Saturday, April 9, 2011

KETUMBIT JANTAN




KETUMBIT JANTAN (Emilia sonchifolia L) adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh di Malaysia dari Keluarga COMPOSITAE yang digunakan sebagai ulam segar. Tumbuhan ini dipercayai oleh masyarakat di Asia Tenggara dapat menyembuhkan beberapa penyakit seperti demam, batuk dan cirit birit, sakit tekak dan mengurangkan bengkak-bengkak. Titisan air ketimbit jantan kepada mata dan telinga juga sangat berkesan. Nama lain bagi tumbuhan ini ialah Emilia ; Cupid Shaving Brush ; Sow thistle (English), Emilie (Peranchis), Patah Kemudi ; Kemendilan ; Jonge (Indonesia), Ketumbit Jantan ; Setombak Merah (Malaysia), Tigulinau ; Lamlampaka ; Pisowa-pisowa (Filipina), Smau reang chuk ; phakdaeng (Thailand) dan rau chual (Vietnam). Artikel kali ini saya M Anem akan menulis teknologi tanaman Ketumbit Jantan (Emilia sonchifolia) berdasarkan kepada 2 buah buku teknikal dan carian dalam laman web serta pengalaman dibidang pertanian selama 30 tahun.


Tumbuhan Ketumbit Jantan ini adalah jenis kategori rumpai (weeds) yang terdapat di kawasan tropika seperti Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tenggara. Spesis yang terdapat di Afrika adalah Emilia cassini yang taksonominya ada berbeza dengan yang ada di Malaysia dari segi saiz, bentuk daun dan bentuk bunga. Walau pun tumbuhan ini mudah tumbuh sendiri tetapi terdapat usaha menanam tumbuhan ini secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri terutama di kawasan perkampongan tradisional. Penanaman secara komersial saya belum jumpa untuk tanaman ketumbit jantan.



Tumbuhan Ketumbit Jantan tumbuh menegak dengan ketinggian antara 10 -150 cm tinggi dengan cabang pada pangkal pokok dan mempunyai akar yang panjang jauh dalam tanah. Batang yang berwarna keunguan iniberbentuk selinder dengan 2-3 mm garispusat yang padat dan bukanya 'lacticiferous'. Daun yang berwarna hijau gelap ini berukuran 4-16 cm x 1-5 cm lebar yang keluar secara bersilang. (Lihat rajah bentuk daun). Bunganya berbentuk jambak atau 'corymb' yang mengandungi sebanyak 20-45 bunga didalamnya berukuran 8-17 mm x 4-5 mm berwarna hujau ungu atau putih. Buah berbentuk 'linear oblongoid' berwarna kecoklatan yang berukuran 3 cm panjang yang mempunyai struktur rambut berukuran 6-9 mm panjang. Tumbuhan ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun.



Tumbuhan ini adalah mudah tumbuh di tepi jalan, tepi parit, dalam kebun, keliling rumah, pinggir hutan, dalam ladang getah, ladang kelapa sawit dan banyak kawasan asalkan ada tanah yang sesuai. Ia mampu tumbuh bersama-sama rumpai lain disekelilingnya dan sistem akarnya yang panjang menyebabkan ketumbit jantan tahan daripada keadaan kemarau dan cuaca panas. Walau pun tumbuhan ini dikelaskan sebagai rumpai di Malaysia tetapi kajian saya mendapati tumbuhan ini bukan dari jenis yang membahayakan dan memudaratkan tanaman kita di kebun. Saya juga ada membuat pemerhatian dimana bunga atau buah atau biji benih nya disebarkan dengan mudah kekawasan lain. Biji benihnya yang kecil dan ringan membolehkan ia diterbangkan oleh angin kepada satu jarak yang jauh. Apabila benih tiba di tanah dan mendapat air ianya akan mudah tumbuh. Lihat foto di bawah untuk biji ketumbit jantan.



Tumbuhan ini belum ada nilai komersial kecuali perkara yang saya sebut diatas. Kajian mengenai nilai ekonomi tumbuhan ini boleh di jalankan dengan lebih lagi seperti kajian untuk mengetahui khasiat yang ada serta kemungkinannya untuk dijadikan herba alam semulajadi badi makanan kesihatan. Walau pun literatur lama ada merujuk Ketumbit Jantan sebagai sejenis sayuran dahulu tetapi kini semakin kurang kalangan rakyat Malaysia yang mengetahuinya kerana arus permodenan yang dilalui.

WauAllah hualam!



TUMBUHAN BERNAMA....KETUMBIT JANTAN....

ORANG DULU-LULU...DIBUAT ULAM.....

KINI DIKATA RUMPAI.....NASIB BADAN....

APA NAK BUAT.....RAMAI TAK PERASAN....


By,

M Anem

Pasar Borong Selangor

Puchong

Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.