Sunday, April 17, 2011

LIMAU GEDANG

LIMAU GEDANG (Citrus paradisi Macfad) merupakan sejenis limau dari keluarga RUTACEAE yang tumbuh di kawasan tropika dan sederhana di seluruh dunia. Limau Gedang adalah nama biasa bagi limau ini baagi kawasan di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia. Nama diberikan ialah 'Grape Fruit' yang buahnya seperti buah limau bali atau Pomelo (Citrus maxima) tetapi saiznya dan teksturnya agak berlainan. Limau ini paling banyak di tanam dan dihasilkan di USA dengan pengeluaran 1.6 juta metrik tan setahun diikuti dengan China (567,000 mt/tahn) dan Afrika Selatan (470,000 mt/tahun). Jumlah pengeluaran limau gedang didunia sebanyak 5.06 juta metrik tan setahun. Malaysia menanam lingkungan 180-220 hektar setahun limau gedang. Artikel ini akan membentangkan tanaman limau gedang berdasarkan bacaan dari buku dan maklumat rujukkan dari laman sesawang.

Pokok Limau Gedang adalah jenis pokok menegak yang mempunyai banyak cabang dengan ketinggian sehingga 4.5-6 meter atau jika terlalu tua mampu mencapau 13 meter. Dahannya banyak dengan ukurlilit batang 15-20 cm dan mempunyai daun berwarna hijau gelap berukuran 7.7-15 cm panjang dan 4.5-7.5 cm lebar. Warna daun agak hijau cerah di bahagian bawah dan permukaan daun agak berkilat seolah2 berminyak. Bunga limau gedang berwarna putih dengan mempunyai 4 kelopak dan bersaiz 4 -5.5 cm garispusat. Buah Limau Gedang berbentuk bulat atau bulat leper berbagai bentuk dan mempunyai kulit yang agak tebal. Saiz buah berbeza-beza ikut varieti dan pengurusan lazimnya 10-16 cm garispusat dengan warna kulit buah hijau, kuning, pudar lemon dan sebagainya. Kulit buah juga berjus dan mempunyai aroma wangi yang kuat. Isinya sama ada padat atau 'spongy' berwarna kuning, keputihan, pink atau pucat berjus dengan rasa asid citrus bila cukup masak. Biji limau gedang adalah 'Polyembryonic'.


Di Malaysia saya telah membuat kajian di Jabatan Pertanian dimana terdapat 4 jenis Klon atau Varieti Limau Gedang yang telah di daftarkan semenjak tahun 1949 (63 tahun dulu). Klon tersebut adalah GF 4, GF 5, GF 6 dan GF 7. Klon GF 4 telah didaftarkan pada tahun 1949 oleh Jabatan Pertanian Pahang yang masa itu ditanam di Pusat Pertanian Kuala Lipis , Pahang. Buah klon ini bersaiz besar, kulit yang berwarna hijau dan lapisan kulit agak tebal. Isinya kurang berair dan rasa yang agaak masam seperti buah limau pomelo yang belum masak. Klon GF 5 telah di daftarkan pada 30.11.1949 oleh Jabatan Pertanian yang mana pokoknya ditanam di Pusat Pertanian Gajah Mati, Alor Setar, Kedah. Buahnya besar dan kulitnya berwarna hijau kekuningan. Kulitnya sangat tebal dan mempunyai rasa yang sederhana sedap. Klon GF 6 juga di panggil dengan nama tempatan 'Mac Charity' didaftarkan pada 10.3.1955 di Pusat Pertanian Degong, Perak. Buahnya besar berwarna hijau kuning. Permukaan kulitnya berlubang2 atau lekuk2 dan agak tebal. Isinya kurang berair dan kualiti buah adalah sederhana. Klon GF 7 dikenali sebagai 'Duncan' didaftarkan pada 24.9.1955 di Pusat Pertanian Gajah Mati, Alor Setar, Kedah. Rupa buahnya sangat menarik tetapi kulit agak berkedut sedikit di bahagian dekat tangkai. Kini saya tak pasti pokok induk itu masih ada lagi atau tidak. Kena cek ...

Penanaman Limau Gedang menggunakan anak benih yang sihat telah disahkan tidak membawa penyakit Citrus Greening Disease (CGD). Lazimnya anak pokok penanti menggunakan pokok dari biji benih limau masam atau yang disyorkan sebelum di cantum dengan sion dari pokok limau gedang yang telah di kenalpasti. Pastikan kawasan penanaman sesuai untuk penanaman komersial seperti mempunyai cahaya matahari 100% dan tanah yang mempunyai saliran yang baik. Bagi penanaman di Malaysia pastikan tidak ada serangan CGD berhampiran. Jarak penanaman kena jauh sedikit dari cara penanaman Limau Manis (Citrus suhuensis) iaitu lebih 6 meter.

Pembajaan dan kawalan rumpai adalah serupa dengan Amalan Agronomi Tanaman untuk tanaman Limau Manis. Pembajaan peringkat awal dengan baja organik sebanyak 4-6 mt/ha dan baja NPK 15:15:15 mengikut jadual pembajaan yang disyorkan. Apabila sampai umur berbunga gunakan baja NPK 12:12:17:2 dan jalankan cantasan mengikut manual tanaman. Pengawalan rumpai adalah penting dan pastikan tumbuhan preumah untuk pembawa virus CGD di musnahkan 'Leaf Hopper' (Diphorina spp). Buang dahan-dahan yang kurang sihat dan sentiasa buat sanitasi kebun dengan sempurna.

Pokok yang subur dan di jaga dengan baik akan berhasil 36-40 bulan selepas tanam walau pun ada pokok yang berbuah lebih awal. Pastikan proses pembentukan bunga dan buah di awasi untuk memgelakkan dari kerosakan akibat serangan musuh dan penyakit. Buah yang hampir masak di tuai dengan memungut atau mamotong tangkai mengikut indek kematangan. Buah di kumpulkan dan digredkan sebelun di jual. Pokok limau gedang perlu sentiasa di awasi penjagaannya kerana musuh dan penyakit mudah menyerang tanaman ini di Malaysia.


'GRAPEFRUIT'... ITU LIMAU GEDANG....
SUKAR DITANAM....WALAU DI LADANG....
KHASIAT BANYAK....AROMA TERBILANG....
TAK TANAM...BACA BERULANG-ULANG....

By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Ahad petang 17.4.2011)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.