Monday, February 27, 2012

BULOH REBONG

BULOH REBONG merupakan satu hasil daripada tumbuhan Pokok Buloh (Bambosa spp) yang mudah didapati dikawasan lembab di negara kita. Terdapat sebanyak 1,450 spesis buloh tumbuhan buluh yang ujud diseluruh dunia daripada 70 genera kesemuanya didalam keluarga POACEAE. Buloh adalah tumbuhan yang tahan lasak, cepat membiak dan dikategorikan sebagai 'rumpai' dalam sektor pertanian. Batang buloh yang mempuanyai ruas-ruas dan merupakan jenis kayu sederhana keras yang boleh tumbuh tinggi dalam susunan rumpun yang besar. Paling ajaib adalah bagaimana cepatnya pertumbuhan pokok buloh iaitu mampu tumbuh sehingga 100 cm (40 inci) dalam masa 24 jam sahaja dalam keadaan cukup air, sumber nutrien dan cuaca yang baik. Bagi jenis buloh untuk rebung atau perabut yang ditanam, agak perlahan sedikit pertumbuhannya iaitu sekitar 3-10 cm sehari. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai pokok buloh dan juga sedikit maklumat pengalaman seorang petani yang mengusahakan tanaman buloh untuk pengeluaran rebung.


Pembacaan saya mendapati terdapat sebanyak 219 jenis atau spesis buloh yang lazim terdapat di Malaysia dan Indonesia serta kawasan Asia Tenggara yang lain. Senarai teratas dalam sistem pemberian nama jenis buloh adalah Aur Duri (Bambusa spinosa) sehinggalah kepada jenis buloh ke 219 iaitu Tiying Tabah yang tumbuh di Bali, Indonesia (Gigantochloa nigrociliata). Bagi jenis Buloh Besar dari kumpulan Gigantochloa spp. terdapat sebanyak 42 spesis yang tumbuh termasuklah kumpulan BULOH BETONG (Gigantochloa levis). Rebung dari buloh kumpulan ini menjadi kesukaan penduduk kampong kerana saiznya yang agak besar dan rasanya yang sangat lembut dan warnanya yang menarik. Saya semasa kecil dahulu memang selalu dapat makan rebung buloh jenis ini kerana terdapat beberapa rumpun dikawasan kebun dikawasan rumah yang tidak putus-putus menghasilkan rebung terutama dalam musim selepas banyak hujan. Pokok tersebut masih utuh sehingga hari ini walau pun telah beberapa kali dibakar untuk penanaman kelapa sawit.


Taburan pokok buloh di negara kita dari kawasan tanah rendah sehingga kepada ketinggian 1,000 kaki dari paras laut seperti dikiri kanan jalan pergi ke Cameroon Highland dan Bukit Frazer. Memang ramai orang asli yang menjual rebung buloh dikiri kanan jalan ke Pusat Peranginan Cameroon Highland, kalau berminat makan berhenti sahaja dan tanya berapa harganya. Kalau kita hendak menanam pokok buloh maka boleh sahaja ditanam dalam kawasan kebun kita. Hasil buloh adalah untuk tujuan mendapatkan rebung atau lain-lain kegunaan seperti bahan asas untuk mrmbuat perabut, pencucuk lidi sate, jambatan, rakit, kraftangan, lantai atau dinding rumah dan sebagainya. Paling penting perlu dipastikan mesti ada sumber air yang mencukupi. Keperluan air diperingkat awal penanaman buloh adalah kritikal. Sebaik-baiknya pilih kawasan tebing sungai, tanah agak berpaya dan ada jalan ladang sesuai dipilih untuk penanaman buloh rebong. Penanaman buloh boleh menggunakan bahan tanam daripada Biji atau secara pembiakan tampang (vegetatif) dengan percambahan rizom, pemotongan kulum atau pemotongan dahan menggunakan kaedah kultur tisu (tissue culture technique). Anak beni buloh juga ada dijual dinurseri swasta tetapi jangan silap kerana kebanyakan yang dijual adalah untuk tanaman hiasan bukan spesis untuk rebung buloh.


