Monday, October 4, 2010

Penyakit Tembikai

TEMBIKAI (Citrulus lunatus) adalah sejenis tanaman dari keluarga Cucurbitaceae yang popular di tanam di seluroh dunia termasuk di Malaysia. Keluasan tanaman ini pada tahun 2009 adalah sebanyak 11,270 hektar dengan pengeluaran sebanyak 228,880 metrik tan dimana ianya untuk di ekspot dan kegunaan domestik. Menanam tembikai adalah satu aktiviti pertanian yang mempunyai risiko tinggi di Malaysia kerana keadaan cuaca yang panas dan lembab menyebabkan penyakit mudah menyerang tanaman ini. Artikel kali ini penulis akan terus membincangkan beberapa masalah serangan penyakit dan perosak yang dihadapi oleh petani dalam "Anim Agro Technology" berdasarkan pengalaman penulis dan pembacaan dalam teknologi penanaman tembikai di Malaysia.

Tanaman tembikai di Malaysia menggunakan varieti yang diimpot sepenohnya dari luar negara seperti Taiwan, China dan Jepun dimana negara-negara tersebut mempunyai iklim yang berbeza dengan Malaysia dimana faktur kesesuaian varieti tersebut mungkin perlu di lihat. Negara tersebut mempunyai cuaca dimana kelembaban adalah jauh lebih rendah dari Malaysia (Kurang 80%) dan ini juga ada kaitan dengan serangan beberapa jenis penyakit di Malaysia. Belum ada pengeluaran benih tembikai di Malaysia masakini. Benih yang diimpot kebanyakan jenis benih hybrid dan harganya juga mahal. Antara beberapa nama popular jenis tembikai yang ditanam di Malaysia seperti Taipan 275, Big Mel 202, Bow Long 228, Semangka 114, New Dragon 114, Sky Light 162, Hitam Manis S108, Delicious 174, Hi-U 168 dan beberapa jenis lagi bagi isi berwarna merah. Bagi isi warna kuning seperti Golden Delight 363, Bow Fong 272, New Orchid, Tellow Beauty dan beberapa jenis lagi. Bagi jenis seedless merah pula seperti Red Victor 226, Seedless Superstar 220, Sin Fon Taipirino, Pure Luck 128, Unique 129, Quality 126 dan beberapa jenis lagi.
Kajian Jabatan pertanian mendapati terdapat beberapa zon sesuai untuk penanaman tembikai (agroclimatic zone) di Malaysia iaitu di Negeri Perlis (Foto sebelah - Felda Chuping), Kedah (6 Daerah), Negeri Sembilan (Daerah Rembau dan PD), Melaka, Johor (Segamat, Muar, Mersing, K Tinggi dan Kluang), Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kajian penulis mendapati tembikai paling luas ditanam di Daerah Rompin, Pahang (2,543 ha) pada tahun 2009 diikuti dengan Daerah Kluang , Johor (1,119 ha) dan Daerah Mersing, Johor (828 hektar). Satu perkara yang menarik semasa saya menjadi pegawai Pertanian Daerah Mersing ialah dimana pengusaha tembikai ini sentiasa mencari tanah baru untuk penanaman tembikai dan jarang-jarang menanam tembikai di satu2 tempat berulang2 kali. Sebagai conton En Tan mengusahakan lebih 200 ekar tanaman tembikai di Kg Kaolin Nitar dengan cili dimana katanya cili dianggap sebagai 'lesen' jika tanaman tembikainya tidak menjadi maka hasil cili akan membntu mengurangkan kerugian.
Penyakit tanaman tembikai yang utama ada 7 jenis. Penyakit tembikai bermula dari peringkat penyediaan anak benih tanaman lagi seperti Penyakit Lecuh Anak Benih (Kulat Phytium spp atau Rhizoctonia solani). Penyakit ini juga di panggil Damping Off yang lazimnya berlaku pada anak benih yang baru diubah keladang. Penyakit ini menunjukkan simptom benih layu walau ada cukup air dan akhirnya reput dan terus mati terutama dikawasan yang berair dan lembab. Kaedah mengatasi serangan dengan rawatan racun kulat pada anak benih sebelum menanam dan jika serangan berlaku selepas cambah gunakan racun kulat chiorothalonil. Kini saya lihat beberapa petani menggunakan media tanaman yang dimpot dari jerman yang mengandungi unsur-unsur baja dan benih akan jadi subur dan kurangkan kadar serangan.

