Sunday, February 12, 2012

KOPI DI MALAYSIA

KOPI (Coffea spp) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga RUBIACEAE iaitu kumpulan tanaman untuk minuman yang diusahakan dinegara kita semenjak kurun ke 17 yang dibawa masuk oleh penjajah. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Benua Afrika iaitu dikawasan tropika dibenua tersebut yang sesuai juga ditanam dinegara kita. Kegunaan utama pokok kopi adalah untuk mendapatkan biji kopi yang diproses untuk mendapatkan khasiat 'Caffien' yang terdapat pada minuman kopi. Pada masa ini banyak kopi segera yang dipasarkan oleh syarikat-syarikat multinasional dunia seperti 'NESCAFE' yang menguasai sebahagian besar pasaran minuman kopi dunia. Penanaman kopi di Malaysia diberi perhatian semenjak dulu kala sebagai tanaman industri untuk diusahakan oleh pihak estet swasta dan paling ramai oleh pekebun kecil. Keluasan tanaman kopi adalah seluas 9,470 hektar dengan pengeluaran sebanyak 68.184 mt pada tahun 1996 telah menurun kepada seluas 8,557 hektar pada tahun 2005 dan pada tahun 2010 hanya seluas 3,160 hektar sahaja. Artikel petang Ahad ini saya menulis mengenai industri dan teknologi tanaman kopi untuk rujukan dan bacaan pembaca sekelian.


Jumlah keluasan tanaman kopi diseluruh dunia (Green coffee) mengikut FAOSTAT pada tahun 2010 adalah sebanyak 10,139,797 hektar. Keluasan tanaman kopi di Brazil sahaja seluas 2,155,570 hektar. Jadi memang sahlah saya katakan yang pengeluar kopi terbesar didunia adalah Brazil dengan sebanyak 2.44 juta mt pada tahun 2010 diikuti dengan Vietnam (1.057 million mt), Colombia (887,661 mt), Indonesia (791,000 mt) dan yang ke lima adalah negara India (262,300 mt). Negara lain yang tersenarai berikutnya adalah seperti Ethiopia, Peru, Mexico, Guatamala dan ke 10 negara Honduras. 


Kopi Liberica.
Pengeluaran dan penanaman kopi di Malaysia terus menurun saban tahun dimana pada tahun 2010 cuma seluas 3,160 hektar sahaja tanaman kopi yang masih diusahakan dengan pengeluaran sebanyak 20,591 metrik tan yang bernilai RM 12,355,000 sahaja. Kebanyakan kawasan tanaman kopi berada di Negeri Johor, Selangor, Sabah , Pahang dan hanya sedikit dinegeri lain. Kebanyakan tanaman kopi dibawah pokok kelapa dan buah-buahan sebagai tanaman selingan atau tanaman intergrasi. Jenis kopi ada 3 jenis iaitu Cofea arabica, Cofea liberica dan Cofea robusta. Jenis yang paling luas ditanam di Malaysia sekarang khususnya di Johor  adalah  jenis Cofea liberica dan dikawasan utara Semenanjung ada ditanam Cofea robusta. Ramai petani yang telah   menukar tanaman kopi dengan tanaman kelapa sawit di Johor kerana beberapa faktur antaranya Harga Kopi yang tidak menentu, pulangan dari hasil kopi yang kurang memberangsangkan, kerja-kerja mengutip buah kopi yang leceh, aktiviti memproses kopi yang lama dan persaingan dengan tanaman lain.


Pokok kopi adalah sejenis pokok saka yang boleh hidup dengan ekonomik sehingga 25 tahun. Pokok kopi mampu tumbuh sehingga ketinggian 10-15 meter jika tidak dikawal tetapi lazimya akan dibuat cantasan untuk ketinggian 1.6 - 1.7 meter sahaja. Cantasan pokok kopi perlu dijalankan bagi tujuan kutipan hasil agar tidak perlu memanjat pokok (tidak ekonomik). Peringkat pertumbuhan pokok kopi ada dua peringkat iaitu Pertumbuhan Menegak (Ortotropik) dan peringkat pertumbuhan Mendatar (Plagiotropik). Akar pokok kopi dari jenis akar tunjang dan masuk kedalam tanah sehingga 2-4 meter bergantung kepada jenis tanah dan varieti kopi. Daun kopi adalah berpasangan berwarna hijau gelap dan mempunyai 7-9 pasang urat berukuran 15-30 cm panjang dan 5-10 cm lebar. Belum ada kegunaan lain daun dan akar kopi.


