KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 23, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 2)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (palm tree family) yang terdapat di Malaysia dimana ia tumbuh secara semualajadi. Ramai juga dikalangan orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan lain?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau gelap berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah dikelaskan sebagai agak 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan penulis blog dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis pokok palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis)Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang akan digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau 'ornamental plants' adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit daripada pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji oleh saintis dan agronomist di Malaysia dan penulis dapati belum ada laporan rasmi keluasan sebenar penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempunyai saliran baik seperti lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan atau terbuka (Shaded or open area). Pokok Palas lazimnya mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 1 - 2 meter atau 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai. Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas dewasa mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kadar kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Bagaimana pun belum ada maklumat rasmi secara saintifik mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dipetik daripada testimoni akhbar tempatan berkaitan daun palas untuk ianya dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


Laporan Akhbar 4:
Daun palas sumber pendapatan 
Abdul Rahim menyusun daun palas yang diambil dari ladang getah untuk dijual kepada peraih.
KUALA NERANG - Setiap kali menjelang hari raya, seorang penoreh, Abdul Rahim Musa, 69, dari Kampung Tanjung, Mukim Belimbing Kiri, dekat sini, pasti sibuk dengan tanaman pokok daun palas yang menjadi pendapatan sampingan keluarganya. Abdul Rahim berkata, setiap kali hari raya, dia akan akan berada di ladang getahnya seluas 0.6 hektar bagi mengambil daun palas yang ditanamnya sejak 15 tahun lalu. Katanya, dia menanam pokok palas itu di tengah pokok getah supaya dapat menambahkan pendapatan keluarga terutamanya ketika menjelang hari raya. “Pada mulanya orang kampung mempertikaikan tindakan saya menanam pokok palas secara ladang kerana selama ini pokok itu hanya tumbuh di hutan sahaja tetapi hari ini terbukti ia mampu menampung pendapatannya selain getah. “Kini pucuk palas ini bukan hanya mendapat pasaran di sekitar Padang Terap sahaja tetapi peraih dari Sungai Petani, Alor Setar, Yan dan Perlis ada yang datang membuat tempahan setiap kali hari raya,” katanya. Abdul Rahim, setiap musim perayaan dia mampu menjual kira-kira 1,500 hingga 2,000 pucuk palas secara borong kepada peraih iaitu 100 pucuk RM30. “Saya bersyukur walaupun harga getah jatuh akhir-akhir ini, pendapatan pucuk palas ini mampu menampung perbelanjaan kami sekeluarga bagi menyambut hari raya tidak lama lagi dan ini terbukti pokok palas juga boleh dijadikan sumber pendapatan,” katanya.


Laporan Akhbar 5:
Rezeki dari pelepah palas
WARTAWAN SINAR HARIAN
Rokiah menunjukkan daun palas yang akan dijual kepada pemborong.
KOTA BHARU, 10 Oktober - Meskipun Syawal sudah menjengah hari ke-15, namun daun palas masih mendapat permintaan tinggi penduduk tempatan. Daun palas atau nama saintifiknya Licuala sapinosa Roxb, adalah tergolong dalam kumpulan rumpai. Ia biasanya terdapat di pinggir hutan dan kawasan berhampiran paya. Ia bukanlah pokok renek atau herba, lebih kepada keluarga pokok palma. Daun Palas banyak digunakan semasa menyambut hari raya di mana pucuk daun palas digunakan untuk membuat ketupat pulut. Sebanyak 12,000 pucuk dun palas sebulan ianya akan diperlukan setiap musim perayaan. Pencari pucuk daun palas, Siti Rokiah Ismail, 62, berkata, dia mampu menjual sebanyak 12,000 pucuk daun palas sepanjang Ramadan dan Syawal. Meskipun penganut Islam sudah meraikan Aidilfitri 7 Ogos lalu, namun permintaannya semakin melonjak memandangkan masih ramai mengadakan majlis rumah terbuka.

Sebelum ini katanya, kebanyakan penduduk membeli ketupat dalam kuantiti sedikit, untuk disajikan kepada tetamu yang bertandang ke rumah. Namun katanya, permintaan daun palas melonjak apabila banyak agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat dan ahli politik turut mengadakan majlis Aidilfitri. “Walaupun banyak kuih moden dicipta, namun kuih tradisi ini masih mendapat tempat di hati penggemarnya,” katanya, semalam. Sumber daun palas makin kurang setiap tahun kerana proses pengambilan berterusan dan tidak ada program menanam secara terancang. Berbeza pada tahun lalu, Rokiah dapat mengutip lebih 18,000 pucuk daun palas. Disebabkan masalah kesihatan dan faktor usia katanya, dia terpaksa menghadkan masa untuk mencari daun tersebut. Selain itu, masalah penerokaan tanah hutan dan belukar menjadi taman perumahan juga, menyebabkan pokok daun palas sukar ditemui. “Bukan senang nak cari daun palas kerana ia tumbuh di kawasan bendang, berair dan pokoknya berduri. Beliau akan selalu menggunakan sabit yang dilekatkan di hujung kayu, bagi mengelakkan duri terkena tangan,” katanya. Selain itu, ia akan memudahkan kerja mencantas sekiranya pokok palas terlalu tinggi atau rendang. Rokiah yang menetap di Kampung Bakat berkata, dia akan memakai kasut but dan sarung tangan setiap kali keluar mencari daun palas di Gual Dalam, Lubok Jerat dan Banggol Pial.

Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM0.28 sen sepelepah. Berbanding 20 tahun lalu, Rokiah berkata pucuk atau pelepah daun palas ini dijual dengan harga 3 sen. “Mujurlah, harganya kini meningkat kepada 28 sen atau RM28 untuk 100 pelepah. “Dapatlah saya menjana akan pendapatan untuk kegunaan harian dan bagaimana persediaan sambutan syawal setiap tahun,” katanya. Kebanyakan pelanggan adalah pemborong, antaranya dari Wakaf Baru, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Jeli dan Wakaf Che Yeh. Beliau juga runsing perubahan zaman. Rokiah turut meluahkan kerunsingannya, terhadap permintaan pucuk daun palas di masa depan. Menurutnya, generasi masa kini tidak lagi berminat mencari daun palas untuk menjana pendapatan menjelang Ramadan. Sekiranya tiada pelapis meneruskan tradisi ini Rokiah berkata, kuih ketupat daun palas mungkin sukar ditemui di masa depan. “Sepertimana yang berlaku kepada kuih tapai dan kuih tepung pelita, ramai yang menggunakan bekas plastik, menggantikan sumber asli. Sekiranya ia berlaku, identiti kuih tradisi akan pudar dan keunikannya akan dilupakan generasi akan datang,” katanya. Semuga artikel dua siri ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro kali ini. Wasallam!!!...
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, Selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

Sunday, January 22, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 1)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ARECACEAE (palm tree) yang terdapat di Malaysia secara semualajadi. Ramai orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis), Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau ornamental plants adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit dari pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji di Malaysia dan belum ada laporan rasmi keluasan penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempuynyai saliran baik, lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan (Shaded area). Pokok yang mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai (Lihat foto sebelah). Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Belum ada maklumat rasmi mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dan daun palas untuk dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


LAPORAN AKHBAR 1 :
Daun palas laris, semakin mahal
UTUSAN MALAYSIA
BALING 18 Sept. - Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, barangan wajib yang menjadi rebutan adalah daun palas untuk dijadikan ketupat yang terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Walaupun harganya semakin mahal saban tahun tetapi ia tetap dibeli bagi memenuhi keperluan. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu harganya mahal kerana kebanyakan daun palas yang dijual itu kini makin sukar dicari. Lebih membimbangkan, para penjual daun palas tempatan terpaksa mendapatkan bekalan 'import' daun palas dari selatan Thailand. Seorang penjual daun palas yang ditemui, Basri Yaakob, 36, memberitahu, dia terpaksa membeli daun palas dari peraih di kawasan Betong, Thailand untuk dijual di sekitar Pekan Baling. Kata Basri, biasanya dia memperoleh bekalan tersebut secara borong iaitu melebihi 50,000 pelepah setiap minggu bagi musim Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Daun-daun palas berkenaan kemudiannya diikat menjadi satu ikatan mengandungi enam pucuk dan dijual dengan harga RM4 hingga RM5," katanya.

Peniaga itu berkata, sebelum ini dia mendapat bekalan daripada peraih di kawasan pedalaman Kedah seperti Baling, Sik dan Pendang. Bagaimanapun, disebabkan permintaan mendadak dan juga kekurangan bekalan akibat pemusnahan hutan, dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk mendapatkan dari rakan-rakannya di Thailand. "Antara daun palas yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis daun tumbuh di kawasan tanah lembut," katanya. Basri memberitahu, daun palas jenis tersebut mudah dilipat bagi membungkus beras pulut untuk dijadikan ketupat. "Selain itu, para pengguna juga suka membeli daun palas yang bersaiz pendek kerana tidak perlu memotongnya," jelasnya. Selain jenis berkenaan, katanya, daun palas bukit turut mendapat permintaan kerana ia berbau wangi dan tidak mudah koyak ketika dilipat. "Ketupat yang dihasilkan menggunakan daun palas bukit mengeluarkan aroma wangi dan sangat enak dimakan," katanya.


LAPORAN AKHBAR 2 :

Ketupat palas diusaha secara komersial
Utusan Malaysia - oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 16 Feb. – Makanan tradisional ketupat pulut atau ketupat palas, tidak lagi menggambarkan juadah musim perayaan sama ada ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. Ini kerana, ketupat pulut atau ketupat palas boleh didapati hampir sepanjang tahun dan telah diusahakan secara komersial oleh individu tertentu. Pelaksanaan konsep 1Malaysia turut menyebabkan kedudukan dan nilai makanan orang Melayu itu merentasi budaya masyarakat majmuk di negara ini, apabila ia turut dihidangkan pada perayaan kaum lain seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.  Di Kampung Gong Manak, dekat sini misalnya, penghasilan makanan tradisional ini dijalankan oleh beberapa pengusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri dan Terengganu yang gemarkan makanan berasaskan beras pulut itu. Malah, kegiatan ekonomi dan keusahawanan itu turut memberi sedikit pendapatan kepada petani yang sanggup meredah hutan atau mendaki bukit untuk mendapatkan daun palas yang dikenali sebagai ‘Licuala sapinosa Roxb’ sebagai pembungkus ketupat.

Seorang pengusaha ketupat, Selamah Hasan, 55, yang lebih dikenali dengan nama Kak Dak di kalangan penduduk berkata, tempahan ketupat yang dihasilkannya turut menarik pelanggan di kalangan masyarakat Cina dan India. Dia yang berpengalaman dalam perniagaan ketupat daun palas selama 20 tahun berkata, masakan tradisional Melayu itu bukan sahaja laris dipasarkan pada kedua-dua hari raya Islam tetapi juga pada perayaan kaum lain seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali, sehingga terpaksa menambah jumlah ketupat yang dimasak bagi memenuhi permintaan. “Ini berlaku mungkin disebabkan wujudnya persefahaman budaya dan perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini yang saling kunjung mengunjung pada musim perayaan sehingga ketupat menjadi juadah yang laris,” katanya ketika ditemui di bengkel penghasilan ketupat di Gong Manak, dekat sini, baru-baru ini.

Selamah berkata, ketupat daun palas berbeza dengan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz dan penggunaan beras pulut. “Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi atau pun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. “Manakala ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras biasa,” katanya. Selamah berkata, resipi untuk menghasilkan ketupat adalah terlalu mudah dengan hanya menyediakan satu gantang beras pulut, empat biji kelapa atau tiga kilogram santan, 500 gram kacang mentah dan daun palas untuk membungkus. Beliau berkata, tempoh masa yang panjang bagi menghasilkan ketupat palas dan tiada kemahiran membungkus menyebabkan lebih ramai wanita masa kini terutama yang bekerja, lebih selesa membeli ketupat sudah siap berbanding cuba membuatnya sendiri.

