Tuesday, October 31, 2017

HERBICIDE - KONTAK DAN SISTEMIK

RACUN RUMPAI (Herbicide atau Weedicide) merupakan satu bahan yang digunakan untuk mengawal pertumbuhan rumpai dan ia seterusnya akan membunuh rumput (weeds). Rumpai juga merupakan tumbuhan yang tidak dikehendakki (termasuk noxious plants) berada didalam kebun yang akan bersaing dengan tanaman dari segi makanan, ruang, cahaya matahari dan lebih teruk lagi ia merupakan perumah kepada perosak dan penyakit tanaman. Penggunaan racun rumpai adalah satu kaedah paling biasa digunakan dikalangan petani dan perladangan sebagai satu kaedah yang berkesan, kos efektif dan mudah untuk dilaksanakan. Umumnya ada terdapat tiga jenis racun herbicide iaitu JENIS KONTAKS atau RACUN SENTUH (contact herbicide) dan juga jenis Serap atau JENIS SISTEMIK (Systemic herbicide). Jenis ketiga adalah RACUN PRA-CAMBAH iaitu untuk membunuh rumput yang beelum tumbuh lagi. Pada artikel kali ini saya hanya bincang berkisar bagaimana kedua-dua jenis racun rumpai ini bertindakbalas pada tumbuhan untuk tujuan membunuhnya. Ini penting kepada semua petani dan pembaca blog pertanian ini sebagai asas kepada cara penggunaan racun rumpai dengan betul dan bertepatan serta kos ekonomik. Menyembur racun rumpai perlukan beberapa peralatan dan racun. Lazimnya untuk kawasan kebun kecil hanya perlukan pam penyembur racun jenis galas berkapasiti 4 gelen atau 16 liter tetapi bagi kawasan perladangan yang luas menggunakan pam racun berjentera menggunakan motorised pump. Pakaian untuk aktiviti menyembur racun juga perlu ada untuk melindungi daripada terkena racun tersebut sebagai perlindungan. Bergantung kepada jenis rumput yang hendak dikawal maka pembelian sama ada racun kontaks atau racun sisteik amat penting ditentukan. Artikel pagi Isnin ini sempena cuti umum khas kemenangan Malaysia dengan 145 pingat emas semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai racun kontaks dan racun sistemik untuk dijadikan bahan rujukkan.


Racun rumpai jenis Sentuh atau jenis kontaks ini merupakan jenis racun yang mampu membunuh rumpai pada bahagian hijau tumbuhan yang secara terus kena semburan racun ini. Bahan aktif racun jenis ini hanya bertindakbalas dengan dahan, daun dan bahagian yang berwarna hijau dalam masa singkat dan kesan daun layu dapat dilihat dalam 2 -3 jam sahaja. Warna hijau akan menjadi hijau pucat seterusnya akan mati dan kering berwarna kecoklatan dalam 2-3 hari sahaja. Bagaimana pun lazimnya rumput akan tumbuh semula dalam 2-3 minggu kemudian. Racun ini perlu gunakan air dan kuantiti air banyak untuk menyembur keseluruhan bahagian rumpai sehingga basah semuanya. Bahagian yang tidak terkena racun akan masih hijau. Ia hanya sesuai untuk jenis rumpai yang tidak mempunyai akar banyak, luas tersebar atau akar dalam kerana ia hanya sentuh bahagian hijau diatas rumpai sahaja. Kesan membunuh rumpai cepat tetapi kekerapan untuk meracun semula juga kerap kerana rumput akan tumbuh semula selepas beberapa waktu. Bahagian akar yang berada didalam tanah masih hidup terutama jika ia ada akar dalam, rizom dan sebagainya. Kaedah meracun dengan racun sentuh sesuai untuk kawasan kebun yang ditanam dengan tanaman makanan singkat masa dan tidak memberikan kesan sisabaki kepada tanaman yang dilakukan selepas membersihkan rumpai dikebun. Banyak jenis racun sentuh dijual dipasaran seperti Gramoxone, Halex Paraquat, Herbatop, KEN-TEC 100 dan  beberapa lagi.


Racun sentuh memang penulis blog ini dapati cepat bertindak menbunuh rumpai dan kesannya dapat dilihat beberapa jam selepas semburan. Kebaikan lain yang saya boleh kata adalah dimana racun sentuh lebih berkesan walaupun terkena hujan selepas semburan dan biasanya tidak memberi kesan buruk pada akar tanaman berbanding racun rumpai jenis sistemik. Racun sentuh juga adalah racun tidak memilih dan menbunuh semua jenis rumpai yang terkena semburannya. Tetapi tetap ada keburukan racun sentuh seperti ia tidak menyerap pada akar tumbuhan dan tidak dapat menyentuh akar tumbuhan yang berada di dalam tanah .Rumpai seperti lalang akan cepat tumbuh semula kerana rizomnya yang berada di dalam tanah tidak terjejas. Ia juga tidak membunuh biji benih yang berada dalam tanah dan anak benih rumpai akan tumbuh dengan cepat dimana ini menjadikan petani perlu untuk mereka menyembur racun rumpai sentuh lebih kerap. Kesan pembunuhan rumpai juga tidak sekata sekiranya kita tidak tahu teknik penyemburan yang betul atau tidak mengikut kadar bancuhan seperti yang disyorkan. Racun rumpai jenis sentuh juga adalah racun yang sangat berbahaya kepada manusia dan ternakan. Kita perlu mengutamakan langkah-langkah keselamatan semasa penggunaannya kerana ia boleh memberikan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Rumpai yang disembur racun sentuh juga boleh memberi kemudaratan kepada ternakan sekiranya memakan rumpai tersebut seperti lembu dan kambing dan didakwa boleh membunuh lebah dan kelulut. Kebanyakan racun rumpai sentuh adalah bahan kawalan dan tidak boleh dijual kepada sesiapa sahaja sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik. Walau bagaimana pun tahap penggunaannya amat diperlukan kerana sesetengan tumbuhan tidak dapat dikawal atau kurang sesuai menggunakan racun rumpai sistemik.