Bunga kopi merupakan satu lagi keistimewaan tumbuhan ini kerana berbau wangi, banyak jambak dan sumber nektar untuk jadi madu yang sangat baik. Bunga yang berwarna putih ini akan keluar setahun selpas ditanam tetapi kalau menggunakan anakbenih cantuman dewasa bunga boleh keluar dalam masa 6-9 bulan. Selepas 18 bulan lazimnya bunga keluar pada kadar 50% sementara selepas 30 bulan mampu berbunga 100%. Pendebungaan oleh angin dan serangga termasuk Lebah Keran (Apis cerana).  Debunga kopi boleh terbang sehingga 100 meter tetapi saya dah buat pemerhatian paling efisien jarak debunga dalam 35 meter sahaja. Kajian menunjukkan bunga kopi tidak ada keserasian pada pokok yang sama dan perlu ditanam beberapa jenis klon untuk penghasilan yang lebih baik dan tinggi.


Buah kopi berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna merah, jingga atau warna lain mengikut klon dengan ukuran berbeza-beza. Bagi kopi liberica di Johor saya sering lawat di Muar dan Batu Pahat dimana buah kopi akan masak dalam masa 8-13 bulan selepas pendebungaan. Kopi Robusta pula mengambil masa 9-10 bulan iaitu lebih singkat berbanding kopi liberica. Buah kopi yang masak mempunyai lapisan kulit dan ada lendir yang agak manis (mucus) dan paling penting adalah BIJI KOPI (Cofee beans). Biji ini perlu diproses untuk mendapatkan kopi yang akan digunakan dalam industri berasaskan kopi seperti membuang kulit, penapaian, menjemur, mengoreng, mengisar, menggred dan membuat pembungkusan. Kopi pada masa ini dijual dalam bentuk kopi basah (Kopi segar) dan juga Kopi Kering (telah diproses).


Antara klon kopi yang ada di negara kita adalah Jenis Kopi MKL (Mardi Kopi Liberica) dari jenis MKL 2, MKL 3 dan MKL 5 sementara klon untuk jenis Robusta adalah MKR 2, MKR 3, MKR 4 dan MKR 5. Kebanyakan klon kopi sesuai ditanam dalam banyak jenis tanah termasak tanah gambut, tanah liat dan kawasan tepi pantai dengan pH tanah sekitar pH 4.5 - 6.5. Paling penting adalah sistem saliran yang baik dan boleh dicampur dan hidup dalam kawasan bernaung. Penyediaan benih kopi boleh dibuat dari biji yang matang atau dengan kaedah pembiakan tampang melalui Keratan dan juga Cantuman. Anakbenih pokok cantuman mendapat perhatian ramai petani kerana mempu menghasilkan buah dengan cepat berbanding dengan anak benih dari sumber biji. Jarak penanaman adalah 3 m x 3 m untuk kepadatan sebanyak 1,280 pokok sehektar. Kopi jenis Liberica (Polihybrid) boeh ditanam tanpa naungan tetapi kopi robusta perlukan 50% naungan dengan pokok Gliricidia. 


Pembajaan pokok kopi peringkat awal dengan baja organan dan baja NPK dengan kadar 150 gm/pokok (NPK 18:11:5:2.5) dan kapor GML (100 gm /pokok) pada tahun pertama dan kedua. Pada tahun ketuga baja NPK 17:8:17 diberikan setiaap pokok dengan kadar 350 gm/ pokok meningkat kepada 500 gm/pokok pada tahun berikutnya. Pemangkasan dan cantasan pokok kopi merupakan satu aktiviti penting untuk mempastikan pokok rendah, terbuka dan mudah kerja mengutip hasil. Sistem pangkasan yang betul menjamin pokok kopi mampu memberikan hasil tinggi. Pokok yang tinggi boleh dibentuk melalui lenturan dan sebagainya. Keperluan air tanaman kopi tidak perlukan sistem pangairan tetapi perlu ada sistem saliran sempurna.


