Friday, April 27, 2012

NENAS JOSAPINE

NENAS JOSAPINE (Ananas cosmosus) merupakan satu varieti nenas yang popular di Malaysia dan ditanam dengan meluas di Johor, Selangor dan Sarawak. Nenas ini merupakan satu varieti hasil kacukan oleh pegawai penyelidik tempatan diantara Nenas Sarawak dengan Nenas Johor (JO - Johor , SA - Sarawak dan Pine - Nenas) yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian sebagai AC 4. Tanaman nenas di Malaysia merupakan satu industri yang telah dijalankan semenjak beratus tahun dulu. Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai bekalan nenas mencukupi untuk kegunaan domestik malahan mampu mengekspot keluar negara dalam bentuk segar dan di tinkan. Terdapat seluas 14,560 hektar tanaman nenas dengan pengeluaran sebanyak 65,200 metrik tan pada tahun 2012. Antara varieti nenas yang popular adalah Nenas JOSAPINE yang saya paparkan pada penulisan artikel kali ini kepada pembaca.


Saya baru melawat Ladang Peninsula Pineapple Plantation dan Goh Pineapple di Simpang Renggam, Kluang , Johor semasa membuat tinjauan teknologi mengenai prestasi tanaman ini bersama-sama dengan pasukan pemeriksa. Ladang ini seluas lebih 6,500 ekar menanam beberapa jenis nenas terutama Nenas Josapine, Nenas N36 dan juga ada Nenas MD2. Pengurus syarikat telah memberikan penerangan semasa lawatan dan membawa keladang nenas dalam beberapa peringkat penanaman. Nenas Josapine sesuai ditanam di kawasan tanah gambut dan tanah mineral dengan taburan hujan sekitar 1,250 mm setahun serta mendapat cahaya matahari mencukupi. Kekurangan cahaya boleh mengurangkan hasil sebanyak 10-20% dan menurunkan kualiti buah seperti kandungan gula dan asid yang rendah. 


Pemerhatian saya mendapati pokok dewasa mempunyai ketinggian 70 - 80 cm dengan lebar kanopi pokok 110 -130 cm radius dikawasan jarak penanaman 3 kaki x 2 kaki x 1 kaki untuk memberikan kepadatan tanaman nenas Josapine 43,500 pokok sehektar. Anak benih sulur tanah atau sulur udara atau jambul boleh digunakan didalam penyediaan bahan tanaman. Sulur berukuran 1 kaki (30 cm) yang dikutip boleh ditanam didalam lubang dengan kedalaman 10 -15 cm dan seorang pekerja mahir mampu menanam seluas 0.2 - 0.3 hektar sehari. Anak benih Josapine perlu di buat rawatan dengan mencelup selama 5 minit dalam larutan Benomyl untuk kawalan serangan kulat dan Racun Malathion untuk kawalan serangga sebelum menanam. Jika sulur anak benih terlalu panjang boleh dipotong bahagian atas daun untuk mendapatkan pertumbuhan yang seragam. 


Keistimewaan nenas Josapine adalah kerana daunya tidak berduri seperti pokok nenas Varieti Moris. Bentuk daunnya yang berwarna hijau tumbuh melempai apabila membesar. Kawasan tanah gambut dengan saliran baik sesuai ditanam nenas Josapine. Kemasaman tanah antara 3.5 - 4.5 juga boleh ditanam dengan nenas ini. Nenas Josa akan masak dalam tempoh 12 bulan selepas di tanam. Bentuk buahnya adalah Selinder dengan anggaran berat buah sekitar 1.0 -1.5 kg sebiji. Ladang ini telah memasarkan buah dalam 3 gred iaitu Gred C (Kurang 800 gram/biji), Gred A (800 -1,200 gram/biji) dan Gred B (Lebih dari 1.2 kg/biji). Warna kulit buah ungu jingga dan akan kemerahan sedikit apabila masak. Kajian dan pemerhatian saya mendapati buah nenas Josapine tahan selama 5 hari dalam keadaan biasa dan selama 2 minggu jika disimpan dalam suhu sejuk. 


Nenas rosak kena 'Buah Hantu'
Nenas Josapine mempunyai warna isi kuning keemasan dengan tekstur yang rangup dan kering. Nenas ini mempunyai aroma sederhana dan sesuai untuk dimakan segar. Kemanisan buah Josapine dalam grup manis iaitu sekitar 16 -18 darjah Brix. Pokok Nenas Josa memerlukan aruhan hormon untuk menghasilkan bunga dan buah. Lazimna selapas membubuh hormon buah akan dikutip dalam masa 120 -130 hari kemudian. Nenas ini adalah rentan terhadap penyakit Buah Hantu (Ervinia chrysanthemi) , Penyakit Mata Hitam (Penicillium funiculosum) sering berlaku pada waktu musim hujan dan saliran kurang sempurna. Penanaman nenas Josapine telah lama dijalankan di Malaysia untuk pasaran segar dan hanya sedikit sahaja diproses.  


Analisa kewangan menunjukkan harga ladang purata buah nenas Josapine adalah RM 1.30 sebiji berbanding dengan harga sebiji nenas moris cuma RM 0.80 sebiji. Jumlah kos pengeluaran sekitar RM 17,200 sehektar dengan anggaran pendapatan bersih RM 15,200 sehektar. Analisa kewangan menunjukkan titik pulang modal nenas Josapine adalah RM 0.94 dan kadar BC Ratio sebanyak RM 1.39. Nilai Kini Bersih (NPV) tanaman nenas Josapine di kawasan tanah gambut sebanyak RM 11,300 sehektar semusim. Potensi penanaman neas Josapine kini banyak bersaing dengan penanaman nenas varieti MD2 yang mula di tanam dengan meluas akibat kualiti buah yang sangat menarik untuk pasaran domestik dan pasaran ekspot. Lawatan saya (foto diatas) , Dr Mat Selamat dan Hj Nasir keladang tersebut menaiki lori kecil ketengah ladang dapat melihat sampel benih tanaman yang sedang dibuat kajian. Wasallam.


NENAS JOSAPINE...MANIS BUAHNYA....
DIMAKAN SEGAR...SEDERHANA SAIZNYA...
SENANG JUAL...MAKAN SEGAR CARANYA...
MELAWAT LADANG...PANAS TERIKNYA...


By,
M Anem
Ladang Nenas Goh,
Simpang Renggam, Kluang,
Johor, Malaysia.
(6 JamadilAkhir 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.