Bagi Racun Serap atau Racun Sistemik ia selalu memberikan kesan lebah tahan lama berbanding dengan racun sentuh. Ia akan membawa bahan perawis keseluruh bahagian tumbuhan sehingga masuk kedalam akarnya. Ia akan pergi kebahagian daun, pucuk, mata tunas, bunga dan buah sehingga keakarnya dalam masa 2-3 hari. Proses tumbuh kembali rumpai yang diracun serap sangat lambat sehingga pusingan mengawal rumpai dikawasan kebun menjadi lebih lama. Ini secara tidak langsung amat menjimatkan masa untuk kerja meracun semula pengendalian dapat lebih lama serta jimatkan kos. Penyebaran bahan aktif ke seluruh bahagian rumpai ini hanya memerlukan sedikit air dan sebuaran mudah dilakukan denga semua jenis alat semburan asalkan terkena pada rumpai. Ada beberapa perkara perlu dilihat sebelum gunakan racun serap iaitu semas menyembur sebaiknya rumpai tersebut dalam fasa pertumbuhan aktif, cuaca cerah dan tidak ada tanda-tanda akan turun hujan. Jika hujan turun maka keberkesanan racun serap berkurangan selepas menyembur. Sila pastikan untuk menggunakan air yang bersih sahaja sebagai bahan pelarut. Banyak jenis racun serap dipasaran seperti Round-UP, Basta, Spark dan banyak lagi.  Bagi mendapatkan info mengenai RACUN PRA-CAMBAH sila anda layari penulisan saya sebelkum ini untuk keterangan lanjut (Sila Klik DIsini). Semuga tulisan kali ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!..
MENGAWAL RUMPAI... RACUN DIGUNA...
RACUN SENTUH...IA CEPAT KESANNYA...
RACUN SERAP... KAWAL MASA LAMA...
AKTIVITI AGRONOMI ....SETIAP MASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(14 Zulhijjah 1438H)

Monday, October 30, 2017

RACUN TIKUS - BAHAYANYA

ADAKAH ANDA KENAL RACUN TIKUS?... Pada penulis blog yang lama dalam bidang pertanian memang tidak asing melihat racun tikus yang sering digunakan dikawasan sawah padi. Kini racun tikus boleh didapati dalam berbagai jenama dan bentuk sediaan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 60 jenama yang berdaftar diantaranya seperti MATIKUS, KING KONG, STORM, WARFARIN, RACUMIN dan banyak lagi. Setengah daripadanya digunakan begitu meluas di ladang dan kebun tanpa was-was untuk tujuan membunuh tikus yang merosakkan tanaman. Begitu juga racun tikus sering digunakan didalam rumah untuk tujuan menghapuskan tikus rumah. Racun tikus yang digunakan di rumah biasanya dalam bentuk sediaan debu, serbuk, butir dan umpan pepejal. Bagaaimana pun ibubapa mesti selalu waspada kerana racun tikus sediaan dalam bentuk butir berwarna terang biasanya menarik perhatian kanak-kanak yang menganggap sebagai makanan ringan. Walaupun ia tidak merbahaya pada manusia dan haiwan peliharaan tetapi setengah daripada racun tikus mengandungi bahan kimia tertentu yang toksik kepada manusia. Jika diambil dengan dos yang tinggi tentunya ia akan mendatangkan masaalah kepada kanak-kanak yang memakannya. Daripada beberapa lap[oran yang penulis rujuk menyatakan kadar keracunan racun tikus kepada manusia bergantung kepada kandungan bahan aktif. Kandungan bahan aktif (bahan kimia) dalam sediaan racun tikus terdiri dalam berbagai jenis diantaranya seperti Brodifacoum, Bromadiolone, Calcium cyanide, Chlorophacinone, Coumatetralyl, Doumatetralyl, Flocoumafen, Warfarin dan Zinc phosphide. Penulis gerun mendengar bahan aktif tersebut kerana ia semua adalah toksik. Racun tikus yang mengandungi bahan kimia yang amat toksik kepada manusia telah diharamkan penjualannya oleh kerajaan dan tidak sepatutnya disimpan di rumah. Direkodkan diantara racun yang sangat toksik dan ianya merbahaya adalah seperti Arsenik, Fosforus, Talium, Flourida, Sianida dan Strichnin yang telah diharamkan. Artikel malam Ahad ini dalam "Anim Agro Technology" saya kembangkan lagi ilmu pengetahuan mengenai bahaya racun tikus dan bagaimana menggunakannya.


Bahan-bahan kimia yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keracunan atau pun maut jika diambil dengan kadar dos yang tinggi. Artikel kali ini saya berkongsi info dan seterusnya akan membincangkan tentang racun tikus yang ada di pasaran sekarang dan mungkin digunakan dan disimpan oleh pembaca blog anim agro technology semua. Sebenarnya racun tikus yang mengandungi bahan aktif Zinc phosphide merupakan antara racun yang merbahaya dengan mempunyai kadar toksik yang tinggi. Kandungan peratusan bahan aktifnya adalah sebanyak 80%. Racun tikus ini mengeluarkan bau seperti ikan busuk dan rasanya tidak akan membuatkan haiwan lain tertarik, tetapi ciri-ciri ini menarik perhatian tikus. ZINC PHOSPHIDE merupakan bahan perawis aktif bagi racun tikus dari Kumpulan ‘Phospine’ dengan cara tindakan mengeluarkan gas phospine dalam perut tikus setelah memakan upan racun tersebut. Gas METI ini akan menyebabkan tikus akan mati dengan kadar cepat dan merupakan racun tikus yang popular digunakan dikawasan sawah padi sejak dulukala. Ada juga dilaporkan ular yang makan bangkai tikus yang mati akibat racun tikus zinc phosphide juga akan mati jika makan dengan kuantiti banyak. Racun tikus jenis ini adalah terkawal dan ada yang menyatakan telah diharamkan di Malalysia. Antara jenama racun tikus jenis ini adalah seperti GOLD COIN ZINC PHOSPHIDE, MAPA ZINC PHOSPHIDE dan ITA ZINC PHOSPHIDE. Biasanya racun tikus ini akan terdapat di pasaran dalam bentuk serbuk dan pepejal. Racun ini boleh memasuki badan kita menerusi saluran pernafasan, mulut atau diserap melalui luka. Bila racun ini dicampur atau bersentuhan dengan air atau asid lemah ia akan membebaskan gas fosfin.


