mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, January 11, 2019

PETOLA BANTAL - KENALI DIA

PETOLA BANTAL (Luffa aegytiaca) merupakan sejenis petola yang jarang dibincangkan di Malaysia. Penulis blog yang melawat sebuah rumah rakan di Muar dan berjumpa dengan pemilik petola tersebut dimana mendapati bentuk buah petola ini memang menyerupai sebiji bantal jika ianya diletakkan secara mendatar (Sila lihat foto diatas). Ia berbeza dengan jenis petola segi (Angled loofah) yang luas ditanam secara komersil untuk dijadikan bahan sayuran yang dapat pasaran baik dikalangan rakyat Malaysia. Sayuran petola dipercaya mampu untuk ''menyejukkan badan'' dan enak dimakan sebagai sayuran atau sup. Petola bantal adalah sejenis sayuran buah yang banyak ditanam di negara-negara tropika mahupun sub-tropika. Pokok ini sangat menyukai cahaya matahari secara langsung. Kebanyakan para petani menanam jenis petola segi atas permintaan ramai dan jarang mereka menanam petola bantak secara komersil atau luas kerana kurang permintaan. Namun begitu penulis blog dapati petola bantal juga diminati ramai di negara ini disebabkan keenakan dan sesuai dimasak mengikut resepi kesukaan. Dari pengalaman penulis pernah menulis artikel mengenai Petola Segi (Sila klik disini), Petola Ular (Sila klik disini), Petola Wangi, Petola Sarang dan beberapa jenis petola lain lagi. Tanaman Petola Bantal ini memang lebih senang untuk dijumpai dikawasan kampong dan pendalaman sejak lama dulu malahan semasa dulua atau era menanam padi bukit petola bantal inilah yang akan membanjiri tepi kebun-kebun dengan mampu menjalar hingga ke pinggir hutan. Biasanya memang agak jenuh melihat buah-buah petola bantal ini berjuntaian pada pokok-pokok. Kini jenis petola ini banyak dilihat di jual dibeberapa Pasar Tamu dan Pasar Minggu di Sabah dan Sarawak khususnya. Artikel malam ini dari tingkat 7 Hotel Citadines, Cyberjaya saya menulis dalam blog ''Anim Agro Technology'' mengenai Petola Bantal sekadar berongsi info dengan pembaca semua.

Mengikut sejarah sayuran jenis petola bantal ini yang dipercayai ia berasal dari Asia khususnya India, Myanmar dan China. Nama saintifik bagi petola bantal ialah Luffa aegytiaca dalam keluarga Cucurbitaceae. Petola bantal disebut Egyptian Luffa dalam bahasa Inggeris dimana pokoknya tumbuh degan menjalar dan mampu menjalar jauh dari bahagian akarnya. Pada penulis blog bagi tujuan menanam pokok petola bantal ini memang ianya perlukan sokongan seperti kayu pancang atau tali yang kukuh untuk membolehkan ianya menjalar secara teratur dan kemas. Pokok petola bantal adalah jenis dwijentina di mana setiap batang akan menghasilkan bunga jantan dan bunga betina. Bunganya berwarna kuning terang dimana ia menarik serangga pembantu pendebunga untuk datang. Kepada mereka yang ingin mengetahui yang mana bunga jantan dan mana bunga betina perlu meneliti dan harus melihat bahawa bunga jantan hanya bunga sahaja manakala bunga betina pula mempunyai bebola panjang yang akan membesar menjadi buah (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya terdapat dua jenis pokok petola bantal iaitu Jenis Petola Bantal Biji Hitam dan Petola Bantal Biji Putih. Bagaimana pun di Malaysia lebih banyak jenis yang ditanam ini iadalah petola bantal jenis biji putih. Jenis ini mudah ditanam dalam tanah biasa dengan keadaan musuh dan perosak yang agak kurang dan mudah mendapatkan benihnya daripada kedai pertanian. 

