Sunday, December 5, 2010

LUKAH


LUKAH merupakan satu alat menangkap ikan tradisional yang masih ada digunakan dikawasan luar bandar. Subuh ini penulis teringat mengenai satu alat menangkap ikan yang pernah dan lazim digunakan untuk menangkap ikan di kampong dulu yang di panggil sebagai LUKAH. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat mengenai teknologi pembuatan Lukah dan cara-cara menggunakan Lukah bagi mendapatkan ikan air tawar. Secara amnya Lukah ialah sejenis alat menangkap ikan di kawasan air tawar yang sesuai digunakan di tempat seperti tali air, sungai dan parit. Kampong saya di Muar Johor memang mempunyai anak sungai dan parit yang mengndungi ikan air tawar semulajadi. Antara anak sungai ialah Sg Parit Pelampong dan Sg Parit Bengkoak semantara parit seperti Parit Kulon, Parit Gunong Sari, Parit Gembok dan banyak lagi. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya berkongsi maklumat mengenai lukah sebagai bahan bacaan.


Lukah dibuat menggunakan buloh atau rotan yang terdapat dikawasan kampong yang berbentuk seakan-akan seperti bubu. Ia diperbuat daripada bilah rotan atau buluh yang disusun dan diikat hingga menjadi seperti sebuah bekas. Lukah mempunyai saiz panjang lebih kurang satu meter dengan garis pusat lebih kurang 20 hingga 30 sentimeter. Di bahagian hujung dalam lukah terdapat lubang untuk membolehkan ikan masuk di mana terdapat bilah rotan yang runcing dan tajam yang disusun menjadi seperti kon di sepanjang lalauan ikan. Ini menjadikan laluan tesebut semakin sempit dari lubang yang pertama sehingga lubang yang kedua. Terdapat jejari tajam pada bahagian hujung lubang yang kedua. Ia bertujuan untuk mengelakkan ikan daripada terlepas keluar melalui lubang yang sama.


Cara memasang lukan mesti betul dan tepat. Lazimnya cari lokasi dimana ada arus air atau lubuk ikan atau dilaluan ikan yang telah dikenalpasti. Bersihkan tempat meletak lukah daripada anak-anak kayu tetapi jangan merosakkan struktur asal dikeliling kawasan lukah. Biasanya tutup dibahagian atas lukah dengan anak-anak pokok dengan patahkan anak2 pokok seperti pokok senduduk untuk elakkan panas dari cahaya matahari selain daripada memberikan situasi semulajadi bagi ikan. Lukah boleh dipasang sama ada menghadap arus air masuk atau sebaliknya. Saya ingat dulu saya gunakan umpan yang dibungkus dalam kain sama ada umpan belacan atau perut ayam atau lain2 umpan yang menarik ikan untuk masuk lukah. Secara teorinya ikan berenang menongkah arus jika lukah diberikan umpan. Jika memasang lukah dengan banyak unit dan jauh dari rumah pastikan dibahagian belakang di apongkan untuk berikan udara kerana ikan yang terperangkap terutama ikan keli dan ikan putih perlukan udara untuk pernafasan. Jika lukah dibenamkan semua pintu lukah atau akan terperangkap di bahagian dalam lukah.


Ikan yang terhidu umpan dibahagian bawah arus akan datang dan mencari umpan dengan memasukki melalui pintu lukah. Biasanya lukah dipasang waktu petang atau pagi hari kerana terdapat jenis-jenis ikan yang aktif pada waktu siang dan ada yang aktif pada waktu malam. Periksa lukah setiap 24 jam untuk kawasan berarus terutama juka berlaku hujan lebat kerana banyak anak kayu atau daun akan menutup lubang lukah. Bersihkan pintu lukah jika tersumbat dan isi semula umpan. Cara mengutip ikan yang terperangkap adalah dengan membuka pintu belakang lukah yang juga berfungsi untuk mengeluarkan ikan daripada lukah pada bahagian paling hujung lukah.


Antara jenis ikan yang terperangkap seperti ikan keli, Ikan Putih, Ikan Patin, Haruan, Seluang, Udang, Belut, Ikan Tilapia dan maam-macam jenis lagi. Kadang-kadang terdapat ikan yang musnah dmakan oleh ikan jenis lain jika lambat dikutip. Kisah ini merupakan kisah saya mengaplikasikan teknologi menangkap ikan air tawar menggunakan lukah ketika zaman muda dulu dikampong. Memang seronok dapat makan ikan air tawar yang segar dan boleh dikira ikan organik. Penggunaan lukah untuk menangkap ikan masih relevan dalam masyarakat luar bandar untuk menambahkan bekalan protin daripada ikan air tawar. Semuga generasi baru kita akan mengenali alat menangkap ikan dinamakan lukah. Wasallam!


Lukah ditepi sungai yang sering digunakan.

MEMASANG LUKAH ...MENANGKAP IKAN...
LUKAh BULOH....MUDAH DISEDIAKAN...
NAK LEBIH BERKESAN...BERIKAN UMPAN...
IKAN SEGAR ...SEDAP DI MAKAN...

By
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok,
Gersik, Muar/Ledang,
Johor, Malaysia.
(Kemaskini 29 September 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.