Saturday, March 10, 2012

ALAT CABUT UBI

UBI KAYU (Manihot esculenta) atau Tapioca atau Cassava merupakan sejenis tanaman umbisi dari keluarga Euphorbiaceae yang ditanam dinegara kita untuk kegunaan proses di kilang dan dimakan segar serta diproses untuk dijadikan makanan ringan. Industri penanaman ubi kayu tidak berkembang semenjak dulu di Malaysia dimana hanya sekitar 2,400 hektar sahaja purata ubi kayu ditanam terutama di Johor, Selangor, Perak, Pahang dan Sabah serta Sarawak. Pengeluaran tahunan ubi kayu di Malaysia sekitar 40,000 metrik tan bernilai sekitar RM 35 - RM 45 juta setahun. Pengalaman saya didalam sektor pertanian khususnya dalam menjalankan pengembangan pertanian mendapati agak sukar untuk memberikan kepercayaan kepada petani menanam ubi didalam kawasan kebunnya kerana katanya apabila tanah ditanam ubi makan tanah tersebut tidak subur lagi. Kenyataan ini saya nilai ada kebenarannya kerana mereka yang menanam ubi lazimnya tidak memberi baja atau menjalankan amalan agronomi sepatutnya atau istilah lain tanam ubi dengan kaedah 3T iaitu 'Tanam - Tinggal - Tuai'. Salah satu masalah yang sering timbul dalam industri ini adalah masaalah hendak mencabut ubi. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis teknologi mencabut ubi untuk pengetahuan pembaca semua.


Ubi yang di tanam dikawasan tanah mineral berbeza dengan ubikayu yang ditanam dikawasan tanah mineral atau kawasan tanah liat (heavy clay) ketika kita hendak mencabutnya. Lazimnya kerja mencabut pokok ubi dikawasan tanah gambut lebih mudah walau pun pokok dan buahnya lebih besar dan lebih banyak kerana struktur tanahnya yang genbur dan lembut.  Kerja menuai ubi kayu lazimnya dibuat secara manual dinegara kita dengan membuang bahagian batangnya setinggi 3-5 kaki dan kemudian digoyang kekiri kekanan sehingga perdunya sesuai dan ditarik keatas perlahan-lahan. Kemahiran mencabut ubi penting agar umbisi ubi tidak terputus atau patah atau tertinggal didalam tanah. Bagi tanah yang agak keras perlu dibuang bahagian lapisan atas tanah dahulu menggunakan cangkul atau tajak tetapi perlu berhati-hati jangan sampai terkena umbisi umbi. Tenaga yang banyak diperlukan bagi mencabut sepokok ubi...OK lagi kalau kita hendak cabut 4-5 pokok sahaja tetapi kalau untuk tujuan komerisl sampai satu ekar?....patah pinggang dibuatnya.


Ramai rakan petani saya telah membuat satu inovasi mencabut ubikayu menggunakan satu alat yang dipanggil sebagai Alat Pencabut Ubikayu Berantai (APUB). Alat ini telah diinovasikan oleh penanam ubi di sekitar FELDA Kota Tinggi dan digunakan dikawasan penanaman ubikayu di kawasan Layang-layang, Senai dan Seelong, Johor Bahru. APUB ini menggunakan rantai yang diikat (Panjang rantai 5-6 kaki panjang)  dengan  sebatang kayu bulat atau kayu beruti sepanjang 5-7 kaki panjang untuk digunakan sebagai pengangkat atau pencabut. Buang batang ubikayu dengan memotong bahagian atas batang pokok ubikayu setinggi 3-4 kaki dari paras tanah dan ikat batang ubikayu tersebut dengan melilitkan rantai yang diikat pada batang kayu. Letakkan hujung kayu pada tanah dan disatu hujung lagi di naikkan untuk mengangkat rumpun pokok ubikayu secara perlahan-lahan agar umbisi atau batang ubikayu tidak patah. Setelah keseluruhan pokok ubi dicabut maka bukakan ikatan rantai tadi dan bolehlah umbisi ubikayu tersebut dipotong-potong dan di masukkan kedalam guni. Kebaikan APUB ini adalah kerana ianya mudah digunakan, murah, tahan lama dan yang paling penting pinggang tidak sakit walau pun mencabut berpuloh-puloh pokok ubi dikebun. Ini kerana kita boleh berdiri dengan meletakkan APUB dibahu sahaja dan diangkat dengan perlahan-lahan.  