Dalam kes penggunaan racun tikus, kadar dos penting kerana anggaran dos mautnya lebih kurang 40 mg/kg. Keracunannya akan menyebabkan kesesakan paru-paru, tekanan darah menjadi rendah, sukar bernafas, muntah, kadar denyutan jantung tidak menentu, gelugut dan seterusnya akan jadi dan menyebabkan koma, kerosakan ginjal, pengurangan sel darah putih dan boleh membawa maut dalam masa 4 hari hingga 2 minggu. Jika berlaku keracunan rawatan awal yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan mangsa minuman susu atau air bertujuan meneutralkan asid dalam perut, ikhtiarkan muntah dan segera bawa mangsa ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut. Antikoagulan (agen pencair darah) adalah kelas racun tikus mempunyai tahap keracunan yang rendah pada manusia. Antikoagulan adalah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Coumarin dan juga jenis Indanedione. Warfarin, difenacoum, bromadiolone dan brodifacoum merupakan salah satu komponen utama dalam bahan aktif 4-hydroxycoumarin manakala Indanedione pula terdiri daripada diphacinone, pindone dan chlorphacinone.


Dalam pada itu kepekatan Warfarin dalam setiap racun tikus biasanya antara 0.025 - 0.5%. Warfarin tidak mempunyai rasa, bau ataupun warna. Brodifacoum, difenacoum dan chlorphacinone dijual dalam pasaran dengan kepekatan antara 0.005 - 2%. Kumpulan ini juga dikenali sebagai superwarfarin. Kesemua komponen tersebut terdapat di pasaran dalam sediaan serbuk, butir, tablet dan kapsul. Racun tikus warfarin bila dimakan berulangkali dalam masa sehari menyebabkan pendarahan pada tikus mahupun manusia kerana darah tidak lagi mudah membeku. Sekiranya hanya sekali sahaja diambil kesan toksik pada manusia tidak ketara. Anggaran dos mautnya ialah lebih daripada 5-20 mg sehari diambil selama lebih daripada 3-5 hari. Kumpulan superwarfarin didapati lebih toksik daripada warfarin di mana ia boleh memanjangkan lagi masa pendarahan. Dos keracunan kumpulan superwarfarin adalah berbeza-beza mengikut kandungan racun tersebut. Dos keracunan melalui mulut bagi chlorphacinone ialah 250 - 625 mg, 7.5 mg bagi brodifacoum (0.12 mg/kg) dan 500 mg bagi difenacoum. Kumpulan ini sama juga dengan warfarin jika diambil sekali tidak merbahaya pada manusia. Ketoksikannya akan bertambah jika diambil berulangkali selama beberapa hari. Dalam pada itu tanda-tanda keracunan racun tikus antikoagulan seperti terasa mual atau muntah dan cirit birit.


Kebanyakkan racun adalah toksik kepada manusia. Kesan racun ada pendarahan yang berlaku menyebabkan luka lambat sembuh, gusi atau hidung berdarah, najis dan kencing berdarah dan dalam keadaan teruk boleh menyebabkan renjatan dan tidak sedarkan diri akibat dari pendarahan dalam termasuk pendarahan usus. Jika berlaku keracunan ikhtiarkan supaya mangsa muntah dan segera bawa mangsa ke hospital. Oleh itu, segala racun makhluk perosak yang digunakan di rumah janganlah dipandang ringan walaupun ia kurang toksik. Jika terdedah berulangkali dalam jangkamasa yang lama boleh menyebabkan keracunan kronik kepada pengguna. Walau apa pun kes keracunan, pesakit harus mendapat rawatan dan pemeriksaan doktor secepat mungkin untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. Pusat Racun Negara perlu dihubungi jika berlaku keracunan untuk mendapat nasihat dan maklumat lanjut tentang keracunan.


Menjawab soalan iaitu bagaimanakah kaedah penyimpanan dan penggunaan racun tikus di rumah?. Racun tikus hendaklah disimpan dengan selamat sebelum dan selepas ianya digunakan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Seelok-eloknya simpan ditempat tinggi dan tidak dapat dilihat oleh kanak-kanak. Tempat simpanan yang berkunci dan jangan simpan bersama bahan-bahan makanan dan minuman. Simpan dalam bekas asal racun tersebut dan jangan pindahkan ke dalam bekas lain. Kebiasaannya racun tikus digunakan pada waktu malam memandangkan pada waktu ini tikus berkeliaran mencari makanan. Tempat racun diletakkan hendaklah tidak mudah dilihat oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Gunakan bekas yang hanya untuk menyediakan racun tersebut dan jangan sekali-kali gunakan bekas itu untuk menyediakan makanan. Jangan sediakan racun tikus dengan tangan dan sebaiknya cuci tangan selepas menyediakan racun tersebut. Kepada pembaca bog anim agro technology boleh merujuk kepada tulisan saya sebelum ini mengenai racun tikus (Sila klik disini). Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!...
RACUN TIKUS... BANYAK JENAMA...
BELI SEBUNGKUS... UNTUK DIGUNA...
KALAU DIGUNA... PERLU DI JAGA...
PERLUKAN PENGETAHUAN...SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(12 Zulhijjah 1438H)

