Wednesday, March 28, 2012

PENYAKIT DAN PEROSAK KELAPA SAWIT

KELAPA SAWIT (Elaeis guineensis) adalah tanaman utama di Malaysia dari keluarga Palmae yang menjadi bahan ekspot utama negara dalam sektor pertanian. Negara Indonesia merupakan paling banyak menanam dan menghasilkan kelapa sawit dengan jumlah pengeluaran sebanyak 21.534 juta metrik tan yang bernilai sebanyak USD 9.37 billion pada tahun 2010 (Laporan FAO Stat tahun 2011 seperti dibawah). Malaysia pula merupakan negara kedua pengeluar produk kelapa sawit dengan pengeluaran sebanyak 1.67 juta metrik tan berilai sebanyak USD 7.39 billion pada tahun yang sama. Negara berikutnya adalah Thailand, Nigeria dan Colombia. Trend penanaman dan pengeluaran kelapa sawit terus meningkat dengan penanaman dikawasan baru di Benua Afrika dan di Indonesia. Artikel malam ini saya minat untuk menulis dalam 'Anim Agro Technology' bertajuk penyakit dan perosak yang lazim menyerang tanaman kelapa sawit.




Tanaman Kelapa Sawit bermula biji benih yang hendak di semai di tapak semaian sehingga sesuai untuk diubah ke Ladang.  Biji benih sawit ada yang diserang Penyakit 'Brown Germ' iaitu embrio dalam isirong yang rosak atau hitam disebabkan oleh Kulat Aspergillus spp, Penicillium spp dan Fusarium spp. Akibatnya biji embrio benih tidak bercambah dan boleh dikawal dengan menggunakan racun mencozeb dan benomyl iaitu direndam biji benih selama 15 minit.  Penyakit kedua yang menyerang pada biji benih adalah Penyakit Schizophyllum yang disebabkan oleh Shizophyllus commune dimana miseliumnya masuk kedalam biji benih dan merosakkannya. Penyakit ini menyerang biji sawit yang pecah dan mesokarp yang tidak bersih pada biji atau biji yang disimpan ditempay yang lembab. Kawalan menggunakan racun kulat seperti Thiram (0.2%), membuang mesokap dengan bersih dan juga pemilihan biji yang tidak pecah atau retak.


Ketika di tapak semaian terdapat beberapa penyakit yang boleh menyerang tetapi ianya mudah dikawal. Antara penyakitnya adalah seperti Penyakit Antraknos yang disebabkan oleh Melanconium, Bortyodiploida dan Glomerela. Bahagian anakbenih yang derang akan berbintik-bintik perang dikelilingi kuning dimana berlaku pada benih berumur 1-3 bulan. Kawasan keliling yang lembab, susunan anakbenih yang rapat dan siraman air berlebihan adalah antara puncanya.  Penyakit Bintik Daun (Curvularia spp) akan menyerang daun yang terdedah terutama dikawasan tanah gambut (Foto sebelah). Penyakit Karah Daun (Phytium spp) dan (Rhizoctonia spp) menyerang daun-daun tua dan kemudian merebak kebhagian batang dan akar anak benih sawit. Pemerhatian saya mendapati kawalan untuk penyakit di tapak semaian dengan penyusunan polibeg yang sesuai, imbangan pembajaan yang sesuai, ada naungan yang optima dan penggunaan racun kulat disyorkan.


Terdapat dua jenis penyakit Kelapa Sawit yang sering menyerang di ladang iaitu Penyakit Reput Pangkal Batang (Ganoderma boninense) dan Penyakit Reput Perdu (Collectotricum spp atau Fusarium spp). Penyakit Ganoderma menyerang pokok bermur 10 tahun keatas walau pun ada kes menyerang pokok muda. Pucok pokok diserang akan tidak mebgembang dan daun tua akan patah dimana jika dibelah bahagian tosu akan berbau busuk.  Biasanya pokok mati 6-12 bulan kemudian jika tidak dikawal. Kerugian mencecah sehingga 50% jika kelapa sawit ditanam ditanah bekas tanaman kelapa. Kawalan dengan memungut batang atau tunggul kelapa sawit diserang daan mesti dibakar. Pokok yang dijangkiti peringkat awal boleh diracun.dahulu dan jika tidak akan dibakar. Penyakit Reput Perdu (Crown disease) pula menyerang pokok berumur 1-3 tahun dimana pucuknya tidak mengembang, pertumbuhan terbantut dan daun melempai kebawah walau pun kemungkinan kadar serangan cuma 5 % sahaja. Gunakan anak benih tahan serangan, pembajaan sempurna dan kebersihan ladang yang optima.


