Friday, June 29, 2012

PROJEK SAYUR ORGANIK DI LABUAN

Reactions: 
SAYURAN ORGANIK (Organic Vegetables) merupakan satu produk yang telah di perkenalkan di Wilayah Persekutuan Labuan mulai tahun 2011 oleh Jabatan Pertanian Labuan. Saya telah pun berpeluang melawatn satu Projek Tanaman Sayuran Organik Syarikat Green Farm yang terletak di Labuan seluas 4.1 hektar diusahakan oleh En Goh. Lawatan kekebun ini di ketuai oleh Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Tuan Hj Mustafa Kamal dengan pegawai2 Kanan Jabatan. Diantara tanaman yang sedang diusahakan adalah Kangkung, Sawi ( 5 jenis Sawi), Kacang Panjang, Cili Besar, Cili Padi dan banyak jenis sayur ulaman lagi. Pembantu Pertanian Kawasan iaitu En Patrik Tangkalau memberikan penerangan mengenai proses pengauditan untuk persijilan Sijil Organik Malaysia akan selesai pada Julai 2012. Proses menganalisa sampel produk sedang dijalankan di makmal di Kuala Lumpur. Ladang ini di bangunkan dari kawasan hutan yang belum tercemar dengan bahan kimia dan lain bentuk pencemaran sumber air. Artikel ini ditulis sambil menghadap Laut Pulau Labuan. Tujuan saya menulis teknologi perladangan organik dalam 'Anim Agro Technology' yang di amalkan oleh En Goh adalah untuk di kongsi bersama.


En Goh merupakan seorang usahawantani yang juga terlibat dengan aktiviti lain seperti kerja peruncitan dimana beliau juga mempunyai kedai mini market sendiri. Minat terhadap produk organik bermula apabila beliau mendakwa dan juga mendapati banyak sayuran yang dibawa masuk ke Labuan mengandungi banyak kesan sisabaki racun (mungkin dibawa masuk dari Kundasang, Sabah atau kawasan lain). Labuan juga mempunyai ramai pekerja 'offshore minyak' dan gas warga tempatan serta tenaga expat dari luarnegara yang mampu membeli produk organik untuk kesihatan dan dijamin selamat dimakan.  Beliau memajukan ladang organik dengan nama Syarikat 'Green Farm' menggunakan duit sendiri untuk membekalkan sayuran organik di sekitar Labuan. Minatnya yang mendalam menyebabkan En Goh membuat banyak rujukan mengenai perladangan organik melalui laman sesawang internet. Beliau kemudian menghubungi Pejabat Pertanian Labuan untuk mendapatkan khidmat nasehat dan telah berhubung dangan salah serorang pegawai bahagian Hortikultur Jabtan Pertanian di Lundang, Kelantan iaitu Puan Zainab yang pakar dalam bidang ini.    


Penanaman sayuran organik di kawasan ini telah diberhentikan selama 2 bulan iaitu pada Mac - April 2012, ini kerana beliau telah menghadapi masaalah serangan sejenis perosak seperti kutu dan lelompat pada daun yang akan  makan daun sehingga habis musnah dalam masa yang singkat sahaja. Oleh kerana beliau tidak menggunakan sebarang racun dan baja kimia, maka kaedah merehatkan penanaman 2 bulan dipercayai mampu dalam mengurangkan serangan. Katanya beliau pernah menggunakan racun Aerosol jenama Shieldtox (pokok tidak diambil hasilnya dan  bagi kajian sahaja) untuk membunuhnya tetapi tidak berjaya. Beliau kerugian antara RM 2,000 - RM 3,000 pada musim lepas kerana serangan perosak ini. Harga sayuran organik pada tahun lepas semasa mula beliau mulakan projek juga kurang menerima permintaan dan akibat kurang kesedaran pengguna mengenai kelebihan sayuran organik. Katanya beliau bernasib baik kerana mempunyai cara pasaran yang sendiri bagi meneruskan produk organik ini. 


