Sunday, July 1, 2012

CHEMPEDAK CH 33

CHEMPEDAK CH 33 (Artocarpus chempeden L) adalah satu varieti chempedak yang disyorkan untuk ditanam secara komersil di Malaysia. Terdapat 35 varieti chempedak yang telah didaftarkan dalam National Listing Jabatan Pertanian dimana hanya 3 varieti sahaja yang disyorkan untuk ditanam secara komersial iaitu CH 28, CH 30 dan CH 33. Kajian daripada laporan rasmi mendapati seluas 11,156 hektar chempedak ditanam di Malaysia pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 56,700 metrik tan. Kebanyakann hasil chempedak adalah untuk pasaran domestik bagi dimakan segar atau di goreng manjadi menu 'Goreng Chempedak'. Aroma goreng chempedak sunguh kuat sehingga ramai pengunjung pasar malam, pasar tani dan jiran tetangga dapat menghidunya. Kebanyakan chempedak ditanam secara dusun campuran atau ada juga yang menanam secara monokrop. Artikel 'Anim Agro Technology' kali mempaparkan chempedak CH 33 yang juga dikenali sebagai Varieti Chin untuk pengetahuan para pembaca blog ini. Sumber rujukan adalah daripada Jabatan Pertanian.


Chempedak CH 33 ini telah didaftarkan pada 15 0gos 1989 dimana ianya didaftarkan oleh Hj Abdullah bin Darus dari Kg Padang Hasan, Kota Setar, Kedah. Pemeriksaan varieti ini dibuat oleh pakar dari Jabatan Pertanian sebelum dibuat pengesyoran. Buah CH 33 bersaiz sederhana besar dengan purata berat sekitar 2.5 kg sebiji. Ketika di ukur didapati panjang buah CH 33 antara 32 - 35 cm dan lebar buah berukuran 15 - 17 cm bergantung kepada keadaan buah. Kalau dikira nisbah panjang dengan lebar buah adalah pada kiraan 2.0:1. Apabila diperhatikan permukaan kulit buah adalah sedikit berbonjol dengan adanya duri berbentuk puting yang tidak tajam (Lihat foto). Warna kulit buah adalah hijau dan apabila matang ada tompok-tompok coklat. Tangkai buah sederhana panjang sekitar 4.5 cm dengan bentuk bulat selinder.


Istimewanya varieti CH33 adalah isinya yang berwarna Oren (Kod warna 25B) dengan ketebalan isi yang sederhana dan rasa yang sangat manis (Lihat foto). Ujian dengan alat Brix meter mencatatkan kemanisan 30 - 32% dan memang saya dapati amat terasa akan kemanisannya. Kiraan mendapati varieti ini mempunyai purata 70 ulas dalam satu biji iaitu kurang jika dibandingkan dengan varieti CH 38 yang mempunyai sebanyak purata 90 ulas. Varieti ini mempunyai sedikit rasa tanin dan juga ada sedikit rasa masam tetapi kadang-kadang memang tiada rasa masam langsung. Nisbah isi kepada buah adalah sekitar 70 - 73% iaitu dikira sebagai agak padat.


Pemerhatian mengenai biji CH 33 mendapati ianya hampir ujud pada semua ulas buah. Hampir tiada buah yang kesep. Bijinya berbentuk bulat lonjong tidak sekata dan tidak seragam. Biji yang berwarna coklat oren (Kod warna 175A) ini mempunyai corak menarik pada testanya (Lihat foto). Bijinya mudah untuk dijadikan bahan tanaman apabila disemai sebelum dibuat cantuman. Belum ada laporan mengenai penggunaan biji chempedak untuk diproses atau bagi dijadikan makanan berkhasiat untuk kesihatan. Jika hendak menanam varieti chempedak CH 33 dapatkan anakbenih yang telah disahkan.


BUAH CHEMPEDAK ... DI LUAR PAGAR...
VARIETI CH 33... JANGAN DI CABAR...
RASANYA MANIS ... BUAHNYA BESAR...
KALAU DI TANAM ... KENA BERSABAR ... 


Oleh,
M Anem
Room 225, Labuan Drescott Hotel,
W.P. Labuan
Malaysia
(8 Syaaban 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.