mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, July 21, 2019

STATUS TANAMAN UMBISI DI MALAYSIA

TANAMAN UMBISI (Tuber Crop ) di Malaysia merupakan salah satu jenis tanaman kontan yang terus mendapat perhatian petani khususnya beberapa jenis tanaman yang mana hasilnya berada didalam tanah. Menurut Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) tanaman umbisi ini adalah semua jenis tanaman yang ada termasuk umbisi berkanji (starchy roots), tubers, rizom, coms dan stems. Bagaimana pun di Malaysia, Jabatan Pertanian hanya memasukan beberapa tanaman dibawah umbisi iaitu Ubi Kayu, Keladi dan Keledek. Uniknya di negara kita, tanaman ini dimasukkan dalam kelas Tanaman Kontan atau Tanaman Singkat Masa (Cash Crops) termasuk tanaman Jagung dan juga Kacang Tanah. Apa yang penulis blog semak, tanaman umbisi ini ada dimasukkan didalam Dasar Agro Makanan Negara (2011 - 2020) dengan dinyatakan merupakan tanaman penting untuk diusahakan. Data menunjukkan tanaman ini mampu menjana penghasilan sebanyak 238 metrik tan setahun dengan nilai pengeluaran sebanyak RM0.43 juta pada tahun 2015. Tanaman ini hanya meningkat sebanyak 11.2% daripada tahun 2014 dari segi jumlah pengeluaran tetapi meningkat sebanyak 44% dari segi nilai pengeluaran. Apa pun tanaman jenis ini adalah jenis komoditi yang boleh cepat memberi pulangan kepada petani dimana ia mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh seawal 3 bulan sahaja. Apakah dia kepentingan tanaman umbisi dan singkat masa ini kepada masyarakat?. Ini merupakan perkara asas bagaimana tanaman ini memberikan nilai tambah selain daripada kegunaan segar sahaja seperi produk hiliran IAT yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan info mengenai status tanaman umbisi dan kepentingannya di Malaysia untuk bahan rujukkan dan bacaan anda.


Dalam banyak jenis tanaman umbisi pula dilaporkan tanaman Ubi Kayu (Manihot esculenta) dan Keledek (Impomea batatas) merupakan tanaman yang luas diusahakan petani. Kedua tanaman ini dilaporkan telah menyumbangkan 19% atau 45.4 metrik tan daripada keseluruhan pengeluaran daripada tanaman kontan pada tahun 2015 (Sumber: Laporan Statistik tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, 2015). Data tahunan tersebut menyatakan tanaman jagung (Zea mays) terutamanya jagung manis mendahului pengeluaran makanan dengan menyumbangkan sebanyak 30% (84.2 mt) terutamanya dari untuk pasaran domestik segar dan cup-corn. Beberapa projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seperti TKPM Titi Gantung, TKPM Janglau, TKPM Bukut Merah, TKPM Gua Tempurung dan beberapa lagi memang menjadi pengeluar utama jagung manis di negara ini. Seterusnya tanaman Keladi (Colocasia esculanta) pula hanya berjaya sumbangkan 1.9% (4.6 metrik tan) pada tahun sama di negara kita. Bagaimana pun senario ini masih berulang dimana pada tahun 2018 dimana tanaman ubi kayu adalah seluas 3,337 ha yang masih diusahakan iaitu paling luas diikuti dengan tanaman keledek (2,890 ha) dan juga Keladi (812 ha). Dari segi pengeluaran pada tahun 2018 tanaman ubi kayu adalah sebanyak 48,652 metrik tan, tanaman keledek sebanyak 45,369 metrik tan dan keladi sebanyak 4,541 metrik tan. Bagaimana pun dilaporkan juga dimana tanaman keledek juga yang sebenarnya menyumbangkan kepada nilai permakanan terutama untuk komponen vitamin A, vitamin C, Anthocyanin (Keledek Ungu) dan juga bahan mineral kepada pengguna. 


