Monday, October 17, 2011

OAT

OAT (Avena sativa) merupakan sejenis tanaman bijirin dari keluarga POACEAE atau kumpulan Graminae iaitu sama seperti kebanyakan jenis bijirin yang lain. Tumbuhan oat dipercayai berasal dari kawasan Asia yang ditanam semenjak 2,000 tahun dahulu tetapi kini tanaman oat telah dibiakbaka dan dimajukan dimana kebanyakannya ditanam dikawasan 'temperate' atau yang beriklim sejuk. Oat merupakan bijirin yang digunakan untuk makanan manusia sebagai ‘OATMEAL’ iaitu sebagai sumber serat, protin serta karbohiderat selain daripada untuk makanan haiwan seperti kuda dan lembu (20% penggunaan oat dunia) dan juga ternakan lain. Saya telah makan oat sejak beberapa tahun dahulu setiap pagi untuk mendapatkan khasiatnya yang baik untuk kesihatan manusia. Harganya yang berpatutan iaitu sebanyak RM 9.00 satu pek cukup untuk digunakan selama 2 bulan. Artikel malam ini saya menulis maklumat teknologi mengenai oat untuk pembacaan semua.


OAT merupakan produk bijirin yang ke 5 atau ke 6 terpenting didunia terutama dikawasan negara yang beriklim sejuk. Laporan daripada FAO menunjukkan anggaran pengeluaran tahunan oat dunia adalah sebanyak 25 – 35 juta metrik tan setahun. Negara pengeluar utama hasil oat didunia adalah Negara EU (European Union) iaitu sebanyak 9 juta mt/tahun diikuti dengan Russia sebanyak 5.5 juta metric tan/tahun , Kanada (3.7 mt/tahun) dan USA (1.7 mt/ tahun). Negara utama lain yang menghasilkan oat adalah seperti Poland, Finland, Australia, German, Belarus, China dan Ukraine yang purata pengeluaran setiap negara sekitar 1 juta mt/tahun. Malaysia pula merupakan ‘pengimpot bersih’ hasil produk oat terutama kategori ‘raw oat’, ‘oatmeal’ dan berbagai jenis lagi. Jenama ‘Quaker Oat’ merupakan satu produk oat berkualiti yang dipasarkan diseluroh dunia dengan jenama yang memang terkenal semenjak berates tahun dulu.

Tanaman Oat sesuai tumbuh dikawasan yang sejuk dengan kawasan beriklim 'temperate' iaitu mempunyai hujan mencukupi dimusim panas dan suhu sejuk. Kawasan Eropah (Northwest Europe) merupakan kawasan paling sesuai untuk penanaman oat iaitu di kebanyakan negara EU (European Union). Oat adalah pokok jenis annual dimana di tanam pada hujung musim luruh atau awal musim panas dan akan dituai pada hujung musim panas. Satu lagi pusingan penanaman dibuat pada musim bunga dan dituai pada musim luruh. Benih akan ditabur pada musim panas selepas membajak tanah. Benih oat dilaporkan agak dormat (lambat tumbuh) dalam musim panas dan perlukan cuaca sejuk bagi mempercepatkan percambahan. Benih sebanyak 125-175 kg/ha ditabur menggunakan jentera penyebar benih. Kadar benih berlebihan akan menyebabkan pokok terlalu padat mengakibatkan pokok banyak rebah dan hasil bekurangan.

Pembajaan diberikan dengan baja NPK pada kadar N sebanyak 50-100 kg/ha, Baja P sebanyak 30-40 kg/ha dan baja K sebanyak 15-30 kg/ha. Oat merupakan sejenis tumbuhan yang mengambil unsur N yang banyak daripada tanah. Kadar pembajaan N menentukan keinggian pokok, bilangan saiz rumpun dan pengeluaran hasil dengan ketara seperti tanaman bijirin yang lain. Tumbuhan ota adalah cergas dan masaalah dengan rumpai lazimnya jenis rumput berdaun lebar akan dikawal dengan racun rumpai seperti 2,4D dan jenis lain yang sesuai dengannya. Tanaman oat akan dituan 50 -60 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti, musim penanaman dan juga cara pengurusan. Terdapat jenis oat yang dituai dalam masa 60-75 hari selepas menanam.

Terdapat banyak varieti oat yang ditanam diseluroh dunia. Varieti yang ditanam bergantung kepada tujuan penanaman sama ada untuk dijadikan oat bijirin, bahan rumpai untuk ragutan ternakan atau pun untuk penghasilan hay dan sebagainya. Antara Varieti oat untuk bijirin seperti Echidna, Mitika, Pusum, Pottoro dan Quoall dari jenis sederhana renek. Jenis tinggi pula seperti Varieti Euro, Motlock dan Yallara. Jenis untuk ragutan ternakan pula seperti varieti Mulgara, kanggoro, Muilder dan sebgainya. Kajian pembiakbakaan tanaman oat dijalankan oleh banyak stesyen penyelidikan semenjak beratus tahun dahulu. Program pembiakbakaan tanaman oat menjurus kepada varieti yang tahan penyakit, tidak rebah, jangkamasa menuai yang singkat dan dapat menghasilkan berat kering banyak untuk kegunaan ternakan haiwan.

Produk dari bijirin oat sering dihubungkait dengan makanan kesihatan kerana mengandungi bahan yang menyerap Kolesterol LDL (Bad cholesterol) dalam badan manusia. Oat dikaji secara klinikal dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. kandungan serat (fiber) dalam oat menyebabkan ianya sangat baik untuk sistem penghadaman dan juga menyerap kolesterol dalam badan.  Kandungan bahan polysacharides seperti Beta D-Glucans dalam oat dan dengan pengambilan sebanyak 3.0 gram sehari membantu mengurangkan kemungkinan serangan sakit jantung. Oat diambil dalam bentuk Serbuk Oat, Serat Oat atau Oatmeal yang boleh dimakan terus atau dicampur dengan perasa lain.  Oat juga kaya dengan zat protin seperti kandungan jenis Globolin dan Avenalin yang ujud dalam bentuk mudah larut dalam tubuh manusia. Kini produk oat menjadi satu makanan kesihatan diseluruh pelosok dunia dengan kajian yang telah lama dijalankan dan pasaran yang sangat luas.

Malaysia akan terus mengimpot bijirin oat daripada negara pengeluar seperti EU, USA, Rusia dan Australia serta China kerana permintaan yang terus tinggi dan memang tidak sesuai ditanam dinegara kita. Oat sesuai dimakan dengan susu sewaktu sarapan pagi, dibuat bubur atau paling enak dibuat sebagai Biskut Oat (Foto sebelah) yang banyak dijual dipasaraya. kaedah mengenai cara memakan dan memasak oat sering dilakukan untuk memberikan promosi oleh syarkat pengeluar produk oat.

BIJIRIN OAT....MENJAGA KESIHATAN...
DIMAKAN SELALU...SAKIT JANTUNG DIELAKAN...
PENGELUAR UTAMA...EU DAN RAKAN-RAKAN...
KITA MENGIMPOT...JUMLAHNYA BERTAN-TAN...

Related articles:
1. Millet (Klik disini)
2. Gandum (Klik disini)
3. Padi Varieti MR220 (klik disini)
4. Jagung (Klik disini)
5. Kacang Soya Hijau (Klik disini)

By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(17 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.