Monday, October 31, 2011

MIDIN

MIDIN  (Stenochlaena palustris) atau Pucuk Paku (Jungle fern shoot) merupakan sejenis sayuran dari kumpulan PTERIDOPHYTE yang sangat popular di Malaysia khususnya di Negeri Sarawak sebagai satu hidangan istimewa oleh penduduk tempatan dan pelancong asing. Kumpulan tumbuhan paku pakis atau 'fern' ini mempunyai lebih dari 12,000 spesis dari pelbagai bentuk, saiz dan warna dan habitat berlainan. Habitat semulajadi tumbuhan ini adalah kawasan yang lembab dan tanah gambut dalam yang  mempunyai bahan organik yang tinggi dan juga boleh tumbuh dengan sedikit naungan. Pokok Paku Pakis atau Pokok Midin yang tumbuh secara semulajadi di Sarawak, Johor, Selangor dan banyak kawasan rendah di Indonesia dimana kebanyakan diatas tanah jenis gambut (peat soil) yang lembab. Saya berpengalaman makan dan masak midin semasa bertugas di Sarawak dari tahun 1996 - 1998 dan amat menggemari makan sayur goreng midin sehingga kini. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu teknologi tumbuhan midin atau paku pakis berdasarkan pengalaman, pembacaan dan juga pemerhatian mengenai tumbuhan diberi nama 'midin'.


Pokok paku pakis adalah tumbuhan semulajadi dikawasan lembab di sekitar tanah gambut di Sarawak yang terdapat dimerata kawasan. Tumbuhan ini akan menghasilkan pucuk baru dari pangkal rumpun pokok setiap masa dan sangat aktif pada musim hujan dan banyak panas. Pucuk paku pakis ini berwarna hijau dan mempunyai 2-6 helai daun pucuk yang baru bertunas dan bergulong dihujungnya. Penghasilan pucuk midin agak berkurangan pada musim panas dan kemarau. Pucuk midin dikutip menggunakan tangan atau pisau tajam dengan memotong pucuk paku pakis sepanjang 3-5 inci bergantung kepada keadaan pucuk. Pucuk midin yang lembut sekitar 2-3 inci dibahagian atas. Kumpulkan pucuk midin dan diikat menggunakan getah setiap satu genggam dan potong pangkal batang dengan pisau tajam agar rata. Daun pisang atau sebarang daun sesuai atau kertas boleh dijadikan pembalut bagi setiap ikatan.


Midin satu ikat dijual di pasar basah atau di Pasar Satok dengan harga RM 1.00 satu ikat atau lebihkurang RM 3.00 sekilogram (Basah lebih berat). Bersihkan dan basuh pucuk midin sebelum di masak. Menu paling popular masak midin ialah MIDIN GORENG BELACAN iaitu dengan ramuan belacan, udang, bilis, sedikit garam , minyak masak dan juga cili api (yang minat pedas). Sayur Midin sedap dimakan dengan nasi panas dan masakan ikan tiga rasa atau apa jua lauk pauk 'seafood'.  Satu hidangan sayur midin di sekitar Kucing sekitar RM 6.00 - RM 15.00 bergantung kepada resepi dan bahan campuran didalamnya. Kalau menu mengandungi udang atau daging segar maka harganya agak mahal sedikit. Sayur midin goreng belacan sedap dimakan ketika suam panas selepas di goreng dan minum teh cina.


Sayur Midin dipercayai mengandungi banyak zat baik seperti Vitamin C, B2, Karbohiderat, Protin, Serat, Lemak serta berbagai zat mineral.  Sayur Midin perlu di masak segar terus dari kawasan ladang yang terdapat disekitar Kuching dan banyak kawasan lain di Sarawak. Pucuk Midin tahan 5-8 hari segar jika disimpan dengan baik dalam peti ais tetapi rasa kesegarannya mulai berkurangan. Apabila bahagian bawah midin direndam dalam air maka pucuk midin akan terus tumbuh dan akhirnya daun akan keluar dan berwarna hijau pudar. Ramai orang tetap kata Sayur Goreng Midin Belacan adalah menu paling sedap dan popular. Memang disahkan makan sayur ini sedap apa lagi kalau free dan perut sangat lapar!


Berikut adalah satu daripada menu masakan Sayur Midin Goreng Belacan untuk panduan kepada mereka yang terlupa bagaimana nak masak atau memang langsung tidak tahu masak resepi istimewa ini :


Sayur Midin Goreng Belacan

Bahan - bahannya :
(Bahan2 di bawah ni semua dikisar halus)
6 biji cili merah atau
4 biji cili padi
2 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
4 camca besar udang kering
2 cm belacan.

(Yang ni pula tidak perlu di kisar)
¼ cawan Minyak masak
8 ekor udang kasar (dibuang kakinya sahaja)
2 camca besar sos ikan
2 cekak sayur Midin

Cara-caranya :
1. Panaskan kuali dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar sampai wangi.
2. Masukkan udang, sos tiram dan sos ikan. Masukkan sedikit air. Kemudian masukkan sayur Midin.
3. Apabila sos mulai pekat dan sayuran telah empuk maka bolehlah dihidangkan segera.

4. Hidangkan dengan nasi panas, ikan 3 rasa dan teh cina.



MASAK MIDIN...MAKAN MASIH PANAS.....
KUTIP MIDIN...BAHAYA PERLU AWAS....
PETIK YANG MUDA...LEMBUT TAK KERAS...
GORENG BELACAN...SEDIKIT PEDAS....

Artikel berkaitan:

1. Paku Pakis (Klik disini)
2. Baby Corn (Klik disini)
3. Kacang Botor (Klik disini)
4. Pegaga (Klik didini)
5. Petai (Klik disini)
6. Jering (Klik disini)
7. Buah Keras (Klik disini)
8. Buah Pala (Klik disini)

By,
M AnemNo 15, Jalan Ridgeway, 

Off Jalan Ong Tiang Swee,
Simpang Tiga,
Kuching
Sarawak

Malaysia
(Kemaskini pada 10 Mac 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.