“Harga tempahan bagi 100 biji ketupat yang sudah masak ialah RM25 pastinya menjadi pilihan bagi suri rumah yang sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya. Menurut Selamah, selain ketupat lemak dan manis beliau turut menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional berasaskan ubi kayu untuk menambah sumber pendapatan dan mempelbagaikan lagi perniagaannya. Menurutnya, proses membungkus ketupat lazimnya dilakukan sebanyak tiga kali seminggu dan ia akan dipasarkan di semua pasar sehari sekitar Kuala Besut dan Jertih, Terengganu selain di Pasar Malam Tok Bali, Pasar Tani Machang dan beberapa daerah di negeri ini. “Setiap kali memasak masakan tradisional itu saya menggunakan 25 kilogram beras pulut bagi menghasilkan 1,800 biji ketupat. Jumlah beras yang digunakan akan berlipat ganda pada musim perayaan.

“Setakat ini saya menggunakan khidmat empat pekerja dan bilangan mereka akan bertambah kepada 10 orang pada musim perayaan disebabkan perintaan yang meningkat,” katanya. Sementara itu, seorang pekerja Selamah, Siti Fatimah Awang, 38, berkata, kewujudan pengusaha ketupat di Kampung Gong Manak memberi peluang kepada suri rumah untuk mendapat sumber pendapatan sampingan. Menurutnya, upah membungkus ketupat hanyalah RM1.20 untuk 100 biji yang boleh disiapkan dalam tempoh 30 minit. “Tetapi, ia boleh memberi pendapatan sampingan yang lumayan sekiranya seseorang pembungkus memiliki kemahiran dan pantas menyiapkannya,” katanya yang melakukan kerja tersebut sekadar mengisi masa lapang.

Seorang lagi pekerja, Norma Mohd. Adam, 38, pula berkata, kewujudan perusahaan membuat ketupat palas secara komersial itu turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat iaitu mengambil upah ‘membuka daun palas.’  Jelas Norma, Kampung Gong Manak memang dikenali sebagai perkampuang kuih tradisional di daerah ini, bukan hanya menghasilkan ketupat tetapi juga roti bakar, baulu, akok dan pelbagai jenis kuih-muih. “Kewujudan pengusaha makanan dan kuih tradisional di kampung ini sekurang-kurangnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sama ada secara tetap atau pun sambilan,” katanya.



LAPORAN AKHBAR 3 :
Teknik buat ketupat yang betul

UTUSAN MALAYSIA

LAIN tempat lain juga adat dan caranya. Begitu juga dalam hal menyediakan ketupat, makanan tradisi yang terlalu sinonim dengan sambutan Hari Raya. Jika ditanya pada orang Pantai Timur, ketupat yang kurang menjadi itu digelar 'ketupat jantan' kerana dilakukan oleh amatur dan kurang sempurna hasilnya manakala 'ketupat betina' pula cantik dan kemas pembuatannya oleh yang pakar. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Utara, ketupat palas jantan mempunyai lebihan isi atau pulut di hujung lilitan daun palas itu dan manakala ikatan dan balutannya kemas. Sementara ketupat palas betina pula bersaiz lebih kecil, kurang isi dan ikatan serta balutan tidak kemas. Pun begitu, teknik pembuatan ketupat nasi atau pulut yang betul disifatkan sebagai sesuatu yang objektif atau mengikut kaedah yang diamalkan sejak turun temurun mengikut latar belakang setiap orang. Seorang suri rumah yang sememangnya pakar membuat ketupat nasi, Siti Jaleyah Jasman berkata, untuk usaha bagi memudahkan kerja memasukkan beras dan campuran pulut ke dalam kelongsong ketupat, beras tidak perlulah direndam sebaliknya memadai jika dibasuh seperti biasa kerana beras akan berderai selepas ditoskan.

Jika beras jenis mudah kembang, katanya, tidak perlu diisi sehingga padat separuh kelongsong ketupat manakala beras jenis biasa pula boleh diisi sehingga satu pertiga atau separuh mengikut saiz ketupat itu.  Jelasnya, jika dahulu orang merebus ketupat sehingga empat atau lima jam kini sebaik-baiknya dipendekkan masa sehingga dua setengah atau tiga jam agar daun ketupat tidak kecut, kering dan lebam. ''Jika terlampau lama, daun akan menjadi kering jadi eloklah ketupat diangkat selepas tiga jam apabila beras sudah kembang dan elok,'' katanya.

Hidangan sampingan daripada ketupat nasi dan pulut dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Yang popular tentunya rendang dan kuah kacang tetapi ada juga berpendapat bahawa kuah kacang adalah kuah sate yang manis, cair dan kurang pedas manakala sambal kacang lebih pekat, pedas dan dimasak dengan serai untuk hidangan pada Hari Raya. Bagi masyarakat Jawa di Johor pula, tidak sah makan ketupat jika tidak ada lodeh dan serunding kelapa. Ketupat daun palas paling enak di makan dengan rendang, serunding daging, ikan atau ayam. ''Ada juga orang tua-tua di Kelantan yang mencecah ketupat daun palas lemak dengan gula melaka yang dimasak agar cair seperti madu. ''Selain itu ia juga dimakan dengan sambal kelapa yang ditumbuk dengan lada hitam,'' jelasnya.

Selera masyarakat di Selatan pula agak berbeza dengan serunding kelapa yang bercampur gula melaka dimasak basah atau lembap menjadi pilihan. Bagaimanapun, tradisi penyediaan lauk-pauk sebagai hidangan sampingan ketupat nasi dan pulut juga telah lama dipermudahkan memandangkan semakin ramai orang tidak berkesempatan meluangkan masa dua hari suntuk di dapur menjelang Aidilfitri. Malah semakin tahun semakin berkurangan bilangan warga kota pulang ke kampung halaman beberapa hari sebelum Hari Raya untuk merasai kemeriahan bersama sanak saudara dan sahabat handai. Ia berpunca daripada kebanyakan daripada kita yang memilih (secara rela atau tidak rela) untuk pulang pada pagi Hari Raya dan sekadar meluangkan masa singkat sehingga kadang kala tidak sempat mengunjungi semua kaum keluarga terutama yang sudah uzur.  Semuga tulisan dalam anim agro technology subuh ini memberi maklumat berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!..
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