Sunday, October 29, 2017

NANAS YANKEE - KENALI DIA

NANAS YANKEE atau SELANGOR SWEET merupakan sejenis varieti nanas yang sangat popular di sekitar kebun nanas di Selangor. Nanas Yankee telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dalam Senarai Varieti Tanaman Kebangsaan dengan nombor Kod AC6 pada tahun 2013. Dari segi sejarah nanas Yankee dahulu banyak di tanam di sekitar Simpang Rengam, Johor tetapi benih ini kemudian dibawa ke Selangor dan menjadi varieti nanas yang utama ditanam di negeri ini. Nanas Yankee ditanam oleh pekebun-pekebun kecil dan kelompok disekitar Banting, Kelang dan beberapa daerah lain terutama dikawasan tanah gambut. Keluasan keseluruhan penanaman nanas di Selangor pada tahun 2015 adalah seluas 446.04 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 7,310.9 metrik tan (Sumber: Laporan Tahunan LPNM 2016). Didakwa sekitar 60% daripada varieti nanas tersebut adalah varieti Yankee, 20% nanas MD2 dan bakinya daripada nanas Moris dan lain-lain varieti. Kekangan kekurangan kawasan baru untuk bertanam nanas secara monokrop menyebabkan pekebun kecil nanas seperti di Daerah Banting yang menanam nanas Yankee ini secara berintergrasi dengan tanaman kelapa sawit atau kelapa yang dibersihkan untu tanam semula. Nanas Yankee yang ditanam di kawasan tanah gambur secara ini mempunyai kepadatan sekitar 7,000 - 8,000 pokok seekar sahaja. Apa yang unik mengenai varieti nanas ini adalah terdapat banyak sulur sisi disekeliling buah nanas Yankee yang matang (Sila lihat foto diatas). Sulur Sisi ini lazimnya diantara 8 - 10 unit setiap biji buah yang matang dan sesuai untuk digunakan sebagai bahan tanaman. Adalah tidak menjadi masaalah untuk mendapatkan sumber benih nanas Yankee dari kawasan yang hendak menanam nanas jenis ini. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai nanas Yankee sebagai menambah info untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Nanas Yankee atau digelar juga 'Selangor Sweet' ini memang istimewa kerana pokoknya besar dan tahan lasak daripada beberapa varieti lain. Pokoknya besar dengan ketinggian hampir 1 meter bagi pokok dewasa yang subur. Mempunyai saaiz daun yang lebar dan panjang tetapi juga terdapat duri yang agak tajam. Penanam nanas terpaksa memakai dua lapis seluar (yang luar adalah seluar jeans) bagi mengelakkan duri yang keras dan tajam ini. Penulis yang hanya berseluar slacks nipis semasa melalui celah pokok nanas Yankee luka-luka banyak menunjukkan duri nanas Yankee memang tajam dan perlu disapu dengan 'lotion' dengan segera untuk ia elakkan berlaku infeksi. Nanas varieti ini ditanam dengan jarak 3 kaki x 2 kaki dan 4 - 5 kaki diantara barisan. Ia kurang diserang penyakit utama nanas seperti BHR seperti varieti MD2 dan mudah diuruskan. Pembajaan sama dengan pakej amalan teknologi tanaman nanas di tanah gambut iaitu semasa vegetatif menggunakan baja NPK 15:15:15 dan untuk pembuahan dengan baja NPK 12:12:17:2 TE serta baja semburan yang lain. Nanas varieti ini hanya sesuai menggunakan Karbid (Calcium carbide) untuk aruhan bunga. Bahan hormon lain seperti ethephon (ethrel) dan Pil ANAA tidak memberi kesan kepada aruhan bunga bagi varieti ini. Buah nanas Yankee akan matang dalam masa 12 bulan selepas ditanam.


Nanas ini mempunyai warna kulit masih hijau apabila masak dengan terdapat tanda warna tompok kuning pada beberapa mata nanas. Kulitnya juga nipis menjadikan buah ini tidak tahan lama untuk dihantar kelokasi yang jauh. Ia juga mempunyai kulit nipis dan lembut dan mudah berair jika ditindih semasa proses pengangkutan. Bahagian isi Nanas Yankee mempunyai isi yang berwarna putih dengan sedikit kekuningan dan ada tompok kecil warna putih (Sila lihat foto disebelah dan diatas). Isi buah yang masak sangat berair (very juicy) dan sepotong nanas akan menitiskan airnya yang manis. Dari apa yang dilihat nanas ini mempunyai tekstur fiber yang halus dan lembut. Kemanisan bagi buah nanas  yankee yang masak diantara 12 - 16 darjah Brixs dan bahagian atas buah masih sesuai dimakan segar. Buah nanas yankee ini sangat sesuai untuk dimakan segar dan juga dijadikan produk lain seperti Jus Nanas, Paceri Nanas, Pes Nanas, Kordial dan sebagainya. Lazimnya semasa kenduri kahwin masyarakat tempatan di Daerah Banting menggunakan nanas ini sebagai pilihan untuk dijadikan juadah. Nanas ini dijual dengan harga ladang sekitar RM2.50 sekilogram bagi gred A dan mampu untuk mencecah RM3.50 sekilogram bagi gred AA. Setakat ini belum ada masaalah mengenai harga untuk nanas Yankee kerana permintaan terhadap nanas ini terus tinggi di Lembah Kelang.


Apa yang istimewa adalah bahagian empulur (batang tengah) buah nanas Yankee yang lembut dan berjus. Penulisan saya mendapati empulur nanas adalah bahagian p[enting dalam buah nanas yang mengandungi komponen Bromelin yang tinggi. Penulis terus gigit dan kunyah bahagian empulur ini dengan rasa manis dan lembut tidak seperti nanas varieti lain. BROMELIN adalah satu jenis enzim proteolitik yang selau didapati daripada bahagian tengan (empulur) buah nenas (Ananas comosus). Bromelin adalah enzim proteolitik yang selalu dijumpai dalam bahagian dalam batang dan buah nanas. Enzim ini selalu dihasilkan sebagai hasil sampingan daripada pembuatan memproses jus nanas. Dalam kilang menghasilkan atau mengekstrak Bromelin terdapat beberapa teknologi atau cara khusus yang dapat digunakan untuk proses Pemendapan (presipitation) enzim ini dengan menggunakan bahan yang dikenali dengan nama Amonium Sulfat dan Alkohol. Kepada mereka yang makan nenas segar dan memilih isi buah nenas serta makan bahagian tengah berserat bermakna ia telah mengambil bromelin yang didakwa mampu untuk mencegah kes kanser. Ini adalah kehebatan makan buah nenas yang selama ini kurang diketahui umum. Rata-rata kita semua hanya suka makan bahagian isi nenas yang lembut dan manis sahaja sedangkan bahagian empulur nenas tawar, keras sedikit dan berserat ada yang membuangnya. Nanas Yankee amat berpotensi ditanam bukan sahaja di Lembah Kelang tetapi sesuai dinegeri-negeri lain di Malaysia asalkan ada tanah sesuai dan mendapat khidmat nasehat daripada LPNM dan Jabatan Pertanian. Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

NANAS YANKEE.... DISELANGOR ADA...
POKOK SUBUR...IA BESAR BUAHNYA...
BANYAK SULUR...MUDAH TANAMNYA...
DAPAT ILMU....MEMBACA RENCANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1926, Hotel Hatten,
Bandar Hilir, Melaka,
Malaysia.
(26 Zulhijjah 1438H)

