Support My Blog

Friday, March 22, 2019

MELON MANIS TERENGGANU (MMT) - APA DIA?

MELON MANIS TERENGGANU (MMT) adalah merupakan varieti pertama bagi keluarga rock melon yang mana telah diumumkan oleh YB Menteri Besar Terengganu sebagai buah rasmi Negeri Terengganu pada 29 September 2015 sempena sambutan 110 Jabatan Pertanian peringkat Negeri Terengganu di TKPM Tok Dor. Penulis blog juga mendapati  Negeri Terengganu akan menjadi perintis dan pengeluar utama dalam memasarkan hasil Melon Manis Terengganu (MMT) untuk pasaran tempatan dan antarabangsa berikutan dari permintaan yang tinggi daripada penduduk di beberapa buah negara terutama di rantau Asia seperti Singapura dan Jepun. Namun begitu dilaporkan Melon Manis Terengganu (MMT) juga boleh didapati di sekitar Kuala Nerus, Terengganu iaitu di Kedai Green Dish yang berhadapan dengan premis Kolej Vokasional Wakaf Tembesu. Green Dish menjual Melon Manis Terengganu (MMT) yang segar dari ladang mereka sendiri bertempat di GM AgroFarm, Kuala Ibai, Terengganu. Dalam pada itu Melon Manis Terengganu (MMT) mempunyai kombinasi tekstur yang rangup dan rasa yang manis serta berlemak. Rona warna yang memukau turut meletakkan Melon Manis Terengganu (MMT) sebagai buah yang unik dan mempunyai kelas tersendiri. Semestinya Melon Manis Terengganu (MMT) mempunyai keunikan tersendiri setaraf dengan penilaian taraf buah sebanyak lima bintang yang diberikan oleh Jabatan Pertanian. Antara kelebihan MMT adalah seperti ia mempunyai kulit berwarna kuning dan licin dengan mempunyai isi berwarna "Salmon Colour". MMT juga mempunyai tekstur isinya rangup, manis dan berkhasiat. Apa yang penulis blog dapat lihat fimna MMT mempunyai purata berat ialah 1.2 - 1.8 kg/ biji dengan tahap kemanisan lebih daripada 14% apabila matang. Dari segi penanaman didapati ia mempunyai tempoh penanaman ialah 65 hari dari tarikh semaian dan jangka hayat yang panjang selepas tuaian bergantung kepada suhu persekitaran.Artikel malam Sabtu ini dalam blog ''Anim Agro Technology'' saya meulis menganai info penting Melon Manis Terengganu (MMT) untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Menanam MMT di Terengganu perlu mengikuti amalan agronomi yang betul boleh menentukan kualiti buah MMT mencapai tahap terbaik. Cara Menjaga Tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) bermula dari peringkat semaian dengan mendapatkan biji benih tulin. Biji ini akan direndam selama 8 jam didalam air suam yang dicampur dengan racun kulat dan hormon bagi memudahkan percambahan berlaku dan mengelak serangan kulat. Biji benih perlu diletakkan dengan betul iaitu buju yang tajam (akar) ke dalam media semandai manakala yang buju kurang tajam diletakkan ke arah atas (pucuk). Kegagalan untuk bertindak sedemikian akan menyebabkan pokok lambat tumbuh atau mati. Kebiasaannya selepas 4 ke 5 hari dimana pucuk benih akan mula kelihatan. Benih MMT hanya berada di dalam tray selama 10 ke 15 hari sebelum ianya dipindahkan ke dalam polibeg (Sila lihat foto disebelah). Apa yang dilkakukan selepas cukup tempoh 10-15 hari maka anak pokok Melon Manis Terengganu (MMT) sudah boleh dipindahkan ke dalam polibeg. Proses pemindahan anak pokok melon sebaiknya dilakukan pada waktu awal pagi atau petang dan jangan dilakukan pada waktu tengah hari. Anak pokok MMT perlu dipindahkan dengan berhati-hati kerana batang benih melon masih lembut dan mudah patah. Polibeg mestilah mempunyai air yang cukup. Proses asas penjagaan awal anak melon akan membesar dengan agak cepat bergantung kepada cara penjagaan. Selepas beberapa hari berada di dalam polibeg maka anak pokok sudah boleh diikat diaman ia berbeza dengan tanaman cili yang mana cili memerlukan sekurang-kurangnya 5 tali. Pokok MMT hanya memerlukan sekurang-kurangnya 1 tali berukuran 7 kaki untuk diikat pada tali besi bahagian atas rumah perlindungan hujan (ketinggian 6-7 kaki). Bagi melakukan proses lilitan maka pokok melon harus dililitkan pada tali secara manual untuk mengelakkan pokok menjalar ke arah lain ataupun tidak naik ke atas, sebaliknya menjalar ke tanah. Kemudian proses lilitan ini harus dilakukan setiap kali pucuk baru mula memanjang untuk mengelakkan berlakunya lecuh (patah) pada dahan pokok melon. 