Saturday, January 21, 2017

PERTANIAN BANDAR - KURANG KOS SARA HIDUP

PERTANIAN BANDAR merupakan satu terminologi baru bagi melakukan aktiviti pertanian dikawasan bandar (urban agriculture) untuk menghasilkan bahan makanan d an landskap. Ada yang bertanya sama ada aktiviti pertanian bandar bantu kurangkan kos sara hidup. Perkara ini telah dilaporkan oleh akhba tempatan dimana ia melaporkan bagaimana penduduk Persatuan Komuniti PPR Sri Perlis 2 di Keramat, Kuala Lumpur menuai hasil tanaman mereka sebagai satu testimoni (Sila lihat foto diatas). Sebenarnya kos sara hidup penduduk dikawasan bandar adalah lebih tinggi daripada penduduk luarbandar. Ini kerana bagi penduduk bandar mereka bergantung terus kepada bekalan makanan daripada petani komersil yang bertani dikawasan luar bandar. Permintaan mendadak bahan makanan pada musim perayaan boleh menyebabkan harga sesuatu barang keperluan meningkat. Pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas permintaan ke atas barang tertentu akan meningkat kerana pengguna memerlukan lebih banyak barang keperluan pada masa tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya kekurangan barang dan mempengaruhi kenaikan harga barang. Sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba turut dirasai pengguna mengenai kenaikan harga barang-barang makanan khususnya bekalan makanan seperti sayur-sayuran, daging dan buah-buahan. Kekurangan bekalan bahan ini akan lebih terasa apabila kekuranagan ini adalah berpunca daripada masaalah bencana alam seperti banjir atau kemarau dan akibat serangan penyakit dan perosak tanaman. Kos bahan input pertanian yang meningkat juga menyebabkan kenaikan harga barangan yang meningkatkan kos sarahidup orang ramai terutama dikawasan bandar. Oleh itu beberapa program dan aktiviti seperti Pertanian Bandar dipercayai mampu mengatasi isu ini. Rencana subuh ini say amenulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti pertanian bandar yang dapat mengurangkan kos sara hidup.


Pada penulis blog, pengeluaran sayur-sayuran khususnya mula mengalami kemerosotan berikutan faktor musim tengkujuh yang melanda negara sejak Disember sehingga kini. Bagaimanapun, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) telah memulakan usaha mengurangkan kesan kemerosotan pengeluaran bekalan makanan dengan pelbagai kaedah seperti pengurusan kuota, simpan stok dan kawalan harga di pasaran. Terkini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengadakan lawatan kerja ke pasar borong dalam merealisasikan usaha tersebut. Bekalan Kobis Bulat dalam negara tidak mencukupi dimana negara perlu terus mengimport sayuran ini dengan kuota dikawal oleh kerajaan. Salah satu cara bagi memastikan bekalan dan harga kubis bulat di Malaysia stabil, MOA akan meningkatkan kuota sementara pengimportan kobis bulat semasa musim perayaan ini. Peningkatan ini sentiasa dipantau bagi untuk memastikan tiada berlaku lambakan bekalan dan kenaikan harga yang mendadak. Dalam pada masa yang sama untuk mengelak terjejasnya sumber pendapatan petani tempatan. Kini pengguna juga boleh menyumbangkan kepada usaha mengurangkan tekanan kenaikan harga makanan dengan menghasilkan makanan sendiri untuk kegunaan isi rumah dengan menggunapakai sumber asas tanamanyang terdapat di persekitaran seperti program pertanian bandar yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian.


Program ini membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran bahan makanan sendiri mengikut keperluan. Objektif program ini adalah untuk menggalakkan penduduk setempat menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan bagi tujuan untuk menampung keperluan harian serta mengurangkan kos sara hidup. Selain itu, ia juga boleh menambahkan pendapatan sampingan komuniti bandar melalui lebihan pengeluaran hasil pertanian, menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan negara dan memupuk kesedaran serta minat terhadap kepentingan pertanian. Program yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu itu telah menunjukkan peningkatan penyertaan. Daripada 5,002 peserta di 280 buah lokasi, ia meningkat kepada 59,634 peserta di 2,471 buah lokasi. Pertambahan jumlah penyertaan menjadikan aktiviti pertanian bandar terbukti sebagai satu pendekatan yang dapat mengurangkan perbelanjaan harian isi rumah. Selain itu, mereka dapat menghasilkan makanan sendiri yang selamat, berkualiti dan tidak menggunakan racun berbahaya. Antara komuniti penduduk yang telah berjaya melaksanakan program ini ialah Komuniti Persatuan Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perlis 2, Keramat, Kuala Lumpur yang telah memenangi Johan Pertandingan Pertanian Bandar peringkat Lembah Klang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 yang lalu. Idea komuniti ini menggunakan inisiatif sendiri dengan kaedah melaksanakan projek pertanian bandar di kawasan tanah antara blok menggunakan kaedah pertanian iaitu secara konvensional dan teknologi fertigasi. Komuniti lain yang turut menyertai pertandingan ini juga telah menunjukkan akan semangat dan bekerjasama mengusahakan projek pertanian sama ada untuk kegunaan mereka sendiri dan dipasarkan kepada penduduk setempat. Naib johan dimenangi oleh Persatuan Komuniti USJ 6, Subang Jaya, Selangor, manakala, pemenang ketiga ialah Persatuan Komuniti Jalan Tuntung, dari Shah Alam, Selangor. Selebihnya sembilan komoditi yang turut serta dalam pertandingan ini telah menerima hadiah saguhati. Bagi komuniti-komuniti yang telah melaksanakan program ini dan ingin turut menyertai pertandingan atau berminat untuk menyertai program pertanian bandar boleh berhubung dengan Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian di talian 03-8870 4195 atau sambungan 4194/4184. Semuga testimoni dalam akhbar Kosmo ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
PERTANIAN BANDAR...ADA DIA...
TANAM SAYUR... DIRUMAH SAHAJA...
HASIL DITUAI... SEGAR KUALITINYA...
TANAM SENDIRI...JIMAT BELANJA...

