Saturday, May 5, 2012

BUAH MELAKA

BUAH MELAKA (Phyllanthus emblica L) adalah sejenis buah dari keluarga  Euphorbiaceae yang kini menjadi salah satu pokok ikon kepada kerajaan Negeri Melaka. Kenalkah anda semua dengan Buah Melaka?... Jangan keliru dengan 'Kueh Buah Melaka' berwarna hijau dengan kelapa parut yang mengandungi isi gula melaka atau pun di panggil juga sebagai 'Onde-onde' atau di kampong saya dipanggil sebagai 'Kueh Kelepon'.  Pokok ini berasal dari kawasan Asia Tenggara dan terdapat juga tumbuh di India, Nepal, Selatan China dan sekitar Indo-China.  Buah Melaka lazimnya di makan mentah dan  mengandungi vitamin C yang tinggi serta serabut larut pektin yang membantu mengurangkan kolesterol dalam darah. Banyak maklumat mengenai tumbuhan ini yang kita tidak tahu kalau kita tidak membuat kajian dan membuat banyak rujukkan. Tidak mengapa kalau kita belum tahu. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis mengenai teknologi berkaitan pokok buah Melaka untuk menafaat bersama.


Pokok Melaka pertama kali saya nampak di Negeri Melaka di Bandar Hilir hampir 20 tahun lalu yang ditanam sebagai satu ikon negeri tersebut. Saya pun tidak pasti pokok tersebut masih ada lagi atau tidak kerana sudah lama tidak berkunjung ke Bandar Hilir, Melaka. Pokok Melaka mempunyai bersaiz sederhana besar dan dengan batang yang tumbuh tegak dan kurus. Pokok ini mampu tumbuh setinggi 25 meter (Spesis liar dalam hutan) tetapi jika ditanam dikawasan lapang ketinggiannya sekitar cuma sekitar 8 meter sahaja.  Dahan yang banyak, bengkang bengkok dimana terdapat beberapa bonjolan. Daunnya kecil, ringkas, tirus yang memanjang dan berwarna hijau. Ukuran panjang daun sekitar 5 -20 mm dan lebarnya 1-5 mm sahaja yang tersusun dalam dua baris pada ranting membentuk seperti daun majmuk. Bunga jantan saya dapati berada dalam jambak yang keluar dari ketiak daun sementara bunga betina keluar secara tunggal. 


Buah Melaka adalah buat seperti bola atau bulat lonjong yang berwarna hijau ketika muda dan kemudian bertukar menjadi kekuningan coklat setelah masak. Buah yang kecil ini berukuran 13-20 mm dan lebar ukurlilit buah sekitar 23-30 mm yang keluar dari celah ranting daun. Buah yang masak ini didapati mengandungi air, karbohiderat, protin, lemak, serabut dan banyak pektin. Setiap 100 gram jus buah ini mengandungi 1,000 mg asid askorbik dan kajian menunjukkan kandungan Vitamin C dalam buah ini 20 kali ganda dari dalam buah oren. Apa yang hebat ialah kerana Vitamin C ini tidak hilang sepenohnya walau pun Buah Melaka di jeruk didalam air garam atau di proses dalam bentuk buah kering. Saya dapat tahu juga yang bahagian daun, kulit pokok , buah sangat kaya dengan kandungan Tanin yang bagus untuk kesihatan kita. Kajian makmal menunjukkan kulit pokok dikeringkan dilaporkan mengandungi 10-20% Tanin, Ranting dikeringkan mengandungi 12-24% Tanin dan sementara Daun yang dikeringkan mengandungi 22-28% Tanin.


Penanaman Pokok Melaka boleh dijalankan daripada Biji Benih, Keratan, Tut atau Cantuman. Walau pun didapati kadar pertumbuhannya agak lambat, tetapi pokok akan mula menghasilkan selepas 5-6 tahun ditanam. Terdapat pokok yang berbuah selepas 8 tahun ditanam dikawasan kurang cahaya matahari. Cuaca panas dan cahaya matahari selama lebih 12 jam sehari membantu pokok menghasilkan bunga dan buah. Terdapat laporan yang menyatakan pokok Buah Melaka adalah tahan dari terbakar kerana ianya cepat pulih semula dengan segera.  Masaalah serangan kulat menyebabkan bahagian pucuk dan ranting pokok akan mati, ini juga mengakibatkan buahnya juga akan busuk dan reput.  Kadang-kadang apabila cuaca lembab berterusan juga berlaku serangan kulat pada buah dan bahagian akar pokok.  Serangga Ulat Batang memakan kulit pokok Buah Melaka yang mengancam kesuburan pokok tersebut. Saya belum nampak pokok Buah Melaka ditanam secara monokrop komersil di Malaysia ketika ini. Apa yang saya lihat pokok ini ditanam sebagai tanaman untuk tujuan ornamental sahaja.


Kueh Buah Melaka atau Onde-onde
POKOKNYA RENDANG....POKOK MELAKA...
BUAHNYA BULAT...VITAMIN C BANYAKNYA...
KANDUNGAN TANIN..ADA DI MERATA-RATA...
KHASIATNYA?...ARTIKEL LAIN NANTI CERITA...


By,
M Anim
Putrajaya
Malaysia
(13 JamadilAkhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.