Saturday, April 2, 2011

PAKU RAWAN


PAKU RAWAN (Limnocharia flava L.) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga BUTOMACEAE yang terdapat di Malaysia yang dikategorikan sebagai sayur-sayuran dan di makan bahagian daun serta tangkai daun muda. Tumbuhan ini juga mempunyai gelaran lain iaitu Limnocharia emarginata dan Limnocharia plumeiri. Nama-nama lain tumbuhan ini adalah seperti Sawah Lettuce ; Velvet Leaf ; hermit's waterlily (English), Genjer ; bangeng ; eceng (Indonesia), Paku Rawan ; Emparuk ; Jinjir (Malaysia), Kaanz choong (Laos) dan bon-chin ; talapatrusi ; nangkwak (Thailand). Di kampong saya di Muar, Johor kita panggil tumbuhan ini sebagai 'Chentongan'. Kajian saya mendapati tidak maklumat rasmi mengenai keluasan dan pengeluaran paku rawan di Malaysia dan kawasan di Asia Tenggara kerana tanaman ini tidak ditanam secara komersial. Artikel ini saya berkongsi maklumat mengenai teknologi tanaman paku rawan berdasarkan kepada pembacaan buku teknologi lama dan pengalaman penulis sendiri ketika bertugas sebagai AO Daerah selama 30 tahun.


Tumbuhan yang berasal dari kawasan tropika Amerika Selatan ini di bawa ke kawasan Asia Tenggara dan terdapat di Indonesia, Malaysia, Thailand, Myanmar dan Sri Lanka sebagai tumbuhan untuk dimakan sebagai sayuran terutama pucuk muda. Bahagian daun yang agak tua rasanya adalah pahit dan jarang di makan. Tumbuhan ini dikutip dan di jadikan makanan khinzir dan makanan ikan. Tumbuhan ini yang tumbuh dalam sawah padi akan di bajak putar dan dihancurkan untuk menjadi baja kompos apabila berlaku proses pereputan. Saya masa kecil dulu memang suka makan tumis 'pucuk chentongan' atau paku rawan yang di tumis dengan bawang , cili api, garam dan makan dengan nasi panas (Lihat foto atas). Tumbuhan ini hidup dalam parit kebun di sebelah rumah dan kawasan sawah di Skim Pengairan Sawah Ring, Muar.


Pokok paku rawan adalah jenis tumbuhan akuatik yang tumbuh di kawasan berair seperti dalam sawah padi, kolam, parit, taliair, tasek dan paya yang airnya bersih. Tumbuhan naik menegak dengan ketinggian 20-100 cm , lacticferrous dan mengeluarkan anak (tillering). Daun berwarna hijau, berbentuk rozet dan panjang tangkai 5-75 cm serta keluar dari pangkal pokok. Daun yang berukuran 5-30 cm x 4-25 cm ini berbentuk orbicular dengan banyak mempunyai bintil ruang udara. Akar tumbuhan ini jenis akar serabut halus dan banyak. Bunganya adalah umbelliform berwarna kuning dengan bilangan 3-15 kuntum bagi setiap tangkai bunga. Buah paku rawan adalah buah kompoun dengan ukuran garispusat 1.5-2 cm berwarna coklat gelap dan mengandungi banyak biji benih. Uniknya biji benih berbentuk sepertu 'kuda' berwarna coklat gelap dan berukuran 1-1.5 mm panjang. Biji ini akan mudah tumbuh apabila jatuh di atas air secara semulajadi untuk proses pembiakan.


Kandungan zat dalam setiap 100 gram paku rawan adalah air (97 g), Lemak (1 g), Karbohiderat (0.5 g), Vitamin A (5,000 IU), Vitamin B1 (10 IU) dan kandungan tenaga sebanyak 38 kilojoule. Tumbuhan ini tumbuh diatas tanah yang mengandungi air seperti sawah padi dan sesuai dengan ketinggian sehingga 1,300 meter dari paras laut. Tanaman ini boleh di tanam sepanjang tahun melalui sulur anak (layering) atau biji benih. Tanah yang subur dan perlu diberi baja (Lazimnya baja organik dengan kadar 10 mt/ha) kira-kira 1-2 minggu sebelum menanam. Jarak penanaman disyorkan adalah 80 cm x 80 cm (empatsegi sama) dan ianya mudah diatas tanah sawah. Penanaman dalam kawasan sawah padi dapat di tuai cepat iaitu 2-3 bulan selepas menanam.


Penuaian dijalankan seberapa kerap selepas 2-3 bulan dengan memotong bahagian pucok muda dengan pisau tajam dan di bersihkan sebelum diikat. Jangan dibiarkan paku rawan dibiarkan terlalu lama tidak dituai kerana tumbuhan akan menjadi padat dan merosakkan kualiti tanaman. Pucuk yang telah diikat perlu dihantar segera ke pasar untuk dijual kerana ianya tidak tahan lama dan perlu di masak ketika segar untuk mendapatkan rasa aslinya. Penanaman paku rawan biasanya dijalankan sebagai sampingan dan kecil-kecilan di belakang rumah di Indonesia, Thailand dan Malaysia untuk pasaran yang khusus.


NAMA CHENTONGAN.....DIPANGGIL PAKU RAWAN.....

MUDAH DI TANAM....DI SAWAH DAN TERUSAN....

MASAK TUMIS PEDAS....SEDAP DI MAKAN....

SIAPA BELUM RASA....CARILAH DI PASARAN...


By,

M Anem

Pct 11

Putrajaya

Malaysia



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.