Thursday, February 3, 2011

NANGKA

NANGKA (Artocarpus heterophyllus) adalah sejenis buah-buahan popular dari keluarga MORACEAE yang di tanam di Malaysia untuk di makan segar dan dii proses. Terdapat seluas 3,962 hektar tanaman nangka pada tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 27,459 metrik tan (Sumber Laporan statistik Jabatan Pertanian 2010). Negeri Pahang merupakan paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 669 hektar diikuti dengan Negeri Johor (515 hektar) dan Sarawak (481 hektar) pada tahun 2010. Daerah Temerloh di Pahang merupakan paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 225 hektar diikuti Daerah Kota Tinggi di Johor (192 hektar) dan Daerah Bera di Pahang (181 hektar). Tanaman nangka diusahakan secara komersial sebagai tanaman tunggal (monocrop) atau tanaman campuran dengan buah-buahan lain. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat dengan pembaca teknologi tanaman nangka berasaskan kepada pembacaan, pengalaman dan kajian persendirian mengenai tanaman nangka.

Nangka adalah tanaman saka yang mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencapai 15-20 meter. Daun nangka berwarna hijau gelap dan agak tebal serta mempunyai getah. Buah nangka terbentuk selepas pendebungaan yang keluar dari dahan dan batang pokok. Buah nangka adalah berbentuk bulat lonjong berwarna hijau ketika putik dan kuning kehijauan apabila masak. Bahagian ira nangka yang di makan lazimnya berwarna kuning kemerahan bergantung kepada varieti. Biji nangka berbentuk bulat dan mengandungi isi warna putih. Buah Nangka yang masak sering mengeluarkan getah (latex) yang melekit ketika di kupas untuk mengeluarkan isinya. Isi nangka biasanya manis dan sesuai dimakan segar atau boleh diproses sebagai 'minimum process' dan disejukkan dalam peti sejuk. Buah nangka juga di proses untuk dijadikan "Vaccum Fry of jackfruit chip" dan mendapat pasaran sangat baik. Saya sangat minat makan nangka segar walau ada yang kata makan nangka nanti ' banyak angin' apa lagi kalau makan kerepek nangka vacuum fry.

Tumbuhan nangka sesuai ditanam diatas tanah lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Kawasan mesti terbuka dan mendapat cahaya matahari yang mencukupi untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembungaan. Elakkan dari memilih kawasan yang mudah tenggelam atau banjir kerana tanaman nangka tidak tahan terendam dalam aie melebihi 4-8 jam dan akan mati. Tanah perlu dibajak atau di bersihkan dari semak samun sebelum menanam untuk mendapatkan kesuburan pokok yang optima dan sediakan sistem pengairan dengan sempurna. Pasang pagar untuk mengelakan serangan binatang liar dan ternakan serta potensi kecurian dari penceroboh.


Nangka di tanam menggunakan anak benih dari varieti atau klon nangka terpilih. Penyediaan anak benih nangka dijalankan dengan mengenalpasti dan mengesahkan varieti pokok induk (Jabatan Pertanian ada Skim Pengesahan Pokok Induk Tanaman Nangka). Pilih buah yang telah cukup matang dan keluarkan bijinya. Biji yang sesuai di masukkan dalam tapak semaian sehingga bercambah dan kemudian dipindahkan kedalam polibeg. Anak benih nangka juga boleh di buat cantuman kepada anakbenih dengan klon terpilih. Jika hendak beli anakbenih nangka dapatkan dari Jabatan Pertanian atau lain2 organisasi kerajaan atau pembekal benih swasta yang telah disahkankan ketulinan varietinya. Harga anak benih nangka lingkungan RM 3.00 (Jabatan Pertanian) hingga RM 15.00 sepokok (swasta) bergantung kepada verieti/klon , saiz pokok, jumlah dibeli dan kualiti anakbenih.



Sediakan lubang penanaman dengan jarak 9 meter x 9 meter untuk memberikan kepadatan tanaman nangka sebanyak 123 pokok sehektar. Pengalaman penulis mendapati jarak tanaman penting bagi mempastikan kanopi pokok nangka mencukupi bagi mendapatkan sinaran matahari dan pengudaraan. Anakbenih yang sihat dan bebas dari sebarang penyakit ditanam dalam lubang yang telah dibubuh baja asas (MOP) dan baja organik (Tahi ayam) dengan kadar disyorkan. Pastikan menanam tidak terlalu dalam kerana jika air bertakung dalam lubang penanaman anakbenih akan mati. Tutup anakbenih dengan daun kelapa atau lain2 bahan dan jalankan penyiraman. Tandakan dengan pancang untuk memudahkan pemeriksaan. Lazimnya kawasan keliling tanaman nangka ditanam dengan tanaman kontan seperti pisang, betik, sayur-sayuran, jagung, keladi dan sebagainya sementara menunggu pokok nangka membesar.