Antara teknologi yang di jalankan bagi menjalankan tanaman organik seperti pemilihan kawasan lereng bukit yang agak sederhana curam. Ini katanya mengurangkan rumput untuk tumbuh jika dibandingkan dikawasan tanah rendah yang rata kerana pembiakan benih rumput terkawal. Jika ada pun rumput yang ujud cuma di cabut dengan tangan sahaja dan bijinya akan turun kebawah mengikut aliran arus air. Bagaimana pun beliau terpaksa memperbaiki banyak kali pam air kerana perlukan tekanan tinggi untuk menghantar air kekawasan bukit tersebut. Pelbagai bahan cecair organik seperti FFP, IMO, EM dan sebagainya digunakan dan dibancuh sendiri dan digunakan mengikut peraturan (Foto atas). Katanya hanya tanah yang subur dengan mikrob baik sahaja akan menghasilkan tanaman yang subur dan selamat dimakan. Semasa aktiviti  pemulihan batas tanah untuk musim ini, En Goh menggunakan sebanyak 4 kg baja organik dan banyak kuantiti IMO setiap batas (Lebih dari 5 liter/batas). Bekalan air siraman juga sentiasa di rawat dengan Arang (Charchoal) yang diletakkan didalam tangki air dengan kadar sebanyak 30 kg satu tangki. Kini ujian pH tanah yang dibuat memberikan bacaan hanya dibawah 5.0 dan sangat baik untuk pertumbuhan sayuran. Penggunaan baja Organik seperti tahi ayam proses juga banyak diaplikasikan.


Projek 'Green Farm' oleh En Goh merupakan satu projek yang boleh dikatakan selaras dengan Polisi Teknologi Hijau dalam bidang pertanian. Projek ini boleh dan perlu disokong lagi kejayaannya dengan kempen kesedaran dikalangan pengguna tentang kebaikan sayuran Organik berbanding dengan pengeluaran sayur konvensional yang menggunakan racun kimia perosak. Sehingga kini belum banyak keuntungan hasil dari projek sayuran organik kerana kesedaran dikalangan pengguna masih rendah, hasil sayuran organik yang agak rendah , 'Hanya untuk Niche market' , Tawaran harga masih sama dengan sayuran konvensional, 'apearance' hasil kurang menarik dan sebagainya. Semua orang harus faham akan potensi penggunaan sayuran organik pada masa akan datang.


KENAL EN GOH .... TINGGI MINATNYA...
TEKNOLOGI ORGANIK...DIAMALKANNYA...
PRODUK SELAMAT. ... SOM MATLAMATNYA...
GREEN FARM ... NAMA KEBUNNYA....


By,
M Anem
Hotel Labuan Dorsett,
Labuah
Malaysia
(9 Syaaban 1433)

Thursday, June 28, 2012

Projek VCO di Labuan

Reactions: 
Virgin Coconut Oil (VCO) merupakan satu produk yang berkhasiat dari produk kelapa (Cocos nucifera)  yang kini menjadi salah satu daripada industri IAT yang berpotensi. Penulis telah melawat satu projek memproses membuat VCO dari bahan tanaman kelapa di Kg Bukit Kuda, Labuan bersama 20 orang ahli rombongan. Projek ini telah dijalankan oleh Puan Mimie Duasah yang di bimbing oleh Jabatan Pertanian Labuan yang dimulakan semanjak 2006. Teknologi membuat minyak VCO ini menggunakan Teknologi MEP atau 'Micro Expelling Process' yang menggunakan mesin pemerah daripada Australia. Projek ini merupakan salah satu daripada projek IAT yang berjaya di Labuan. Artikel petang ini dalam 'Anim Agro Technology' saya menulis teknologi pembuatan VCO oleh pengusaha ini.

