Friday, October 31, 2014

KOPI - INFO TEKNIKAL

KOPI (Coffea spp) merupakan sejenis tanaman minnuman yang semakin kurang popular ditanam di Malaysia. Kajian penulis mendapati penanaman kopi terus menurun daripada 9,740 hektar dengan hasil 28,148 mt bernilai RM 18.53 juta (1996) kepada hanya 4,277 hektar dengan hasil sebanyak 10,427 mt bernilai RM 6.80 juta pada tahun 2013 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2013). Pengurangan hampir separuh (43.9%) ini adalah disebabkan oleh banyak faktor. Antara faktor yang menyebabkan penanaman kopi terus merosot di Malaysia yang penulis telitii adalah seperti tidak ada program khas penanaman kopi, hasil kopi yang rendah, harga kopi jambu dan kopi beras yang rendah dan tidak menentu dan persaingan dengan tanaman lain terutama kelapa sawit. Kajian penulis dibeberapa negeri terutama di Johor dan Selangor mendapati penanam kopi tradisional telah menukar kebun mereka kepada kelapa sawit. Selain daripada kos tinggi bagi memetik buah kopi jenis Liberica yang masak tidak serentak (pilih buah masak sahaja pada dahan pokok) ia memerlukan tenaga kerja lama dan menjemukan tidak berbaloi dengan upah dan hasil pendapatan yang diterima. Apabila kos pengeluaran dan anggaran pendapatan yang diterima kurang memuaskan, ramai penanam kopi yang menukar tanaman mereka. Serangan musuh dan penyakit tanaman kopi juga ada kesan kepada industri ini. Kopi yang ditanam jenis Liberica yang mutunya lebih rendah (aroma dan rasa) berbanding dengan kopi Arabica (Paling baik dipasaran) dan juga Kopi Robusta. Bagi sebilangan kita pula ramai meminati minum kopi dan tidak tahu bagaimana cara penanaman dan pemprosesan kopi. Ramai yang tentu tidak sempurna sarapan pagi tanpa meneguk secawan kopi bagi menceriakan permulaan hari. Artikel malam ini saya berkarya menulis dalam "Anim Agro Technology" dari sebuah hotel di Sungai Siput Utara (Jam 10.30 malam dan sunyi) info teknikal berkaitan industri kopi dan penghasilan varieti kopi baru di Malaysia sekadar bahan untuk bacaan rujukan serta bacaan anda.


Bagi peminat kopi, mereka boleh memilih banyak produk dan jenama serbuk kopi dipasaran. Pada penulis yang berasal dari Muar, Johor memang tidak asing dengan jenama kopi tempatan seperti Kopi Cap 434, Kopi Anggerek, Kopii Cap Tupai, Kopi Cap Murid, Kopi Cap Kapal Api, Kopi Cap Hang Tuah, Kopi Radix dan banyak lagi.  Kini terdapat pelbagai jenis kopi yang boleh dipilih, daripada kopi hitam, kopi segera dan sebagainya. Pada saya aktivis agronomis mendapati sebenarnya terdapat tiga jenis kopi yang ditanam di seluruh dunia iaitu Arabica, Liberica dan Robusta. Kopi Arabica yang biasa ditanam di kawasan pergunungan bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di serata dunia. Manakala Robusta dan Liberica pula biasanya ditanam di kawasan tanah rendah.  Bagaimana pun, kopi paling mahal di dunia adalah kopi luwak atau kopi musang yang didapati di Indonesia. Saya ada menuis artikel mengenai kopi sebelum ini yang anda boleh rujuk (sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini,  Sila Klik disini, sila klik disini). Semua artikel ini membantu anda mendapatkan maklumat mengenai kopi yang jarang ditulis oleh orang lain.


Dalam membuat penelitian mengenai industri kopi, penulis mendapati di Malaysia aktiviti penyelidikan mengenai klon kopi telah mula dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1981 dan mula mengeluarkan klon kopi pertama pada 1992. Dalam tempoh berkenaan sehingga 2008, MARDI sehingga kini telah berjaya mengeluarkan 12 klon kopi Robusta dan Liberica. Pegawai MARDI menyatakan prestasi kopi klon biasanya lebih baik berbanding dengan kopi biasa. Kopi klon akan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan kopi biasa. Bagi kopi Liberica misalnya, purata hasil kopi biasa adalah 11 -19 tan sehektar berbanding 20 hingga 28 tan sehektar bagi kopi klon. Buah kopi klon adalah lebih besar dan mudah dipetik berbanding buah kopi biasa. Pemerhatian saya juga mendapati kadar pertukaran daripada jenis kopi jambu ke kopi beras biasanya hanya sekitar lapan peratus tetapi dengan kopi klon peratusan dapat ditingkatkan sehingga 10.5 peratus. Kopi klon biasanya lebih cepat mengeluarkan hasil dan mengambil masa 19 bulan berbanding 30 bulan.


Cara penyelidikan kopi yang bermula pada 1981 menjurus kepada tiga program pemilihan iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan program pemilihan baka klon.  Program jangka pendek bagi menghasilkan baka dengan segera memakan masa 10 tahun.  Dalam tempoh berkenaan, dua klon baka polihibrid iaitu Robusta MKR1 dan Liberica MKL1 telah diisytiharkan pada 1992.  Bagi program jangka sederhana, 10 pokok terbaik dari kebun janaplasma kopi MARDI dinilai lanjut daripada segi prestasinya di ladang stesen-stesen penyelidikan MARDI di Gajah Mati, Kedah dan di Kluang, Johor.  Selepas sembilan tahun program ini telah menghasilkan tiga klon Liberica MKL2, MKL3, MKL4 dan empat klon Robusta MKR2, MKR3, MKR4 dan MKR5. Kini sebanyak tujuh klon berkenaan diisytiharkan pada 1995. Program pemilihan baka klon pula bermula dengan membuat pilihan pokok kopi seluruh negara dengan maklumat dikutip daripada petani dan pemantauan selama dua tahun di beberapa tempat asal dan plot uji kaji. Varieti kopi ini menjadi alternatif kepada penanam kopi untuk menggantikan tanaman kopi lama kepa jenis varieti baru yang lebih baik. Bagaimana pun banyak lagi penelitian lanjutan perlu diberikan kepada petani mengenai amalan agronomi dan juga pengurusan baik untuk mendapatkan hasil optima.


Kopi Liberica yang dikaji mendapati sebanyak 44 pokok kopi telah dikenal pasti pada tahun 1991 sebagai klon kopi MARDI dan daripada sana tiga pokok dipilih sebagai klon terbaik, iaitu MKL5, MKL6 dan MKL7 selepas 16 tahun dinilai. Ciri morfologi bagi buah, daun serta pokok matang bagi tiga klon baru ini dapat dilihat dengan sifat ketara seperti bentuk dan warna buah masak, bentuk daun dan struktur pertumbuhan seperti jarak ruas dahan sekunder pada dahan utama. Potensi hasil baka tiga klon baru ini lebih tinggi berbanding dengan klon Liberica sedia ada.  Hasil kopi jambu bagi MKL5, MKL6 dan MKL7 masing-masing 24.3, 25.1 dan 26.2 tan sehektar. “Purata hasil kopi jambu pula sebanyak 25.2 tan sehektar atau 19.4 peratus lebih daripada baka bandingan MKL3 yang digunakan dalam penilaian baka klon kopi Liberica.  Biasanya pekebun kecil akan menjual kopi dalam bentuk kopi jambu dan pengilang akan memproses ke bentuk kopi beras.  Kemudian kopi beras akan diproses bagi mendapatkan serbuk kopi seperti yang digunakan di rumah. 


