Friday, June 3, 2011

KOPRA


KOPRA atau 'Copra' adalah isi Kelapa (Cocos nuciferayang dikeringkan bagi mendapatkan minyak kelapa. Kelapa adalah sejenis tumbuhan yang terdapat di seluruh dunia melibatkan 90 negara terutamanya di kawasan tropika dari keluarga PALMAE. Terdapat seluas 12.48 juta hektar tanaman kelapa di seluruh dunia dengan 10.2 juta hektar aatau 86.5% dikawasan Asia Pasifik. Indonesia adalah pengeluar utama kelapa dunia dengan keluasan penanaman sebanyak 3.0 juta hektar diikuti dengan Filipina (3.2 juta ha) dan India (1.9 juta hektar). Malaysia mempunyai kawasan penanaman kelapa yang agak luas iaitu 110,200 hektar pada 2010 dan merupakan satu komoditi yang dianggap penting. Kawasan utama penanaman kelapa seperti di Johor (21,280 ha), Perak (15,180 ha), Selangor (10,320 ha), Sarawak (22,290 ha) dan Sabah (19,150 ha). Penghasilan kopra merupakan salah satu dari aktiviti dalam industri penanaman kelapa di Malaysia. Artikel ini menulis mengenai proses penghasilan kopra berdasarkan pembacaan dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 30 tahun.

Buah kelapa dihasilkan oleh pokok yang telah matang dari beberapa varieti popular yang di tanam di Malaysia seperti Malayan Tall (Paling lama), MAWA, MATAG, Rennel, West African Tall, MARREN , Kelapa Pandan dan banyak lagi yang kurang popular. Kini kelapa MATAG menjadi tumpuan kerajaan dalam penanaman semula kelapa kerana potensi hasil yang sangat tinggi yang dihasilkan mencapai 140 biji/pokok/tahun atau 25,000 biji sehektar setahun. Sepokok Kelapa MATAG mampu menghasilkan 10-22 tandan dengan setiap tandan mempunyai 12-20 biji buah. Potensi ini dapat dicapai dengan pengurusan yang baik mengikuti Amalan Pertanian Baik seperti pembajaan, kawalan musuh dan penyakit dan pengurusan ladang sempurna.

Buah kelapa yang matang dikebun akan di tuai menggunakan manusia, beruk atau monyet atau cara mekanikal dan di kumpulkan sebelum dihantar di pusat pemprosesan buah kelapa. Buah yang gugur sendiri atau terlalu tua juga boleh di gunakan. Proses pertama yang dijalankan adalah unetuk membuang sabut kelapa dengan alat tradidional dipanggil sebagai 'Penyadap Kelapa'. Kulit atau sabut kelapa di kupas sehingga menjadi kelapa bulat tanpa sabut. Kelapa bulat ini akan di pecahkan dan dikeluarkan airnya dengan sebaiknya dipecah kepada dua bahagian dengan cara mengetuknya. Selepas 2 hari isi yang agak kering mudah di kopek. Isi kelapa akan di kupas atau dicungkil keluar dari tempurung dan diasingkan atau dikumpulkan. Isi kelapa ini akan dikeringkan untuk membuang kandungan air dengan 3 cara. KAedah pertama dengan di jemur di bawah cahaya matahari sehingga kering (Sun drying) atau di salai (Smoked) atau di panaskan menggunakan alat pengering (Kiln). Alat pengering atau 'heat burner' berkuasa disel cepat menghasilkan kopra walau pun kos agak tinggi berbanding dengan kaedah pengeringan menggunakan cahaya matahari.

Kaedah menjemur dibawah cahaya matahari memerlukan masa selama 3-5 hari atau maksima sehingga 7 hari. Bahagian isi (yang putih) perlu di hadapkan kepada cahaya matahari kerana ini akan mengelakkan pertumbuhan kulat (molds) yang akan menjejaskan kualiti kopra yang dihasilkan. Kaedah pengeringan kopra ini kini di gabungkan antara proses menjemur dibawah cahaya matahari dengan mengeringkan dengan alat pengering selama 8 jam untuk dapatkan hasil kopra terbaik. Sama ada dijemur kemudian di masukkan dalam alat pengering atau sebaliknya didapati kaedah yang sesuai dijalankan. Kalau dimasukkan dalam alat pengering isi kelapa akan cepat jadi keras dan jika dijemur dulu kejadian serangan kulat pula akan menjejaskan kualiti. Pengeringan menggunakan kaedah mengasap pula akan menghasilkan aroma dan risiko terbakar serta pengerinag  kopra yang tidak seragam atau tidak sempurna.

