Saturday, August 6, 2011

NANGKA 'TEKAM YELLOW'

TEKAM YELLOW (TY) adalah satu nama yang popular untuk satu Varieti Nangka (Artocarpus heterophyllus Linn) dari keluarga MORACEAE. Nangka ini banyak didapati dkawasan Tengah Semenanjung Malaysia seperti di Selangor, Pahang Barat, Johor dan Negeri Sembilan. Nangka Tekam Yellow baru sahaja didaftarkan kepada Jabatan Pertanian oleh FELDA Agricultural Services Sdn Bhd pada 29 Mac 2004. Pendaftaran nangka ini telah diberikan Nombor Pendaftaran 'J33' dengan nama gelaran 'TEKAM YELLOW' yang kini merupakan antara varieti nangka paling luas di tanam di Malaysia. Projek TKPM Lancang di Temerloh menanam varieti nangka ini dengan luas (difahamkan lebih dari 800 hektar dimana terdapat lebih dari 80,000 pokok) dan mula mengeluarkan hasil tahun 2011 dengan anggaran pengeluaran sebanyak 90 metrik tan. Pokok yang berumur 2-3 tahun ini mula berbuah secara berperingkat-peringkat. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" yang berkisar mengenai klon atau varieti nangka Tekam Yellow (J33) berdasarkan kajian yang telah saya jalankan di Felda Mempaga, TKPM Lanchang, FELDA Sg Tekam dan Pusat Pertanian Kg Awah, Temerloh, Pahang selama beberapa bulan.


CIRI MENGIKUT PENDAFTARAN 


A) DAUN
Bentuk daun:Eliptik. Bentuk hujung daun: Acuminate. Panjang daun: 16 cm. Lebar daun: 8 cm. Warna daun: Hijau. Permukaan atas dan bawah daun: Glabrus. Petiol: Bulat dan terdapat alor. Panjang petiol: 2.3 cm. Warna inflorescens: Hijau Muda. Posisi bunga jantan dan betina: Kebanyakkan pada batang dan dahan utama. 


b) BUAH
Bentuk buah: Oblong. Panjang buah: 44 cm. Lebar buah: 25 cm. Panjang tangkai buah: 7 - 9 cm. Garispusat tangkai buah: 3.2 cm. Berat buah: 16 - 20 kg. Kulit buah: Warna Hijau Kuning dan berduri tetapi tidak tajam. Kepadatan duri: Sederhana, 25 duri pada keluasan 5 x 5 sq. cm. Berat ulas tanpa biji: 23.7 gm. Panjang Ulas: 7.2 cm. Lebar ulas: 4 cm. Tebal Ulas: Nipis (0.4 - 0.5 cm). Tekstur ulas: Lembut. Warna isi: Kuning. Kemanisan: Sangat manis (27 - 30% brix). Berat biji: 7 - 9 gm. Panjang biji: 3.65 cm. Lebar biji: 2.26 cm.


PEMERHATIAN KHUSUS
YB Hamim, staff dan saya depan nangka
Tekam Yellow di Tangkak
Pokok Nangka Tekam Yellow mempunyai bentuk yang menegak dengan ketinggian mampu mencapai 20 meter (tanpa pengurusan cantasan). Cabang yang keluar perlu di bentung dengan membuat cantasan pembentukkan yang seimbang. Nangka ini seperti jenis nangka lain perlukan kawasan yang mempunyai saliran baik dan elakkan menanam dikawasan mudah banjir. Walau pun pokok ini agak tahan daripada serangan beberapa jenis penyakit tetapi kualiti buah baru-baru ini dilaporkan mempunyai masaalah 'Karat' pada isinya yang berpunca dari masaalah cuaca lembab dan kesan serangan sejenis kulat. Kajian masih dijalankan punca sebenar kejadian karat tersebut. Perbincangan dengan beberapa petani dan usahawan serta Pegawai Penyelidik FELDA mendapati penggunaan Racun Kulat (Copper Base) seperti Flovicor dan Racun Ridomil mengurangkan serangan ini. Kejadian karat ini menjejaskan kemanis an buah nangka Tekam Yellow dan sukar untuk dijual. 


Nangka Tekam Yellow yang telah
berumur  15 tahun dui PPTR
Felda Sg Tekam, Pahang
Sebagai maklumat tambahan tanaman nangka di Malaysia adalah seluas 3,962 hektar dengan pengeluaran sebanyak 27,459 metrik tan pada tahun 2010. Negeri Pahang merupakan kawasan terdapat paling luas tanaman nangka (669 hektar) diikuti dengan Negeri Johor (515 hektar) pada tahun 2010. Kebanyakan hasil nangka adalah untuk pasaran segar di sekitar Lembah Kelang, Bandar-bandar Besar Utama serta di ekspot ke Singapura. Terdapat sebahagian nangka yang diproses untuk dijadikan makanan ringan menggunakan teknologi 'vacuum fry'. Nangka Vacuum Fry dijual dengan harga RM 25.00 - RM 30.00 sekilogram atau dengan harga RM 3.00/pek seberat 150-200 gram.