Secara keseluruhan klon kopi baru MKL5, MKL6 dan MKL 7 berupaya mengeluarkan hasil yang lebih baik berbanding klon kopi yang disyorkan sebelum ini.  Pengeluaran hasil yang lebih tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti pengusaha atau pekebun kecil. Selain itu, saiz buah yang lebih besar juga dijangka dapat memudahkan kerja memetik hasil. Petani dan pekebun kecil yang menanam klon ini dijangka dapat meningkatkan hasil tanaman lantas menampung keperluan biji kopi negara terutama industri kopi yang menggunakan kopi Liberica untuk diproses menjadi serbuk kopi dan produk lain. Bagaimanapun kini tahap keluasan tanaman kopi semakin berkurang setiap tahun akibat persaingan penggunaan tanah dengan tanaman lain dan penempatan manusia. Selain itu harga pasaran kopi dunia yang tidak menarik terutama Robusta dan Liberica mengurangkan minat petani dan pekebun kecil. Usia petani dan pekebun kecil yang semakin meningkat juga memainkan peranan dalam penanaman kopi. Buat masa ini, Jabatan Pertanian ada yang terus membantu petani dengan membekalkan anak benih kopi kopi kepada petani dan pekebun kecil di seluruh negara terutama di Johor dan Selangor dan biji benih kopi polihibrid di Sabah. Tanaman Kopi di Malaysia perlu diberi penekanan agar industri ini dapat berkembang bagi mengurangkan impot yang berjuta ringgit setiap tahun. Wasallam!.


TANAM KOPI... APA POTENSINYA...
KOPI DITANAM...JENIS LIBERICA...
PASARAN DUNIA...MAHU ARABICA...
PERLU DIKAJI... CARA LAKSANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,

Room 216, MH Sentral Hotel,
Jalan Ipoh, Sungai Siput (U),
Perak, Malaysia.
(7 Muharam 1436H)
-Esok melawat ladang NLFCS Kelapa Matang


Thursday, October 30, 2014

KELAPA VS SAWIT

KELAPA VERSUS SAWIT?. Apakah isu yang menarik mengenai kedua-dua tanaman kategori tanaman industri tersebut pada masa kini?. Penulis membuat beberapa analisis mengenai kedua-dua jenis tanaman daripada keliarga Palmae (sekarang Arecaceae) yang menjadi tonggak kepada ekonomi penting dalam KDNK pertanian negara. Keluasan tanaman kelapa sawit (Elaies guineensis) di Malaysia sekitar 3.9 juta hektar yang mana ia diusahakan sebahagian oleh sektor perladangan dan sebahagian lagi oleh sektor pekebun kecil. Industri kelapa sawit teah pun menghasilkan jutaan ringgit setahun daripada pelbagai produk daripada minyak mentah sehingga produk akhir bernilai tinggi. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera) dengan jumlah kelluasan sekitar 96,600 hektar merupakan tanaman pelbagai guna (Tree of Life) yang ditanam kebanyakannya oleh pekebun kecil. Rekod Jabatan Pertanian menunjukkan hanya 2 estet yang masih menanam kelapa walau pun mereka mula menggantikan tanaman tersebut secara berperingkat pada pertengahan tahun 2000.  Pada tahun 1980'an semasa saya habis belajar di universiti dulu terdapat sekitar 220,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia dan ia telah menurun hampir 50% pada masa artikel ini ditulis. Ramai pekebun kecil dan estet telah menukar tanaman mereka kepada kelapa sawit. Ini disebabkan tanaman kelapa sawit didapati memberikan pulangan tinggi, pengurusan yang lebih mudah dan paling penting adalah jaminan belian yang pasti ada. Ini kerana belum terdengar kes kelapa sawit tidak ada pembeli walau pun harganya rendah. Kes ini amat berbeza dengan buah kelapa yang menghadapi masaalah pasaran kerana jika bekalan berlebihan, maka kelapa biji tua ini akan dibiarkan dibawah pokok sehingga tumbuh menjadi pokok baru. Artikel petang cuti Deepavali 2014 ini saya dapat kesempatan untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai isu tanaman kelapa sawit versus tanaman kelapa sekadar untuk renungan dan rujukkan anda.


Harga komoditi kelapa sawit sentiasa turun naik mengikut harga pasaran dunia dan pada tahun 2014 dimana semasa artikel ini ditulis harga tandan sawit pada RM350 satu tan (1,000 kg). Harga ini dikatakan sebagai harga yang menjunam rendah daripada harga sebelum ini yang mencecah hampir RM800 satu tan (Harga tinggi). Harga tandan buah sawit kini telah jatuh menjunam diperingkat lebih rendah sebelum ini. Hari ini harga kelapa sawit semasa jatuh pada harga RM350 se-tan (1,000kg) berbanding dua bulan lepas yang mencecah RM600 se-tan. Apa sudah jadi?. Perkara ini diluahkan sendiri oleh pekebun-pekebun kecil kelapa sawit persendirian yang terkesan dengan penurunan harga buah sawit secara drastik begini. Akibatnya ramailah pekebun terpaksa menanggung perit jerih mengait buah sawit yang telah masak untuk dijual walaupun harga tidak setimpal dengan kepayahan mereka. Maklumat daripada beberapa pekebun kecil yang ditemubual disekitar Muar, Banting dan Kuala Selangor dan Perak mendapati jika pokok dengan hasilnya yang sederhana rendah, mereka beberapa bulan lepas hanya mendapat sebanyak purata RM150.00 seekar sebulan (0.4 hektar). Menurut seorang petani di Kg Gersik, Ledang iaitu Encik Tan Ah Guan daripada 5 ekar kebun sawit yang berumur 9 tahun beliau cuma mendapat sebanyak RM780.00 seekar sahaja. Ini menunjukkan pendapatan yang rendah berbanding dengan beberapa tahun dahulu sebanyak lebih dari RM3,000 sebulan. Isu harga rendah ini juga berlaku pada hasil getah yang mana ia pada tahap terendah dalam beberapa tahun.


Bagi tanaman kelapa, petani yang telah menanam kelapa varieti Matag kini boleh tersenyum lebar. Ini disebabkan hasil tuaian kelapa ini untuk bulan April sehingga Oktober dikatakan amat baik dimana ada banyak biji kelapa yang dikait. Menurut seorang pemborong kelapa yang terbesar di Sabak Bernam, Selangor Encik Tan Tai Ching yang penulis temuduga, harga biji kelapa tua tempatan dibeli dengan kadar RM1.40 bagi gred A dan RM0.90 bagi gred B. Lain-lain gred dibeli dengan harga dibawah RM0.80 sebiji. En Tan menyatakan pada kiraannya, seorang petani yang menanam satu ekar pokok kelapa Matag mampu mendapat pendapatan sebanyak hampir RM1,000 sebulan. Perkara ini telah disahkan oleh En Tham Weng Seong pemilik Syarikat Higghland Dessication Coconut Sdn Bhd di Bagan Datoh, Perak. Beliau yang mempunyai kontrak dengan United Plantation Estates menyatakan apa yang didakwa oleh rakannya adalah betul. Beliau juga menyatakan dengan penjagaan yang betul, pokok kelapa matag boleh menghasilkan antara 15,000 - 16,500 biji sehektar untuk pokok yang matang. Ini bermakna penghasilan untuk seekar adalah purata 6,275 biji (purata 522 biji seekar sebulan). Jika harga purata sebiji RM 1.00 sebiji maka purata pendapatan bulanan dari kelapa Matag adalah RM 522 sebulan. Ini bermakna pendapatan daripada kelapa Matag adalah lebih menguntungkan daripada kelapa sawit semasa artikel ini ditulis. Jika harga kelapa sawit berada pada paras normal pun didapati tanaman kelapa Matag masih menguntungkan atau setanding.