Saturday, October 28, 2017

GORENG TEPONG NASI

GORENG TEPONG NASI merupakan satu menu makanan yang mudah disediakan, enak dimakan dan berkhasiat. Makanan tradisional goreng tepong merupakan antara makanan yang paling mudah disediakan dan mudah dihidangkan serta dimakan oleh masyarakat kita terutama untuk sarapan pagi dan minum petang. Goreng Tepong adalah nama biasa bagi penduduk kampong dimana ia menggunakan bahan asas tepong gandum, air, garam dan ramuan perisa lain seperti bawang merah, cili dan juga minyak masak. Pada penulis blog makan kuih goreng tepong ini amat mengenyangkan dan berkhasiat. Terdapat banyak jenis goreng tepong selain daripada Goreng tepong Nasii seperti Goreng Tepong Bilis, Goreng Tepong Udan, Goreng Tepong Gula, Goreng Tepong Bikarbonate, Goreng Tepong Berempah, Goreng Tepong Tapai, Goreng Tepong Bodoh dan beberapa jenis lagi. Masyarakat luarbandar terutama pekerja ladang, petani, pekerja kilang dan mereka yang perlu gunakan tenaga banyak zaman dulu memang bersarapan dengan makanan goreng tepong. Selain daripada ia sangat mudah disediakan, kos yang murah serta cepat dimasak menjadikan kuih ini masih kekal sehingga hari ini. Mereka yang kurang pandai masak pun boleh mempelajarinya dengan cepat dan mudah. Ia memberikan tennaga kalori yang banyak dan agak tahan lama disimpan serta dijadikan bekalan. Artikel malam ini say amenulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kuih goreng tepong nasi dan cara membuatnya untuk dikongsi bersama pembaca semua.


Bahan asas untuk membuat goreng tepong nasi adalah 0.5 kg Tepong, satu mangkuk kecil nasi sejuk, 10 ulas bawang meranh (Diracik), ikan bilis (Disiat-siat), Daun Sup (Dipotong halus), garam dan juga serbuk perisa. Sebaiknya nasi makan malam yang tidak habis makan digunakan untuk buat bahan asalkan nasi tersebut tidak basi. Cara membuatnya mudah iaitu dengan mengambil tepong dimasukkan dalam mangkuk adunan dan masukkan 2 cawan air suam dan dikacau rata. Masukkan nasi sejuk, hirisan bawang, ikan bilis, daun sup atau daun bawang dan air garam kedalam adunan dan kacau sehingga sebati. Penting untuk menjadikan adunan dalam keadaan sederhana lembut agar ia boleh diambil dengan sudu semasa menggorengnya. Panaskan minyak dalam kuali dengan minyak masak yang baharu. Jika gunakan minyak yang telah digunakan maka kualiti goreng tepong tersebut tidak cantik dan berubah rasanya. Apabila minyak telah panas maka dengan sudu atau tangan ambil adunan tersebut dan masukkan kedalam kuali. Pastikan minyak yang banyak dan ketulan tepong yang digoreng tenggelam dalam minyak. Kawal api yang sederhana untuk mempastikan bahagian dalam masak dan bahagian luar tidak hangus. Setelah berubah warna kekuningan coklat maka terbalikan ketulan tersebut dan biarkan sehingga masak sekata. Kemudian angkat goreng tepong tersebut dan toskan minyaknya. Setelah itu disejukkan dan ia sedia untuk dihidangkan.


Cara makan yang paling enak adalah ketika goreng tepong nasi tersebut masih suam panas. Masukkan dalam pinggan hidangan dan boleh dihidangkan bersama sos cili tomato. Sos cili tomato sebaiknya dimasukkan dalam mangkuk kecil dan tambah sedikit air panas dan masukkan hirisan timun. Timun ini amat enak dimakan dengan goreng tepong nasi. Jika hendak lebih enak lagi boleh dicicah goreng tepong ini dengan sambal tumis atau sambal tumis ikan bilis. Ada juga yang kadang kali penulis blog makan bersama kuah asam pedas ikan atau asam pedas daging semasa makan goreng tepong ini. Goreng tepong ini memang enak kalau dimakan dengan ahli keluarga dan rakan taulan serta tetamu yang berkunjung kerumah. Ia sesuai dihidangkan bersama air kopi panas, teh, teh-O, air sejuk dan sebagainya. Bagaimana pun rasa goreng tepong nasi ini kurang sedap apabila telah sejuk sangat. Ia boleh dimasukkan dalam oven atau microwave untuk panaskan semula tetapi rasanya tidak sama dengan kuih yang baru digoreng. Makanan ini mungkin pada sesetengah orang adalah makanan kampong yang 'low class' tetapi hakikatnya bila disediakan dengan enak dan dihidangkan dengan sambal cicah yang enak pastinya orang akan kata 'wow ...enaknya!'. Kini goreng tepong seperti ini ada dihidangkan dihotel-hotel, restoren pada sarapan pagi malahan ada yang telah membuat untuk sejuk beku. Kepada usahawan muda yang berminat boleh menjadikan kuih goreng tepong ini sebagai produk Malaysia yang hebat jika mempunyai resepi yang baik dan sambal cicah yang enak. Pada penulis blog makanan ini tidak ditinggalkan terus dan sebenarnya masih menjadi makanan regukar kepada petani, penoreh getah, pesawah, penternak ikan, penternak lembu dan juga pekerja ladang yang perlukan tenaga yang banyak dan makanan berkalori tinggi. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!
NAMA KUIH...GORENG TEPONGNYA....
TEPONG GANDUM...ASAS BUATNYA...
DICAMPUR NASI... LEMAK RASANYA...
SENANG DIBUAT... DIMAKAN BERSAMA...