Selepas menanam perlu dijalankan pemeriksaan anak pokok untuk mempastikan hanya tunas klon nangka dibenarkan tumbuh. Sering berlaku dimana tunas pokok penanti (Biasanya lebih cepat membesar dan vigorous) lebih tinggi dibiarkan dan menjadi pokok sedangkan tunas klon terpilih bersaiz kecil. Buang tunas pokok penanti dan benarkan tunas klon yang membesar dan buat pemeriksaan dengan teliti. Cantasan Pembentukan di mulakan semenjak awal lagi dengan membuang dahan (Fan shape - terutama klon nangka mastura) sekurang-kurangnya 2 kaki dari paras tanah. Ini akan memudahkan kerja-kerja pengurusan pokok nangka kemudian kelak seperti merumput, membaja, mengawal penyakit dan memetik hasil. Buah yang terlalu rendah juga mudah di serang binatang dan kotor.


Beberapa klon atau varieti popular nangka di Malaysia yang sesuai dan disyorkan ditanam adalah seperti Klon J29, Klon J30, Klon J31, Klon Tekam Yellow, Klon Mastura, Klon Mantin dan Klon Kristal. Terdapat lebih 25 klon nangka yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian semenjak 1936 (Baca artikel saya mengenai klon nagka didaftarkan dengan Jabatan Pertanian). Klon nangka J29 mempunyai saiz besar melebihi 10 kg sebiji dengan kulit berwarna kuning dan isi kuning kemerahan. Lain-lain nangka yang belum didaftarkan seperti Nangka Uncle Hong, Nangka Madu ( di dakwa sebagai J33) dan beberapa yang lain. Klon J21 pula kecil sedikit dan sesuai untuk diekspot kerana ciri-ciri rasa manis, tahan dan disukai pengguna. Klon nangka mastura tahan kepada penyakit mati pucuk dan isinya agak berair serta 'crispy'. Saya telah merasa kesemua jenis klon nangka tersebut dan amat mengemari Klon Mastura dan mantin.



Program pembajaan tanaman nangka dimulakan semasa mula menanam iaitu dengan masukkan CIRP dan baja organan kedalam lubang penanaman. Pembajaan dengan baja NPK 15:15:15 dengan kadar sebanyak 0.50 kg sepokok setahun diberikan setiap 3 bulan sekali pada tahun pertama. Kadar pembajaan semasa pembesaran (vegetative stage) ditambah kepada 1.0 kg/pokok/tahun pada tahun kedua, 1.5 kg/ pokok/ tahun pada tahun ketiga dan keempat. Pembajaan dengan baja buah NPK 12:12:17:2 sebanyak 1.5 - 2 kg sepokok setahun di berikan untuk menggalakkan penghasilan bunga dan buah. Baja organan sebanyaj 2-5 kg sepokok setahun diberikan untuk meningkatkan kesuburan tanah. Pastikan baja di tabur di sekitar kanopi pokok nangka (Bukan di perdu pokok). Terdapat petani di Johor yang menggunakan baja impot (Fast Release) seperti jenama Yara untuk menghasilkan buah nangka gred premium.


Musuh utama tanaman nangka adalah Lalat Buah (Bactocera spp) yang akan bertelur dan larvanya akan merosakkan kualiti buah. Kaedah kawalan perosak lalat buah adalah dengan membalut putik nangka ketika putik lagi dengan kain, kertas , plastik dan sebagainya. Alat Pembalut Putik Cempedak (APC-2) ciptaan kumpulan saya boleh digunakan untuk membalut putik nangka terutama jika putik tersebut agak tinggi. Penggunaan umpan protin dan methyl eugenol boleh dipraktikkan. Penyakit Mati Rosot yang disebabkan oleh Kulat (Erwinia spp) merupakan ancaman utama dalam industri tanaman nangka. Penyakit ini boleh memusnahkan keseluruhan pokok nangka jika tidak dikawal diperingkat awal. Tanda serangan bermula dari peringkat atas atau pucuk dan pokok akan keguguran daun seterusnya kering dan mati. Serangan penyakit Cendawan Angin (Erytricum simoncolor) menyerang pokok nangka dimana kulat disebarkan melalui angin dan memusnahkan pokok nangka. Pengalaman saya di Projek Nangka Mastura di Segamat dan di Jamaluang Mersing mendapati serangan babi hutan yang makan buah nangka merupakan masaalah utama dihadapi oleh petani.