Oleh,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 223, Hotel UDesign Hotel,
Temerloh, Pahang,
Malysia.
(19 RabiulAkhir 1438H)

Friday, January 20, 2017

POKOK TURI - TEKNOLOGI DAN KHASIAT

POKOK TURI (Sesbania grandiflora syn Aeschynomene grandiflora) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga FABACEAE atau Keluarga Kekacang yang mudah untuk tumbuh di Malaysia. Tumbuhan ini hidup dengan subur dikawasan perumahan dan kebun dan digunakan paling popular iaitu bahagian pucuknya untuk dimasak 'Sayur Turi Masak Lemak' yang dicampur dengan labu manis. Pokok turi terdapat diseluruh kawasan tropika yang lembab dari Asia Tenggara, Afrika sehingga Amerika Tengah dan Australia Utara. Nama-nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Kembang turi, turi, gallito, walking stick, hummingbird tree, scarlet wisteria tree, agati, Corkwood tree, Agati à grandes fleurs, Shiro gochou, Daun turi, Kacang turi, Agasto, Sesbãnia, Scarlet wisteria tree, Swamp pea, Vegetable hummingbird dan West Indian pea. Penulis dapati tidak ada dilaporkan secara khusus keluasan tanaman turi di Malaysia tetapi menganggarkan terdapat seluas antara 200-220 hektar CHE tanaman turi di Malaysia pada tahun 2015 yang ditanam sebagai tanaman selingan atau hiasan di kawasan rumah atau di tepi jalan. Pokok turi jarang ditanam secara monokrop daripada tinjauan dilakukan. Dari segi varieti turi juga belum ada pendaftaran dibawah 'National Plant Variety Listing' di Jabatan Pertanian. Artikel subuh kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya akan bentangkan teknologi tanaman turi untuk tatapan anda semua berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan bacaan teknikal.


Pokok Turi adalah tumbuhan yang dipercayai natif dari Malaysia, Indonesia, India dan Asia Tenggara lain. Tumbuhan renek yang banyak bercabang ini mampu mencapai ketinggian sehingga 8-15 meter dengan jangkahayat umur selama 20 tahun. Daunnya berwarna hijau dengan susunan bersilang merupakan daun kompoun yang berbentuk 'pinnate'. Saiz daun adalah 2 cm lebar dengan panjang kira-kira 3-4 cm dimana daun muda agak kekuningan. Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang 30-50 cm mempunyai kulit dan bercabang. Akar pokok turi ada akar tunjang dimana terdapat bintil-bintil akar (Root nodules) seperti jenis pokok keluarga kekacang yang lain. Bunganya sama ada berwarna putih atau ungu atau kemerahan berukuran 5-10 cm panjang berbentuk kacang pea. Bunga yang belum terbuka berukuran 3 cm. Buah turi adalah pod kekacang berwarna hijau dengan 30 - 50 cm panjang dan 8 mm lebar yang leper dengan membengkak pada kawasan berbiji. Biji pokok turi adalah berbentuk kacang pea yang hijau ketika muda dan coklat merah apabila cukup matang. Saiz bijibenih 3.5 mm garispusat dengan purata berat 1 gram setiap biji.


Pokok Turi sesuai tumbuh dikawasan yang panas dan lembap. Pokok turi selalu tahan dikawasan yang mudah banjir dimana akarnya akan dapat membentuk sistem ketahanannya tersendiri jika tenggelam dalam air. Ketahanan pokok turi dalam cuaca kemarau yang panjang juga menyebabkan pokok ini mampu bertahan sehingga 9 bulan pada cuaca kering. Bagaimana pun satu kelemahan pokok turi adalah dahannya yang mudah patah apabila ditiup angin kencang. Ini kerana dahan pokok turi yang banyak daun mudah sekah atau patah. Pokok turi didepan rumah penulis di Muar, Johor telah hidup lebih 15 tahun diatas tanah gambut dimana ketinggiannya cuma 4 meter sahaja. Pokok ini selalu dipetik daun pucuknya dan dibuat cantasan untuk dimasak oleh keluarga atau orang kampong yang datang minta daun turi. Saya fikir pokok turi ini boleh dikategorikan sebagai Turi Organik kerana tidak pernah dibubuh racun atau baja kimia dan hanya gunakan bahan baja organik sahaja. Memang berbali mempunyai pokok turi yang selalunya tidak ada masaalah penjagaan dan selalu berhasil terutama dimusim hujan.


Penanaman pokok turi sangat mudah dengan menggunakan biji atau ada juga yang menggunakan keratan batang. Pokok Turi boleh menghasilkan buah 9 bulan selepas ditanam dimana bunganya akan didebungakan oleh sejenis burung yang dipanggil 'Humming Bird' dibanyak negara tetapi dinegara kita selalunya proses pendebungaan akan dibantu oleh serangga lain atau burung kelicap. Benih Biji Turi perlu direndam 24 jam dan disemai dalam polibeg atau pasu mengandungi media tanah campuran atau 'cocopeat'. Setelah benih berumur sebulan maka ia sudah sesuai untuk ditanam dikebun atau kawasan rumah yang sesuai. Jarak penanaman disyorkan untuk penanaman monokrop komersial (Jika berminat) adalah 1.2 m x 1.2 m untuk memberikan kepadatan pokok yang sesuai. Berikan air dan baja asas pada peringkat awal penanaman setiap masa mengikut kesesuaian sehingga matang ketika berumur 9 bulan. Kajian juga menunjukkan pertumbuhan pokok turi pada tahun pertama dan kedua adalah cepat dimana mampu mencapai 5 meter selepas 9 bulan ditanam. Pertumbuhan pada tahun ketiga dan seterusnya agak perlahan. Pokok turi mempunyai masaalah serangan serangga perosak seperti Ulat makan daun, Ulat pemotong daun dan Ulat pengorek batang. Terdapat juga ulat pengorek buah kacang dan serangan cacing nematod (Meloidgyne spp) pada bahagian akar. Kawalan serangga perosak ini boleh menggunakan racun serangga yang biasa digunakan. Bagaimana pun pastikan tidak memetik hasil selepas dibuat semburan racun.