By,
M Anem. 
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok,
Gersik, Ledang,
Johor, Malaysia.
(4 Muharam 1439H)

Friday, October 27, 2017

LIMAU KASTURI - POTENSI DI TANAM

LIMAU KASTURI (Citrus microcarpa) merupakan sejenis limau yang mudah ditanam dan merupakan pokok buah-buahan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke sederhana. Pokok limau mengeluarkan banyak cabang dan ranting dimana ia juga mempunyai tabiat iaitu pertumbuhan dahan dari menegak hingga melempai dan kanopi berbentuk bulat hingga ke bujur. Pokok limau ini juga mempunyai sistem perakaran akar tunjang. Tidak ada rekod keluasan tanaman limau kasturi secara komersil dilaporkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian tetapi penulis blgog anggarkan sekitar 180 hektar CHE kerana ramai yang menanam dalam pasu keliling rumah. Sehingga kini belum ada varieti limau kasturi yang didaftarkan didalam Senarau Varieti Tanaman Kebangsaan (National Plants Variety Listing)Varieti limau mandarin mempunyai daun berbentuk 'lanceolate atau oblong' dengan tiada pembentukan kepak (wing) di tangkai daun. Pada kebiasannya daun limau kasturi berwarna daripada hijau muda ke hijau tua. Pada bahagian daun lazimnya terdapat kelenjar-kelenjar minyak (oil glands) yang mengeluar aroma yang menarik apabila dilipat atau diramas. Pokok yang dibiak secara tampang mula berbunga antara 2-3 tahun selepas ditanam dengan penjagaan yang baik. Bunga Limau Kasturi terbentuk secara satu-satu atau secara berjambak di celah-celah tangkai daun pada ranting-ranting muda. Kebiasaannya bunganya mengeluarkan bau yang harum. Bunga mempunyai 5 kelopak yang berasingan, berwarna putih dan terletak di atas kalik. Stamennya yang banyak dan bercantum dipangkal biasanya berwarna puteh dengan hujungnya (anther) berwarna kuning.  Stigma pula berwarna hijau kekuningan dan mempunyai stil yang sama panjang dengan stamen dan kedua-dua stamen dan stil terdapat di dalam kuntum bunga. Proses pendebungaan pokok limau berlaku secara pendebungaan sendiri. Agen pendebunga ialah serangga seperti kutu trip, hamama dan lebah madu. Angin juga membantu proses pendebungaan pokok limau. Stigma bunga berupaya menerima debunga antara 1-3 hari sebelum antesis dan antara 6-8 hari selepas antesis. Enam hari selepas proses pendebungaan, semua bahagian bunga akan luruh kecuali ovari dan stil. Ovari akan mula membesar dan stil mulai kering bermula dari bahagian stigma (101-5 hari selepas antesis). Biji limau selalunya memang boleh mengeluarkan  2 - 5 anak benih dan salah satu daripada anak benih tersebut terbentuk melalui proses seksual manakala yang selebihnya dihasilkan melalui proses aseksual (necellar embryo). Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis lagi potensi penanaman limau kasturi sebagi sejenis tanaman yang berpotensi untuk ditanam secara komersil atau tanaman keliling rumah.

Menyentuh kepada tanaman limau di Malaysia, kini antara jenis limau yang luas ditanam adalah seperti Limau Bali (Citrus grandis), Limau Langkat (Citrus suhuensis) dan Limau Mandarin (Citrus recticulata) dan beberapa lagi. Varieti-varieti utama limau yang ditanam di Malaysia ialah limau jenis kupas (mandarin) dan jenis potong (sweet orange). Pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya lima jenis limau mandarin yang biasa ditanam. Jenis limau yang biasa di tanam di dataran rendah ialah Limau Langkat (Sila lihat foto disebelah). Limau Langkat dari jenis limau "Kwantung"  dimana ia lebih digemari oleh masyarakat tempatan jika dibanding dengan limau mandarin jenis lain. Disamping itu penulis blog dapati jenis limau madu atau limau wangi sangat memenuhi citarasa pembeli dan didapati amat laris dalam pasaran. Ini kerana limau madu mempunyai buah yang bersaiz besar, rasa yang manis tidak berasid, kandungan jus yang tinggi dan tidak mempunyai serat dan hampas yang tinggi. bagaimana pun jenis Limau Madu (Citrus suhuiensis Hort. ex.Tan) kini berkembang dibeberapa lokasi (Sila rujuk tulisan saya - Sila klik disini). Bagi tanaman varieti limau Mandarin terdapat beberapa masalah yang sering dihadapi oleh petani tanaman limau madu iaitu serangan penyakit reput batang phythopthora, penyakit virus tristeza (CTV) dan penyakit 'greening' atau dikenali juga sebagai penyakit inai daun. Penyakit reput batang phythopthora dan penyakit virus tristeza dapat dikawal dengan adanya pokok penanti yang bersesuaian, akan tetapi penyakit 'greening' masih menjadi masalah besar kepada pengusaha tanaman limau madu yang juga merupakan satu faktor utama kurangnya minat petani dalam mengusahakan tanaman limau madu di negara kita Malaysia.

Pada saya mendapati penanaman limau seperti limau kasturi merupakan antara projek pertanian yang agak mudah diuruskan berbanding dengan sayur-sayuran seperti sawi, bayam, terung dan sebagainya. Pokok-pokok limau tidak memerlukan penjagaan yang begitu rumit. Apa yang penting kita perlu menumpukan sedikit perhatian semasa proses semasa penanaman di peringkat awal. Kepada orang awam mungkin akan berfikir kenapa memilih untuk menanam limau kasturi. Pada penulis blog ia merupakan tanaman yang bagus kerana mampu untuk mengeluarkan buah pada tahun ke dua  selepas ditanam sama ada dikebun atau pun dalam pasu (Sila lihat foto disebelah). Walau pun pada pada peringkat awal ini buahnya sedikit tetapi ia aka memuncak dalam masa 4 tahun kemudian. Pemerhatian penulis medapati dengan kaedah penjagaan baik pokok limau kasturi boleh bertahan selama 12 tahun. Bahan penanaman limau kasturi mudah dibeli daripada pembekal nurseri tempatan dengan harga murah berbanding dengan benih tanaman buah-buahan yang lain. Kaedah pembiakan limau kasturi lazimnya dengan TUT sahaja dan dipindahkan kedalam polibeg (Sila lihat foto dibawah). Jarak penamanan 3m x 2m digunakan mengikut kesesuaian tanah dan kawasan.