Pokok nangka akan mula berbunga dan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam bergantung kepada faktur klon, kaedah pengurusan dan jenis tanah. Bunga akan keluar dari batang dan dahan pokok dan didebungakan oleh serangga seperti semut dan lain-lain serangga. Putik nangka perlu dibalut seawal mungkin untuk elakkan serangan lalat buah. Buat penjarangan buah dengan hanya membenarkan beberapa biji buah membesar untuk mendapatkan kualiti buah yang berkualiti. Kadar pengeluaran hasil nangka sekitar 12 - 15 metrik tan sehektar mengikut umur. Kajian saya mendapati walau pun secara teorinya pokok nangka boleh hidup selama lebih 20 tahun tetapi jika ditanam secara monocrop komersial dan kurang penjagaan pokok nangka cuma bertahan 6- 10 tahun sahaja. Pokok nangka yang di tanam sepokok dua di keliling rumah mampu hidup lama kerana mungkin faktur asap dapur atau bakar sampah dikeliling rumah (mengandungi nafthalene) yang megurangkan serangan serangga perosak dan kulat (Lihat foto sebelah).


Buah nangka yang matang akan dipetik dengan memotong tangkai buah dan di kumpulkan. Buah yang matang akan mengeluarkan bau wangi dan kulitnya agak licin dengan warna kulit agak hijau kekuningan. Buah yang matang di belah dua dan di keluarkan isinya untuk dimakan segar atau di simpan dalam suhu sejuk sebelum dipasarkan. Buang getah nangka dengan kertas atau kain dan getah yang melekat ditangan tersebut boleh dibuang dengan minyak masak atau petrol. Buah nangka muda sangat diminati untuk dijadikan sayuran. nangka muda (yang diambil untuk penakaian) di potong berbentuk kiub dan di makan sebagai ulam (selepas dicelur) atau di masak lemak dan sebagainya.


Teknologi terkini adalah menggoreng nangka yang hampir masak (indeks 4-5) untuk digoreng dengan teknologi "Vacuum Fry". Teknologi ini adalah teknologi dimana penggorengan dijalankan dalam keadaan suhu terkawal dalam tekanan tinggi dimana bau serta rasa asli nangka dapat dikekalkan selepas digoreng. Nangka vacuum fry dijual dengan harga RM 4.00 - RM 6.00 setiap 120-200 gram dan boleh di ekspot keluar negara. Thailand, Indonesia, India dan Vietnam antara negara yang banyak menghasilkan nangka gorengan vacuum fry (Baca blog saya mengenai teknologi penggorengan Vacuum fry untuk memahami proses penggorengan tersebut).


Teknologi tananaman nangka di Malaysia masih belum lengkap untuk mempastikan industri tanaman nangka berkembang. Artikel saya mengenai tanaman nangka (Blog berjudul Growing Jackfruit) mendapat lawatan paling banyak dari pelawat India dan merupakan tajuk yang sangat popular. Penghasilan klon dan varieti baru perlu dijalankan untuk menambahkan koleksi tempatan sedia ada. Klon-klon baru perlu di sesuaikan untuk pasaran domestik, sesuai untuk diproses dan tahan daripada serangan penyakit. Saya berpengalaman melawat kebun nangka yang luas di Jemaluang Mersing dan Kahang di Kluang dimana mereka mendakwa agak sukar untuk menjual nangka dengan kuantiti banyak ( 1-2 metrik tan) satu konsaimen untuk pasaran segar. Mereka dakwa masih ramai pengguna anggap makan nangka akan kembung perut sebab angin. Saya berharap banyak teknologi baru dapat disesuaikan dengan cara makan nangka, promosi pasaran dan pemprosesan nangka pada masa akan datang mampu memajukan industri tanaman nangka negara. Wasallam.



BACA ARTIKEL ... TEKNOLOGI TANAM NANGKA.....
KLON TERPILIH....HASIL BOLEH DI JANGKA....
AMALAN AGRONOMI...PENYAKIT DI JAGA...
BUAH TERHASIL....PENDAPATAN 4 ANGKA....


By,
M Anem
(14 tahun kerja di Johor)
Lebuh Air Keroh
Melaka
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.