Laporan penanman komersial pokok turi di India dan Indonesia menunjukkan dimana kadar pertumbuhan pokok sangat cepat dimana jika sering dicantas jangkahayat umur pokok akan jadi pendek. Kadar pertumbuhan pokok turi bergantung kepada jenis tanah, sumber air dan cara amalan pengurusan kultura yang ada dijalankan. Pertumbuhan diatas tanah berpasir cuma setinggi purata 1.8 meter selepas 9 bulan berbanding dengan setinggi 3.2 meter diatas tanah lom. Kajian menunjukkan hasil tuaian biomas pokok turi sebanyak 65.1 kg/pokok dari kawasan tebing sungai dikawasan pastura terbuka sebanyak 25.4 kg/pokok. Bahagian daun, bunga, kacang dan buah pokok turi boleh dimakan. Bahagian BUNGA merupakan paling berguna untuk dimakan sebagai salad atau sayuran. Bunga berwarna putih lebih bernilai dari bunga berwarna merah di Filipina dan Thailand. Bunga yang masih dalam bentuk KUDUP (Belum terbuka) selalu dimakan mentah atau dikukus atau dimasak sebelum dimakan. Penulis dapati ia merupakan makanan sumber protin yang baik.


Ramai orang Malaysia tidak tahu yang daun pokok turi sangat berkhasiat untuk dijadikan makan ternakan. Daun turi boleh mula dituai 4 bulan selepas ditanam. Penulis membuat rujukkan dan mendapati daun turi kaya dengan protin (36% daripada berat kering) dan kandungan Vitamin A (9,600 IU). Pucuk daun turi sangat sedap untuk dimasak lemak dengan labu manis dan dimakan dengan nasi panas (Sila lihat  foto sebelah).  Daun turi yang dituai dari keliling rumah ditanam sendiri adalah percuma sahaja dan masih segar tetapi jika hendak beli di pasar basah atau pasar malam ianya dijual dengan harga RM 1.00 - RM2.00 satu ikat (Purata 5-6 tangkai). Daun ini perlu diceraikan dan dibasuh bersih sebelum dimasak dengan labu manis. Anda boleh mencari resepi memasak daun turi masak lemak dimana-mana buku resepi atau google sahaja dilamanweb. Selain itu bahagian kayu, kulit dan batang pokok turi boleh digunakan sebagai kayu api, bahan bakar dan lain-lain kegunaan. 
SELAMAT NENANAM POKOK TURI !...Wasallam..
POKOK TINGGI ....POKOK TURI.....
DIKAWASAN RUMAH...DITANAM BERSERI....
PUCUK DIPETIK...MASAK LEMAK LAGI...
SEDAP DIMAKAN....KENYANG YANG PASTI....

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Persint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia
Ditulis pada 30 Shawal 1432H
(Posting pada 15 Julai 2016)  

Thursday, January 19, 2017

RACUN DI SAWAH PADI - Part 2


Tanaman Padi (Oryza sativa) merupakan tanaman penting yang diberikan penekanan oleh setiap negara sebagai 'makanan keselamatan' yang menggunakan beras sebagai makanan ruji (staple foods). Di Malaysia aktiviti menanam padi dengan kawasan pasel padi seluas lebih 670,000 hektar terutama dikawasan Jeplapang Padi Negara. Keluasan ini hany amampu untuk membekalkan beras neraga sebanyak 70% sementara bakinya adalah perlu diimport dari luar negara. Bers import ini pula memang kurang atau tidak dihasilkan di Malaysia seperti Beras Basmathi, Beras Wangi, Beras Organik dan sebagainya. Penghasilan padi antara satu negara dengan satu negara berbeza disebabkan oleh kerana faktur pengurusan tanah, kesuburan tanah, varieti digunakan dan tahap teknologi yang diamalkan. Negera Thailand yang digelar sebagai 'Kitchen of the world' dan 'world rice-bowl' juga tidak menghasilkan pengeluaran beras dengan produktiviti tinggi tetapi mempunyai keluasan sawah padi yang sangat kuas. Kos pengeluaran padi juga semakin meningkat setiap tahun dengan peningkatan kos bahan input, kos tenaga kerja dan kerugian disebabkan oleh sebab kerosakan tanaman. Didalam industri tanaman padi lazimnya penggunaan racun kimia merupakan satu amalan secara kovensional untuk mempastikan produktiviti dan kualiti padi terus produktif. Dalam artikel lain saya ada juga menyatakan yang jelas bahawa pendekatan alternatif untuk pengurusan perosak padi diperlukan khususnya bagi asas untuk tujuan mengatasi serangan penyakit dan perosak utama padi. Artikel malam ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa isu penggunaan racun dalam industri penanaman padi untuk dijadikan bacaan ringan.


Pembiakbakaan tumbuhan terutamanya dalam pembiakan baka padi kini akan menjadi lebih cekap disebabkan oleh kemajuan pembiakan molekul (Molecular breeding). Keadaan ini juga dibantu dalam menghasilkan baka yang kini berpotensi menghasilkan hasil tinggi dan tahan kepada serangan perosak atau penyakit. Keadaan ini seterusnya akan mengurangkan kos pengeluaran dengan cara atau mengurangkan aplikasi bahan input pertanian. Satu faktur dalam biakbaka padi yang perlu adalah bagi kerintangan tanaman kepada perosak serta peranan IPM. Amalan IPM akan menjadi lebih meluas dengan amalan yang lebih baik dimana kaedah penyebaran amalan IPM dipertingkatkan dengan menyebarkan maklumat kepada petani. Teknik kejuruteraan ekologi didapati boleh membantu untuk tujuan memelihara atau memulihkan perkhidmatan ekosistem bagi kawalselia perosak khususnya untuk mengurangkan kes masalah perosak dalam tanaman padi. Terdapat kaedah untuk pengurangan yang ketara dalam penggunaan racun serangga dimana ianya boleh bergantung kepada program pengawasan serentak yang kukuh bagi tujuan utama untuk mengurangkan penggunaan racun serangga.