Tanaman ini memerlukan kos penjagaannya yang tidak tinggi berbanding dengan tanaman lain. Selalunya hasil hiliran buah limau kasturi boleh dipelbagaikan daripada seperti jus limau, pekasam, jeruk, herba, spa, wangian dan sebagainya bergantung kepada kreaviti selain daripada dijual segar. Penelitian menunjukkan petani yang menjual buah limau kasturi secara sendiri dan tidak melalui orang tengah hasil pendapatannya adalah amat menggalakkan sekali. Anggaran kos untuk aktiviti penanaman seekar limau kasturi mudah dikira dan sederhana rendah. Kos pembersihan tanah dan membajak kawasan sekitar  RM800 seekar. Seterusnya kos benih untuk seekar limau kasturi dengan jarak penanaman 12x12 kaki sebanyak perlukan sebanyak 600 btg pokok. Jika kos benih sekitar RM3 sebatang maka jumlah kos beli benih adalah sebanyak RM1,800. Dikira seterusnya adalah kos tenaga kerja menanam dengan 2 orang pekerja selama 2 hari iaitu sekitar RM200 seekar. Kos untuk pembajaan sebanyak RM400 untuk keseluruhan dan kos bahan racun pula sekitar RM 480 untuk setahun. Jumlah kos tenaga kerja upahan bagi kerja membaja, menuai adalah sebanyak RM 12,000 setahun. Ini menjadikan keseluruhan kos untuk menanam limau kasturi sebanyak RM15,680 seekar. Sepokok dewasa limau kasturi akan mengeluarkan sekitar 5 - 7 kg sepokok sebulan. Jika 500 pokok berbuah maka anggaran hasil sebanyak 30,000 - 42,000 kg setahun. Harga ladang limau kasturi serendah RM0.80 - RM1.00 sekilogram. Ini akan menjadikan anggaran pendapatan kasar sekitar serendah RM 24,000 sehingga RM 30,000 seekar. Analisa diatas menunjukkan penanaman limau kasturi mungkin antara tanaman yang menguntungkan dengan jaminan pasaran yang ujud. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca blog nim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
LIMAU KASTURI... MUDAH TANAMNYA...
DI KEBUN...DALAM PASU MUDAHNYA...
LEPAS 1.5 TAHUN... MULA TUAINYA...
DIJUAL SEGAR.. BOLEH DIPROSES JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Roo, 630, Hotel Dorsett,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(11 Muharam 1439H).

Thursday, October 26, 2017

PERLINDUNGAN INSURAN - PERTANIAN

SEKTOR PERTANIAN adalah satu sektor yang penting bagi setiap negara untuk membekalkan makanan dan jaminan keharmonian kepada rakyatnya. Sektor ini walau pun kini semakin berkurangan sumbangannya didalam KDNK tetapi jumlah nilainya semakin meningkat setiap tahun. Malaysia adalah sebuah negara tropika yang mempunyai cuaca baik untuk pembangunan seektor pertanian kerana mempunyai sinaran matahari sepanjang tahun dan tanah yang subur. Negara mampu mengeluarkan makanan asasi sendiri iaitu daripada padi, sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, produk IAT malahan dalam sektor tanaman industri. Malaysia bukan sahaja mampu menghasilkan bahan makanan untuk keperluan domestik malahan mampu mengeksport keluar negara. Sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan produk perishable yang banyak dieksport terutama ke negara jiran Singapura. Kalau dicampur dengan tanaman industri seperti getah, kelapa sawit dan koko maka jumlah eksport negara bagi komoditi ini berbillion ringgit setahun. Namun sektor ini juga diancam dengan pelbagai ketidaktentuan pengeluaran akibat daripada bencana alam, serangan penyakit dan juga turun naik harga komoditi. Negara kita saban tahun terdedah kepada masaalah bencana alam terutama BANJIR yang akan memusnahkan banyak tanaman terutama dikawasan tanah rendah. Ramai golongan petani, pesawah, penternak, pemilik kolam ikan, pengusaha IAT, peniaga dan sebagainya terjejas akibat kesan banjir atau kemarau yang melanda. Belum ada kaedah untuk mendapatkan gantirugi yang dialami oleh mereka kecuai bantuan wang ihsan yang mungkin diberikan oleh kerajaan. Oleh itu mungkin perlu ada kaedsesuai dalam sektor pertanian memberikan sistem perlindungan insurans. Usaha kearah mengadakan insuran tanaman dan aktiviti pertanian lain sedang difikir bagaimana untuk tujuan ini. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai keperluan perlindungan insuran pertanian untuk dijadikan rujukkan.


Sebenarnya sektor pertanian dan juga pengeluaran hasil pertaniana boleh musnah akibat bencana alam. Bencana yang sering melanda adalah banjir dikawasan pengeluaran utama makanan seperti dikawasan jelapang padi, TKPM Sayuran dan Buah-buahan dan pelbagai lokasi lain. Adalah menjadi satu keperluan untuk meningkatkan sumber makanan yang mana ia mencukupi bagi sesebuah negara sentiasa menjadi fokus utama. Walau bagaimanapun lazimnya jika berlakunya bencana alam maka sektor ini akan terjejas dan memberi kesan yang buruk kepada bekalan makanan dalam negara. Kejadian tanah runtuh dikawasan berbukit yang aktif dengan pertanian juga sering menjejaskan pengeluaran sayuran dikawasan tanah tinggi (Sila lihat foto disebelah). Kini bagi mengatasi masalah tersebut ujud pelbagai usaha lain yang dilaksanakan sama ada pada peringkat global mahu pun dalam negara. Antaranya idea menginsuranskan produk pertanian yang diusahakan dan terdapat negara yang telahpun melaksanakannya. Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha menangani isu tersebut menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan menganjurkan seminar khas berkaitan dengannya.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Azizan Mohamad Shahid, seminar yang dikenali sebagai Round Table On Agricultural Insurance - A Climate Change Adaptation Tool In African, Asian and Pacific Regions tersebut perlu diperluas. Dakwanya fenomena global khususnya ketidaktentuan alam sekitar secara langsung menjejaskan pengeluaran pertanian, sosioekonomi petani dan prestasi ekonomi negara. Kini menerusi seminar sebegini kita dapat membincangkan pelbagai kajian dan penilaian model perkhidmatan insurans pertanian di rantau Afrika dan Asia Pasifik. Terdapat perbandingan antara setiap negara yang terlibat serta perkongsian pengalaman dapat membantu negara lain terutama Malaysia membangunkan sistem yang terbaik buat petani. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar tersebut di Serdang, Selangor baru-baru ini. Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Sharif Haron; Ketua Setiausaha AARDO (African-Asian Rural Development Organisation), Wassfi Hassan El-Sreihin; serta Ketua Pengarah Centre on Integrated Rural Development for Asia and The Pacific (CIRDAP), Tevita G. Boseiwaqa Taginavulau. Pada masa ini insurans tanaman adalah satu alat yang mana ia sangat penting dari perspektif ekonomi yang boleh untuk mengekalkan semangat petani untuk terus mengeluarkan hasil tanaman.