Penanaman ubikayu dilaporkan paling luas ditanam di Brazil secara ladang untuk penghasilan kanji dan produk proses lain seperti Tepong Ubi, Bahan perisa makanan (Ajinomoto), Plastik, Kanji, Biodiesel, produk komestik, Kerepek Ubi dan bermacam-macam lagi. Negara China juga dilaporkan menanam ubikayu (Bahagian Selatan) dan juga negara India. Ubikayu merupakan satu makan ruji bagi beberapa negara seperti di Afrika, Papua New Guinea, Irian Jaya dan beberapa negara  dunia ketiga yang lain.  Kos untuk mencabut ubi adalah antara kos yang tinggi kerana ianya dibuat secara manual dan memerlukan tenaga buruh yang ramai dan mereka yang berkemahiran. Ubikayu mengandungi kanji sehingga 30% dan mudah rosak jika tidak segera dibawa kekilang untuk diproses dalam tempoh 24-48 jam. Kualiti kanji akan turun akibat proses penapaian (fermentasi) kanji dan ini merugikan petani. Sebaiknya ubikayu dimasak atau diproses dengan segera dikilang dalam tempoh 2-3 hari selepas dicabut. Proses dikilang dimulakan dengan membersih dari kekotoran tanah, membuang kulit, memotong, membasuh, memasak, menapai, mengeringkan dan mengisar sebelum dibungkus. 


Teknologi mekanisasi untuk menuai tanaman ubikayu telah banyak dibuat penyelidikkan oleh ramai saintis semenjak beratus-ratus tahun dahulu tetapi sehingga kini tidak banyak kejayaan yang telah dicapai. Foto sebelah merupakan salah satu Penuai Ubikayu (Cassava Harvester) yang dijumpai didalam website tetapi masih belum banyak digunakan kerana kos yang tinggi, tahap kerosakan pada umbisi ubikayu dan juga hanya sesuai untuk varieti ubikayu tertentu sahaja. Aktiviti membuang batang pokok ubikayu sehingga pangkal perdu masih dijalankan secara manual atau mekanikal terlebih dahulu. Alat ini ditarik dengan traktor 4-roda dan masuk sedalam 2-4 kaki dalam tanah. Rumpun ubikayu akan diterbalikkan dan masuk kedalam alat ini untuk terus masuk didalam bekas penuaian. Bagaimana pun cuba lihat video alat mencuai ubikayu secara moden yang boleh dilihat melalui alamat ini (CASSAVA HARVESTER - Klik disini).  Alat ini mungkin belum banyak digunakan di Malaysia. 


Memang sedap makan ubikayu rebus dengan sambal ikan bilis petang hari di kampong dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Mancabut ubikayu sendiri dan terus merebusnya dengan bubuh sedikit garam sehingga empok menggunakan dapur kayu. Makanan tradisi ini membekalkan banyak tenaga dan memang menyelerakan. Kini banyak hotel-hotel di Kuala Lumpur telah menyediakan menu ubikayu rebus dengan sambal ikan bilis diwaktu pagi. Terdapat juga beberapa restoran yang menyediakan menu ubikayu rebus dan mendapat ramai  pelanggan yang suka akan menu tersebut. Selepas penat mencabut ubi dan kenyang makan bolehlah teruskan aktiviti lain yang sesuai. Pastikan pinggang tidak sakit selepas aktiviti mencabut ubi...gunakan Alat Pencabut Ubi Berantai (APUB) yang mudah dan praktikal! Wassalam.


MENCABUT UBI...MEMANG ADA CARANYA....
BUANG BATANGNYA... CABUT PERDUNYA...
ELAKAN PATAH...UBIKAYU CEPAT ROSAKNYA...
GUNAKAN APUB...MEMANG SENANGNYA...


By,
M Anem
Putrajaya, Malaysia.
(17 RabiulAkhir 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.