Wednesday, December 7, 2011

DAUN PISANG

DAUN PISANG adalah daun pelbagai guna dari tumbuhan pokok Pisang (Musa spp) dari keluarga Musaceae yang sangat berguna dalam kehidupan masyarakat kita di Malaysia. Daun pisang mengandungi unsur POLYPHENOLS termasuk unsur Polyphenol oksidase yang sama dengan fungsi sebagai daun teh dan mampu mengelakkan serangan penyakit Parkinson. Ramai masyarakat terutama di kawasan tropika yang mempunyai tumbuhan pokok pisang mengenali akan pokok dan daun pisang dalam kehidupan harian terutama berkaitan dengan penyediaan makanan. Pokok pisang yang subur menghasilkan daun pisang yang lebar dan sihat sesuai untuk kegunaan dalam penyediaan makanan tradisional Melayu, India, Thailand dan juga popular di Indonesia serta negara-negara jiran lain. Penggunaan daun pisang dahulu hanya oleh masyarakat kampong tempatan diluar bandar sahaja tetapi kini telah di komersilkan dan ada dijual dipasar-pasar untuk kegunaan direstoran-restoran terkemuka di bandaraya besar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan lain-lain lagi. Artikel kali ini saya menulis mengenai daun pisang dan maklumat berkaitan dengannya untuk bacaan umum.


Daun Pisang dihasilkan oleh pokok pisang yang ditanam atau tumbuh secara semulajadi dikawasan kampong dan kebun pisang. Pemerhatian penulis menunjukkan tidak semua jenis daun pisang sesuai untuk digunakan sebagai bahan pembungkus makanan atau lain-lain kegunaan. Antara beberapa jenis daun pisang yang sering digunakan adalah dari spesis Daun Pisang Nipah, Daun Pisang Berangan, Daun Pisang Mas, Daun Pisang Nangka, Daun Pisang Rastali dan beberapa jenis lagi. Daun Pisang Tanduk, Pisang Lang dan Pisang Awak jarang digunakan kerana bilangannya yang sedikit dan kualiti yang kurang sesuai. Daun Pisang dari pokok pisang untuk tanaman hiasan (Ornamental banana leaves) juga jarang digunakan untuk pembungkus bahan makanan.


Pokok Pisang yang telah berumur lebih satu tahun akan menghasilkan pelepah daun pisang yang sesuai untuk dipotong. Pemilihan pelepah pisang yang sesuai bercirikan daun yang lebar, warna hijau sederhana, tidak pecah dan bukan dari pelepah yang terlalu muda atau terlalu tua. Potong satu atau dua pelepah dari beberapa pelepah daun pisang menggunakan pisau tajam. Daun pelepah akan jatuh kebawah dan sebaiknya elakkan dari jatuh diatas tanah untuk elakkan kekotoran. Kumpulkan pelepah daun pisang mengikut saiz dan kemudian di potong helaian daun pisang dikiri dan kanan empulur pelepah dengan pisau tajam. Ketika memotong pastikan helaian daun pisang tidak terputus atau terkoyak kerana ini akan menurunkan  kualiti daun pisang. Lipat atau gulong daun pisang mengikut gred dan saiz lebar dan kemudian diikat.


Ketika memotong pelepah daun pisang elakkan dari terlalu banyak kerana ini akan menjejaskan pertumbuhan pokok pisang. Pokok pisang yang terdedah dengan angin akan menyebabkan daun pisang pecah-pecah dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai pembalut makanan. Pilih daun yang tidak pecah (Lihat foto sebelah) dengan kelembutan yang seserhana. Daun terlalu muda agak nipis dan mudah koyak apabila digunakan sebagai pebungkus. Daun yang terlalu tua pula agak keras dan perlu di panaskan diatas haba (Layur dahulu) dan juga mudah koyak jika ianya dilipat-lipat sebagai pembungkus. Daun pisang yang di gulong dengan elok tahan sehingga 3 hari pada keadaan biasa dan jika disimpan dalam peti sejuk tahan sehingga 10 hari.


Daun pisang banyak kegunaanya dalam masyarakat kita terutama untuk menjadi Pembungkus atau Alas Nasi Lemak. Nasi lemak dengan sambal tumis, goreng ikan bilis, kacang tanah, timun dan lauk pauk lain ketika dibungkus dengan daun pisang menghasilkan aroma atau bau yang cukup harum. Jika dibungkus ketika nasi masih panas akan menambahkan lagi harum baunya. Daun pisang juga dapat melambatkan nasi lemak dari cepat basi berbanding jika dibungkus tanpa daun pisang. Pengalaman saya mendapati nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang melambatkan proses untuk basi sehingga 25-30%. Ianya adalah satu kebaikan dari kegunaan daun pisang yang perlu kajian saintifik. Pastikan daun pisang tadi dibersihkan dahulu dengan mengelap bahagian atas dan bawah dan sebaiknya diletak diatas api untuk melembutkannya. Restoran India Nasi Daun Pisang merupakan satu restoran yang menghidangkan nasi dilapik dengan daun pisang.


Ikan Bakar merupakan makanan makanan lazat yang kini menjadi kegemaran masyarakat kita di Malaysia. Medan Ikan Bakar di Umbai Melaka, Sabak Awor di Muar dan sekitar Kuala Lumpur malanan kini diseluruh negara menggunakan daun pisang sebagai alas dan pembalut ikan bakar (Lihat foto sebelah). Ikan Pari, Ikan Cencaru, Ikan Kembong dan sebagainya kini popular juga di jual di pasar Ramadan setiap tahun sebagai satu hidangan istimewa. Ikan Bakar yang di tuang sambal dan kemudian dibalut dengan daun pisang dan dibakar memang sedap dimakan semasa panas-panas lagi bersama-sama nasi lemak. 


Pelbagai jenis kueh mueh menggunakan daun pisang sebagai pembalut. Kueh Koci, Pulut Lepa, Kueh Takung, Tapai Ubi, Tepung Bungkus dan sebagainya menggunakan daun pisang. Daun pisang juga digunakan sebagai bahan hiasan untuk menghidangkan makanan seperti untuk Nasi Ambeng, Kuih Mueh di Hotel-hotel dan juga alas untuk hidangan pencuci mulut. Kegunaan daun pisang sebagai hiasan pintu masuk di majlis keagamaan India juga amat signifikan di Malaysia. Lazimya pokok dan daun pisang sebanyak 2 batang akan diletak dkiri dan kanan pintu rumah semasa majlis tersebut.  Harga daun pisang dipasar tempatan sekitar RM 3.00 - RM 5.00 satu ikat bergantung kepada saiz ikatan dan punca bekalan. Diharap tradisi penggunaan daun pisang akan terus penting pada masa akan datang dengan pelbagai tujuan.


DAUN PISANG...BANYAK KEGUNAANNYA...
BERBAU HARUM...NASI LEMAK DIDALAMNYA...
PEMBALUT IKAN BAKAR...BERTAMBAH LAZATNYA...
HARGA MURAH....MUDAH MENDAPATKANNYA...


Related Articles:
1. Banana (Klik disini)
2. Daun Kadok (Klik disini)
3. Daun Salam (Klik disini)
4. Pisang Tanduk (Klik disini)
5. Kultivar Pisang di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Romm 719, Tandek Hotel,
Alor Setar, Kedah
(8 Muharram 1433)         

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.