Penyakit Layu Fusarium (Fusarium oxyporium) merupakan satu kengerian kepada penanam tembikai. Lawatan saya ke Endau dan Kluang di Johor mendapati penyakit ini menyerang bahagian akar dan juga tisu vaskular dimana kulat boleh tinggal dalam tanah untuk beberapa tahun dan akhirnya pokok akan mati. Ini adalah diantara sebab2 kenapa penanaman tembikai tidak di ulang2 dikawasan yang sama. Risiko kulat tersebut memang tinggi untuk menyerang semula. Saya dapati kawasan tanah berpasir (Tanah Bris tepi laut di Mersing, Kota Tinggi dan di Daerah Rompin) menjadi pilihan pengusaha kerana ada kemungkinan kulat ini kurang berbanding dengan tanah mineral biasa (Tanah bris kering dan panas pada waktu tengahari). Tidak banyak kaedah kawalan boleh dilaksanakan untuk kawalan penyakit ini tetapi kaedah memusnahkan segera pokok2 yang diserang boleh kurangkan jangkitan. Kajian dan pengalaman penulis yang berbincang dengan usahawan tembikai tetap mengatakan tanaman tembikai sesuai di kawasan tanah baru setiap musim walau kos penyediaan kawasan dan sistem pengairan agak tinggi atau amalkan giliran tanaman yang sesuai. Kawalan rumpai juga mengurangkan risiko penyakit ini.
Penyakit ke tiga yang menyerang tanaman tembikai ialah Kulapok Downy yang disebabkan oleh kulat ( Kulat jenis Pseudomonas cbensis) dan menyerang pada mulanya di permukaan daun dengan tompok2 warna kelabu dan akhirnya daun akan menjadi kering dan rapuh serta merebak dengan cepat. kajian penulis mendapati tanaman tembikai akan mati dalam masa 2-3 hari sahaja selepas erangan bermula. Jika serangan berlaku dari bahagian tepi kebun dan tiupan angin menghala kebahagian tengah kebun akan mempercepatkan lagi penyakit kulapok menyebar. Jika serangan berlaku pada peringkat belum berbuah maka hasil tembikai akan sangat kurang tetapi jika serangan berlaku pada peringkat akhir dimana buah tembikai banyak yang dah matang ianya tidak kritikal. Perbincangan dengan petani di Mersing dan Kota Tinggi mengatakan kawalan terbaik penyakit Kulapok Downy adalah dengan kaedah kawalan kultura seperti amalkan tanaman giliran (Pindah2 kebun pun OK), jaga kebersihan ladang, musnah pokok2 cucurbit liar di sekeliling yang menjadi peromah patogen, musnah poko yang kena serangan dengan segera dan kawal dengan racun kimia mancozeb/ zineb atau chlorothalonil jika terlalu teruk serangannya.
Penyakit ke empat yang sering menyerang tanaman tembikai di Malaysia adalah Penyakit Antraknos (footo sebelah) disebabkan oleh kulat Collectotricum langenarium. Kulat ini menyerang daun, batang dan buah yang menyebabkan lebam dan lecuh berbentuk bulat atau lonjong berwarna coklat tua atau hitam. Serangan menjejaskan pengeluaran bunga dan hasil tembikai pada keseluruhannya dan mengikut pengalaan penulis mampu mengurangkan sehingga 40-50% hasi tanaman. Kawalan yang lazim dijalankan ialah dengan merawat bijibenih dengan racun kulat, gunakan biji benih yang sihat (semasa membeli dikedai pastikan ianya dijamin kualitinya), amalan tanaman giliran dan kawalan dengan racun kulat seperti mancozeb, maneb, carbendazim, defeconazole atau benomyl apabila perlu.

Penyakit Virus Mozek disebabkan oleh virus yang mana serangan pada pucuk menyebabkan kekuningan dan pokok terbantut. Serangan pada peringkat awal penyakit ini boleh menyebabkan hasil tembikai berkurangan atau jika ketahap teruk tidak berbuah langsung. Pembawa virus adalah sejenis serangga aphid yang biasanya berada pada tanaman cucurbit liar yang perlu dimusnahkan. Kawalan kimia tiada untuk penyakit ini tetapi amalan kultura seperti amalan tanaman bergilir serta menggunakan varieti rintang dapat kurangkan risiko. Pengalaman musim2 penanaman lepas perlu direkodkan jika ujudnya serangan penyakit mozek virus dilokasi yang penrah kena dan elakkan.