Beberapa isu mengenai penanaman kelapa Matag adalah kekangan kekurangan benih hibrid kelapa Matag. Pengeluaran untuk anakbenih kelapa Matag dalam negara sekitar 100,000 biji setahun dihasilkan oleh Jabatan Pertanian (60,000 biji) dan pihak swasta (40,000 biji). Proses penghasilan anak benih kelapa  Matag adalah rumit dan perlu mengambil masa selama 2 tahun untuk menghasilan sebiji anak benih. Proses pendebungaan antara pokok induk Kelapa Renek Malaysia atau Dwarf (MDY/ MDR) dengan pokok Induk Kelapa Tagnanan memerlukan tahap kepakaran tinggi. Setelah satu tahun dan buah kelapa masak ia akan dikutip dan dibuat pemilihan. Biji kelapa tersebut kemudian akan disemai dalam petak semaian khas dan dibuat 'pemilihan' atau culling untuk mendapatkan Benih Kelapa Matag F1 yang betul. Lazimnya peratus yang manjadi kelapa Matag F1 sekitar 40% sahaja bergantung kepada kepakaran pekerja. Kini sebiji benih kelapa Matag F1 Tulin dijual dengan harga RM30.00 satu. Itu pun memang penulis dapati amat sukar untuk mendapatkan anakbenih tersebut. Hanya Jabatan Pertanian sahaja yang ada kepakaran untuk mengeluarkan dan mengesahkan ketulinan anakbenih kelapa Matag. Jumlah anak benih yang tidak mencukupi masa ini dijangka akan bertambah dalam 2-3 tahun mendatang apabila dua pusat pengeluaran benih kelapa Matang mula berfungsi.
Semuga artikel ini membuka mata dan minda anda semua. Wasallam!.

TANAM SAWIT... SANGAT POPULAR...
TANAM KELAPA... BENIHNYA SUKAR...
RM 150 DARI SAWIT... SATU EKAR...
KELAPA MATAG... RM500 TAK SUKAR...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kelapa,
Kg Sg Nobong,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(1 Muharam 1436H)

Wednesday, October 29, 2014

SAWIT - TANDAN BUAH KOSONG

TANDAN BUAH  KOSONG Kelapa Sawit (TBK) terhasil setelah tandan sawit segar melalui proses dikilang iaitu dikukus, dipisahkan atau direlaikan buah sawit untuk penghasilan minyak. TBK sebagai bahan sampingan diperoleh dari kilang setiap hari apabila pemprosesan dijalankan. Dianggarkan sejumlah 0.20 - 0.24 metrik tan TBK boleh diperolehi dari setiap tan buah tandan segar (BTS) yang diproses. Malaysia yang merupakan pengeluar utama sawit dunia telah menghasilkan lebih 69 juta tan dan 74 juta tan BTS sawit pada tahun 2004 dan 2005 dan kini terus bertambah jumlah pengeluarannya melebihi 90 juta tan pada tahun 2010. lni bermakna lebih 13.8 - 14.8 juta tan TBK telah dihasil dari kilang setiap tahun. Jumlah pengeluaran TBK akan bertambah pada masa akan datang berikutan dengan peningkatan hasil sawit negara setiap tahun. Di kebanyakan kilang mempproses buah kelapa sawit, lazimnya hasil TBK akan diasing dan dilonggok di tempat yang disediakan. Pada masa lalu saya perhatikan kebanyakan TBK akan dibakar oleh pihak pengurusan kilang sebagai langkah pelupusan longgokannya atau menghasilkan abu tandan. Kadang-kadang TBK ini digunakan juga sebagai bahan bakar untuk kilang dan jumlahnya yang berlonggok-longgok memang mencacatkan permandangan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kepentingan Tandan Buah Kosong (TBK) sebagai bahan berguna untuk sektor perladangan tanaman kelapa sawit.


Bahan TBK ini boleh digunakan oleh pengusaha ladang termasuk ladang sawit sebagai sumber baja kerana mengandungi nutrien, terutama kalium (K) yang tinggi iaitu lebih kurang 40% Kz0 dari berat kering TBK dan sebahagian kedl fosfat (PzOs)dan magnesium (MgO). Selain itu, abu tandan juga amat berfaedah untuk kawasan tanah yang bersifat masam atau asid seperti tanah gambut atau tanah berpotensi asid sulfat dan sebagainya. lni kerana sifat abu tandan yang kelat atau alkali (pH 10-12) berupaya membantu mengurangkan kemasaman tanah dengan berkesan. Peningkatan pH seeara tidak langsung akan meningkatkan tahap kesuburan tanah kawasan berkenaan. Pembakaran TBK secara terbuka dan berpanjangan bagaimanapun boleh menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar seperti masalah jerebu yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan penduduk di kawasan persekitaran. 


Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan tegas dalam usaha memantau masalah berkenaan dengan melaksanakan Akta Udara Bersih 1974 di bawah kelolaan Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan lnovasi, Malaysia. Akta tersebut antara lain tidak membenarkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka dilakukan termasuk TBK dari kilang. Kebanyakan kilang sawit terletak di kawasan berhampiran ladang sawit mereka. Sebagai salah satu langkah untuk mengatasi atau mengurangkan masalah longgokan di kilang sawit, TBK digunakan sebagai bahan sungkupan, khususnya di ladang sawit yang berhampiran. TBK sangat sesuai sebagai bahan sungkupan, kerana mengandungi sebahagian nutrien yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan tanaman. Umumnya, TBK mengandungi kira-kira 0.80% nitrogen (N), 0.22% fosfat (PzOs), 2.90% kalium (~O), 0.30% magnesium (MgO) dan sebahagian kecil nutrien mikro. TBK kini telah banyak diproses untuk dijadikan baja kompos yang mempunyai nilai ekonomi setelah melalui beberapa proses pereputan. Beberapa kilang telah memulakan usaha menghasilkan baja organik berasaskan TBK dengan skala komersil. Selain itu TBK juga telah digunakan sebagai bahan sungkupan yang efektif dalam penanaman semula pokok kelapa sawit. Diharap artikel ini memberi info berguna. Sila baca artikel berkaitan selepas ini. Wasallam...


