Saturday, April 7, 2012

THRIPS

THRIPS (Order Thysanoptera) atau Kutu Thrips merupakan serangga kecil yang merupakan sejenis perosak yang penting dalam industri tanaman dan ternakan. Ramai diantara kita mungkin tiak pernah nampak thirps ini kerana saiznya yang sangat halus sekitar 1 mm (milimeter) dan ianya merupakan serangga yang tidak boleh terbang. Laporan daripada beberapa sumber rujukkan mendapati serangga Thrips ini mempunyai lebih 5,000 spesis yang menyedut cairan dalam tumbuhan atau haiwan dengan menyucuk (puncturing) dan seterusnya merosakan sel tisu dan akan berlaku serangan oleh patogen lain seperti kulat dan sebagainya. Bagaimana pun terdapat sedikit spesis thrips yang berfaedah kerana ianya makan serangga perosak tanaman yang lain seperti kutu daun, kumbang dan sebagainya. Serangga ini bergerak perlahan dan ianya boleh diterbangkan oleh tiupan angin daripada satu pokok kepokok yang lain jika cuaca dang angin sesuai. Artikel petang Sabtu ini saya menulis meklumat mengenai Thrips ini untuk bacaan dan rujukkan bersama.


Thrips dewasa merupakan serangga kecil berukuran 0.5 - 14 milimeters tetapi kebanyakan spesis berukuran sekitar 1 milimeter sahaja. Bentuk badannya seperti serangga lain yang mempunyai bahagian kepala, thorax dan abdomen dengan mempunyai 3 pasang kaki untuk bergerak dan kadang-kadang ada spesis yang mempunyai kepak. Serangga ini jenis adalah jenis Hemimetabolic. Dibahagian kepala mempunyai alatan struktur mandible atau penyucuk (narrow stylet) yang mampu menembusi tisu tumbuhan atau pun tidu haiwan untuk menyedut cairan sebagai makanannya. kebanyakan spesis thrips bergantung kepada lokaliti dan menurut Prof. Dr. Monica dari Natherland, beliau yang membuat penerangan mengenai thrips yang menyerang melon di Projek JV Malaysia-Belanda di Serdang menyatakan ada Western Thrips dan juga Tropical Thrips yang berbeza marfologinya.  Serangan thirps terhadap tanaman melon di dalam Struktur Pelindung Hujan (SPH) secara fertigasi adalah masaalah utama industri ini.


Kitaran hidup kutu thrips ada empat peringkat iaitu TELUR, LARVA, PUPA dan DEWASA.  Telur kutu thrips sangat halus (0.02 mm) berbentuk sama ada selinder, panjang atau buah pinggang. Telur ini dimasukkan kedalam tisu daun dimana pada peringkat larva akan menjadikan tisu lembut daun sebagai makanannya.  Terdapat beberapa spesis juga yang bertelur dibahagian bawah permukaan daun.  Telur ini perlukan masa selama satu hari sehingga seminggu untuk menetas bergantung kepada keadaan cuaca dan faktur persekitaran yang lain.  Selepas menetas akan menjadi larva atau nymph . Peringkat seterusnya adalah peringkat pupa dimana ada pupa yang jatuh ketanah, bahagian bawah daun tumbuhan atau pada tempat ianya bertelur Peringkat pupa tidak aktif dan tidak makan. Seterusnya adalah peringkat dewasa dimana ia mampu bergerak keseluruhan bahagian pokok. Kitaran hidup kutu thrips adalah selama 2 minggu sahaja terutama pada musim panas dan kering. 


Kutu thrips merupakan serangga yang merosakan banyak jenis tanaman sayuran, tanaman buah-buahan dan tanaman ornamental hiasan. Thirps meyedut cairan air sap tumbuhan yang mengakibatkan kecacatan pada daun, buah , pucuk malahan ada sesetengah tumbuhan bahagian batang. akibatnya tisu yang diserang akan kecut, bengkok, cacat rupa, berwarna kehitaman, tidak seragam dan rendah kualitinya. Serangan teruk pada bahagian pucuk akan menyebabkan pertumbuhan keseluruhan pokok terbantut. Serangan pada pokok Cili Merah (Capsicum annum) dan Cili Padi (Capsicum frustecens) boleh menyebabkan masaalah penyekit Kerinting Daun dimana ianya berasimilisasi dengan Virus Tristeza yang menyebabkan kerinting pada daun (Lihat foto diatas). Serangan kutu thrips pada bunga cili juga menyebabkan bunga cili rosak dan akibatnya ada buah cili yang rosak dan rendah kualitinya.


Kerosakan serangan kutu thrips yang serius menyebabkan kualiti hasil rosak seperti buah yang kulitnya berkedut, calar, berwarna kehitaman, ada titik-titik dan sebagainya (Lihat contoh buah tomato disebelah).  Jika tidak diperhatikan kadar populasi serangan dalam kawasan kebun pada semua peringkat, ianya akan menyebabkan kerugian banyak kepada petani kerana kesan kerosakan pada bahagian pucuk, daun dan hasil tanaman.  Di Malaysia teknologi penanaman beberapa jenis tanaman bernilai tingi seperti Tomato, Melon, Cili Benggala dan Tomato Chery didapati menghadapi masaalah serangan kutu thrips jika tidak dipantau dan dibuat kawalan. Faktur suhu yang panas, kelembaban tinggi dan ketiadaan hujan (pengairan dan baja guna fertigasi) merupakan kondisi terbaik untuk kutu thrips membiak dan bergerak. 


Pemantauan populasi kutu thrips boleh dijalankan dengan menggunakan kaedah pemeriksaan bilangan ekor pada bunga, pucuk atau daun tanaman dibantu dengan kanta pembesar untuk melihatnya atau memasang STIKER PELEKAT KUNING (Lihat foto disebelah). Serangga ini akan bergerak dan menuju kearah stiker tersebut dan kita boleh kira berapa jumlah yang melekat dan jika mencapai bilangan 'maximum treshold level' perlu dibuat kawalan. Kaedah kawalan sebaiknya mengamalkan konsep Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM) dimana penggunaan racun serangga adalah pilihan yang terakhir. Perlu diingat walau pun banyak terdapat bilangan kutu thrips pada tumbuhan tidak semestinya akan berlaku kerosakan teruk pada hasil tanaman. Ini bergantung kepada jenis tanaman, peringkat kitaan hidup thrips dan juga keadaan cuaca persekitaran. Kawalan kultura dengan membuang bahagian yang diserang thrips adalah digalakan. Penggunaan musuh semulajadi seperti beberapa jenis kumbang (bugs) membantu mengurangkan populasi. Diharap artikel ini dapat memberikan maklumat berguna kepada pembaca. Bersambung lagi nanti......Wasallam!!!.
KUTU THRIPS...HALUS SAIZNYA....
MENGHISAP CAIRAN...CARA ROSAKNYA....
POPULASI BANYAK...PERLU KAWALANNYA....
SERANGGA PEROSAK...AWAS KEUJUDANNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Teluk Kemang, Port Dickson,
Negeri Sembilan,
Malaysia
(15 JamadilAwal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.