Teknologi MEP ini bermula dengan memilih kelapa tua yang berkualiti dan isinya di parut untuk dijadikan kelapa parut. Kelapa parut ini akan di panaskan diatas takung selama 40 minit - 2 jam bergantung kepada kuantiti kelapa parut yang hendak di proses. Apabila sesuai kepala parut ini akan dimasukkan kedalam mesin pemerah MEP untuk mengeluarkan minyak VCO yang ditapis dibahagian bawah mesin tersebut. saya dimaklumkan keseluruhan proses membuat minyak VCO selama 4-5 jam untuk siap. Menurut pegawai IAT Labuan En Ahmad Ismail, kapasiti penghasilan VCO dari projek ini adalah sebanyak 7 -  10 liter sehari melibatkan 5 orang pekerja dan dipasarkan untuk pasaran domestik dan juga ada yang dibeli oleh pelancong luar negara.

Mengikut keterangan rekod Jabatan Pertanian Labuan, Projek ini diberikan bimbingan berterusan secara serius semanjak 2006. Kini sebanyak 2,000 liter minyak VCO dihasilkan dengana anggaran nilai pengeluaran bernilai RM 180,000 setahun. Produk VCI ini mendapat pengiktirafan sebagai produk terbaik sempena HPPNK 2008 dan MAHA 2010. Kini produk tersbut telah sampai ke luar negara seperti di New Zealand, Australia serta negara ASEAN yang lain. Syarikat ini boleh dihubungi pada npmbor 019-8301751. 

Projek ini menghasilkan beberapa produk iaitu Minyak Kelapa Dara (VCO) dalam botol 300 ml, 100 ml dan 60 ml bergantung kepada kehendak pengguna. Produk ini di botolkan dalam beberapa bentuk botol menarik termasuk botol bebbentuk 'Chimney' yang merupakan satu ikon bagi Labuan. Produk lain yang dihasilkan adalah seperti Sabun VCO, Minyak Rambut VCO, Key Chain Tempurong Kelapa, Pembungkus Minyak VCO Biodegradable dan juga Minyak Wangi serta bahan komestik.  Produk terkini adalah bahan bau-bauan atau arome terapi untuk kegunaan SPA dan kraftangan yang lain. 

Menurut Puan Mimie minyak VCO Kelapa Dara mengandungi Asid Laurik yang merupakan sejenis bahan seperti susu ibu mengandungi kolestrum yang meningkatan tahap kesihatan badan. Katanya setiap hari perlu diminum 2 sudu pada waktu pagi dan 2 susu pada waktu malam hari setiap hari. Khasiatnya baik untuk mereka yang menghadapi masaalah Darah Tinggi, Kolesterol dan telah terbukti menurunkan tahap kolesterol dalam darah.  Asid Laurik merupakan sejenis bahan dari tumbuhan yang sangat baik dimana minyak VCO tahan sehingga 10 tahun jika disimpan dengan baik. VCO ini menggunakan jenama 'WANIS' untuk pasaran domestik dan menggunakan beberapa jenama lain seperti 'CHIMNEY' dan jenama 'KRYSTEY' untuk pasaran lain. Penulis ucapkan tahniah kepada pengusaha projek ini yang terus maju dalam aktiviti menghasilkan minyak VCO di Labuan.   

MINYAK VCO... KHASIAT BANYAKNYA...
MUDAH DIPROSES... MUDAH TEKNOLOGINYA...
NAIKAN HARGA... KELAPA TUA ASALNYA...
MINUM SELALU ... SIHAT JADINYA...