Bagi mereka yang ingin menanam petola bantal pastikan mendapat benih berkualiti. Benih petola bantal yang berkualiti boleh dibeli daripada kedai bertauliah atau dari simpanan benih sendiri. Pada penulis blog bagi menanam petola bantal tidaklah susah kerana ia tanaman singkat masa lingkungan 3 bulan sahaja. Pertaa sekali adakah aktiviti penyediaan tanah dengan menggemburkan tanah dan buna batas seluas 2 kaki persegi sedalam 1 kaki. Sebaiknya baja asas dibubuh kompos 200 gram dan juga setengah genggam kapur GML yang digaul hingga sebati. Bagi menanam buat lubang 3 - 4 cm dan tanam benih petola bantal. Biasanya benih ini akan mengambil masa bercambah lebih kurang 2 minggu sahaja (14 hari). Bagi mereka yang menanam diteliling rumah boleh menanamnya di tepi pagar dan biarkan pokok menjalar pada pagar anda dimana ini memang sudah tidak perlu peningkan kepala mencari kayu pancang lagi. Biasanya ia akan mengambil masa selama 3 bulan pokok petola bantal memghasilkan bunga dan buah. Lazimnya pada masa ini segala serangga kecil termasuk lebah, kelulut dan penyegat hitam akan datang ke pokok ini pada waktu pagi bagi mendapatkan air sap bunga. Secara langsung berlaku pendebungaan secara semula jadi. Bagi tanaman ini tidak perlu dilakukan pendebungaan secara manual dengan mencantumkan bunga jantan dan bunga betina. Bubuh baja dan siram dengan air megikut keperluan dan perlu dikawal serangga peosak dengan pakej amalan teknologi sama dengan tanaman petola segi.

Tanaman Petola Bantal yang subur akan mula berbunga dalam masa 3 bulan dan buahnya boleh dituai mengikut indeks kematangan. Apabila dilihat kuit luar petola bantak sudah matang a berwarna hijau terang dan berjalur-jalur sedia untuk dipetik (Sila anda lihat foto disebelah). Gunakan pisau tajam untuk memotong tangkainya dan elakkan dari berlaku kecederaan pada pokok yang menjalar ini. Beginilah buah petola bantal yang dituai kemudian ia perlu dibersihkan dan digredkan sebelum dijual atau dimakan sndiri. Dari pengalaman penulis blog mendapati buah petola bantal yang masih muda sesuai dimasak sebagai sayuran tulis atau sup etola. Selalunya ia dicampurkan dalam sup yang berasaskan ayam, ikan atau daging. Ia juga boleh dimasak tumis dengan sedikit kuah dimaa pengalaman penulis ianya memang sedap dan menyelerakan terutama ketika perut lapar dan makan dengan percuma. Dalam pada itu erdapat juga ramai dikalangan kita yang tidak suka menanamnya kerana jenis pokok menjalar dan kelihatan tidak sesuai untuk landskap ktika pokok sudah tua dan kering. Bagaimana pun jika diurus dengan baik ia sangat sesuai dijadikan dekorasi laman rumah sendiri. Lebih cantik apabila pokok petola bantal ini disusunrapi apabila iai menjalar pada pagola ditepi rumah disamping pokok menjalar yang lain. Buahnya bukan saja boleh dimakan tetapi juga berfungsi cantikkan laman anda. Daripada pemerhatian penulis blog berpendapat dimana penanaman petola bantal untuk tujuan landskap dan komersil boleh dilakukan semua pembaca blog ini.