NAMA TBK... ASAL TANDAN...
BIJI DILERAI...DALAM KILANG...
ELAK DIBAKAR...PEMBAZIRAN...
BAJA ORGANIK...DIGUNAKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room ST241, Lead View Hotel,
Jalan Lumut, Lumut,
Pahang, Malaysia.
(1 Muharam 1436H)

Tuesday, October 28, 2014

BETIK - APA KEHEBATAN BETIK

POKOK BETIK (Carica papaya L.) merupakan tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Caricaceae dan dipercayai natif dari kawasan Amerika Tropika. Pokok Betik adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang yan
g lembut, tumbuh dengan menegak dan biasanya ia tidak bercabang. Buahnya berbentuk bujur panjang hingga ke bentuk hampir bulat. Kulit yang muda berwarna hijau dan apabila ia masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Di Malaysia seluas 3,200 hektar tanaman betik diusahakan petani dengan pengeluaran sekitar 53,200 mt setiap tahun untuk pasaran domestik dan ekspot. Malaysa pernah menjadi negara utama pengekspot betik dunia sebelum serangan penyakit Papaya Ringspot Virus (PRSV) dan Papaya Dieback beberapa tahun lepas. Kini penanaman betik baru dimulakan semua dengan aktif terutama di Johor dan Perak dan Pahang setelah masaalah serangan penyakit tersebut telah dapat dikawal secara berperingkat. Pada saya buah betik merupakan buah-buahan tropika yang berkhasiat dan menjadi kesukaan ramai masyarakat dunia. Kalau anda tinggal dan makan dihotel, pasti buah betik akan dihidangkan sebagai buah pencuci mulut bersama-sama tembikai, nenas dan juga melon. Penulis banyak melawat ladang betik diseluruh negara semasa membuat pengawalan penyakit merbahaya tersebut untuk membuat survei. Tumbuhan ini akan menghasilkan buah yang dimakan segar atau untuk proses, daunnya untuk merawat beberapa penyakit dan bahagian lain yang boleh dimanafaatkan. Artikel pagi Cuti Deepavali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman dan buah betik dari segi kehebatannya sebagai buah yang perlu dimajukan di Malaysia.

Beberapa laporan yang penulis rujuk, masyarakat Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana dikatakan, ia boleh menghasilkan toksik. Seterusnya buah betik mengandungi pelbagai khasiat pemakanan. Bagi setiap 100g betik , ia mengandungi bahan seperti 59.0 kalori untuk pembekalan tenaga, 92.1g air, 1.0g protein, 0.1g lemak, 13.5g karbohidrat, 0.5g serat, 0.5g abu, 31.0mg kalsium, 0.8mg magnesium, 17.0mg posporus, 1.0mg zat besi, 2.0mg sodium, 337.0mg potasium, Vitamin B sebanyak 0.08mg, vitamin B2 (0.12mg), Niasin (0.1mg), Vitamin C (69.3mg) dan juga bahan Karotin (2431ug). Kajian dimakmal juga dapati betik kaya dengan vitamin A, vitamin C dan juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Kesemua nutrien yang terdapat di dalam sebiji buah betik dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan strok. 

Selain mengandungi vitamin C yang amat banyak iaitu dilaporkan hampir dua kali ganda dari kandungan buah limau, betik juga boleh menjadi pendinding daripada serangan penyakit yang akan mendera kandung hempedu. Perkara tersebut dijumpai dalam beberapa laporan kajian oleh pakar pemakanan dari USA. Hasil analisa kadar darah mendapati saintis menemukan bahawa mereka yang kadar vitamin C nya rendah mempunyai risiko kepada menderita penyakit hempedu adalah lebih tinggi. Lazimnya sumber vitamin C boleh diperoleh dari pelbagai jenis buah dan sayuran. Kajian menunjukkan sebiji buah papaya dengan saiz sederhana (Anggaran 280 gram) mengandungi 188 mg vitamin C dan 500 kj kalori. IJumlah ini adalah jumlah yang banyak untuk meningkatkan kesihatan. Kajian mendapati penyakit hempedusering menyerang perempuan berbanding lelaki dimana adalah digalakkan untuk memakan buah ini dikalangan kaum perempuan.

Pokok dan buah betik mampu menghasilkan sejenis enzim berguna iaitu PAPAIN (Sila baca artikel saya sebelum ini - Sila klik disini dan Testimoni - Sila klik disini). Teknik untuk mengumpulkan getah-papaya atau PAPAIN ini amat mudah dilakukan dengan teknik yang betul. Papain merupakan enzim protease yang terkandung dalam getah betik sama ada dari dalam buah, batang dan daunnya. Sebagai enzim yang berkemampuan memecahkan molekul protein, papain menjadi suatu produk yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusiasama ada untuk kegunaan dirumah ataupun bagi industri. Antara manafaat Papain dalam industri melembutkan daging. Lazimnya daging dari haiwan ternakan tua (Lembu atau Kambing) akan lembut dan enak jika dimasak dengan cara menggunakan campuran bahan papain. Biasanya daging haiwan tua adalah mempunyai tekstur daging sangat keras (Liat). Papain sebagai pelembut daging (meat tenderizer) membolehkan daging yang keras ini boleh dijual dan dimakan dengan baik dan selamat.

Kini bahan papain juga banyak digunakan sebagai bahan penghancur sisa atau produk buangan hasil industri makanan atau industri perikanan. Teknik melumatkan ikan menjadi bubur ikan atau konsentrat protin untuk menjadi bahan seperti bubur ikan atau konsentrat protin ini digunakan untuk keperluan bahan pemakanan ternakan. Dalam banyak kes bahan ini akan dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu dan ikan malahan ada juga diproses menjadi kicap. Dalam industri penyamakan kulit, papain akan digunakan bagi melembutkan semula kulit haiwan kering hasil sembelihan untuk membuat sarung tangan, jaket baju atau kasut. Bahan Papain juga amat berfungsi di dalam industri pembuatan minuman minuman keras (beer). Lazimnya cara pengedaran dan penyimpanan beer akan mengambil masa amat lama untik diporoses siap tetapi penggunaan bahan papain pada ketika pembotolan mengelak dari kontaminasi dan gangguan kulat. Ini lah sebab dikatakan papain sebagai bahan ubat stabliser.

Dalam kes lain, penulis mendapati papain juga banyak digunakan dalam industri perubatan dan kosmetik. Bagi tujuan perubatan ia sebagai ubat gangguan pencernaan protin, dispesia, gastrik serta ubat cacing.  Dalam industri kosmetik moden papain akan digunakan sebagai syampu untuk rambut dan sebagai bahan aktif dalam pembuatan krim pembersih kulit iaitu terutama untuk mencantikkan kulit muka. Ini adalah kerana papain dapat melarutkan sel-sel yang telah mati yang melekat pada kulit yang sukar dibersihkan dengan cara cucian biasa. Papain juga banyak digunakan dalam pembuatan ubat gigi dimana kemampuannya membersih sisa protin yang melekat pada gigi yang menyebabkan bau busuk mulut amat berkesan. papain dari betik juga berguna untuk dijadikan bahan untuk pencucian kain sutera yang membuang serat-serat yang berlebihan. Ia boleh digunakan menjadi bahan untuk bahan pelarut gelatin dalam proses perolehan kembali (recovery) perak dari filem yang sudah tidak terpakai. Ia boleh juga jadi bahan perenyah dalam pembuatan biskut kering seperti Cracker dan bahan penjernih dalam pembuatan minuman teh. Akhir sekali ia menjadi bahan pengumpal susu dalam penyediaan keju. Begitulah kehebatan pokok betik yang menghasilkan papain dan zat lain untuk dimanafaatkan. Wasallam!.
POkOK BETIK... IA JUGA PAPAYA...
MUDAH DITANAM...PENYAKIT JAGA...
BUAH BERKHASIAT... MANIS RASA...
PAPAIN PULA...PELBAGAI GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Betik Meng Plantation Sdn Bhd,
Kg Kelicap, Minyak Beku,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(27 Zulhijjah 1435H)