By,
M Anem
Room 225, 
Grand Dorsett Labuan Hotel,
Labuan, Malaysia
(8 Syaaban 1433)

Wednesday, June 27, 2012

CHEMPEDAK CH28

Reactions: 
CHEMPEDAK CH 28 (Artocarpus chempeden L) adalah salah satu varieti chempedak yang disyorkan untuk ditanam di Malaysia. Chempedak merupakan satu jenis buah tropika dari keluarga Moraceae yang ditanam di negara kita sebagai salah satu tanaman campuran atau tanaman monokrop untuk pengunaan makan segar. Terdapat sebanyak 35 varieti chempedak yang telah didaftarkan di Malaysia oleh Jabatan Pertanian dimana hanya 3 varieti sahaja di syorkan ditanam secara komersil iaitu CH 28, CH 30 dan CH 33. Seluas 11,156 hektar tanaman chemdedak di laporkan oleh Jabatan Pertanian pada 2011 dengan cuma 7,928 hektar mengeluarkan hasil sebanyak 56,831 mt. Anggaran nilai hasil chempedak adalah sebanyak RM 130.25 juta dimana purata penghasilan chempedak di Malaysia adalah sebanyak 7,100 kg sehektar.  Daerah Kuching, Sarawk dilaporkan mempunyai kawasan tanaman chempedak paling luas di Malaysia iaitu 366 hektar) diikuti dengan Daerah Selama, Perak (250 ha) dan Daerah Sipitang, Sabah (245 ha). Kali ini 'Anim Agro Technology'  akan mempaparkan informasi dan pencirian tanaman chempedak varieti CH 28 untuk tatapan anda semua. 


Kajian maklumat yang saya perolehi mendapati varieti CH28 ini didaftarkan pada 1 Jun 1978 oleh pegawai dari Jabatan Pertanian yang mana pokok ini di tanam di Stesyen Pertanian Serdang, Selangor. Bentuk buah adalah bulat panjang dengan ukuran panjang diantara 37 - 40 cm dengan lebar sekitar 13 - 15 cm. Kalau dikira nisbah ukuran panjang dengan lebar buah adalah pada nisbah 2.7:1. Kulit buah lazimnya berwarna hijau dan ada warna perang coklat pada tumpok tertentu. Pemerhatian saya mendapati tangkai buah adalah sederhana panjang skitar 3.0 - 3.5 cm pada buah hampir matang.  Warna tangkai buah adalah hijau ketika muda dan akan menjadi hijau coklat apabila hampir masak. Rupa permukaan buah adalah sederhana berbonjol dangan duri yang ketara dan berbentok corong.


Ciri isi buah chempedak CH28 ini banyak ulas sekitar 88 - 92 ulas sebiji (Purata 90 biji) dengan ketebalan yang sederhana. Warna isi adalah kuning - oren (Yellow orange) dengan kod warna 21B. Apa yang saya hendak kata adalah isi buahnya sangat manis dengan tahap kemanisan sehingga 33 - 35%. Jerami chempedak CH28 adalah sederhana panjang tetapi bilangannya agak sedikit.  Kalau hendak di bandingkan nisbah isi kepada ulas buah adalah tinggi iaitu sekitar 70%. Memang sangat puas hati kalau membeli chempedak CH28 kerana ulas isi adalah banyak untuk dimakan segar atau di goreng. Ulas buah padat dari pangkal buah sehingga kehujong buah dengan empulor yang sederhana saiz.


Ketika membuat ujirasa didapati macam tidak ada rasa Tanin pada isi buah tetapi ada sedikit rasa masam. Isinya banyak dan hanya sedikit ulas yang kesep dimana kebanyakkannya mempunyai biji. Saiz biji adalah bersaiz sederhana berbentuk bulat berbonjol.  Biji mempunyai lapisan kulit berwarna coklat (orange grey - N167B) yang agak tebal dan ada seakan-akan jalur atau garisan berwarna gelap. Biji dari buah yang masak ranum mudah disemai untuk dijadikan pokok penanti sebelum dicantum dengan varieti chempedak yang di kehendakki. Varieti ini mampu memberikan purata potensi hasil sekitar 8 - 10 metrik tan sehektar bergantung kepada umur, jenis tanah, cara pengurusan tanaman dan sebagainya. Wasallam.


