di Kebun sayur Sengkang Bt 20 Muar,Johor.
Apakah itu Baja Tahi Ayam?
Baja tahi ayam atau tinja ayam adalah sejenis baja organik dan merupakan satu pilihan Baja Terbaik, Termurah dan disyorkan kepada petani.
Ternakan Ayam merupakan satu industri ternakan yang menghasilkan Daging, Telur dan Tahi atau Tinja . Daging ayam digunakan sebagai bahan utama sumber protein di Malaysia selain daripada hasilan akuakultur dan ikan dimana semua kaum memakannya begitu juga makanan telur ayam. Pengeluaran secara komersil oleh penternak ayam daging dan ayam telur juga menghasilkan Tahi Ayam atau Tinja Ayam. Tahi Ayam menghasilkan bau yang kurang enak dan mengundang lalat untuk membiak jika tidak dirawat dengan betul. Syarikat ayam multinational seperti Sin Mah, Leong Hup, CP, Cargill dan sebagainya mengeluarkan berjuta tan tahi ayam dan hampir kesemuanya di gunakan sebagai Baja Organik (Chicken manure) yang akan digunakan untuk tanam-tanaman. Tahi ayam sangat popular dikalangan penanam sayur komersil terutama untuk sayuran jenis daun dan sayuran buah selain daripada untuk kebanyakkan tanaman buah-buahan (Betik, Pisang, Tembikai, Jambu Batu) serta tanaman industri seperti Kelapa sawit dan lain2). Pada masa ini tahi ayam proses merupakan satu pilihan terbaik dipasaran untuk petani membelinya.
Tahi ayam di kumpulkan oleh penternak Ayam Daging daripada mula secara berperingkat-peringkat. Lazimnya tahi ayam Daging (Broilers) setelah tamat tempoh pemeliharaaan akan digaul dengan habuk papan atau habuk kayu dan menjalani proses pereputan untuk dijadikaan baja. Warna baja ini bergantung kepada jenis habuk papan yang digunakan. Jika abuk papan baru maka warnanya cerah dan jika abuk papan lama warnanya gelap. Tahi Ayam kaya dengan kandungan NITROGEN (N) dan Posforan (P) dan Kalsium (K). Baja ini merupakan baja jenis "SLOW RELEASE" iaitu tahap pengambilan nutrient lambat dalam tanah dimana ada dakwaan ia mampu memberikan nutrien kepada tanaman sehingga 6 bulan. Sifat struktur baja ini bersifat menggemburkan tanah, memberikan kelembaban tanah, mengekalkan kesuburan tanah, memperbaiki pH tanah,memperbaiki tekstur tanah dan sebagainya.
Penelitian penulis dalam bidang pertanian selama 35 tahun juga mendapati kesan penggunaan Tahi Ayam Telur lebih baik daripada Tahi Ayam Daging. Ini berdasarkan kepada kesan baja tersebut kepada kesan terhadap pertumbuhan tanaman. Harga Tahi Ayam Daging tidak diproses cuma RM 300 /metrik tan beberapa tahun dulu kini telah meningkat kepada lebih RM 500 /mt dan terus meningkat. Bagaimana harga tahi ayam telur adalah lebih tinggi iaitu diantara RM450 - RM700/mt dimana ianya mendapat permintaan yang lebih baik. Baja Tahi Ayam Telur yang tidak dicampur dengan habuk kayu atau bahan lain mengandungi kadar nutrien lebih tinggi berbanding dengan baja tahi ayam daging tadi. Pada awal 1990'an satu beg baja tahi ayam segar cuma RM 1.50 - RM 2.00/20 kg tetapi kini telah dijual dengan harga RM 5.00 - RM 6.00/20 kg/beg. Penggunaan tahi ayam segar (Belum diproses) banyak dari kawasan penanaman sayuran utama seperti di Cameroon Highland, Daerah Johor Bahru, Sengkang (Muar), Kota Tinggi, Sungkai (Perak) dan Kundasang (Sabah). Mereka selalunya akan membeli tahi ayam menggunakan lori treller dan dihantar terus kelokasi kebun-kebun sayur dan pusat pengedaran. Tanpa baja tahi ayam maka penghasilan hasil sayuran daripada kawasan ini sangat terjejas dari segi kuantiti dan kualitinya.