Saya dapati polisi yang dijalankan oleh kerajaan mengenai penggunaan racun perosak dan pengawalseliaan bagi tanaman padi dikawal dengan baik. Pelbagai dasar-dasar dan peraturan-peraturan racun perosak sentiasa dipantau eplikasinya termasuk kaedah pengiklanan, penjualan, penggunaan dan peraturan dinyatakan pada label pembungkusan. Dikebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia, mereka mempunyai peraturan-peraturan alam sekitar dan dasar keselamatan makanan yang lebih mendalam daripada negara-negara membangun. Pada masa ini juga kebanyakan negara-negara pengeluar beras mengetatkan peraturan penggunaan racun perosak mereka secara beransur-ansur pada tahun-tahun kebelakangan ini. Pada masa dulu perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa untuk tidak mempunyai peraturan racun perosak tanpa mengira tahap ketoksikan dan kesan terhadap alam sekitar. Berbeza pada masa sekarang dimana kita dapati kebanyakan negara-negara (sekurang-kurangnya nominal) mematuhi piawaian antarabangsa. Diantara jenis piawaian  bagi keselamatan makanan yang dibangunkan seperti oleh CODEX Alimentarius Commission FAO atau  WHO. Badan seperti ini adalah sebuah badan antarabangsa yang akan menetapkan garis panduan mengenai jumlah sisa racun perosak (Minimum residual level - MRL) yang juga dianggap boleh diterima dalam penilaian keselamatan untuk kelulusan racun perosak tertentu. Isu MRL ini juga dijadikan satu piawaian oleh sesetengah negara sebelum sesuatu produk pertanian dibenarkan dibawa masuk kenegara tersebut.


Kini saya dapati kebanyakan negara telah menggunakan klasifikasi WHO bagi tahap bahaya racun perosak. Piawaian tersebut juga menyentuh didalam menentukan bagaimana untuk mereka mengklasifikasikan dan menyekat bahan kimia tertentu. Produk syarikat atau individu akan dikelaskan dalam siri jadual iaitu mengikut ketoksikan oral atau sentuhan produk teknikal dan keadaan fizikal (pepejal atau cecair). Setiap produk jatuh di bawah salah satu daripada empat kumpulan: (Ia) Amat berbahaya, (Ib) Sangat berbahaya, (II) Sederhana berbahaya, dan (III) Sedikit berbahaya (Sila baca artikel saya berkaitan - Klik disini) . Sesetengah negara-negara pengeluar beras utama dunia juga kini telah mengharamkan racun perosak Kelas Ia dan Ib pada padi walaupun mereka membenarkan penggunaan yang terhad untuk tujuan lain. Racun perosak seperti monocrotophos, metil-parathion, azinphosmethyl dan Carbofuran adalah bahan kimia Kelas I yang biasanya digunakan dalam tanaman padi tetapi sekatan dilihat telah meningkat baru-baru ini. Kini saya mendapat tahu yang banyak bahan kimia ini masih wujud di negara-negara di mana mereka telah diharamkan atau telah pun dihadkan untuk digunaakan tetapi masih ada segelintir petani mencari jalan untuk membawa racun ini ke sawah padi. Walaupun selepas peraturan-peraturan kawalan dilaksanakan mungkin ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk aktiviti penguatkuasaan. Ini termasik bagaimana untuk mengambil tindakan terhadap banyak peniaga racun perosak dan petani yang mungkin lambat untuk mematuhi peraturan-peraturan ini.  Penggunaan racun disawah padi perlu dipantau dari semasa kesemasa oleh pihak berwajib. Jika sumber beras yang dimakan setiap hari oleh penduduk dunia tercemar dengan racun kimia maka siapa yang akan menanggung risikonya nanti. Pesawah dan peniaga racun akan terus menjalankan aktiviti mereka untuk mendapatkan keuntungan yang maksima. Semuga tulisan dalam anim agro technology petang ini memberi info berguna kepada semua pembaca yang meminati teknologi pertanian. Sila baca artikel 'Racun di Sawah Padi' Part 1 (Sila klik disini).  Wasallam!...
Jentuai padi di Jelapang Padi IADA KETARA.
GUNA RACUN KIMIA...DISAWAH PADI...
BANYAK DIGUNA...PERLU HATI-HATI...
TANAMAN SUBUR...HASIL MENJADI...
PERLU DIKAWAL... CARA DIPATUHI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 111, Bella Vista Resorts,
Kuah, Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(24 JamadilAwal 1434H) 
Kemaskini artikel pada 17.1.17

Wednesday, January 18, 2017

NILAI UBI KELEDEK - APA DIA?

UBI KELEDEK (Impomea batatas) dianggap sebagai salah satu makanan ruji utama selain daripada gandum, beras, jagung, barli, ubi kentang dan ubi kayu dibeberapa negara didunia ini. Bagaimana pun penulis blog mendapati di Malaysia, tanaman ubi keledek ditanam secara kecil-kecilan sebagai tanaman sampingan untuk jualan pasaran segar. Kini pengeluaran ubi keledek dalam skala kecil biasanya dihasilkan dikawasan luar bandar oleh petani atau usahawan pertanian yang berskala sederhana kerana tanaman ini hanya memerlukan input pertanian yang rendah. Selain itu, tanaman ini juga mudah hidup walaupun dalam keadaan tanah yang rendah kesuburannya, rumpai yang tumbuh meliar dengan cepat dan mudah terdedah kepada relatif perosak, toleran kemarau dan juga lebihan toleran berbanding tanaman sayur-sayuran konvensional yang lain. Penulis dapati ubi keledek boleh didapati dalam pelbagai warna seperti kuning, oren dan ungu dan mempunyai khasiat. Anda boleh membaca mengenai beberapa varieti keledek dalam tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Jenis ubi keledek berisi oren didapati mengandungi bahan baik untuk kesihatan iaitu Beta-kerotin, manakala jenis keledek yang ada isi ungu pula amat kaya dengan bahan antioksida dan antosianin yang dapat melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan. Sebenarnya ubi keledek yang dihasilkan adalah mengikut kesesuaian penggunaannya dalam industri makanan. Misalnya varieti Gendut didapati sesuai untuk makanan ringan sama ada rebus atau digoreng, manakala pucuknya dijadikan sebagai sayuran. Varieti Telong dan Jalomas pula didapati sesuai untuk dijadikan tepung, manakala varieti Vitato pula digunakan dalam pelbagai produk makanan dan minuman kerana kelebihan varieti ini kaya dengan karetenoids. Bagi ubi keledek ungu atau dikenali sebagai Kedudut, ia biasanya digunakan untuk membuat kerepek sebagai makanan ringan dan dijadikan sebagai bahan asas dalam pembuatan kuih tradisional. Namun begitu lazimnya penulis blog mendapati dimana tahap penggunaan ubi keledek ungu dalam industri makanan adalah terhad kerana hasil yang diperoleh tidak memuaskan berbanding varieti ubi keledek lain. Rencana subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai nilai tanaman ubi keledek sebagai satu komoditi penting untuk djadikan bahan rujukkan.