CHEMPEDAK CH 28... VARIETI DISYORKAN...
ISINYA BANYAK ...HAMPIR 90 ULAS KIRAAN...
RSAS SANGAT MANIS ... APABILA DIMAKAN...
TANAM SENDIRI... BENIH CH 28 DI PASTIKAN...


Oleh,
M Anem
Mantin, Negeri Sembilan,
Malaysia.
(7 Syaaban 1433H)





CHEMPEDAK CH 30

Reactions: 
CHEMPEDAK CH 30 (Artocarpus chempeden L) merupakan saltu varieti chempedak yang telah disyorkan oleh Jabatan Pertanian untuk ditanam secara komersil. Di Malaysia terdapat sebanyak 35 varieti atau klon chempedak yang telah didaftarkan sejak dulu tetapi hanya 3 varieti sahaja yang telah disyorkan untuk ditanam secara komersil iaitu CH28, CH30 dan CH33. Kajian daripada maklumat statistik meninjukkan terdapat seluas 10,280 hektar tanaman chempedak di Malaysia pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 53,020 metrik tan. Kawasan utama tanaman cempedak di Negeri Sarawak, Sabah, Perak dan Johor. Penanaman chempedak kebanyakannya ditanam secara dusun bercampu dan amat sedikit yang menanam chempedak secara monokrop. Chempedak dtanam bersama pokok durian, rambutan, manggis, pisang dan sebagainya. Kebanyakan hasil chempedak adalah untuk pasaran domestik sahaja dan dimakan segar atau digoreng. Produk 'chempedak goreng' mendapat permintaan yang sangat baik yang dijual dipasar tani, pasar malam atau pun gerai tepi jalan. Artikel subuh rabu ini saya menulis satu varieti chempedak CH30 untuk bacaan dan rujukkan bersama berdasarkan maklumat dari Jabtan Pertanian.


Varieti Chempedak CH30 telah didaftarkan pada 1 Jun1978 dengan nama varieti sebagai 'Kuang 4' tetapi tidak ada nama orang yang mendaftarkannya. Varieti ini adalah berasal dari kebun di sekitar Sungai Buloh Selangor. Ramai petani dan pengemar chempedak lebih suka memanggil varieti ini sebagai CH30 berbanding dengan nama varieti yang didaftarkan sebagai Kuang 4. Pokok chempedak ini berbuah mengikut musim iaitu setahun sekali dari bulan Jun hingga September.  Apa yang istimewa mengenai chempedak ini pada umumnya adalah kerana isinya yang sangat tebal, manis dan mempunyai aroma yang sederhana kuat (Lihat foto sebelah). Saya berpeluang untuk menganali pokok ini dan merasa buahnya kerana ada di tanam di Stesyen Pertanian di Johor dan Serdang.


Bentuk buah Chempedak CH30 adalah bulat lonjong panjang dimana panjang buah sekitar 35 - 40 cm dengan lebar buah 12 - 14 cm dimana kadar panjang buah dengan lebar buah adalah pada nisbah 2.8:1. Kadang-kadang buah lurus dan ada yang membengkok (Rujuk foto). Panjang tangkai varieti ini adalah sederhana iaitu antara 8 - 9 cm (purata 8.5 cm panjang) dengan ukurlilit tangkai 1.2 - 1.5 cm. Pemerhatian saya mendapati yang permukaan tangkai buah adalah berbonjol dengan saiz sederhana dan mempunyai warna kulit hijau. Walau pun chempedak CH30 mempunyai kulit seakan berduri tetapi bentuk duri berputing dempak (kurang tajam).