Pemerhatian penulis di beberapa pusat memproses kelapa kopra mendapati pelbagai aktiviti sampingan kini dijalankan seperti memproses air kelapa menjadi 'Nata de Cocoa', memproses sabut kelapa kepada 'Cocoapeat', memproses tempurung kelapa kepada 'Activated Charchoal' dan pelbagai produk lain yang tidak dapat saya senaraikan. Pokok kelapa merupakan tanaman yang sangat banyak gunanya walau pun ianya dikategorikan sebagai tanaman yang memberikan pulangan sedikit berbanding dengan tanaman Kelapa Sawit, Getah dan tanaman makanan yang lain. Proses membuat kopra dilakukan oleh petani dikawasan kebun atau ladang berhampiran rumah. Mereka menjalankan aktiviti ini secara tradisional semenjak beratus-ratus tahun dahulu walau pun di Malaysia kini telah berubah. Pemilik tanaman kelapa kini ramai yang memajakkan kebun kelapa kepada syarikat atau pengusaha untuk memetik hasil yang akan di jual segar atau diproses membuat kopra.

Kopra yang cukup kering akan di proses untuk menghasilkan minyak kelapa menggunakan mesin khas iaitu Mesin Ekstrak Minyak. Kopra mengandungi 63-70% minyak kelapa dan 30% hampas kopra (copra meat). Minyak kelapa mentah yang dihasilkan akan di kumpulkan dan di proses penulinan (refinery process) sehingga menjadi produk akhir minyak kelapa yang di tinkan atau di botolkan mengikut kehendak pasaran. Minyak kelapa ini merupakan minyak kelapa ORGANIK kerana kebanyakkan tanaman kelapa dan proses membuat minyak kelapa merupakan aktiviti yang boleh dikatakan melalui proses organik. Hampas kopra pula merupakan bahan yang sangat baik untuk digunakan sebagai makanan ternakan ruminan kerana mengandungi zat protin yang agak tinggi iaitu sebanyak 22-24% protin serta 8-12% minyak. Produk ini sangat sesuai untuk program penggemukan ternakan lembu pedaging dan juga makanan kuda.

Selain daripada memproses kelapa kepada kelapa Kopra kini pemproses kelapa untuk dijadikan 'Minyak Kelapa Dara' atau 'Virgin Coconut Oil' merupakan satu aktiviti yang memberikan keuntungan kepada sektor industri tanaman kelapa. Mnyak ini yang mengandungi pelbagai khasiat baik untuk kesihatan mendapat galakkan yang sewajarnya daripada kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai usahawan minyak kelapa dara. Filipina , Indonesia dan India merupakan dua negara yang banyak menghasilkan produk minyak kelapa dara. Industri ini di Malaysia perlu di perhebatkan lagi selain daripada menggunakan hasilan kelapa untuk membuat santan segar, kopra, minuman kelapa muda, pembuatan nata de cocoa dan lain-lain lagi. Semuga industri tanaman kelapa di Malaysia akan terus menjadi komoditi yang mendapat kejayaan pada masa akan datang.


KELAPA DI PROSES...KELAPA KOPRA....
KOPRA DI PROSES...MINYAK DIKIRA....
MINYAK ORGANIK...'SOM' DIPOHON SEGERA...
PRODUK DISEDIA...JUAL SELURUH DUNIA...


ARTICLE YOU MAY LIKE:
1. Benih Kelapa Matag (Klik disini)
2. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
3. Cocopeat (Klik disini)
4. Coconut (Click here)
5. VCO Technology (Click here)

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Istana
Air Keroh
Melaka
Malaysia
(Jumaat - Cuti Rehat hari ni...)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.