Monday, October 27, 2014

HERBA - KUCING GALAK

KUCING GALAK (Acalypha indica) merupakan sejenis herba tempatan yang amat kurang dikenali oleh ramai. Tumbuhan liar jenis herba ini adalah daripada keluarga Euphobiaceae yang unik dan banyak khasiatnya. Nama gelaran lain bagi herba ini adalah seperti Indian copperleaf, India acalypha dan nama tempatan sebagai Kucing Galak dan Cika Mas. Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan negara Afrika yang beriklim tropika dan juga boleh ditemui di beberapa negara sekitar Afrika Selatan. Manakala di sebelah Afrika Timur dan Barat taburan bagi tumbuhan ini digunakan sebagai herba ubatan sejak dahulu oleh penduduk tempatan. Selain itu dilaporkan juga di bahagian Afrika Barat lazimnya bahagian daun tumbuhan ini akan dimasak dan daunnya dijadikan sebagai ulaman. Makan pucuk daun kucing galak sebagai ulam hanya oleh beberapa masyarakat tempatan. Dalam kes lain. bahagian daunnya juga merupakan makanan kegemaran lembu di Afrika terutama jika kurang bahan ragutan hijau. Tumbuhan herba ini juga disanjung tinggi sebagai herba ubatan tradisi masyarakat di India khususnya dikalangan masyarakat Tamil Siddha dan dipercayai boleh merawat awet muda dan dalam perubatan tradisional Ayuverda. Di Malaysia tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tumbuhan kucing galak ditanam secara komersil lagi dan belum ada usahawan yang berminat menanamnya. Adakah herba kucing galak ini akan menjadi sejenis herba yang akan dimajukan satu masa nanti?. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan herba dipanggil Kucing Galak sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukan.

Bagaimana hendak mengenai tumbuhan herba yang kurang dikenali ini dikalangan rakyat marhaein?. Antara ciri-ciri yang mungkin membantu kita mengenali kucing galak adalah dimana tumbuhan ini tidak kekal lama yang tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m tinggi (Sila lihat foto disebelah). Marfologi mengenai panjang daun adalah antara 2.5cm - 7.5cm yang lazimnya berbentuk 'ovate' dan 'rhomboid-ovate'. Daunnya berwarna hijau terang pada pucuk muda dan hijau gelap pada daun yang matang. Herba ini mempunyai jenis bunga yang banyak dan lembut dimaka ia keluar atau pun tumbuh secara menegak dan memanjang daripada celah petiol. Pada pemerhatian penulis mendapati iaitu bunga jantan selalunya bersaiz kecil, berkelompak di bahagian tangkai manakala bunga betina tumbuh secara bertabur. Tabiat tumbuhan herba ini dimana pokok ini sering tumbuh meliar sendiri di kawasan terbuka khususnya di kawasan yang agak kering dan ada cahaya matahari. Di kawasan yang dikajia di Semenanjung Malaysia, tumbuhan ini boleh didapati di kawasan penempatan perumahan tetapi ia bukan ditanam.

Belum banyak kajian saintifik dilakukan mengenai kehebatan dan kegunaan herba kucing galak. Mungkin pihak FRIM atau Institusi lain dan Universiti ada membuat sedikit kajian tetapi belum banyak yang diketahui umum akan khasiat dan kegunaannya. Bagaimana pun dalam beberapa laporan menyatakan bahawa bahagian tumbuhan yang sering boleh digunakan adalah bahagian Akar dan Daun. Beberapa temuan mengenai amalan perubatan tradisi oleh masyarakat tempatan menunjukkan memang herna ini ada kesan perubatan. Antaranya dengan melalukan rerawatan dengan air rebusan keseluruhan pokok yang digunakan sebagai ubat pencuci perut. Maksudnya air rebusan yang diminum juga amat berkesan untuk merawat masaalah buasir. Akarnya juga boleh digunakan untuk membuang cacing dalam perut kanak-kanak dengan meminum di waktu pagi semasa perut masih kosong. Selain itu terdapat petua dimana kita ambil bahagian daunnya yang dilumatkan dengan kunyit digunakan untuk merawat jerawat di muka. Kalau semua usaha menggunakan herba yang kita boleh dapat free ini tidak berjaya sebaiknya jumpa doktor pakar. 


Alangkah gembiranya saya semasa berkunjung ke Kelantan pada Oktober 2014 dapat merasai dan minum Kopi Herba Kucing Galak. Ketika singgah di warung kopi sebelah stesyen Petronas di Kg Pulau, Kubang Krian, saya nampak paket jualan kopi ini digantung didinding dan memesannya. Sepaket kopi herba kucing galak ini dijual dengan harga RM1.50 dan apabila sudah dibancuh air panas harganya RM2.00 secawan. Dalam ujirasa yang dilakukan, saya tidak dapat apa-apa 'rasa kelainan' pada kopi tersebut kerana ia sudah bercampur dengan susu, kopi, gula dan airnya masih panas. Pada saya segi rasa sama dengan semua jenis kopi campuran 3-in-one lain yang dijual dipasaran. Saya minum sampai habis secawan kopi herba kucing galak disaksikan oleh Hishamuddin yang tidak suka minum kopi. Dalam saya menilai kesan kopi herba tersebut tidak ada apa-apa rasa kelainan dapat dikesan tidak seperti minum Teh Gora yang dijual oleh Ladang Herba Nasuha yang akan terkesan bertenaga apabila meminumnya. Mungkin kesan kopi dan susu serta gula kurang memberi kesan terus kepada peminumya tidak seperti teh gora yang diminum tanpa apa-apa bahan lain. Terbit pada pemikiran saya adakah wajar khasiat herba ini dicampur dalam minuman 3-in-one seperti paket komersil yang saya minum ini?. Kesan caffien dan gula mungkin mengatasi kesan khasiat herba itu sendiri. Bagaimana pun saya berterimakasih kepada usahawan yang membuat kopi ini setidak-tidaknya saya hilang dahaga minum kopi herba kucing galak sebelum menikmati madu kelulut pada lawatan berikutnya. Wasallam!.

KUCING GALAK... BAMA DIBERI...
DALAM BELUKAR..TUMBUH SENDIRI..
POKOK RENEK... HIJAU BERDIRI...
DIBUAT UBAT... MEMANG IA FREE...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Bunga Puncak Saujana,
Precint 11, Putrajaya,
W.Persekutuan,
Malaysia.
(24 Zulkaedah 1435H)

Sunday, October 26, 2014

LEBAH - SENGATAN LEBAH

SENGATAN LEBAH (Bee Sting) merupakan satu perkara yang mungkin berlaku kepada kita terutama mereka yang menjadi usahawan lebah. Perkara ini merupakan satu cabaran yang perlu diterima oleh mereka yang terlibat dengan pengurusan lebah madu yang mesti dan perlu dilakukan. Berapa ramai diantara kita yang belum pernah disengat lebah madu?. Mungkin ramai juga tetapi mereka yang menunggang motorsikal sering terkena sengatan lebah ketina menunggang motor terutama di bahagian muka. Kesannya akan menyebabkan kesakitan, muka akan jadi membengkak malahan akan menyebabkan kesan Alahan (Allergi). Dikalangan kanak-kanak juga yang bermain dengan kawasan semak mungkin akan disengat lebah madu atau tabuan atau jenis penyengat lain yang diganggu. Ini menyebabkan kesakitan dan perlu membuat rawatan. Antara penyengat lain selain lebah seperti Tabuan (Vespa spp), Kumbang Hitam (Caepenter Bee), Penyengat Lalat Buah dan sebagainya. Bergantung kepada ketahanan seseorang terhadap sengatan, lazimnya kesan kesakitan dan tahap allergi adalah berbeza-beza. Ia juga bergantung kepada jenis sengatan dan kuantiti jumlah sengatan. Dikatakan jika seseorang itu disengat dibahagian kepala dengan jumlah yang banyak boleh menyebabkan kematian jika tidak dihantar segera untuk rawatan. Ini disebabkan venom (racun sengatan) mampu menghantikan fungsi jantung dan saraf jika kuantitinya ternyata banyak. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sengatan lebah madu untuk dijadikan sumber rujukan dan pembacaan anda semua.


