Sunday, January 8, 2012

AIR NIRA

AIR NIRA merupakan air manisan yang diambil daripada pokok famili Arecaceae atau Palmae terutama Pokok Kelapa (Cocos nucifera Linn) atau Pokok Nipah (Nyipa fruticans). Proses menghasilkan nira kelapa dan nira nipah adalah hampir serupa cuma kaedah yang digunakan berbeza kerana nira kelapa di ambil daripada mayang kelapa di bahagian atas pokok sementara nira nipah dari tangkai buah yang keluar dari perdu pokok nipah. Air nira dikutip untuk diminum segar atau pun boleh di proses untuk dibuat Air Tuak  (memabukkan jika sampai tahap banyak diminum), di buat Gula Melaka dan produk proses lain yang sesuai. Kawasan penanaman kelapa memang digalakkan menjalankan aktiviti membuat air kelapa dan industri gula melaka atau gula kabong untuk meningkatkan pendapatan penanaman kelapa selain daripada penghasilan kelapa segar. Di Malaysia dianggarkan seramai 150 - 250 orang usahawan terlibat dengan aktiviti pengeluaran air nira dengan anggaran pengeluaran sekitar 30,000 - 50,000 liter setahun. Petang ini saya menulis mengenai teknologi penghasilan air nira untuk bacaan semua.


Proses memungut air nira kelapa bermula dengan memilih mayang kelapa yang sesuai dan memotong secara serong dengan pisau peyadap. Bekas seperti botol minuman atau kontena plastik diikat dihujong mayang dipotong untuk mengutip air manisan nira yang mengalir keluar. Lazimnya bagi pokok kelapa yang sihat di sekitar Muar, Batu Pahat dan Melaka akan menghasilkan air nira yang akan dikutip setiap pagi dan lewat petang. Air nira ini dikumpulkan dalam satu bekas tong selepas ditapis untuk membuang segala kekotoran yang ada seperti semut, lebah, saampah dan habuk lain beberapa kali. Air nira ini tidak boleh dibiarkan lama diatas pokok kerana akan melimpah keluar apabila penoh dan akan berlaku penapaian (fermentation) serta menjadi masam (Tuak). Bagi memproses air nira kelapa ini kepada produk gula melaka perlu dimasukan dalam kuali besar diatas sabak dimasak sehingga pekat dan dicetak menjadi gula melaka (Klik disini - artikel Gula Melaka).


Proses memungut air nira nipah agak berbeza dengan cara kutip air nira kelapa. Pokok nipah jenis Nipah Tembaga paling sesuai dipilih dimana tangkai buah yang melentur kebawah sesuai digunakan. Elakkan dari memilih tangkai bunga atau buah nipah yang tumbuh menegak keatas. Buang dahan atau kulit tangkai lain agar bersih dan boleh dimulakan proses lenturan (Lihat foto sebelah). Lenturan dimulakan dari bahan tengah kemudian kebawah dan keatas semala dua minggu sehingga tangkai lenturan jatuh kebawah. Ada yang memukul tangkai nipah untuk menyediakan urat-urat nipah dapat mengalirkan airnya. Proses membentuk tanglai nipah dibuat 2-3 minggu sehingga sesuai di urut 3-4 kali sebelum di potong setiap 3 hari dan pasangkan Tukay (bekas mengutip air nira) atau tadahan dengan bekas plastik. Ikat dengan kuat bekas tadi dan  kutip mengikut jadual untuk terus digukanan atau diproses.


Nira kelapa dan nira nipah agak berbeza dari segi aroma, kemanisan dan juga rasanya.  Walau pun kedua-duanya boleh diminum segar terus dari pohon kelapa atau nipah dikebun tetapi ianya perlu ditapis dahulu. Air nira mengandungi bahan manisan iaitu SUKROS yang enak diminum terutama jika dicampur dengan air batu. Air Nira merupakan minuman kegemaran di Terengganu dan Kelantan terutama pada jika diminum pada musim bulan Ramadan yang cepat membekalkan tenaga kepada mereka yang berpuasa. Selain itu ada nnira nipah yang diproses untuk dijadikan cuka nipah atau dipanggil juga sebagai 'Cuka Padi'. Cara memproses cuka nipah dengan diperam selama 44 hari dengan kaedah khusus sehingga tidak rosak. Kontaminasi semasa membuat cuka nipah akan menyebabkan cuka tersebut pahit (jika ada air hujan masuk dsb).


Dari segi kesihatan ramai percaya yang air nira nipah atau air nira kelapa dapat menurunkan suhu badan yang panas, mencuci buah pinggang dan juga menyembuhkan mereka yang mempunyai masaalah Gastrik dalam perut. Ada yang mendakwa cuka air nira nipah juga membantu dalam memecahkan batu karang pasir dengan meminumnya sebanyak 1 camca sehari selama satu minggu. Air nira segar yang dijual secara tradisional ditawarkan dengan harga RM 2.00 - RM 3.00 satu bekas plastik atau satu botol kecil (sekitar 180 - 250 ml). Walau pun perusahaan nira kelapa dan nira nipah telah mula di komersilkan di Terengganu dan Kelantan tetapi saiz pasaran dan bekalan adalah masih terhad. Di Sarawak pula banyak nira kelapa yang di proses untuk dijadikan tuak.


Industri mendapatkan air nira merupakan satu industri yang semakin kurang diminati disebabkan oleh kerjanya yang agak rumit, gangguan cuaca (hujan menyukarkan kerja memanjat pokok kelapa dan menjatuhkan kualiti air nira dikutip) serta permintaan air nira yang terhad pasarannya. Mereka perlu komited memungut air nira mengikut masa ditetapkan dan tidak boleh dibiarkan lama. Mungkin satu skim galakan memungut air nira kelapa atau air nira nipah perlu diujudkan bagi menyediakan pokok kelapa atau kawasan pokok nipah serta subsidi peralatan bagi mengutip dan memproses air nira. Promosi minuman serta khasiat dan penggunaan air nira mampu meningkatkan permintaan. Diharap aitikel ini menambahkan sedikit ilmu kepada pembaca semua! Wassalam . . .


AIR NIRA..MEMANG MANIS SEKALI....
POKOK KELAPA...DIPANJAT TINGGI...
NIRA NIPAH...BOLEH DIBUAT CUKA PADI....
MINUM SEDIKIT...TIDAK MABUK LAGI.....


By,
M Anem
Sg. Rambai, Merlimau,
Melaka, Malaysia.
(13 Safar 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.