Sunday, November 13, 2011

RUMPUT JARUM MAS

RUMPUT JARUM MAS (Striga asiatica) adalah sejenis rumput yang terdapat di negara kita Malaysia dari keluarga Scrophulariaceae yang mempunyai nilai perubatan untuk kesihatan manusia. Rumput ini juga di panggil sebagai 'Asiatic Witchweed' atau Jarum Mas (Golden needle) yang tumbuh di seluruh dunia. Rumput jenis ini mudah didapati di Semenanjung Arab, Benua Afrika, Malaysia, Indonesia, Burma, China, New Guinea dan telah dibawa masuk ke Australia dan USA. Tabiat semulajadi rumput iai adalah merupakan parasit kepada tumbuhan rumpai yang lain dan ianya hidup dicelah-celah rumpai lain di bahagian akarnya. Di Malaysia kita perlu kenal akan Rumput Jarum Mas ini yang tumbuh di kawasan padang, kawasan lapang dikeliling rumah dan juga ditepi-tepi jalanraya (Road Side tables). Satu masa dulu rumput Jarum Mas telah menjadi 'havoc' di Malaysia apabia ianya telah di ketahui umum akibat pendedahan oleh media cetak dan media eletronik. Artikel pagi Ahad ini saya menulis Rumput Jarum Mas untuk dikongsi bersama pembaca berdasarkan pengalaman peribadi, bacaan dan perbincangan dengan pensyarah rumpai di universiti berdekatan.


Rumput Jarum Mas adalah sejenis rumpai yang tumbuh bersama dikawasan rumpai lain dengan ketinggian sekitar 15 - 30 cm dan mampu mencapai ketinggian 60 cm. Daunya berwarna hijau dengan susunan bertentangan berbentuk 'Lanceolate' berukuran 3 cm panjang yang berpasangan. Akarnya agak keras berbentuk selinder yang masuk dan melekat pada akar rumpai lain disekelilingnya.   Bunga rumput jarum mas mudah dikenali dengan ukuran panjang tangkai bunga 1.5 cm dan kelopak yang berwarna Merah, Ungu atau Kuning Terang. Buah rumpai ini berada dalam pot membengkak (swollen seed pod) yang mengandungi beribu-ribu biji benih yang sangat halus (microscopic seeds). Kaedah pembiakan benih rumut Jarum Mas dan cara penyebaran oleh angin, manusia dan aliran air.

Kutipan rumput Jarum Mas perlu dijalankan dengan teliti dan kita mesti kenal akan 'benda' ini dahulu. Di kawasan lapang yang cukup cahaya matahari dan banyak rumpai seperti di kawasan padang bola, keliling rumah dan tepi jalan raya perhatikan dahulu rumput ini terutamanya dari bentuk bunga dan batang serta daunnya. Pengalaman saya mendapati jika diteliti rumput ini akan tumbuh berdekatan antara satu dengan lain dengan bilangan yang banyak dan teruskan bergerak untuk mencarinya. Apabila sudah pasti cabut rumput ini dengan tangan cerara hati--hati untuk mengelakkan akarnya terputus. Kita perlukan keseluruhan bahagian rumpai dari pucuk, batang dan bahagian akarnya. Ikat dan kumpulkan setelah dibersihkan dari tanah yang melekat pada akarnya. Rumpai ini boleh dijemur beberapa lama sehingga kering sebelum disimpan ditempat sesuai.

Kajian yang saya buat dengan menemubual beberapa orang tua di kampong menyatakan Jarum Mas yang mempunyai bunga berwarna Kuning atau dipanggil JARUM MAS KUNING adalah jenis yang paling baik untuk dijadikan ubatan herba. Ini kerana jenis ini didakwa mengandungi khasiat paling mujarab. Mereka mendakwa kucing sangat suka makan rumput jarum mas dan ini menjadikan ianya dipercayai mempunyai kesan yang sama terhadap manusia. Katanya ibu selepas bersalin digalakan meminum air rebusan rumput jarummas yang telah dikeringkan sebagai amalan untuk mengecutkan rahim.  Khasiat lain yang didakwa mengenai Jarum Mas ialah kemampuannya dalam mengubati sakit buah pinggang, tegang urat, melancarkan proses berkaitan pembiakan manusia dan menambahkan tenaga batin. Bagaimana pun belum ada kajian klinikal yang dijalankan secara saintifik di laporkan dengan lengkap.


Biji Jarum mas yang halus.
Cara menggunakan jarum mas adalah dengan mengambil 4-5 rumpun jarum mas (sama ada yang segar atau telah kering) dan direbus selama 15-20 minit dengan 1.5 liter air dan di minum apabila telah disejukkan atau ketika masih suam. Amalkan meminum sebanyak 2 gelas sehari. Saya memang telah mengamalkannya beberapa tahun dahulu dan memang terasa yang kita amat bertenaga dengan meminum air rebusan jarum mas. Beberapa bulan kemudian saya mendapat maklumat dari rakan saya di universiti yang jarum mas mengandungi kamponen seperti STEROID yang memang mampu menambahkan tenaga. Dia menasihatkan supaya berhenti menggunakan jarum mas kerana steroid itu belum pasti baik atau negatif dalam jangkamasa panjang kelak. Kajian lanjut secara klinikal dan saintifik perlu dibuat untuk tujuan tersebut.


Sehingga kini belum ada teknologi untuk menanam rumput jarum mas secara komersil dikeluarkan oleh mana-mana organisasi. Ini agak sukar dikaji kerana sifat semulajadi jarum mas yang parasit kepada rumpai lain. Rumput ini tidak mudah tumbuh dengan bersendirian jika disemai diatas tanah. Akarnya yang menumpang pada akar rumpai lain merupakan satu masaalah tetepi mungkin penanaman diatas media 'cocopeat' atau dengan media 'peatmoss' boleh dicuba. Dari segi pertanian kehadiran rumpai ini adalah musuh kepada tanaman kita kerana berebut unsur makanan, cahaya matahari, air dan kadang-kadang merupakan perumah (host) kepada serangga perosak, bakteria dan kulat. Diharap artikel ini memberikan maklumat berguna kepada anda semua. Wasallam...


Related articles:
1. Peria Katak (Klik disini)
2. Rumput Israel (Klik disini)
3. Rumput Kerbau (Klik disini)
4. Senduduk (Klik disini)
5. Sendayan (Klik disini)
6. Lalang (Klik disini)
7. Selaput Tunggul (Klik disini)
8. Aloe Vera (Klik disini)
9. Dokong Anak (Klik disini)
10.Maman (Klik disini)
11.Petai Belalang (Klik disini)
12.Rumpai didusun (Klik disini)


By,
M Anem
Puchong Perdana, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(17 Zulhijjah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.