Masaalah masaalah perosak kopi pula adalah terdiri dari Karat Daun (Hemileia vastratrix) dimana daun diserang jadi jingga kemudian perang yang boleh dikawal dengan racun berasaskan kuprum. Penyakit Hawar Berbenang (Merasmelius scandens) yang menyerang batang dan daun dikawal dengan racun yang sama. Penyakit Cendawan Angin (Corticum salmonicolor) menyerang dahan dan ranting yang akan kering dan mati jika tidak dikawal. Penyakit Antraknos Buah (Collectotricum spp) meyebabkan kualiti buah rosak. Penyakit Akar ada 2 jenis iaiitu Penyakit Akar Hitam dan Penyakit Akar Putih dan dikawal dengan memotong bahagian diserang dan gunakan racun kulat seperti Triademefon. Serangan Kumbang Pengorek  Buah (Hypothermes hampei) dimana larvanya merosakan buah menjadi hitam dikawal dengan memetik buah masak dan semburan racun serangga seperti chlorpyrifos. Musuh lain adalah seperti Teritip, Musang, Tupai, Monyet, Kumbang Koboi dan juga rama-rama. 


Buah kopi masak sebanyak 2 kali puncak setahun dikawasan Selatan Semenanjung iaitu pada bulan April - Jun dan Sept- Oktober setiap tahun. Pengutipan buah kopi hendaklah dibuat secara manual dengan kutip buah berwarna merah sahaja dan elakan memetik buah yang masih hijau. Sehingga kini saya belum jumpa mesin atau jentera untuk mengutip biji kopi secara serentak dan pandai memilih buah yang cukup masak sahaja - hanya manusia sahaja yang ada. Pastikan tidak ada sisabaki racun ketika menjalankan kerja mengutip hasil dan patuhi arahan semburan racun pada label TDMH (Tempoh dilarang mengutip hasil). Potensi hasil kopi sekitar 8 mt pada tahun ketiga meningkat paling tinggi sebanyak 18 - 20 mt/ha pada umur 5-15 tahun sebelum menurun semula. Kopi yang dituai perlu menjalani proses lepas tuai sehingga sesuai untuk dijual. Industri tanaman kopi di Malaysia saya fikir perlukan inovasi agar lebih ramai petani berminat dengan pulangan yang setimpal berbanding dengan tanaman lain. Negara mengimpot beratus juta ringgit setahun kopi biji, kopi serbuk dan kopi siap  proses dari luar negara. Ayuh...kenali tanaman kopi...dan secawan kopi!


TANAMAN KOPI....MAKIN KURANG AGAKNYA....
DULU 9,800 HEKTAR...KINI 3,160 HA CUMA...
PETANI TAK MINAT...SEDIKIT PULANGANNYA...
RAMAI MENUKAR...KELAPA SAWIT JADINYA...
JUALAN KOPI..TIDAK MENENTU HARGANYA...
KOPI 'NESCAFE'...TETAP TINGGI HARGANYA...
MEMBACA ARTIKEL...BARU DAPAT ILMUNYA...
NAK TANAM...PERLU TAHU STRATEGINYA...


Related article:
1. Mate (Klok disini)
2. Cocoa replanting program (Klik disini)
3. Cola (Klik disini)
4. Teh (Klik disini)
5. Barli (Klik disini)
6. Khasiat Daun Durian Belanda (Klik disini)
7. Vanilla (Klik disini)
8. Stevia (Klik disini)
9. Air Nira (Klik disini)
10. Air Kelapa Muda (Klik disini)


By,
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia
(19 Rabiulawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.