Saturday, June 4, 2011

MATA KUCING (Part 1)

BUAH MATA KUCING (Euphoria malaiense) atau pun dipanggil buah Kelengkeng di Indonesia adalah sejenis buah-buahan tempatan yang tumbuh dan ditanam dari Keluarga SAPINDACEAE. Pokok buah mata kucing menyerupai pokok Longan yang banyak di impot dari China dan Thailand oleh Malaysia setiap tahun bernilai lebih dari RM 63 juta pada tahun 2010 dalam bentuk longan segar atau pun longan kering yang telah diproses. Saya berpeluang memberikan ilmu kepada petani melalui perkhidmatan pengembangan projek penanaman buah mata kucing ketika menjadi AO (Agriculture Officer) Daerah Segamat di kawasan Kampong Redong di Labis Johor. Kawasan kampong Redong memang telah lama menanam banyak pokok mata kucing dimana ia telah di tanam semenjak perlaksanaan program AID (Agriculture Input  Diversifcation Project) awal tahun 1980'an oleh Jabatan Pertanian. Pokok mata kucing yang ada pun telah amat tinggi sehingga ada tang telah mencecah lebih100 kaki dimana ia ditanam disamping tanaman durian, rambutan, nangka dan sebagainya dalam dusun campuran secara tradisional. Entri kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya akan berkongsi maklumat mengenai tanaman buah mata kucing dengan pembaca berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang dijalankan.

Pokok Mata Kucing adalah dari jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan batang mampu mencapai ketinggian 20-30 meter. Batangnya berwarna coklat dan berkayu keras dan boleh dijadikan kayu balak apabila berumur lebih 50 tahun. Daunya berwarna hijau gelap berukuran 18-25 cm panjang dengan susunan bersilang. Bunga mata kucing seperti juga pokok longan terbit di bahagian hujung dahan dengan jambak yang banyak berwarna kuning kecoklatan. Terdapat Bunga Jantan, Bunga Betina dan Bunga Hermaprodit pada pokok mata kucing. Lazimnya hanya bunga hermaprodite sahaja yang akan membentuk buah. Pendebungaan dijalankan oleh serangga seperti semut, lalat dan juga angin. Buah Mata Kucing bersaiz kecil dengan warna kulit coklat dan kadang-kadang ada bintik-bintik kekuningan cerah. Jika di kupas kulitnya sebahagian akan kelihatan biji yang besar didalamnya seperti 'MATA KUCING' dengan lapisan isi yang jernih dan manis. Saiz buah 1.5-2 cm ukurlilit dengan bentuk bulat atau sedikit bujur bergantung kepada spesis. Akar pokok adalah akar tunjang yang sangat kuat.


Terdapat 3 spesis pokok mata kucing yang terdapat di Malaysia iaitu Mata Kucing Sau, Mata Kucing Isau dan Mata Kucing Kakus. Perbezaan antara ketiga-tiga spesis ini hanya pada saiz buah dan juga bentuk serta tahap rasa kemanisannya. Ramai orang biasa tidak mengenali varieti mata kucing ini dan kesemuanya memang tidak didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Oleh itu tidak ada lagi pencirian ketiga-tiga varieti tersebut di buat dan kita lebih mudah dengan panggilan 'Mata Kucing Tempatan' sahaja. Pemehatian saya di Kg Redong yang mempunyai lebih 250 pokok mata kucing tempatan telah berumur lebih 20 tahun mendapati sistem penanaman dahulu juga tidak tersusun. Sebahagian pokok yang ada mungkin tumbuh sendiri kerana biji benih yang di makan oleh Kelawar atau Keluang mungkin jatuh dan tumbuh di kawasan kampong tersebut. Bagaimana pun kampong ini memang terkenal sebagai kampong yang menghasilkan buah mata kucing dengn banyak untuk negeri Johor semenjak dulu lagi.

