Tuesday, October 25, 2011

GULA MELAKA

GULA MELAKA atau COCONUT PALM SUGAR merupakan sejenis gula berwarna coklat yang dibuat daripada air manisan kelapa (Cocos nucifera) atau Nira Kelapa yang dimasak sehingga pekat dan kemudian membeku apabila sejuk. Gula Melaka merupakan produk yang sangat popular dikalangan Masyarakat Malaysia dan Asia Tenggara lain kerana khasiatnya dan kegunaannya dalam menyediakan beberapa juadah makanan tradisional. Antara juadah dari jenis kuehmueh yang menggunakan gula melaka seperti Kueh Buah Melaka (Orang Muar panggil 'Kelepon'), Kueh Bingka, Apam Gula Melaka, Kueh Badak Berendam, Lempeng Berinti Kelapa dan Gula Melaka, Cendol, Bubur nasi merah, kueh koci dan banyak lagi. Masakan asam pedas, tumis pedas dan bubur kacang jika dibubuh gula melaka lebih lazat. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi mengenai gula melaka berdasarkan pengalaman bertugas di Melaka selama 14 Tahun, Di Johor selama 15 tahun dan di Sarawak selama 3 tahun yang mana industri membuat gula melaka memang aktiviti aktif di negeri-negeri tersebut.


Gula Melaka merupakan satu daripada produk daripada tanaman kelapa (Cocos nucifera) yang banyak tumbuh diseluruh dunia. Indonesia, India dan banyak kepulauan di Asia Pasifik dan Kawasan Tropika yang lain banyak menanam kelapa. Dikawasan Asia gula melaka juga digelar dengan pelbagai nama seperti Gula Aren ; Gula Jawa ; Gula Merah ;Gula Semut (Indonesia), Nam taan pep (Thailand), Duong thot not (Vietnam), Pol Pani ; Kitol Pol Puru (Sinhalese Sri Lanka), Pakaskas (Filipina), Karrrupati (Tamil), Num taan (Laos) dan Skot tnot (Kemboja).  Indonesia dilapor sebagai pengeluar paling banyak gula melaka didunia. Rekod pengeluaran gula melaka tidak ada dicatit secara rasmi kerana ianya termasuk dalam rekod pengeluaran gula didunia sekitar 60 -65 juta metrik tan setahun iaitu ebanyakannya dari gula tebu (Saccharum officinarum).


Gula Melaka didapati bermula dengan menanam kelapa sehingga sesuai mengeluarkan bunga dan buah. Kelapa MAWA, Kelapa MATAG, Kelapa Tinggi Malaysia  dan beberapa vatieti lain adalah diantara varieti kelapa yang boleh diambil nira. Tangga atau kaedah memanjat pokok kelapa kebahagian mayang bunga kelapa dan dilenturkan setiap hari selama seminggu sehingga membengkok kebawah. Apabila sesuai maka dibuang seludang mayang bunga dipotong tirus menggunakan pisau yang dipanggil 'Penyadap'. Masukkan hujung mayang dipotong dengan Bekas Tabung (Container) untuk mengutip air nira yang mengalir keluar dari mayang yang dipotong. Ada yang bubuh kapor untuk elakkan kemasaman. Kutip air nira setiap pagi dan petang dan dikumpulkan dari setiap pokok. Kajian mendapati kuantiti air nira yang dihasilkan bergantung kepada kaedah memotong, saiz pokok, varieti kelapa, musim (Panas atau redup) dan lain faktor lagi.


Air nira yang dikumpulkan dalam bekas perlu segera di proses untuk mengelakan kemasaman. Kuali atau kawah besar diletakan diatas tempat masak atau 'Sabak' yang dipasang api menggunakan kayu atau bahan bakar lain yang sesuai (Gas Masak jarang digunakan kerana kos mahal). Tuang air nira dalam kuali dan biarkan sehingga mendidih dan selepas 4 jam dan sentiasa dikacau supaya tidak mendak atau hangus dibawah kuali. Kawal api agar tidak terlalu kuat dan ada pengusaha masukan serbuk kulit manggis untuk menambahkan warna coklat yang menarik dan mengurangkan buih dalam kuali. Apabila pekat maka kuali diturunkan dan dikacau perlahan-lahan sehingga pekat seperti gula halus.Tanda kepekatan adalah apabila buih cukup panas dan berbentuk seperti 'bunga sena'.


Sediakan bekas acuan gula melaka daripada Ruas Buloh setinggi 3-4 inci yang berlubang dikedua-dua hujung dan susun diatas lapisan lantai zink atau alas sesuai secara rapat-rapat. Tuangkan pekatan gula melaka tadi menggunakan senduk khas kedalam lubang buloh tadi dan biarkan sehingga ianya sejuk dalam 30 - 50 minit dimana gula akan membeku sendiri. Pada masa ini ada banyak lebah keran (Apis cerana) akan mengunjungi bekas gula melaka kerana menghisap manisan. Apabila cukup sejuk keluarkan gula mekala dari bekas buloh dengan menjolok keluar dari satu bahagian. Periksa kualiti biji gula melaka mengikut saiz dan simpan dalam bekas kedap udara. Pembungkusan gula melaka dalam bekas plastik dengan 4 biji satu bekas. Satu pek dijual dengan harga RM 1.50 - RM 2.00 sahaja.


Kuih onde-onde inti gula melaka.
Terdapat industri masak gula pasir yang dijual sebagai gula melaka oleh beberapa usahawan. Ketika harga gula pasir murah dahulu maka 'towkey' akan hantar gula pasir dan dimasak sehingga cair dan dicampur dengan beberapa bahan lain kemudian dibekukan sama seperti gula melaka. Mereka yang pakar sahaja dapat membezakan gula melaka asli dengan gula melaka tiruan. Gula Melaka asli adalah lembut, mudah dipecahkan dan berwarna coklat sederhana  sementara gula melaka tituan agak keras, susah dihancurkan dan berwarna coklat gelap sedikit. 


Industri gula melaka di Malaysia semakin berkurangan kerana kekurangan tenagakerja untuk memanjat, menyadap, mengutip nira yang agak rumit dan proses memasak gula melaka yang lama dan memenatkan. Harga gula melaka juga tidak begitu tinggi kerana persaingan gula pasir yang harganya dikawal oleh kerajaan sebagai bahan keperluan asas harian setiap keluarga. Persaingan dengan gula melaka tiruan juga ujud kerana pengusaha tidak perlu panjat pokok kelapa untuk dapatkan bahan mentah (Gunakan gula pasir sahaja). Permintaan gula melaka juga tidak meningkat dan hanya untuk pasaran khusus sahaja (niche marketz) berbanding dengan permintaan gula pasir. Diharap industri pembuatan gula melaka akan terus ujud dinegara kita dimasa akan datang. 


DARI NIRA KELAPA...JADI GULA MELAKA...
WARNA COKLAT...LEBAH MEMANG SUKA...
DIBUAT KUIH MANIS...SELERA TERBUKA..
INDUSTRI MENGUNCUP...BAGAIMANA PULA...


Anda mungkin minat :-
1. Coconut (Click here)
2. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
3. Benih Kelapa Matag (Klik disini)
4. Kelapa Pandan (Klik disini)
5. VCO Technology (Click Here)


By,
M Anem
Pantai Morib,
Banting ,Selangor,
Malaysia.
(27 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.