Venom Sengatan Lebah (Bee venom) yanng terdapat pada lebah madu berbeza-beza tahap kebisaanya. Lebah Impot (Apis mellifera) mempunyai kandungan cecair sengatan yang lebih banyak daripada Lebah Keras (Apis mellifera). Ini kerana saiz badan lebah impot adalah lebuh besar dan kantung bisanya juga lebih besar. Bagaimana pun  penulis dapati kesan sengatan Lebah Keran cepat terasa bisanya jika dibandingkan dengan venom Lebah Impot. Dalam beberapa laporan penulis mendapati ia tidak sesuai digabungkan Apis cerana dan Apis mellifera didalam kawasan penternakan yang sama. Lebah Keran didapati menjadi musuh semulajadi kepada Lebah Impot kerana ia telah mendekati haif lebah impot dan menyebabkan lebah impot akan kalah. Lebah keran yang lebih kecil akan mencuri simpanan madu daripada lebah impot dimana kes ini telah dilaporkan belaku di Bera, Pahang dan beberapa kawasan lain. Sengatan lebah keran amat terasa bisanya dikawasan seperti bibir, mata dan tangan. Kesan sengatan akan menyebabkan bengkak, kesakitan, gatal dan alalergi yang sesetengah orang tidak tahan. Ada juga yang tahan akan sengatan lebah ini dan ramai yang tidak tahan. 


Pengalaman penulis yang terkena sengatan lebah madu ini amat bererti untuk dijadikan perkongsian pengalaman. Lazimnya sengatan lebah ini memang berlaku bila penulis dahulu terlibat aktif dalam menternak lebah keran terutama ketika kerja mengalihkan koloni daripada Gelodog. Gelodog adalah perangkap lebah keran yang diletakkan dikawasan kelapa dan buah-buahan yang terdapat koloni lebah keran. Apabila tiba musim panas dan banyak makanan lazimnya lebah keran akan berpecah (Swarming) dan membentuk koloni baru dalam gelodog yang disediakan. Koloni dalam gelodog ini akan dipindahkan kedalam haif untuk teknik pemeliharaan bagi mendapatkan madu lebah. Ketika proses mengalih ini lazimnya akan terkena sengatan walaupun gunakan veil, sarung tangan dan baju lengan panjang. Ini kerana sengatan lebah keran yang agak garang menembusi lengan baju dan sarung tangan. Kadang-kadang ia dapat menyusup melalui seluar dan baju dan menyengat dalam baju. Akibat sengatan lazimnya akan membengkak sedikit dan kemudian terasa gatal untuk beberapa ketika. Pada saya sekadar 5 - 10 sengatan lebah keran masih beolh bertahan lagi. Kesannya jika selalu kena sengat badan kita akan menjadi tahan dan immune.


Pengalaman penulis paling 'mengejutkan' adalah pada 17 Oktober 2014 dimana penulis menerima 4 sengatan Lebah Impot (Apis mellifera) dalam Hutan Akasia ditangan dan dilutut yang diberikan oleh pengusaha lebah Mr Eee separti amalan biasa. Mula-mula dirasakan gatal-gatal dan rasa mual sehingga pening untuk 15 minit. Bagaimana pun rasa allergi semakin kuat sehinggakan badan berpeluh-peluh, agak sesak nafas dan penglihatan mata mula kabur. Saya terpaksa cepat dengan terus minum air sebanyaknya dalam perjalanan ke Klinik Swasta di Kota Tinggi untuk mendapatan rawatan. Setelah mendapat suntikan dan rawatan gas pernafasan maka dinasihatkan oleh doktor untuk berehat. Menurut nasehat doktor yng merawat, saya tidak dibenarkan untuk mengambil makanan laut dan telur untuk beberapa hari kerana kesan allergi akan timbul semula walau pun telah diberikan ubat. Barulah saya faham kenapa kali ini dengan '4 jap Apis mellifera' saya sudah tumbang. Beberapa minggu sebelum kes ini saya sudah kena sebanyak 13 ekor jap (sengatan) lebah impot di Melaka tidak ada apa-apa kesan pun kepada allergi sengatan. Mengkaji kes ini adalah berkemungkinan ia berlaku akibat terlalu banyak memakan 'seafood' beberapa hari sebelum kena allergi ini iaitu ketika membuat lawatan kerja di Sarawak, Sabah dan Labuan. Oleh kerana mungkin makan banyak udang, sotong, ketam dan makanan laut iaitu 'steamboat special Malaya' yang menyebabkan kandungan protin dalam badan berlebihan. Apabila kena sengatan venom lebah ia telah menyebabkan komplikasi seperti allergi. Lebah di kawasan hutan akasia jauh lebih berbisa daripada lebah dikawasan ternakan keliling kawaan kampong. Pokok akasia sendiri mempuynai bahan yang boleh menganggu saraf jika diekstrak patinya. Rawatan segera perlu dilakukan jika berlakukes sedemikian diklinik terdekat. Selepas kena 'jap doktor' maka saya telah sihat keesokkan paginya. Alhamdullilah. Anda dinasihatkan dari elakkan untuk cuba mendapatkan 'jap venom lebah' jika selepas makan makanan laut. Wasallam!..

SENGATAN LEBAH... MENYAKITKAN...
MENJADI BENGKAK...TIDAK TAHAN...
SIAPA ALLERGI...CARI RAWATAN...
MAKANAN LAUT... PERLU ELAKKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Klilik Adham, No 10 Jalan Seri Warisan,
Kota Heritage Commercial Cemter,
Kota Tinggi, Johor,
Malaysia.
(24 Zulhijjah 1435H)    

Saturday, October 25, 2014

JUS DAUN BETIK - HEBATNYA

BETIK (Carica papaya L) adalah tumbuhan dan buah yang tergolong dalam keluarga Caricaceae dan adalah tumbuhan dipercayai berasal daripada tropika Amerika. Betik adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang yang asasnya lembut, tumbuh menegak dan biasanya tidak bercabang. Buahnya berbentuk bujur panjang hingga ke bentuk hampir bulat. Kulit yang masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Terdapat banyak varieti betik yang ditanam di Malaysia seperti Varieti Betik Sekaki, Varieti Subang, Varieti Solo, Varieti Eksotika dan beberapa lagi. Keluasan tanaman betik di Malaysia sekitar 3,200 hektar dengan pengeluaran sebanyak 52,000 mt pada tahun 2014 (Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2014). Laporan menunjukkan bahawa masyarakat Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana dikatakan kesan negatif bila didapati boleh menghasilkan toksik. Kini pucuk betik pula telah pun hangat diperkatakan sebagai bahagian yang sangat berguna dalam bidang perubatan dan makanan untuk kesihatan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan daun betik khususnya pucuk betik yang memang mudah didapati disekeliling kita untuk dijadikan bahan rujukan.