Penanaman pokok mata kucing lazimnya menggunakan anak pokok dari semaian biji benih dari pokok yang telah pun dikenalpasti. Pokok tua yang ditanam didapati menghasilkan buah yang manis, lebat dan tidak mudah gugur apabila buah masak dan dikenalpasti dan buahnya di kutip apabila cukup matang. Biji yang dikutip akan dibersihkan dahulu dan akan di rendam dalam air suam atau dibiarkan 10-14 hari sebelum disemai untuk pecahkan 'seed dormancy'. Masukkan biji benih diatas semaian pasir halus sehingga bercambah dan alihkan kedalam polibeg 6' x 9' atau lebih besar. Apabila anakbenih setinggi 1.0 - 1.5 kaki boleh dialihkan keladang. Sediakan lubang penanaman dan isikan dengan baja organan dan MOP serta gaulkan. Tanam anak pokok mata kucing dengan jarak 12 m x 15 m atau lebih jauh. Pastikan dibuat sedikit busut pada lubang penanaman kerana pokok mudah mati jika akar terendam atau batang pokok tertimbus tanah. Buat sungkupan dengan bakul rotan untuk elakkan serangan babi hutan yang suka korek lubang penanaman untuk cari cacing.


Penjagaan pokok mata kucing adalah dengan membuat sokongan pada peringkat awal penanaman. Pembajaan dari tahun 1 - 4 dijalankan dengan baja NPK 15:15:15 pada kadar 1 kg/pokok/tahun (4 kali aplikasi) sehingga 4 kg/pokok/ tahun. Kawal rumpai dengan cara manual atau kimia terutama yang tumbuh hampir dengan anak pokok. Pokok mata kucing lambat berbuah jika di tanam dengan biji (Lebih 10 tahun) tetapi dengan kaedah cantuman pokok mata kucing dilaporkan mampu berbuah 6-8 tahun lepas di tanam. Buat cantasan pembentukan dari peringkat awal penanaman dengan mencantas dahan-dahan yang tidak seimbang dan tunas air. Oleh kerana bunga mata kucing terbit di hujung dahan maka kaedah cantasan perlu di sesuaikan ketika pokok dijangka akan berbunga.


Pokok mata kucing yang matang lazimnya berbunga dalam bulan Julai-Ogos setiap tahun dan berbuah pada bulan Januari-Febuari tahun berikutnya di Kg Redong Segamat, Johor. Jangkamasa dari pembungaan untuk menjadi buah selama 5-7 bulan. Perubahan cuaca yang berlaku masa kini telah mengubah jadual penghasilan buah mata kucing dan tidak menentu. Cuaca yang panas dan kering yang agak panjanag (lebuh 5-7 hari) perlu bagi menggalakan (induce) pengeluaran bunga mata kucing. Semburan racun kulat pada bunga membantu kerosakan bunga akibat serangan kulat.  Bagi pokok mata kucing yang telah terlalu tinggi tidak banyak pengurusan yang dapat dijalankan kecuali menggunakan amalan IPM (Intergrated Pest Management) dan penghasilan Buah Mata Kucing Organik.


Antara musuh tanaman mata kucing adalah seperti Ulat Pengorek Buah (Canopormopha sinensis) dan Hamama Thrips (Thrips spp). Perosak lain adalah serangan Lalat Buah (Bactocera spp) dan juga Ulat Web (Crossidosema spp). Ketika buah masak serangan kelawar dan keluang memang sangat kritikal. Semasa perbincangan saya dengan En Ibrahim Siman iaitu Pembantu Pertanian Mukim Bekoh dan Tn Hj Osman iaitu ahli JKKK Kampong Redong, paling ditakuti penanamn buah mata kucing dikampongnya ialah serangan Keluang yang mampu memusnahkan 80-90% buah dalam satu malam dengan memakan dan menjatuhkannya yang lain. Jika ini berlaku maka tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk di tuai oleh pemilik pokok. Kaedah kawalan ialah dengan memasang Jaring atau Pukat Ikat di kawasan pokok, memetik awal sebelum terlalu masak, menembak keluang pada malam hari dan berdoa sahaja.