Insurans pertanian dapat meyakinkan aktiviti pertanian serta pendapatan mereka terjamin atau sekurang-kurangnya dapat meminimumkan kerugian. Pertanian di Malaysia menyumbang 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada masyarakat bergantung kepadanya sebagai mata pencarian. Perubahan dalam iklim, kepelbagaian hasil dari tahun ke tahun dalam pengeluaran tanaman, kerosakan fizikal dan kehilangan lepas tuai menyumbang kepada penurunan produktiviti pertanian. Bencana banjir besar pada tahun 2006-2007 yang berlaku dalam negara memberikan kesan kepada hampir 110,000 orang dimana ia merosakkan infrastruktur kira-kira RM37 juta dn menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM2,524 juta. Daripada itu, lebih daripada RM88 juta hasil pertanian telah rosak atau hilang yang melibatkan hampir 7,000 petani. Bencana sedemikian adalah hampir mustahil untuk dikawal dan dalam hal itu insurans tanaman adalah antara kaedah bagi membantu petani kembali membangunkan ladang atau ternakan mereka.  Pemilihan tanaman yang hendak diinsuranskan adalah bergantung kepada keutamaan sesebuah negara itu. Sama seperti kebanyakan negara Asia lainnya, beras merupakan makanan ruji untuk rakyatnya, Malaysia juga mempunyai alasan kukuh untuk mempertimbang padi sebagai tanaman yang perlu diinsuranskan. Bagi negara-negara lain, mereka memiliki sistem dan cara yang tersendiri dan sesetengahnya mewajibkan setiap petani mengambil insurans seperti di Nigeria. 


Sektor pertanian merupakan satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara-negara Afrika. Sektor pertanian juga merupakan pendapatan utama bagi 60 peratus populasi rakyat di negara-negara ini. Sektor yang sama di Ghana contohnya mencatatkan KDNK sebanyak 36 peratus, oleh demikian perlindungan insurans untuk pertanian amat penting bagi mereka. Kemusnahan berkaitan bidang pertanian di negara-negara tersebut pernah dicatatkan mencecah ratusan bilion menjadikan tindakan perlu diambil bagi membantu petani.  Bagi Sri Lanka, kerajaan mereka telah menyediakan dana untuk bantuan khas kepada petani apabila mereka dalam mengalami kemusnahan ladang akibat bencana alam atau faktor lain. Lazimnya setiap petani yang mengalami kesan kemusnahan hasil pertanian boleh terus berhubung dengan pegawai pertanian di setiap daerah negara tersebut. Ada syarikat mendakwa memiliki sistem dan dana khas untuk tujuan ini dan mereka (petani) perlu mendapatkan kelulusan daripada setiap pengerusi persatuan pertanian kawasan sebelum membuat tuntutan. Di Malaysia usaha tersebut ada dilaksanakan namun khas buat petani yang mengalami bencana alam seperti banjir dan untuk kawasan pertanian tertentu. Inisiatif tersebut masih tidak menyeluruh dan berbeza berbanding kaedah menginsuranskan ladang atau hasil pertanian mereka. Bagi mendapatkan gambaran lebih luas dan menyeluruh maka segala strategi dan polisi yang dipraktikkan bagi beberapa negara-negara yang terlibat akan dimanfaatkan. Program itu juga merupakan satu landasan kerjasama antara MARDI dan beberapa agensi berkaitan di negara ini bersama CIRDAP dalam berkongsi pengalaman mengenai pembangunan dan pengurusan insurans dalam menghadapi perubahan cuaca dunia dan ketidaktentuan iklim.


Dalam menentukan bagaimana kemudahan kredit bantu usahawan pertanian Menteri Pertanian Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bagaimana pinjaman yang mudah dan efisien akan memberi kesan positif kepada sektor pertanian khususnya dalam usaha kerajaan mewujudkan lebih ba­nyak usahawan dalam sektor itu. Kaedahnya dimana syarikat pemberi kemudahan kredit se­perti Agrobank merupakan antara entiti yang penting dalam melahirkan kekayaan-kekayaan baharu dalam sektor pertanian sekali gus boleh menyokong ekonomi negara. Kemudahan kredit yang baik juga memainkan peranan pen­ting bagi mengembangkan salah satu sektor yang berpotensi besar untuk diterokai dalam pertanian iaitu agro makanan. Kita berharap syarikat-syarikat pemberi kemudahan kredit ini akan terus komited dalam membantu usahawan-usahawan yang sedang membina tapak. Di zaman yang melihat kepada perniagaan sebagai sumber kekayaan ini, semakin maju sesebuah negara, semakin mudah rakyatnya menjalankan perniagaan,” katanya sewaktu berucap dalam majlis Anugerah Kepada Agropreneur Agrobank 2017 di sini hari ini. Kini sebanyak lapan kategori dipertandingkan dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM140,000. Selain kemudahan kredit yang baik dimaklumkan dimana kreativiti dan inovasi perlu menjadi tonggak utama dalam memastikan sektor pertanian dapat melonjak sebagai pemain ekonomi utama negara seterusnya ke peringkat antarabangsa. Contohnya untuk mengembangkan bidang agro makanan yang begitu besar, kita memerlukan kreativiti dalam kalangan usa­hawan, rakan-rakan di kemen­terian dan pihak yang membantu mereka untuk membiayai perniagaan serta pembangunan keusa­hawanan bagi memastikan kita tidak ketinggalan. Dalam masa yang sama, rakan-rakan di kementerian perlu memikirkan cara untuk memudahkan urusan perniagaan usahawan-usahawan baharu contohnya dalam mendaftar perniagaan, permohonan lesen dan sistem percukaian yang efisien. Semuga rencana ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam...
PERLINDUNGAN INSURAN...SEKTOR TANAMAN....
PENTING DIUJUDKAN... BANTU KEROSAKKAN...
PELBAGAI BENCANA... BANYAK ANCAMAN...
RAKYAT TERJAMIN... ADANYA MAKANAN..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 749, Hotel Marriot,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(5 Muharam 1439H)