Bahagian Pucuk Betik (Young papaya leaves or Shoots) atau daun muda selalunya direbus dan dijadikan ulam. Ianya mempunyai banyak khasiat antaranya merendahkan tahap kolesterol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan sakit migrain di samping boleh melangsingkan badan. Pucuk betik mempunyai rasa yang agak pahit dan ramai kita tidak suka makan terus pucuk betik segar. Maka untuk menjadikannua ia dijadikan ubat penyakit adalah dengan memakan pucuknya yang direbus dahulu ataupun meminum satu atau dua gelas air rebusannya secara betul dan teratur. Dalam beberapa laporan, daun betik didapati mengandungi bahan seperti mineral dan vitamins (A, C, B complex, B17, Vitamin K and E). Daun Betik yang dilayur di atas api dapat mengubati sakit-sakit otot apabila dilekapkan pada bahagian yang sakit. Bagi mengubati sakit sendi pula adalah disyorkan agar pesakit mengamalkan meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis. Walau pun ia telah diketaui umum, tetapi pengamalan kaedah ini masih kurang diamalkan oleh pesakit kerana mereka hanya percayakan bekalan ubat dari doktor sahaja.

Daun betik tua pula penulis dapati dikatakan boleh dibuat jus untuk mengubati penyakit demam denggi. Menurut beberapa pakar perubatan, kiraan platelet dalam darah bagi pesakit denggi akan segera bertambah jika meminum jus daun betik. Sejauh mana kebenaran ini memang tidak diketahui tetapi ia menyebar daripada mulut kemulut dan melalui lamanweb dengan hebat. Kaedah bagi merawat luka berdarah pula adalah disyorkan agar kita menggunakan daun betik dan ditumbuk hingga lumat. Kemudian bahan ini perlu dicampurkan dengan sedikit garam sebelum ianya dikeluarkan dan kemudian dilekapkan atau ditampal pada tempat yang luka dan kemudian ia perlu dibalut. Cara ini akan dapat segera untuk menghentikan pendarahan. Daun betik juga dikatakan dapat menahan kesakitan iaitu dengan cara menggunakan daun betik untuk menahan kesakitan seperti masaalah kanser dengan aturan betul. Mula sekali ambil daun betik dan rebuskan 2 helai daun betik bersama 1liter air mineral. Setelah itu dibiarkan ia mendidih dan menjadi setengah liter air. Amalkan menyediakan dalam masa kekerapan 4 jam sekali dengan aturan mengambil 1gelas sekali minum. Sebaiknya kuantiti diminum sebanyak 6 gelas sehari. Ini akan membantu menghilangkan kesakitan akibat penyakit kanser dan membunuh sel kanser sebab ia mengandungi bahan merawat yang signifikan.

Penyakit kanser merupakan bentuk ancaman yang serius di Malaysia dan seluruh dunia. Antara kaedah rawatan yang pling lazim diberikan kepada pesakit adalah kaedah 'Chemo' yang menyebabkan kesan lain terhadap tahap kesihatan pesakit. Kini dengan amalan pengambilan daun betik dipercayai ia mampu untuk mengatasi masaalah penyakit kanser (Dari laporan dalam lamanweb dan petua-petua). Cara untuk mengambil daun betik sebagai bahan rawatan kanser adalah dengan mengambil 7 helai daun betik yang sederhana besarnya. Jenis daun dipilih adalah dari daun betik yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda dimana ia kemudian akan dibasuh daun itu dan toskan airnya. Sebaiknya kemudian dipotong daun itu kecil-kecil seperti kita potong kobis. Masukkan daun yang sudah dipotong ke dalam periuk bersama 2 liter air dan dimasak dengan api kecil sehingga mendidih dan air menjadi setengah. Seterusnya larutan cair tersebut perlu ditapis dan masukkan ke dalam bekas kaca. Ia perlu disimpan di dalam peti sejuk sehingga 3 atau 4 hari. Kemudian ia akan di minum sebanyak 50 ml tiga kali sehari. Selalunya kalau air cecair dalam bekas simpanan sudah menjadi keruh (cloudy) sebaiknya iaperlu di buang. Selamat mencuba. Wasallam!

DAUN BETIK ... ADA KHASIATNYA...
BANYAK PENYAKIT..DIRAWATNYA...
MUDAH DICARI... DIMANA-MANA...
ARTIKEL INI.. UNTUK ANDA SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Wilayah Persekutuan,
Putrajaya, Malaysia.
(29 Zulhijjah 1435H)

Friday, October 24, 2014

KELAPA - INFO ASAS

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) digolongkan dalam keluarga Arecaceae (Dahulu keluarga Palmae). Tanaman kelapa ini dipercayai berasal dari kepulauan Pasifik dan tersebar luas hampir sebanyak 90 buah negara tropika. Jumlah keluasan kelapa didunia dianggarkan sebanyak 10.6 juta hektar dan sebanyak 93% terletak dikawasan Asia Pasifik termasuk negara kita Malaysia. Malaysia mempunyai seluas 210,000 hektar tanaman kelapa sekitar 1980'an tetapi kini hanya tinggal sekitar 90,000 hektar sahaja iaitu kadar pengurangan lebih daripada 50%. Kawasan kelapa telah ditukar dengan tanaman lain terutama kepada kelapa sawit dan juga tanaman makanan lain. Beberapa estet kelapa juga telah menukar komoditi kelapa kepada kelapa sawit, getah dan koko dalam 30 tahun proses ini berlaku. Penulis juga mendapati dari FAO Statistic menyatakan bahawa negara Filipina dan Indonesia merupakan negara pengeluar kelapa utama dunia. Keduanya mempunyai keluasan pokok kelapa sebanyak 3.2 juta dan 3.9 juta hektar diikuti oleh negara India. Jumlah pengeluaran kelapa dunia kini dianggarkan sebanyak 8.5 juta tan kopra, bersamaan 48.8 bilion biji kelapa. Semenjak empat hingga lima dekad yang lalu, teknologi pemprosesan kelapa telah berjaya menghasilkan tidak kurang daripada 360 produk makanan dan bukan makanan berasaskan kelapa. Artikel malam Jumaat ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info berguna tanaman kelapa untuk rujukan anda.

