Thursday, September 1, 2011

ULAT PELOMBONG DAUN

ULAT PELOMBONG DAUN (Arcocercops spp) atau dipanggil sebagai 'Leaf Miners' merupakan sejenis serangga peosak yang menyerang tanaman. Ulat ini menyerang bahagian daun tanaman bunga-bungaan (seperti bunga kekwa), Sayur-sayuran (Sayur Jenis Buah dan Sayur Jenis Daun) serta buah-buahan tempatan (Buah Bermusim dan Buah tidak Bermusim). Serangga ini mempunyai kitaran hidup (Life cycle) yang lengkap iaitu daripada peringkat TELUR, PUPA, LARVA dan juga peringkat DEWASA. Peringkat Larva merupakan peringkat paling kritikal kerana pada peringkat inilah serangga tersebut merosak bahagian daun tumbuhan. Artikel pada 3 Shawal 1432H ini saya menulis mengenai serangga ini berdasarkan kepada pembacaan dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 30 tahun. 


Ulat Pelombong Daun dikategorikan sebagai sejenis serangga perosak disebabkan keupayaanya yang akan merosakkan bahagian daun dimana ulat akan 'melombong' dibahagian daun dengan memakan tisu daun dan meninggalkan warna lingkaran putih yang mudah dilihat. Serangga dewasa akan bertelur berwarna 'putih creamy' di permukaan daun dan bersaiz sangat kecil atau halus serta sukar dilihat dengan mata kasar. Kajian saintifik  menunjukkan seekor serangga dewasa mampu bertelur sebanyak 100 biji sekali. Apabila telur ini menetas dalam masa 5 hari sahaja dan akan makan inti daun atau tisu daun yang menjejaskan proses fotosintesis. Apabila berumur 7 hari maka larva tersebut akan bertukar menjadi pupa (kepompong ulat) dan proses ini mengambil masa 8 hari sebelum keluar sebagai serangga dewasa. Serangga sebesar lalat ini akan terbang dan mengawan sebelum bertelur semula pada daun-daun baru untuk meneruskan kitaran hidup.


Pemerhatian saya di Kebun Limau Bali di Jementah pada tahun 2006 semasa membuat kajian serangan perosak Ulat Pelombong Daun Citrus (Phyllocnistis citrella) dari keluarga Gracillariiedae mendapati antara tanda serangan adalah apabila kelihatan tanda lingkaran putih pada daun-daun limau bali. Serangga Ulat Pelombong Daun Citrus menyerang semua jenis citrus didalam Keluarga Rutaceae yang berukuran 4-5 mm rengangan kepak serangga dewasa. Selain pokok citrus serangga ini juga dilaporkan menyerang daun manggis, jasmine dan juga beberapa tanaman lain. Jika tidak dikawal maka kulat akan menyerang bahagian tersebut pada tahap kedua (Lihat foto dibawah).


Serangan ulat pelombong daun yang serious akan menyebabkan daun menjadi kering dan menjejaskan kualiti buah. Bagi Pelombong Daun Citrus kadang-kadang ulat ini akan menyerang bahagian buah dan ini menyebabkan kulit buah akan berwarna jalur-jalur keputihan dan menjejaskan kualiti luaran buah limau. Jika terlalu teruk serangan bahagian daun kering dan jangkitan dengan kulat akan berlaku. Kehadiran ulat ini perlu dipantau agar populasi dapat diketahui kerana jika tidak dikawal akan menyebabkan pengurangan hasil. Beberapa syor kawalan adalah secara biologi, kimia dan juga amalan kultura. Langkah-langkah berikut boleh diamalkan oleh para patani bagi mengawal serangan Ulat Pelombong Daun :-


Pasangkan perangkap pelekat berwarna kuning untuk menarik serangga dewasa dilokasi strategik seperti di tepi batas atau kebun buah-buahan. Warna pelekat kuning akan menarik serangga dewasa dan melekat pada plastik tersebut. Musnahkan serangga dewasa tersebut pada daun tanaman dengan semburan racun kimia seperti Dimethoate (10 ml/4.5 liter air) jika ada serangga dewasa pada pelekat tersebut mencapai 'treshold level'.  Jika terdapat tanda serangan berwarna jalur-jalur putih pada daun maka boleh dijalankan semburan racun kimia seperti Deltamethrin (Jenama - Decis 250) atau Abermectin (Jenama - Agrimec 15) atau Cyromazine (Jenama - Trigad) mengikut arahan pada label racun tersebut. Pastikan mengikuti PHI (Post Harvest Interval) untuk mengurangkan kesan sisabaki racun pada hasil.


Bagi mempastikan kitaran serangga perosak tersebut dapat dihapuskan , petani perlu mencabut sayur-sayuran dan tanaman jangkapendek yang diserang dan bakar sehingga musnah. Ini termasuklah tanaman yang diserang, sisa-sisa tanaman dan juga rumpai perumah (host plant) yang terdapat dikawasan berhampiran. Walau pun serangan ulat ini agak mudah dikawal berbanding dengan serangan perosak lain tetapi petani perlu mengenali dan mengetahun mengenai serangga ini secara dekat dan tahu bagaimana hendak mengawalnya. Kegagalan mereka untuk mengenali keujudan serangga ini akan menyebabkan pendapatan berkurangan disebabkan mutu hasil rendah, kuantiti yang sedikit dan harga pasaran yang rendah. Diharap entry kali ini menambah ilmu pengetahuan para pembaca sekelian.


ULAT PELOMBONG...PELOMBONG DAUN....
JALUR PUTIH...TANDA SERANGAN PUN...
MUDAH DILIHAT ... APABILA DI TENUNG...
PERLU DIKAWAL...AGAR TIDAK GETUN...


By,
M Anem
Jalan Istana,
Lebuh Air Keroh, 
Melaka, Malaysia.
(6.30 pagi ; Masih cuti raya)     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.