Menyentuh kepada petola bantal ada baiknya saya kongsikan info mengenai tanaman ini. Petola bantal merupakan sejenis herba memanjat sehingga 10 -15 meter panjang. Ia mempunyai jenis batang bersegi, liat dan berwarna hijau keperangan (Sila lihat foto disebelah). Jenis daunnya pula mempunyai garis yang berbentuk ovat yang lebar dengan ianya berlobus 5-7 yang berukuran 6 - 25 cm, 8 - 22 cm lebar, bes kordat, kesat dan berwarna hijau kelabu asap. Apabila diukur panjang bahagian petiol sekitar 5 - 10 cm dan berbulu halus yang kesat. Biasanya ia mempunyai jenis sulur paut bercabang dengan jumlah antara 2 - 6 sulur. Bunganya juga ada dua iaitu bunga jantan dan bunga betina dimana bunga jantan rasem dengan terdapat 4 - 5 kuntum bunga yang berwarna kuning. Bunga betina adalah jenis tunggal dengan berukuran 5-8 cm diameter dan berwarna kuning. Buah petola bantal pula berbentuk silinder atau oblong, licin, berukuran 25 - 40 cm panjang serta 5 - 8 cm diameter berwarna hijau muda atau hijau keputihan ketika muda dan bertukar perang apabila masak. Buah petola bantal yang masak berserabut seperti span, berbiji banyak, elipsoid, kira-kira satu sm panjang berwarna hitam dan berkapas putih yang nipis. erdapat juga beberapa spesies lain yang seakan-akan sama iaitu Luffa acutangula atau petola segi. Spesies ini mempunyai buah yang bersegi yang kini banyak ditanam secara komersial dan menjadi sayuran popular. Tidak pula diketahui negara asal ini tetapi dipercayai berasal dari India atau selatan Asia.

Dalam pada itu khasiat petola bantal sebagai jenis sayuran tradisional telah dibuat kajian. Walau pun petola bantal ialah sayuran tradisional yang semakin hari semakin dilupakan tetapi ianya memberikan rasa lebih manis jika dibandingkan dengan petola segi. Kajian menunjukkan bagi setiap 100 gram bahagian yang boleh dimakan untuk petola bantal mengandungi kompopnen seperti air 94.4 gram (g), protein 0.9 g, lemak 0.5 g, karbohidrat 3.4 g, serat 0.3 g, kalsium 30 miligram (mg), fosforus 15 mg, ferum 0.0 mg, natrium 29 mg, kalium 63 mg, vitamin B1 0.05 mg, vitamin B2 0.05 mg, niasin 0.6 mg, vitamin C 4.9 mg. Bagi tujuan memasaknya diperlukan bahan-bahan seperti 3 biji petola manis saiz sederhana (yang muda), 1/3 cawan isi udang, cuci dan toskan, 1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam, 1 camca teh serbuk lada hitam 'aji-shio', 5 biji bawang merah, hiris halus, 3 ulas bawang putih perlu diketuk, Garam secukup rasa, Air secukupnya, Hirisan daun bawang untuk hiasan dan juga bawang goreng untuk hiasan. Cara membuatnya dengan mengupas petola bantal (guna pengupas kentang) dan di cuci dan potong sederhana tebal kemudian diketepikan. Panaskan sedikit minyak dalam periuk sebanyak anggaran 2 camca besar dan ditumis semua hirisan bawang merah dan putih hingga harum. Masukkan udang dan kacau rata dan sebaiknya dimasak hingga udang berubah warna. Tuang air secukupnya dengan anggaran sebanyak 4 cawan dan dikacau dan biar mendidih. Masukkan pula bahan petola dan soo hoon (toskan) sambil dikacau kemudian ditambah serbuk lada hitam dan garam secukup rasa. Masak sekejap hingga petola lembut sedikit dimana jika sesuai maka boleh dimatikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan dan jika suka maka boleh taburkan sedikit lagi serbuk lada hitam. Semuga anda mendapat info berguna dari anim agro technology dari tulisan kali ini. Wasallam!!!.
PETOLA BANTAL... NAK BELI DIMANA...
BENTUK BANTAL... ITU GELARANNYA..
MUDAH DITANAM... 3 BULAN SAHAJA...
ENAK DIMAKAN... MUDAH MEMASAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 724, Citadines Hotel and Apt.
Cyberjaya, Selangor,
Malaysa.
(3 JamadilAwal 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...