Seterusnya apabila pokok di polibeg berusia 15 hari ke atas dan mula tumbuh tunas air, maka proses membuang tunas air perlu dilakukan untuk mengelakkan pokok berbuah dengan banyak (kawalan buah untuk meningkatkan kualiti dan juga saiz buah. Sebaiknya hanya beberapa mata pucuk (antara 6-9) perlu untuk ditinggalkan untuk tujuan pendebungaan kelak sekaligus memilih buah kelak. Proses pendebungaan perlu dilakukan bila kedua-dua bunga jantan dan betina tumbuh. Bunga jantan akan tumbuh pada batang utama pokok manakala bunga betina pada bahagian tunas pokok yang ditinggalkan (tunas air yang tidak dibuang). Proses pendebungaan berlaku melalui dua kaedah iaitu manual dan semulajadi. Secara semulajadi, serangga-serangga seperti semut, atau lebah hinggap di bunga jantan yang mana ia menyebabkan debunga melekat di bahagian anggota badan serangga dan serangga tersebut hinggap di bunga betina, maka berlakulah proses tersebut. Secara manual biasanya akan melakukan dengan mencabut bunga jantan dan keluarkan debunga dengan cara menyelak kelopak kuning dan geselkan pada bunga betina. Selepas proses pendebungaan dilakukan maka bunga betina akan menghasilkan buah pada setiap salur yang ada. Ketika ini, proses membuang buah dilakukan dengan memilih buah yang paling besar atau sihat terlebih dahulu untuk tujuan pemasaran. Kemudian, buah yang dijangkiti kulat perlu dibuang.  Batang pokok MMT perlu digunting menggunakan gunting yang dicelup racun kulat. Apabila buah mula membesar, langkah seterusnya adalah membalut buah menggunakan surat khabar di kesemua bahagian buah kecuali di bahagian bawah. Tujuan asas pembalutan adalah untuk mengelakkan serangan lalat buah yang boleh merosakkan buah Melon Manis Terengganu (MMT). Apa punn jika ditanam dalam struktur rumah kalis serangga maka aktiviti membalut buah kurang kritikal.

Proses meracun pokok perlu dilakukan seminggu sekali bertujuan untuk menghalau serangga yang merosakkan pokok menggunakan racun serangga. Racun yang berbeza perlu digunakan kerana racun yang sama mungkin tidak berkesan untuk kali ketiga dan seterusnya kerana serangga sudah kebal. Aktiviti pembajaan perlu dilakukan pada minggu pertama pokok di polibeg, kandungan baja mestilah mempunyai bacaan sekitar 2.0 menggunakan mesin 'electroconductivity' (ec) dan setiap minggu dinaikkan dengan menambah 0.2 lagi sehinggalah satu minggu terakhir sebelum dituai. Bagi meningkatkan rasa manis buah maka nilai ec perlulah ditingkatkan beberapa hari sebelum dituai.  Beberapa hari sebelum dituai sebaiknya air baja tidak perlu lagi dialirkan melalui sistem fertigasi. Buah dibiarkan untuk menyerap segala nutrien dari dalam batang pokok dan daun. Aktiviti penuaian buah MMT boleh dilakukan pada hari ke 60-70 dimana penuaian dilakukan dengan memotong bawah pokok bagi memudahkan proses pembuangan batang pokok selepas dituai. Buah yang matang dikumpul dan dibuat grading mengikut saiz, warna dan sebagainya. Susun didalam bakul dengan ad pelappik atau alas sesuai agar tidak cedera semasa pengangkutan. Sebainya buah MMT yang segar dihantar segera kepusat jualan untuk mendapat harga runcit terbaik. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
TANAM MELON... MMT ITU VARIETINYA...
MELON MANIS TERENGGANU...NAMANYA...
MELON BERKUALITI... MANIS RASANYA...
BACA ARTIKEL...TERINGIN MEMBELINYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomsit,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(12 Rejab 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...