Tuesday, June 14, 2011

Jintan

Jintan Manis
JINTAN atau Jintan Manis (Carum carvi) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga APIACEAE yang memang popular dikalangan masyarakat Malaysia khususnya orang Jawa di Muar, Johor. Saya mengenali jintan manis dan jintan putih semenjak kecil lagi apabila disuruh beli dari kedai untuk buat Rempeyek iaitu kueh kegemaran semarsa Hari Raya Puasa. Kini saya sering masak daging sate menggunakan jintan sebagai salah satu ramuan istimewa dan juga salah satu ramuan penting untuk masak 'Ayam Ungkep' selain daripada Ketumbar. Nama lain bagi jintan adalah seperti Karauya (Arab), Ge Lu Zi (China), Caraway (English), Kummel (Germany), Hime Uikyou (Jepun), Kaerowei (Korea) dan Thiam Thakap (Thailand). Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia barat, Eropah dan juga Kawasan Afrika Utara. Artikel ini saya terpanggil untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" setelah puas saya membaca sebanyak 3 buku 'Bontani Tanaman Tropika' berkaitan tanaman jintan dan banyak membuat rujukan dari laman sesawang (website) lain bagi menulisnya untuk bacaan anda semua.

Jintan Putih
Tanaman Jintan Manis (Carum carvi) ini adalah berbeza dengan Jintan Putih (Cuminum cyminum) dari segi spesis dan juga buahnya walau pun dari keluarga (Plant Family) yang sama. Jintan Putih juga di kenali sebagai Cumin (English), Kamun ; Komaun  (Arab), Ou shi luo (China), Komijn (Belanda), Jiira ; Zeera (Hindi), Jinten ; Jinten Putih (Indonesia), Cuminho (Portugis), yee ra ; Thian Khao (Thailand) dan Comino (Sepanyol). Jintan putih juga merupakan rempah yang digunakan sama seperti jintan manis cuma bezaya Jintan Putih berwarna cerah dan agak halus sementara Jintan manis berwarna Gelap dan lebih besar. Kalau nak goreng keladi, Goreng ikan bilis memang sedap kalau di tambah jintan sebagai ramuan istimewa. Harga di pasar menunjukkan tidak banyak perbezaan antara jintan manis dengan jintan putih tetapi lazimnya jintan putih agak lebih mahal sedikit. Jintan dijual dalam bungkusan plastik seberat 50-100 gram atau kadang-kadang kita boleh beli secara pukal dengan ditimbang dahulu mengikut kuantiti yang kita hendak.  


Tanaman Jintan Manis (caraway) sekali pandang adalah macam pokok lobak (Carrot) iaitu mempunyai batang menegak dengan ketinggian batang 20-30 cm dan berdaun halus seperti jarum. Ketinggian pokok sehingga peringkat berbunga adalah lingkungan 40-60 cm dari tanah. Dahanya adalah jenis lembut dan bercabang dimana hujung dahan akan berpecah untuk menghasilkan daun dan bunga. Daun sepanjang 5-10 cm yang berbentuk 'pinnate' atau 'bipinnate'  dan halus seperti 'Benang' ini keluar dari tangkai berwarna hijau. Bunga tanaman jintan manis berbentuk kudup (umbell) dengan seakan bulu berwarna putih didalamnya sehingga ianya terbuka. Apabila kudup pecah akan keluar bunga putih (kadang-kadang berwarna pink bagi jintan putih). Buah jintan adalah jenis bujur menirus (Lateral fusiform) atau berbentuk bujur (Ovoid acne) berukuran 4-5 mm panjang (halus). Satu buah mengandungi satu biji jintan. Biji jintan manis dan jintan putih berbentuk bujur yang tajam dikedua-dua hujung berwarna coklat kehitaman apabila cukup kering.


Penanaman jintan menggunakan biji benih yang dipastikan yang subur dan terus di tabur diatas tanah yang telah siap di bajak. Penanaman jintan mengikut musim sesuai iaitu musim bunga atau musim panas. Elakan dari musim hujan kerana benih yang ditabur akan hanyut. Pembajaan dan kawalan musuh dan perosak dijalankan. Antara masaalah penyakit dihadapi ialah serangan Penyakit Antraknos (Mycosentrospora acerina) yang menyerang bahagian daun dan batang menyebabkan pokok akan rebah. Kawalan dijalankan dengan mengurangkan kadar kelembaban atau kerosakan akibat  'water-logged' dan mengurangan pengurangan baja Nitrojan. Kaedah mengurangkan kadar benih daripada 8 kg kepada 4 kg sehektar juga membantu mengurangkan kadar searangan antraknos. 


Tanaman jintan mengambil masa antara 2.5 - 3 bulan untuk matang dan lama untuk menuai hasilnya bergantung kepada musim penanaman. Penanaman musim panas agak cepat berhasil berbanding dengan penanaman pada musim bunga kerana sinaran matahari yang mencukupi. Kajian di Belanda mendapati hasil pengeluaran jintan antara 600 kg sehektar sehingga 25,000 kg sehektar bergantung kepada kesuburan tanah, cuaca, pengurusan dan lokaliti. Jarak tanaman 12 cm - 36 cm dalam dua barisan akan menentukan kuantiti hasil yang keluar. Penuaian jintan di Eropah lazim menggunakan jentera dan buah jintan akan dikumpulkan dan dikeringkan sebelum dijual. Malaysia mengimpot jintan ini dari luar negara setiap tahun sebagai rempahratus daripada beberapa negara pengeluar utama seperti China, India dan beberapa negara pengeluar lain.


Jintan juga di proses untuk mendapatkan minyak Jintan yang dipanggil 'Carvone' dan 'Limonene' yang digunakan dalam aroma therapy dan pelbagai fungsi perubatan serta untuk minyak wangi. Jintan juga digunakan sebagai rempah dalam pembuatan roti (Breads) terutama 'Roti Rye' di Eropah dan sangat popular. Roti Rye yang dicampor dengan jintan (yang mengandungi limonene) menyebabkan melambatkan pertumbuhan yis dan akibatnya roti rye akan menjadi padat. Dari segi perubatan jintan membantu membunuh cacing dalam perut manusia yang diambil dari bahagian daun yang telah dikeringkan. Nahan jintan juga di proses untuk ramuan sabun mandi, minyak wangi dan lotion badan.  Daun kering juga ada yang di jadikan sebagai teh untuk minuman semantara akar pokok jintan di makan sebagai sayuran akar. Diharap artikel ini memberikan ilmu berguna kepada semua pembaca blob "Anim Agro Technology" kali ini.
Wasallam!


JINTAN MANIS...JINTAN PUTIH...
DIMALAYSIA...BELI YANG BERSIH....
RAMUAN UTAMA...MEMBUAT SATEH...
PERASA MAKANAN...PASTI BOLEH...

Related articles:
1. Kayu Manis (Klik disini)
2. Daun Saderi (Klik disini)
3. Ketumbit Jantan (Klik disini)
4. Ketumbar (Klik disini)
5. Buah Keras (Klik disini)
6. Buah Pelaga (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist
Persint 11
Putrajaya
Malaysia
(Kemaskini pada 24 Mei 2013)      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.