Ladang Nangka TY TKPM Lancang
Pokok nangka Tekam Yellow mesti dijaga dengan rapi dari mula penanaman sehingga dewasa. Pokok ini mampu menghasilkan buah setelah 2.5 tahun ditanam. Benih cantuman sesuai ditanam dan elakkan menggunakan biji buah nangka tekan yellow. Jarak tanaman disyorkan adalah 25 kaki x 25 kaki. Cantasan pembentukkan perlu dibuat dari peringkat awal penanaman dengan membenarkan 8 dahan utama sehingga berumur 8-10 tahun. Selepas itu hanya 6 dahan utama dibiarkan untuk berbuah. Pembajaan menggunakan baja buah NPK 12:12:17:2 atau Baja Buah Jenama Yara tetapi ramai juga pengusaha kini telah menambah dengan baja foliar dan perbanyakan baja organan (Tahi ayam proses).


'Open centered' dari bawah pokok 
di Ladang PPTR Pahang
Antara masaalah utama tanaman nangka Tekam Yellow adalah masaalah KARAT BUAH. Ini dapat dikawal dengan membuat cantasan pembentukkan secara 'Open centered' dari peringkat awal penanaman untuk memberikan cahaya matahari dan pengudaraan mencukupi (Lihat foto sebelah). Penggunaan racun kulat berasaskan Copper mengurangkan kadar serangan. Serangga Ulat Pengirek Batang dikawal dengan racun serangga dan Kelompok di Felda Mempanga gunakan Penyembur Aerosol 'Jenama Sheltox' atau 'Baygon' sahaja. Serangan Ulat Pengorek Buah diatasi dengan membalut putik buah selepas proses pendebungaan selesai (Anthesis) dengan guni baja atau kertas pembalut yang sesuai. 


Buah Tekam Yellow diperam 3-4 hari.
Nangka Tekam Yellow akan masak 100 hari selepas proses 'anthesis' dan akan ranum setelah berumur 106 hari. Pembalut buah perlu ditandakan denga nombor atau angka yang direkodkan mengikut sistem pendaftaran setiap lot atau pokok. Penuaian hanya akan berdasarkan kepada nombor yang sama masak selepas 100 hari dibungkus. Buah nangka telam yellow tahan 2 minggu masih segar dalam keadaan biasa. Buah yang dituai dikumpulkan dan diperam selama 4 hari sebelum di belah dan di pek dalam ;minimum process product'. 


Buah TY di PB Mempaga, Bentong
Kajian menunjukkan satu pokok nangka Tekam Yellow yang matang mampu menhgasilkan sebanyak 16-20 biji buah setahun. Bermakna kalau terdapat 120 pokok berbuah sehektar maka kiralah potensi hasil. Berat buah sekitar 18-25 kg sebiji bergantung kepada umur pokok dan cara pengurusan. Terdapat juga buah yang mencapai 40-45 kg sebiji jika bilangan buah sepokok hanya sedikit. Pada masa ini permintaan untuk buah ini adalah sangat tinggi terutama dari kawasan Lembah Kelang. Pastikan anda menanam nangka ini dan dapatkan benih yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian sahaja. 


Pemeriksaan ladang TY di Pahang
Kajian saya mendapati ciri keistimewaan nangka Tekam Yellow ada 4 faktur utama berbanding dengan nangka varieti lain. Pertama adalah KEMANISAN vrieti ini yang mencapai 26-28 darjah Brix iaitu dalam kategori sangat manis. Nangka varieti Mastura cuma mencapai purata 17-18 darjah Brix sahaja. Nangka J29, J30 dan J31 pun sekitar 15-20 darjah Brix sahaja. AROMA atau bau buah varieti ini adalah sangat wangi dan tahan beberapa hari dalam simpanan. Kerangupan varieti Tekam Yellow merupakan SANGAT RANGUP (Crispy) berbanding dengan varieti lain. Faktur HARGA juga merupakan ciri istimewa Nangka ini dimana purata harga mencecah RM 1.80 - RM 2.00 sekilogram sedangkan nangka lain cuma RM 1.00 sekilogram sahaja. Diharap nangka ini akan jadi satu komoditi yang mampu meningkatkan pendapatan petani dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia pada masa akan datang.


TEKAM YELLOW....ADALAH NANGKA.....
NOMBOR DAFTAR J33....PEMILIK FELDA...
BUAHNYA MANIS....BAUNYA AMAT DISUKA...
SANGAT POPULAR...SEPERTI DIJANGKA...


By
M Anem
Melaka
Malaysia
(5.10 subuh, 6 Ramadan)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.