Penggunaan baja tahi ayam perlu di buat dengan cara yang betul mengikut amalan pertanian baik. Kaedah pertama ialah dengan menggaulkan baja tahi ayam kedalam tanah semasa penyediaan kawasan dengan menggunakan alatan seperti cangkul bagi kawasan tidak luas atau gunakan trektor (Rotovator) untuk kebun komersil. Ia dijalankan 7-14 hari sebelum penanaman bersama bahan lain seperti Kapur (GML) dan dan baja organik lain. Baja tahi ayam tersebut dirotor dalam tanah atau atas batas dengan rata. Kaedah kedua ialah dengan membubuh baja tahi ayam semasa tanaman pada peringkat awal pertumbuhan dan peringkat dewasa. Kadar pembajaan bergantung kepada jenis baja tahi ayam digunakan, jenis tanaman dan jenis tanah. Bagi jenis tanaman cepat matang seperti sayuran daun sebaiknya petani boleh gunakan tahi ayam yang di bancuh dalam air dan terus di siram (Cara Tradisional). Bagaimana pun kaedah ini semakin kurang dijalankan. Bagi jenis tanaman sayur buah pula baja tahi ayam ini sesuai di bubuh di antara barisan tanaman atau di antara pangkal pokok. Kini terdapat jenis tahi ayam proses yang dibubuh didalam lubang plastik silvershine. Bagi jenis tanah yang kurang subur seperti Tanah Bris(Tanah Pasir), Tanah Liat (Lempung) dan Tanah Gambut (Peat) kadar baja organik tahi ayam ini diperlukan dengan kadar yang lebih berbanding dengan mineral biasa.
Kini Teknologi penggunaan baja tahi ayam telah maju. Kebanyakkan penternak ayam telah berkerjasama dengan beberapa syarikat untuk memproses tahu atau menghasilkan produk dikenali dengan nama "BAJA TAHI AYAM PROSES". BajaTahi Ayam Proses lebih baik berbanding dengan tahi ayam biasa. Tahi ayam akan dikeringkan dan diperkayakan dengan Baja NPK serta bahan Mikroorganisma Berfaedah (Effective microrganism). Baja jenis ini di bungkus dalam bentuk Debu, Palet, Serbuk dan sebagainya menggunakan teknologi moden dan kualiti yang menjadi salah satu pilihan terbaik kepada pelanggan dan petani. Harga tahi ayam proses yang ditawarkan pembekal berbeza-beza bergantung kepada beberapa ciri-ciri yang ada seperti kadar kandungan NPK dalam baja, Kandungan mikrob, Saiz Pembungkusan, Jenama dan juga Promosi . Paling murah harga Tahi Ayam Proses yang penulis tinjau di Tangkak, Muar, Johor adalah sekitar RM 20.00/20 kg (beg) sehingga ada yang capai lebih RM 50.00/20kg (beg). Kelebihan baja tahi ayam proses ialah kesan yang cepat terhadap tanaman, Kurang Bau, Mengandungi baja tambahan NPK yang seimbang, Mudah untuk di simpan dalam setor, mudah untuk pengangkutan, Bungkusan Menarik, Mempunyai maklumat di label dan mudah difahami dinyatakan pada beg pembungkusan. Kini tahi ayam proses telah menjadi satu industri yang canggih dengan teknologi pemprosesan yang lebih moden.
Jika ada yang bertanya mana yang hendak dipilih antara baja tahi ayam biasa dengan baja tahi ayam proses maka banyak pertimbangan perlu dikaji oleh petani. Kedua-dua baja ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Bagi penanam sayur komersial di Cameroon Highland, Sekitar Johor Bahru dan Sengkang (Muar) penelitian penulis blog mendapati dimana mereka masih memilih tahi ayam biasa (Bukan Tahi Ayam Proses) kerana faktor kos, faktor senang guna, mudah kedapatan dan keberkesanannya. Pernah satu ketika berlaku "PERANG BESAR" direkodkan diantara pengusaha baja proses dengan Persatuan Penanam-penanam Sayur Malaysia kerana kes seperti berlkunya perebutan bahan tahi ayam yang tidak mencukupi dari penternak ayam. Kebanyakan syarikat kini mengikat perjanjian untuk mempastikan bekalan bahan mentah tahi ayam mencukupi untuk diproses dikilang. Akibatnya penanam sayur yang selalu gunakan tahi ayam segar akan sukar mendapatkan bekalan kerana perjanjian jangkapanjang diantara penternak ayam dengan pemilik kilang yang menghasilkan tahi ayam proses. Baja Tahi ayam merupakan nadi kepada kesuburan tanah untuk pengeluaran bahan makanan negara. Walau pun sering timbul isu "Kebanjiran Lalat" akibat penggunaan baja tahi ayam di kebun sayur dan Betik di Muar sehingga di bawa kepada akhbar... Jabatan Pertanian akan terus memberikan nasihat bagaimana untuk menggunakan baja tahi ayam dengan betul. Semuga artikel ini memberi info asas kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
BAJA TAHI AYAM.....BAJA ORGANIK SAMA...
TAHI AYAM PROSES...TERBAIK KUALITINYA ...
TANAH JADI DISUBUR....PETANI GRMBIRA...
HASIL BERKUALITI....UNTUNGLAH MEREKA...
Artikel berkaitan:
1. Ayam Telur (Klik disini)
2. Ternakan Ayam di Malaysia (Klik disini)
3. Industri Ternakan di Malaysia (Klik disini)
4. Cocoapeat (Klik disini)
5. Plant Nutrition (Click here)
By
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Sayuran Komersil Kelompok Bt 19,
Sengkang, Muar, Johor,
Malaysia
(Sengkang, Bukit Gambir)
Kemaskini pada 1 Ogos 2017
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.