Varieti keledek yang terdapat di Malaysia amat terhad kerana ia dikaelaskan bukan sejenis tanaman penting. Bagaimana pun ada aktiviti pembaikbakaan ubi keledek yang dijalankan di MARDI dan petak pemerhatian (LVT) yang selalunya dijalankan oleh Jabatan Pertanian. Kini bagi meningkatkan lagi jumlah hasil dan juga kualiti ubi keledek, MARDI telah menjalankan sistem pembaikbakaan menerusi kaedah konvensional. Ini kerana ubi keledek selalu ditanam secara vegetatif iaitu menggunakan bahagian keratan batang atau pucuk. Bagi ubi keledek kaedah kacukan (crossing) tidak dapat dipraktikkan kerana rumit dan mempunyai batasan. Ini kerana ujud apa yang dikatakan sebagai ubi keledek juga mempunyai sistem ketidakserasian sendiri yang sangat kuat sehingga mengehadkan penggunaan sumber genetik dan amat sukar untuk dibiakkan melalui kaedah kacukan. Saintis juga melakukan pembaikbakaan secara mutasi (Mutation technique) sebagai pendekatan utama dalam menambah baik varieti ubi keledek. Kini aktiviti pembaikbakaan ubi keledek menerusi kaedah mutasi merupakan julung kali dilaksanakan apabila MARDI bersama-sama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) telah mengambil inisiatif melalui pendekatan itu untuk menghasilkan varieti ubi keledek yang tinggi hasil, kualiti pemakanan dan toleran pada serangan penyakit serta perosak.


Dalam kita membincangkan akan nilai kepentingan khasiat ubi keledek, penulis mendapati sebagai langkah pertama, ubi keledek berisi ungu telah ditambah baik melalui pemulihan genetik untuk tujuan meningkatkan impaknya sebagai makanan keselamatan serta sumbangannya kepada masyarakat bagi menangani masalah kekurangan nutrien, di samping meningkatkan taraf hidup. Kajian ini dilaksanakan di Pusat Kecemerlangan Ubi-ubian, MARDI Bachok, Kelantan. Menerusi kajian ini, beberapa genotip ubi keledek ungu yang terhasil melalui induksi mutasi menggunakan radiasi sinar gamma dinilai ciri-ciri morfologi dan pertumbuhannya (Sila lihat foto disebelah). Antara objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji pertumbuhan dan kepelbagaian daripada beberapa aksesi ubi keledek ungu yang terhasil daripada aruhan mutasi bagi mendapatkan ubi keledek yang tinggi hasil serta kandungan antosianin. Kajian tersebut masih pada peringkat permulaan dan memerlukan penelitian bagi memastikan pembangunan varieti ubi keledek baru tersebut akan memberikan tinggi hasil dan antosianin serta tolen penyakit tercapai. Jika kajian ini selesai dan berjaya bermakna ada varieti ubi keledek yang akan ditanam secara komersil untuk mrnambah makanan berkhasiat dalam negara.


Keledek boleh dimasak dengan pelbagai cara dan menu yang sesuai mengikut citarasa. Mempelbagaikan sajian keledek cara tradisional dan moden boleh dirujuk dalam buku resepi masakkan atau kini tekan pada telefon dan lamanweb sahaja. Sebagai contoh resepi daging goreng keledek dengan sos perang sudah tidak asing lagi dalam proses menyediakannya kerana ia boleh dirujuk dalam internet (Sila lihat foto disebelah). Antara menu dan resepi daripada keledek seperti Baked Ubi Keledek, Bingka Keledek, Pengat Keledek, Abok-abok Keledek, Mee Udang Keledek, Daigaku Umo (Makanan Jepun berasaskan keledek), Pengat Keledek Bersagu, Cakar Ayam, Keledek Goreng, Cucur Badak Keledek, Kuih Keria Keledek, Bebola Ubi Keledek dan Triffles. Kesemua makanan berasaskan keledek ini memeng tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia terutama kuih keria keledek, keledek goreng )dimakan dengan sambal kicap) dan juga Cucur Badak Keledek. Penulis blog kali ini paparkan resepi membuat Cucur Badak Goreng selepas membuatnya sendiri dirumah. Bahan-bahan diperlukan adalah 2 cawan ubi keledek yang perlu direbus dan lecek, 1 biji telur, 1/2 sudu baking powder dan tepung secukupnya. Bahan lain adalah minyak untuk menggoreng dan sedikit garam. Membuatnya amat mudah, ringkas dan cepat. Cara-cara membuatnya dengan memasukkan ubi, baking powder, telur dan garam ke dalam mangkuk. Tambah tepung sedikit demi sedikit dan diuli sehingga tak melekat di tangan. Kemudian dibuat bulat-bulat kecil seperti bola pingpong mengikut kehendak kita. Bola bulat kecil ini kemudian digoreng dalam minyak panas sehingga perang dan kemudian diangkat dan toskan minyak. Enak dimakan semasa suam panas dan ianya memang mengenyangkan. Wasallam!!.
KHASIAT KELEDEK...MAKANAN UTAMA...
PUCUK KELEDEK...DIMAKAN ENAKNYA...
ISI KELEDEK.. PELBAGAI KEGUNAANNYA...
RESEPI KELEDEK... RAMAI PEMINATNYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Keledek,
Kelompok, Jaya Gading Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(15 RabiulAkhir 1438H)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...