Di Malaysia tanaman kelapa merupakan salah satu tanaman yang penting untuk ekonomi negara dimana sebahagian besar tanaman kelapa diusahakan secara tradisional oleh pekebun-pekebun kecil. Penanaman kelapa aktif dahulu dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian melalui Program Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) dimana ia kemudian telah pun diberhentikan pertengahan 1980'an. Tanaman kelapa kini menduduki tempat yang keempat dari segi keluasan selepas kelapa sawit, getah dan padi. Penanaman kelapa dengan jenis Malayan Tall telah mendominasi pokok kelapa masa kini tetapi beberapa varieti seperti MAWA, Pandan, MARREN dan beberapa lagi pernah ditanam. Kini varieti kelapa Matag telah mula ditanam sejak 2005 oleh pekebun kecil bagi menggantikan varieti Kelapa Tinggi Malayan Tall dengan penghasilan yang jauh lebih timggi. Bagaimana pun isu kekurangan anakbenih kelapa Matang telah mengganggu kelancaran perlaksanaan dan penanaman pokok kelapa. Produk-produk asas kelapa adalah bahagian penting dalam makanan harian penduduk tempatan dan juga dalam industri pembuatan. Permintaan tempatan untuk produk-produk kelapa adalah dalam bentuk biji kelapa, minyak kelapa, kelapa salai (kopra), kelapa parut reesterified fat and oil dan banyak lagi.

Pokok kelapa mempunyai batang dan pusat pertumbuhan tunggal. Ketinggian pokok boleh mencapai 6-30 meter. Pada hujung batang terdapat daun-daun pinat yang besar atau batang pelepah pada pelbagai peringkat pertumbuhan. Di pucuk pokok terdapat tisu-tisu muda yang bakal membentuk menjadi daun, bunga atau buah. Sistem Akar bagi pokok kelapa mempunyai sistem akar serabut. Pokok kelapa tidak mempunyai akar rambut dan dalam keadaan tertentu, akar-akar utama boleh mengeluarkan akar sisi yang bercabang yang dipanggil akar penyerap. Di hujung akar penyerap ini terdapat jidal akar (root cap) yang boleh menembusi tanah. Bahagian lembut yang terdapat di belakang jidal akar berfungsi untuk menyerap nutrien tanah sejauh 5 cm. Di permukaan akar terdapat struktur tisu kecil yang tajam berwarna putih (pneumatophotes) yang berfungsi sebagai struktur pernafasan. Struktur ini akan membolehkan pokok kelapa menyesuaikan kehidupan di kawasan air bertakung. Pokok kelapa mengeluarkan 1,500 - 1,800 urat akar yang tumbuh mendatar sepanjang 5 hingga 25 meter di sekeliling pokok. Terdapat juga akar yang tumbuh menghala ke lapisan air bawah tanah dan boleh tumbuh sehingga 25 meter ke dalam tanah.

Bahagian Daun Kelapa adalah komponen yang penting bagi pokok kelapa. Pokok kelapa yang matang mempunyai 30 - 40 pelepah daun. Panjang pelepah boleh mencapai 5 meter dan ia mempunyai dua baris daun kecil (bipinate) berukuran 1 - 1.5 meter panjang. setiap pelepah dianggarkan sebanyak 200 helai daun kecil. Bagi poko yang subur, pelepah baru terbit setiap 3 - 4 minggu sekali. Jangka hayat dari mula terbit hingga senesen ialah antara dua setengah hingga tiga tahun. Bunga kelapa mempunyai jambak bunga atau mayang terbentuk di dalam seludang yang tebal, kukuh dan tajam. Mayang yang terbuka berukuran 1.0 hingga 1.2 meter panjang dan membentuk beberapa anak spika yang panjangnya 14 -16 cm. Bunga kelapa berjenis monoecious. Pada setiap mayang kelapa, terdapat antara 8,000 - 10.000 bunga jantan dan 10 - 50 bunga betina. Bunga jantan mengandungi enam helai perianth nipis berwarna kuning dan di dalamnya terdapat enam stamen. Di tengah- tengah bunga terdapat tiga kelenjar nektar yang berfungsi untuk menarik serangga pendebunga. Apabila bunga kembang, cepudebunga terbuka dan mengeluarkan debunga - debunga yang berwarna kuning. Debunga ini bolrh hidup selama 2 - 9 hari.  Bunga betina berbentuk globos, mengandungi enam perianth dan terdapat pistil berwarna putih. Bunga betina mulai kembang pada 18 -21 hari selepas seludang terbuka. Jangkamasa reseptifnya ialah 1- 3 hari.

Bunga dan Pendebungaan kelapa sering melibatkan agen pendebungaan . Angin dan serangga merupakan ejen untuk pendebungaan bunga kelapa. Lebah, lalat, kumbang dan tebuan adalah serangga pendebungaan kelapa yang paling penting. Jumlah bunga betina yang berjaya membentuk buah sehingga mencapai ke peringkat matang adalah sekitar 25 - 40%. Bagi kebanyakan jenis kelapa rendah, kaedah pendebungaan ialah secara autogamous (direct self-pollinating) atau pendebungaan sendiri. Bagi jenis kelapa tinggi, pendebungaan secara allogamous (cross-pollinating) atau pendebungaan silang. Bagi kelapa hibrid dan beberapa jenis kelapa rendah, kaedah pendebungaan ialah secara kedua-duanya sekali iaitu secara allogamous dan autogamous. sebagai contohnya, teknologi pendebungaan bagi Kelapa Rendah Kuning (Malayan Yellow Dwarf, MDY) dan Kelapa Rendah Merah (Malayan Red Dwarf, MRD) didapati secara autogamous. Pendebungaan jenis Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall) ialah secara allogamous, manakala pendebungaan Kelapa Rendah Hijau (Malayan Green Dwarf, MGD) ialah secara autogamous dan allogamous. Oleh itu populasi Kelapa Rendah Malaya didapati seragam berbanding dengan populasi Kelapa Tinggi Malaya. Populasi Kelapa Rendah Malaya jenis kuning dan merah didapati lebih stabil dan seragam berbanding dengan jenis hijau. Faktor ini menyebabkan Kelapa Rendah Hijau tidak digunakan sebagai pokok induk ibu didalam pembiakan kelapa kacukkan atau hibrid.

Buah Kelapa merupakan buah yang akan dihasilkan selepas proses persenyawaan bunga akan menjadi buah dalam tempoh 12-14 bulan (Sila lihat foto disebelah). Pada umunya buah yang matang mengandungi 35 % sabut, 12 % tempurung, 28% isi dan 25 % air. Komposisi ini berbeza-beza mengikut kultivar . Saiz, warna dan bentuk buah kelapa juga berbeza-beza mengikut jenis kelapa. Kandungan Zat buah kelapa pelbagai seperti minyak kelapa mengandungi minyak tepu yang tinggi iaitu kira-kira 91%. Hampas kelapa kering merupakan produk sampingan dari pemprosessan minyak kelapa dan digunakan sebagai makanan ternakan. Kelapa parut ialah isi kelapa yang dipotong halus dan dikeringkan pada tahap kandungan kelembapan 2.5 %. Nilai permakanan kelapa parut kering adalah baik untuk dijadikan produk ekspot. Produk-produk berasaskan kelapa telah diusahakan oleh sekitar 15 - 20 buah kilang kelapa aktif yang kebanyakannya mengimpot kelapa biji tua kelapa daripada Indonesia. Ini kerana bekalan kelapa tempatan untuk diproses tidak mencukupi untuk kegunaan domestik. Begitulah info asas mengenai tanaman kelapa dan beberapa keistimewaan mengenai kelapa. Semuga ia memberi pengetahuan tambahan. Wasallam.!

POKOK KELAPA... APA DIA...
LUAS DITANAM...DIMALAYSIA...
POKOK TEGAK...BULAT BUAHNYA...
DIMINUM AIR...AMBIL SANTANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Teluk Baru (Stesyen Kelapa),
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(30 Zulhijjah 1435H)