Dari segi lokasi penanaman, tanaman umbisi ini dilaporkan hanya beberapa negeri sahaja yang proaktif dan meluas. Pada tahun 2018 sebagai contoh seluas 693 hektar ubikayu ditanam di Johor dengan pengeluaran 13,752 metrik tan ubikayu diikuti dengan seluas 641 ha di Sarawak (9,317 mt) dan juga di Selangor seluas 676 ha (8,873 mt). Bagi tanaman keladi pula seluas 230 hektar adalah di tanam di Johor (menghasilkan 1,372 mt), seluas 348 ha di Sarawak (1,459 mt) dan seluas 39 ha di Selangor (381 mt). Jabatan Pertanian Johor menanam keladi dikawasan tanah gambut terutama di Muar, Batu Pahat, Kluang dan juga Pontian. Penulis blog pernah memajukan tanaman keladi di Air Hitam, Muar pada tahun 2010 (Sila lihat foto disebelah) dan ia juga dilaporkan masih berterusan sehingga kini. Rekod Jabatan Pertanian menunjukkan Daerah Johor Bahru (Johor), Daerah Siburan (Sarawak) dan Daerah Kuala Langat (Selangor) menyumbangkan 73% daripada pengeluaran ubikayu di Malaysia pada 2018. Bagi keledek pula dilaporkan Daerah Bachok (Kelantan), Daerah Kinta (Perak) dan Daerah Sepang (Selangor) menyumbangkan kepada 81.4% pengeluaran keledek di Malaysia pada tahun sama. Apa yang menaik lagi dimana 77% keladi adalah dihasilkan dari Daerah Tangkak (Johor), Samarahan (Sarawak) dan Kuala Selangor (Selangor). Penulis blog paling suka makan keladi goreng dicicah dengan sambal kicap (Sila klik disini). Ia juga menjadi kegemaran makanan orang Jawa Johor.


Dalam pada itu tidak seperti nasi (beras), tanaman umbisi seperti ubi kayu, keledek dan keladi bukan makanan ruji penting yang bekalkan karbohiderat di Malaysia. Ubi kayu lebih banyak direbus dan paling banyak ia  diproses untuk dibuat kuih muih terutama untuk dijadikan kerepek ubi. Kerepek Ubi dalam pelbagai perisa dijual terutama pada musim Hari Raya Puasa dan merupakan hidangan istimewa. Kini kerepek ubi telah dieksport keluar negara oleh beberapa syarikat tempatan (Sila lihat foto disebelah). Daripada kajian survei pada tahun 2017, didapati permintaan pengguna terhadap makanan berasaskan ubi kayu didahului dengan Makanan iaitu makanan KEREPEK UBI, KUIH UBI/BINGKA TRADISIONAL dan kemudian TAPAI UBI. Kajian tersebut juga menunjukkan dimana 96.7% responen berani untuk mengambil makanan berasaskan tanaman umbisi baru jika diperkenalkan kepada umum. Kajian oleh OECD/FAO di negara-negara ASEAN dilaporkan dimana kadar perkapita tanaman umbisi adalah sekitar 1.9 kg seorang setahun dan ia berkemungkinan akan terus meningkat sebagai alternatif kepada nasi dan makanan berasaskan gandum. Dimasa akan datang tanaman umbisi ini masih dianggap tanaman penting termasuk di Malaysia dimana masih ada pendudk dinegara kita tetap akan terus suka makanan kerepek sebagai snek atau makanan lain yang bernilai tinggi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro yang ke 5,385 ini sehingga memahaminya. Wasallam!!..
TANAMAN UMBISI... TUBER SAMA...
UBUKAYU, KELEDEK.. KELADI ADA...
PELBAGAI RESEPI...IKUT SELERA...
PERLU DITANAM... SENTIASA ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,

Room 802, The Zenith Hotel,
Kuantan, 
Pahang, 

Malaysia.
(21 Zulkaedah 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...