Pemilikan juga banyak jenis daripada status pemilikan Geran Hakmilik Kekal, Geran Mukim, Geran Besar, Geran Belanda (di Melaka), Pemilikan Pajakan (Tempoh masa pajakkan bergantung kepada PTD) dan sebagainya. Tahap pemilikan ini akan menentukan nilai tanah tersebut dari segi harganya. Umumnya, Geran Tanah yang ada status Hakmilik Kekal adalah paling mahal kerana tanah tersebut boleh dimiliki oleh semua bangsa berbanding dengan tanah yang mempunyai status hakmilik terhad seperti Rizeb Melayu (Malay Reserve) atau Tanah MCL (Malay Customary Land) atau NCR (Native Customary Reserve) di Sarawak. Kalau kita berminat hendak beli tanah maka penting kita tahu dan faham akan status pemilikan tanah ini. Pastikan tanah bermilik sahaja yang boleh bertukar hakmilik melalui jualan atau pembahagian harta pusaka. Ini kerana terdapat beberapa sendikit yang cuba menjual 'Tanah Kerajaan' dengan mempalsukan geran tanah tersebut.

Tanah yang ada di Kampong Tradisional lazimnya mempunyai syarat tanah untuk pertanian. Syarat Penggunaan Tanah merupakan satu kenyataan yang mana kadang-kadang ada di nyatakan dengan jelas didalam geran tanah. Ada syarat yang ditulis secara umum seperti 'Tanah Pertanian' dan ada yang ditulis dengan khusus seperti tanah hendaklah di tanam dengan 'Kelapa Sawit', 'Dusun Buah-buahan', Getah, Koko, Padi dan sebagainya. Kadar bayaran cukai tanah berbeza-beza mengikut status jenis penggunaan tanah tersebut. Ada sesetengah negeri yang menyatakan Cukai Taliair untuk tanah sawah dan perlu dibayar bersama-sama dengan cukai tahunan tanah tersebut. Syarat sekatan penggunaan tanah boleh di tukar kepada tanaman lain dengan membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan siasatan akan dibuat oleh Jabatan Pertanian Daerah berkenaan sebelum diluluskan oleh kerajaan negeri.

Bagaimana nilai harga tanah pertanian di tentukan? Ini merupakan satu perkara yang SUBJEKTIF kerana penentuan nilaian tanah bergantung kepada banyak faktor. Nilai tanah sama ada Tinggi (MAHAL), Sederhana atau MURAH bergantung faktur Status Tanah, Lokasi Tanah, Siapa Pembelinya, Siapa Penjualnya, Kesuburan Tanah, Kemudahan Infrastruktur, Apa Yang Ada diatas tanah, Lokasi serta kedudukan tanah tersebut. Kawasan yang selalunya berhampiran dengan bandar besar dimana proses pembangunan pesat mungkin jauh lebih mahal berbanding dengan tanah pertanian yang terletak di Ulu Hutan yang tidak mempunyai jalan atau pun akses. Harga tanah sering di jadikan kayu pengukur oleh para 'speculators' jika berlaku proses jualbeli. Bagaimana pun kita boleh merujuk kepada Pejabat Penilaian Harta Kerajaan untuk membuat sebarang perbandingan nilaian tanah sama ada dinyatakan oleh Penjual atau Pembeli. Cara ini akan mengelakkan kes-kes penipuan akibat kekurangan maklumat.  Pastikan kita melihat dokumen yang asal bukan fotokopi untuk mengelakkan sebarang penipuan. Bersambung . . . . 

JUAL TANAH ... BANYAK PROSESNYA...
SEMAKKAN YANG TELITI.. ELAK TIPUNYA....
BANYAK DAPAT WANG.. LABURKANNYA...
JANGAN BOROS... ITU 'LEBURKANNYA'...

By,
M Anem
RISTEC Training Center,
Port Dickson,
Negeri Sembilan
( 4 Syaaban 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.