Pemerhatian dan kajian saya di Labis mendapati pokok yang sederhana mampu menghasilkan sebanyak 200 kg hingga 250 kg buah sepokok setahun bagi pokok dewasa dengan anggaran hasil sebanyak 15,000 - 18,000 kg sehektar setahun. Ini jika buah tidak 'dirontokan' oleh Keluang atau Kelawar. Harga ladang mata kucing di Labis masa itu sekitar RM 2.00 - RM 3.00 sekilogram (Mungkin sekarang dah lebih tinggi). Buah ini tidak tahan lama apabila dipetik terlalu masak kerana akan berair (Paling elok 1-3 hari) mesti habis di jual. Agaknya pokok yang telah saya berikan  kepada petani pada tahun 2000-2001 telah pun berbuah sekarang jika pokok tersebut hidup subur dan dijaga dengan baik oleh petani di Kg Redong, Labis, Segamat. Sebanyak lebih dari 2,500 anak pokok mata kucing telah saya edarkan dikawasan tersebut. Stesyen Pertanian Labis dan Jementah juga ada menanam pokok mata kucing dan pokok longan sebagai petak pemerhatin ketika saya bertugas di Segamat. Pokok tersebut telah pun mengeluarkan hasil dan direkodkan.


Buah Mata Kucing dilaporkan mampu mengubati pelbagai penyakit diimana terdapat amalan meminum buah mata kucing kering untuk menyejukkan badan. Kegunaan dan Khasiat Buah Mata Kucing ini banyak sekali digunakan sebagai obat tradisional. Dengan semakin majunya teknologi pemprosesan maka buah ini banyak dibuat dalam bentuk minuman jus seperti sirap dan banyak diekspot ke Eropah dan Amerika. Mata Kucing dan spesis Longan mengandungi Asid Phenolic terutama pada bijinya sama seperti Asid Gallic, Corilagin dan Asid ellagic yang bertindak sebagai antioksidan.


Daun dari pohon mata kucing didapati mengandungi bahan iaitu Quercitrin dan quercetin yang memiliki sifat antioksidan dan juga antivirus sehingga dilaporkan mampu dimanfaatkan untuk mengubati masaalah Alahan (alergi), Penyakit kanser, masalah diabetes serta penyakit kardiovaskular. Kajian juga menunjukkan biji mata kucing mengandungi bahan Saponin, Tannin dan Lemak dan  sering dipakai sebagai bahan untuk membuat shampo dan mengatasi masaalah peluh badan yang berlebihan. Selain itu, bijinya juga banyak digunakan untuk menghentikan pendarahan. Daging atau isi buahnya mata kucing secara tradisional dipakai untuk mengubati sakit perut (alat pencernaan) dan menyembuhkan demam dan juga mampu membunuh cacing dalam perut serta juga menstabilan racun. Air rendaman isi buah mata kucing yang dikeringkan merupakan penyegar dan ubat untuk masaalah  insomnia, Lelah yang kronik, perasaan lemah, tidak dapat konsentrasi, tidak nafsu makan.


Di Vietnam, biji mata kucing dihancurkan dan  digunakan untuk mengubati luka akibat gigitan ular kerana diyakini dapat menyerap bisa ular. Juga kerap digunakan untuk mengatasi luka.  Buah mata kucing ini disebut juga penghasil tenaga yang baik dan dapat meningkatkan stamina kerana banyak mengandungi sukros, protein, lemak, glukos dan asid tartaric. Oleh itu buah ini juga baik untuk digunakan bagi wanita  hamil yang lemah atau setelah melahirkan anak  tetapi dalam jumlah yang tidak berlebihan. Manfaat lain yang dapat diperolehi bila kita makan buah mata kucing segar secara teratur yang segar adalah keupayaannya mengurangkan demam, menambah nafsu makan, mencegah anemia dan pemutihan rambut. Diharap artikel ini memberikan ilmu pengetahuan berguna kepada anda semua. Wasallam!

BUAH BULAT ...MACAM MATA KUCING...

POKOK SAKA....BUAH TERGANTUNG...
KELAWAR SERANG...TIDAK UNTUNG...
PERINGKAT AWAL....KAWALAN PENTING....

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia
(Kemaskini pada 8 Jun 2013- Sabtu)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.