Penyakit tanaman tembikai seterusnya di panggil Penyakit Bintik Daun Bersegi disebabkan oleh sejenis bakteria di kenali sebagai Pseudomonas syringe. Bakteria ini menyerang bahagian daun dengan simptom seperti ujudnya kecederaan (lesion) dimana pada tahap serangan teruk akan menyebabkan daun akan kehitaman, kering dan seterusnya gugur. Kesannya akan mengurangkan hasil tanaman dengan teruk jika tidak dikawal dengan sempurna. Penyakit ini tidak ada kawalan kimia (Tiada racun bakteria) dan hanya di jalankan kawalan kultura seperti menjalankan sanitasi ladang, elakkan dari menggunakan benih pernah kena penyakit ini atau elakkan dari melawat kebun yang ada penyakit ini. Jika berulang buat tanaman selang setiap 2 tahun sekali pada kawasan yang sama. Ada pengusaha di kluang yang katakan supaya elakkan meggunakan sistem pengairan dari atas seperti sprinkler system dan sebaiknya gunakan 'drip system'.

Penyakit ketujuh yang menyerang tembikai di Malaysia adalah Hawar Batang Bergam disebabkan oleh Kulat Didymella bryoniae yang menyerang bahagian daun, batang, tangkai buah, sulur paut dan juga tangkai daun. Simptom serangan bila ada tanda seperti 'water soaked' dan kadang2 mengeluarkan lelehan seperti gam. Kulat ini dikawal dengan cara amalan kultura seperti membajak kawasan setiap musim penanman, amalan tanaman giliran, menggunakan benih yang tahan serangan dan rintang, rawatan biji benih dengan racun kulat , elakkan gunakan pengairan sprinkler, gunakan pengairan titis dan semburan racun kimia yang sesuai. Antara racun kimia yang sesuai seperti copper hydroxide dan chlorothalonil.

Selain daridapa 7 jenis penyakit tembikai yang lazim dijumpai di Malaysia, serangan beberapa jenis perosak juga sering mengecewakan usahawan tembikai. Antara perosak yang menyerang seperti Kutu Thrips, Kutu daun dan Lalat Buah. Kutu Thrips (Thrips spp) menyerang pucuk muda daun tembikai dengan menghisap air sap tumbuhan yang akibatkan berkedut2 dan terencat pertumbuhan. Jika serangan serious pada peringkat awal penanaman menjejaskan hasil dengan teruk. kawalan dengan semburan racun serangga berselang2 jenis untuk elakkan rintang seperti racun abamectin, acetamiprid dan imidacloprid. Kutu Daun (Aphis sp) menghisap air sap tumbuhan dipermukaan daun dan pucuk yang akan akibatkan pokok terencat. Kutu daun dikawal dengan racun kimia seperti carbosulfan, dimethoate dan cypermethrin. Lalat Buah (Bactocera cucurbitae) menyerang buah muda yang hampir masak dengan lalat bertelur dalam buah dan larva yang menetas akan merosakkan buah. Lalat buah boleh dikawal dengan menggunakan umpan protin serta racun serangga seperti trichlorphon.
Tanaman tembikai di Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk di perluaskan bagi tujuan ekspot kerana boleh ditanam sepanjang tahun. Selain tembikai merah dan tembikai kuning berbiji atau 'seedless' , penanaman tembikai wangi atau rock melon dikawasan terbuka atau dibawah sistem Struktur pelindung hujan (SPH) berpotensi sebagai pelengkap untuk kegunaan domestik dan ekspot. Penyakit kedua-dua jenis tanaman ini adalah sama dan teknologi pengawalan serangan penyakit perlu di pertingkatkan. Para penyelidik perlu mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah kerugian disebabkan oleh serangan penyakit.

Kajian penulis mendapati kos pengeluaran sehektar tanaman tembikai sebanyak RM 10,500 bermakna untuk menanam 20 hektar tembikai perlukan sebanyak RM 210,000 dan ini merupakan satu jumlah yang besar bagi petani kecil-kecilan. Kajian saya mendapati kebanyakan pengusaha di Malaysia berkongsi modal beberapa orang untuk mengumpulkan duit terdiri daripada pengusaha/ penanam, pengedar bahan input pertanian, pemborong, peruncit dan beberapa individu yang ingin melabur. Jika penanaman menguntungkan maka akan dibahagi sama rata dan jika rugi pun di tanggung bersama dan tidak menjejaskan penanaman pada pusingan akan datang. Beberapa faktur utama kejayaan penanaman tembikai di Malaysa adalah pengalaman pengusaha, tanah yang sesuai, kawalan penyakit yang sempurna, kualiti dan penghasilan yang baik dan harga pasaran yang baik.

TANAM TEMBIKAI...BANYAK CABARAN...
SERANGAN PENYAKIT...PERLU KAWALAN....
TANAMAN SIHAT....HASIL LUMAYAN....
PASTI MENGUNTUNGKAN...ELAK KERUGIAN...

By
M Anem
Bekas AO Mersing
Putrajaya

Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.