Tuesday, December 27, 2011

PUCUK DAUN UBI KAYU

PUCUK DAUN UBI (Manihot esculenta) merupakan sejenis sayuran daun yang dipetik dari pokok ubi yang menjadi makanan masyarakat Melayu di Malaysia. Pokok ubi yang ditanam lazimnya untuk mendapatkan hasil umbisinya iaitu Ubi Kayu yang boleh dituai seawal 9-10 bulan selepas ditanam. Terdapat seluas 2,450 hektar tanaman ubi kayu di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran hasil melebihi 41,500 metrik tan dimana kebanyakan di tanam di Negeri Johor (83% kawasan penanaman ubi kayu di Malaysia) , diikuti dengan Negeri Selangor dan Perak. Kebanyakan ubi kayu yang ditanam adalah untuk penghasilan ubi bagi kegunaan projek Industri Asas Tani seperti membuat Kerepek Ubi serta untuk kilang memproses ubi bagi pengeluaran tepong ubi, ubat gigi dan sebagainya. Pucuk Daun Ubi merupakan hasil sampingan yang digunakan oleh masyarakat tempatan bagi kegunaan sayur-sayuran dan menu lain yang sesuai. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pucuk daun ubi kayu untuk kita dapat menambahkan ilmu pembaca semua.


Pokok ubi kayu ditanam menggunakan keratan batang dengan jarak tanaman 1m x 1m sama ada diatas tanah gambut (Khususnya di Johor dan Selangor) atau di atas tanah mineral. Walau pun jenis ubi yang ditanam kebanyakannya dari jenis 'White Twig', 'Yellow Twig' atau 'Black Twig' , beberapa varieti baru seperti Jenis Sri Pontian dan Medan tetapi untuk penggunaan  pucuk daun ubi yang terbaik adalah dari Jenis UBI PULUT. Daun Ubi lain boleh dimakan tetapi saya dah pasti ubi pulut merupakan paling sesuai untuk dijadikan sayuran. Pokok Ubi Pulut mempunyai daun berwarna hijau sederhana dengan helai daun yang panjang (4-7 cm panjang dan 2-4 cm lebar). Pokok ubi pulut mudah ditanam dengan menggunakan keratan batang yang dicacak diatas tanah keliling rumah atau pun dalam bekas seperti pasu besar, tin minyak tanah dan sebagainya. 


Memetik daun ubi sangat mudah iaitu dengan mematahkan pangkal batang pucuk daun ubi lingkungan 20 -40 cm panjang bergantung kepada varieti dan cuaca. Pada musim hujan lazimnya pucuk daun ubi lebih banyak dan panjang berbanding dengan musim panas kering. Pucuk daun ubi segar ini perlu di ambil helaian daun dengan cara memisahkannya menggunakan tangan. Daun ubi didakwa mengandungi bahan 'cyanide' yang sedikit dan juga getah yang menyebabkan rasa pahit. Daun ubi perlu direbus dahulu sebelum dimakan dengan memasukkannya kedalam periok yang mengandungi air panas yang mendidih. Petua orang tua masukan setengah susu minyak masak kedalam rebusan air panas untuk melembutkan lagi daun ubi.  Rebus selama 20-30 minit sehingga daun ubi menjadi lembut dan tidak keras atau liat lagi. Toskan air dan keluarkan air dengan memerah atau gengam perah dengan kuat sehingga tiada air rebusan daun ubi didalamnya.


Daun ubi rebus sedap dimakan dengan cecah sambal tumis atau sambal ikan bilis dimakan dengan nasi panas atau ikan goreng atau ikan masin (Lihat foto sebelah). Masakan lain dari daun ubi yang popular adalah masak lemak cili api daun ubi sama ada masak lemah putih atau masak lemak kuning (Bubuh Kunyit Sahaja). Menu masak lemak daun ubi cili api ini banyak dijual di restoran-restoran masakan kampong di eluruh Malaysia terutama untuk hidangan makan tengahari. Dalam masyarakat Jawa di Johor masak lemak daun ubi ini selalunya dicampur dengan Tempe (lebih enak kalau tempe tersebut dah hampir nak busuk). Kebanyakan penduduk kampong masak pucuk ubi sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan. Punca daun ubi yang ditanam disekeliling rumah memudahkan menyediakan menu ini.


PECAL atau Pecel merupakan sejenis makanan yang popular dalam masyarakat Jawa di Malaysia dan juga di Indonesia (Lihat foto). Komponen yang wajib dalam pecel adalah daun ubi dan dicampur dengan daun lain seperti daun keledek, kacang panjang, taugeh, betik muda direbus, sengkuang, hirisan timun dan tahu dan tempe. Kuah yang dibuat dari sos cili api dengan kacang tanah putih dan cekur (kencur) ditumbuk lumat dan dicairkan dengan air suam. Pecel dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan nasi. Di Pasar Malam Kg Labohan Dagang, Banting, Selangor ada Wak yang jual pecel setiap minggu dengan harga RM 2.00 satu bekas. Kalau kempunan nak makan pecel dan tak sempat buat sendiri beli sahaja dengan wak tersebut.


Urap Daun Ubi merupakan produk popular dari daun ubi. Daun ubi yang telah direbus di gaulkan dengan ramuan cili padi, bawang merah dan garam serta gula yang dilumatkan. Masukkan taugeh dan kelapa parut yang telah digaul dengan ramuan tadi. Urap sedap dimakan pada waktu tengahari atau waktu makan malam. Dalam maljis 'cukur jambul' atau dalam bahasa Jawa 'Puputan' menu urap daun ubi merupakan hidangan wajib di sediakan untuk jamuan dikalangan masyarakat Jawa di Muar , Johot. Kadang-kadang urap di tambah dengan hirisan daun cekur untuk menambah kelazatannya. 


Khasiat daun ubi yang dimakan banyak berkait dengan kesihatan manusia. Pertama sekali ialah daun ubi pastinya mengenyangkan kita setelah makan dengan nasi atau makan pecel. Orang dulu percaya makan daun ubi dapat hilangkan pening atau sakit kepala selain daripada menjadi penghalang kepada masaalah tumor atau kanser. Daun ubi banyak mengandungi Vitamin A, B17 dan C serta bahan mineral seperti Kalsium, Posforan, Zat Besi dan serat. Protin dan Karbohiderat serta tenaga yang ujud dalam daun ubi akan menyihatkan kita. Penyakit cirit birit juga boleh disembuhkan dengan minum air rebusan daun ubi dengan masukan 900 cc air dan daun ubi sehingga tinggal 450 cc air sahaja untuk diminum.  Makanlah daun ubi kayu untuk menyihatkan tubuh badan dan kurangkan risiko penyakit.


PUCUK DAUN UBI...MEMANG SANGAT BERGUNA...
DI BUAT PECEL...URAP PUN SEDAP JUGA...
MUDAH DIDAPATI..TAK PERLU TANYA HARGA...
TANAM SENDIRI...DAPAT BEKALAN SENTIASA...


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(27 Julai 2011)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.