Terdapat 6 jenis serangga perosak menyerang tanaman kelapa sawit. Serangga tersebut adalah Kumbang Apogonia, Ulat Bungkus, Ulat Tandan Buah, Ulat Pemakan Daun, Ulat Beluncas dan Kumbang Tanduk.  Kumbang Apogonia (Apogonia spp atau Adoretus spp) menyerang bahagian daun muda kelapa sawit terutama dalam tapak semaian dan serangan berlaku pada malam hari (Foto sebelah). Kesan serangan berlalu gigitan bergeriji pada daun. Kawalan dengan memasang perangkap lampu, memasang jaring pelindung dan juga racun kimia seperti chloriphyfos. Ulat Bungkus (Cremastopchyche pendula atau Metisa plana) yang dewasa adalah jenis rama-rama tidak berkepak dan larvanya membentuk kelongsong pada daun sebaik menetas.  Walau pun perosak ini banyak musuh semulajadi tetapi jika seragan serius boleh gunakan racun seperti metamidophos pada kepekatan 0.25%. Serangga Ulat Tandan Buah (Tirathaba mundela) menyerang dimana rama-rama dewasa akan bertelur dikudup bunga dan makan kudup dan putik buah kenudian gugur. Kawalan dengan semburan racun Metamidiphos atau agen Bacillus thuringiensis (BT).   


Serangga Pemakan Daun (Orthocrapeda trimadan dan Ploneta diduta) dimana larvanya memakan bahagian tepi daun pada bahagian tepi daun. Serangan serius menyebabkan daun hanya tinggal lidi dan perlu dikawal dengan semburan menggunakan racun jenis Methamidophos atau penggunaan bahan BT seperti diatas. Serangga Ulat Beluncas (Setora nitens) menyerang bahagian hujung daun bergerigi sehingga tinggal lidi. Cara kawalan dengan menggunakan musuh semulajadi iaitu BT dan juga menggunakan semburan racun serangga seperti Dieldrin pada kepekatan 0.02%. Kumbang Tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan serangga yang mudah dikenali kerana berwarna hitam dan memounyai tanduk. Kumbang ini bertelur dibahagian pucuk pokok (khususnya pokok muda) dan larva akan makan bahagian tisu lembut pokok. Akibatnya pucuk baru akan membentuk seperti kipas dan bomeh membunuh pokok. Kawalan menggunakan perangkap fromon atau memasang lampu perangkap. Musnah tempat pembiakan kumbang tanduk seperti tunggul kelapa dan sabut dikawasan ladang. Pada masa ini telah di sebut kemungkinan serangan oleh Red Palm Weevil yang didalam pemerhatian pihak berkuasa terhadap kelapa sawit.


Diantara haiwan lain yang menyerang tanaman kelapa sawit adalah Tikus, Gajah, Lembu dan Babi. Tikus Belukar (Rattus tiomanicus), Tikus Sawah (Rattus argentiventer) dan Tikus Rumah (Rattus diardi) merupakan vetebret yang menyerang diperingkat semaian dan juga buah kelapa sawit yang hampir matang. Serangan di tapak semaian dengan tikus mengorek dalam polibeg dan mengorek pangkal pokok. Kawalan dengan racun umpan tikus antikoagulant yang berkesan atau memasang pagar xink keliling tapak semaian. Bagi mengawal serangan tikus pada buah bleh menggunakan racun tikus yang diletakan di setiap pangkal pokok kelapa sawit setiap 3-5 hari. Berhentikan pemberian umpan jika peratus umpan dimakan menurun sehingga 20% sahaja dan kawalan ini bertahan sehingga 6 bulan. Jika serangan pada tahap teruk boleh gunakan umpan jenis Zink Phosphide pada kadar 1 0-30 graam pada setiap pokok. Kawasan ladang sebaiknya sentiasa bersih untuk elakan populasi tikus. Gajah, lembu dan babi hutan dikawal dengan kaedah membina parit ladang sempadan, memasang pagar letrik atau menembak dengan senapang. Diharap artikel ini memberikan maklumat tambahan kepada pembaca semua. Wassalam....


PEROSAK KELAPA SAWIT...APA JENISNYA....
PERLU DIKETAHUI....DAN KENAL NAMANYA....
CARA MENGAWAL...BANYAK CARANYA....
POKOK SUBUR....LUMAYAN HASILNYA....


By,
M Anem
Gersik, Muar, Johor,
Malaysia.
(4 JamadilAwal 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.