Paling isyimewa varieti ini adalah isi buah cempedak CH30 yang berwarna kuning ke oren (Yellow to orange) dengan kod warna 19A. Iisinya adalah sederhana tebal dengan bilangan ulas diantara 50 - 55 biji dalam satu biji buah. Panjang jerami adalah kategori sederhana iaitu sekitaar 4 - 6 cm. Kadar nisbah isi kepada ulas adalah diantara 70 - 75% dimana iai adalah satu kadar yang sangat baik untuk verieti chempedak. Tahap kemanisan buah adalah Sederhana dengan bacaan kemanisan 27 - 28% pada buah yang masak ranum. Apabila di makan saya dapati macam ada sedikit rasa Tanin dan sedikit masam walau pun kemasaman macam tiada langsung. 


Boleh dikatakan setiap ulas mempunyai biji yang berbentuk bulat dengan ukurlilit 4 -6 cm atau pun dikatakan bersaiz sederhana. Biji CH30 ini didapati mempunyai lapisan kulit testa berwarna coklat oren gelap (Kod warna 175A) dan kulit agak sederhana tebal. Bijinya mudah dipisahkan dengan isi buah ketia makan dan sesuai untuk disemai bagi dijadikan pokok penanti. Belum ada maklumat mengenai biji chempedak ini untuk dijadikan makanan. Saya pernah cuba makan biji cempedak ini yang direbus dan rasanya lemak pahit sedikit. Pernah juga biji ini di potong-potong untuk dijadikan kerepik tetapi kurang diminati semasa ujisrasa. Kepada mereka yang hendak menanam chempedak saya syorkan tanam varieti Chempedak CH30 dengan membeli benih tulin yang telah disahkan.
Wasallam.     


CHEMPEDAK CH 30 ... ENAK RASANYA ....
BUAHNYA BESAR .... CANTIK WARNANYA...
RASANYA MANIS .... TEBAL ISINYA...
KALAU DI TANAM .... PUAS RASANYA....


By,
M Anem
RISTEC, Port Dickson,
Negeri Sembilan
Malaysia
(7 Syaaban 1433)

Tuesday, June 26, 2012

RAMBUTAN ANAK SEKOLAH

Reactions: 
RAMBUTAN (Nephelium lappaceum L) merupakan sejenis buah-buahan yang popular di tanam di Malaysia semenjak dulu dengan keluasan direkodkan pada 2010 seluas 24,946 hektar menghasilkan sebanyak 86,100 metrik tan yang bernilai RM 78 juta. Terdapat sebanyak 62 varieti rambutan tempatan yang telah didaftarkan kepada 'National Listing' Jabatan Pertanian sejak tahun 1930'an lagi. Diantara varieti rambutan yang popular adalah Varieti Anak Sekolah yang di daftarkan dengan nombor rujukan sebagai Klon R191 (Bahasa mudah ramai orang). Sebenarnya varieti Rambutan Anak Sekolah merupakan rambutan varieti 'Rong Rien' (dipercayai berasal dari Thailand) yang telah didaftarkan kepada Jabatan Pertanian pada 1 Jun 1981. Rambutan ini mendapat permintaan yang tinggi dipasaran berbanding dengan beberapa varieti rambutan yang lain kerana ciri-ciri yang ada pada varieti ini. Artikel subuh Selasa ini sambil menghadap ombak laut di Port Dickson saya menulis pencilian rambutan Anak Sekolah untuk dijadikan bahan rujukan bersadarkan pembacaan dari sumber Jabatan Pertanian Malaysia.


Varieti Rambutan Anak Sekolah (R191) mempunyai bentuk buah yang BULAT dengan panjang buah sederhana iaitu sekitar 4.1 - 4.4 cm dan lebar buah sekitar 3.7 - 3.8 cm iaitu dalam kategori sederhana besar. Kalau di buat perbandingan nisbah antara panjang buah dengan lebar buah adalah pada kadar 1.1:1. Varieti ini mempunyai warna hijau ketika muda tetapi akan bertukar kepada warna merah apabila cukup masak (Kod warna merah rambutan anak sekolah yang masak adalah R45A). Foto sebelah menunjukkan yang bulu atau rambut (spintern) rambutan ini adalah nipis sahaja iaitu sekitar 0.2 mm sahaja dengan ketebalan isi Sederhana. Purata panjang bulu rambutan varieti ini adalah sederhana ataau 1.2 cm dengan tekstur bulu yang 'Lembut'. Warna bulu pada buah matang adalah merah (Kod warna R45A).