Perusahaan menanam buluh di beberapa negara seperti di China, Taiwan dan Jepun telah mencapai tahap maju dimana mereka menanam secara komersil buloh menggunakan spesis yang produktif, amalan agronomi lengkap dan mampu menghasilkan rebung sehingga boleh ditinkan dan diekspot sebagai komoditi penting.  Walau pun dari segi statistiknya keluasan pokok buloh di negara kita mungkin mencapai ribuan hektar tetapi saya dapati kebanyakannya adalah buloh jenis liar yang belum boleh dikomersilkan untuk pengeluaran rebong buloh. Tanah yang subur, air hujan yang banyak, pengurusan yang mudah serta potensi pasaran mungkin boleh dijadikan asas untuk industri penanaman buloh di Malaysia dimajukan pada masa akan datang. Pakej Amalan Pengurusan tanaman buloh dinegara kita masih ditahap belum lengkap untuk aktiviti penanaman buloh secara komersil seperti dinegara China dan juga Jepun.


Seorang pengusaha En Liew C.Y. yang berasal dari Johor telah mengambil peluang menanam pokok buloh di kawasan tanah seluas 8 hektar di Rembau , Negeri Sembilan setelah mendapat idea daripada lawatan peribadi beliau di Taiwan. Pokok buloh yang ditanam telah berumur 3 tahun kini dijaga dengan baik dan mampu menghasilkan sebanyak 2.5 - 3.5 tan  (2,500 - 3,500 kg) setiap 3 hari penuaian hasil. Ini bermakna dalam sebulan mengeluarkan purata 25-35 mt dan anggaran pendapatan kasar sebanyak RM 25,000 - RM 35,000 sebulan (Harga Ladang RM 1.00/kg bagi rebung belum proses). Pengeluaran rebung buloh ini tidak menentu jumlahnya dan kadang-kadang berkurangan pada waktu tertentu. Pemerhatian mendapati rebong yang telah mencapai ketinggian 50 - 70 cm keatas akan di potong dengan menggunakan parang panjang atau penyodok dari pangkal rumpun dan dikumpulkan. Kekerapan memotong rebung selalu sangat penting bagi menggalakan pengeluaran tunas baru untuk jadi rebung. Jika kurang diambil maka kadar pengeluaran tunas baru juga sedikit. Rebung ini akan dibuang bahagian kulit luarnya yang berwarna coklat hijau dan kadang-kadang gatal jika kena tangan dan perlu pakai sarung tangan. Rebung dikupas sehingga kelihatan warna putih bersih sebelum dijual. Batang buloh yang telah cukup umur juga berharga untuk dipotong dan dijual selepas pokok buloh ditaman melebihi 4 tahun. Harga batang buloh bergantung kepada saiz batang buloh, spesis, lurus atau bengkok, panjang ruas serta lokasi tanaman.


Rebung Buloh yang bersih perlu segera dihantar kepada pembeli untuk mengekalkan kesegarannya. Harga rebung segar bergantung kepada bekalan dan musim dimana jika bekalan kurang maka harga akan naik sedikit. Bagi mereka yang minat dengan 'Rebung Jeruk' perlu meracik rebong segar dan diperam dalam air bersih sehingga menjadi jeruk. Ada yang membubuh garam sebagai bahan pengawet dan ada yang menggunakan bahan lain. Rebung Jeuk walau pun baunya 'agak busuk' mendapat permintaan yang agak tinggi disekitar Negeri Sembilan dan Melaka untuk masak lemak cili padi. Saya tidak suka dengan rebung jeruk dan amat menyukai rebung segar. Semuga industri penanaman buloh untuk pengeluaran rebung akan menjadi satu sumber pendapatan yang baik dimasa akan datang.


REBONG BULOH....DIPOTONG SELALU...
DIBUANG KULIT...WARNA PUTIH GEBU...
MASAK LEMAK CILI API..SODAP TU...
ADA POTENSI DITANAM...UNTUNG TAHU...


By,
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia.
(5 RabiulAkhir 2012)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.