Isi buah rambutan varieti ini adalah berwarna KRIM yang dengan isinya dikategorikan sebagai 'Tebal'. Kajian menunjukkan bahawa isi rambutan Anak Sekolah adalah bertekstur 'pejal' dengan rasa sederhana manis (kajian meunukkan tahap kemanisan buah ini mencecah 20% pada skala Brix). Boleh dikataakan buah ini tidak ada rasa kemasaman (pulp acidity) dan buah ini adah jenis berair (juicy). Rasa yang manis ini akan dapat di nikmati sebaik sahaja buah yang cukup masak di kopek dan dimasukkan kedalam mulut. Apa yang istimewa mengenai buah ini juga adalah cili 'LEKANG' dimana buah ini mudah dikopek dan dipisahkan bahagian isi dengan bahagian biji. Pengalaman penulis yang makan varieti ini mendapati memang amat suka akan citarasanya yang manis, lekang, enak dan murah harganya ketika musim puncak.


Mengenai biji rambutan Varieti Anak Sekolah, ianya mudah di asingkan dengan bahagian isi buah dan mempunyai bentuk OBOVATE (bahasa kita lonjong panjang) dengan warna testa krim kekuningan. Terdapat banyak saiz biji rambutan ini dimana purata sekitar 1.4 - 1.7 cm panjang dengan lebar sekitar 0.9 - 1.1 cm. Bijinya mudah di semai dalam tapak semaian untuk dijadikan pokok penanti bagi tujuan cantuman. Belum ada laporan rasmi menyatakan ada yang makan biji rambutan sebagai makanan penting tetapi memang ada potensi dengan kandungan zat permakanan yang baik. Ini disebabkan rambutan ini dimakan segar dan bijinya akan dibuang dimana-mana.


RAMBUTAN ANAK SEKOLAH ... SEDAPNYA...
BERWARNA MERAH .... AMAT MANISNYA...
TAHAN AGAK LAMA....TIDAK UBAH RASANYA....
HARGANYA MURAH .... TUNGGU MUSIMNYA...


By,
M Anem
Port Dickson
Negeri Sembilan
(5 Syaaban 1433H) 

Monday, June 25, 2012

JUAL TANAH PERTANIAN

Reactions: 
Adakah anda perlu JUAL TANAH? Tanah merupakan satu komponen penting dalam pembangunan pelbagai sektor termasuk sektor pertanian. Adakah anda semua tahu apakah dia maksud TANAH PERTANIAN?.  Dalam bahasa mudahnya, tanah pertanian adalah tanah yang subur dan sesuai diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman, aktiviti ternakan, ternakair dan pelbagai aktiviti lain yang tergolong dalam ertikata 'pertanian'. Aktiviti Pertanian memerlukan persekitaran khusus untuk tanaman dan ternakan hidup iaitu Tanah dan sumber-sumber lain seperti AIR, BAJA, CAHAYA MATAHARI, UTILITI, KEMUDAHAN PRASARANA, RUANG, BENIH, BAHAN TANAMAN dan SISTEM PENGURUSAN. Dalam kebanyakan buku yang saya baca, banyak yang menyatakan bahawa Tanah adalah sumber utama selain daripada INPUT PERTANIAN, TENAGA KERJA, MODAL dan PENGURUSAN. Saiz tanah adalah salah satu ciri penting dalam sektor tanaman dimana di negara-negara barat mereka mempunyai saiz ladang yang luas untuk penanaman terutamanya tanaman bijirin (Cereal) seperti jagung, gandum dan padi. Bagaimana pun di negara kita, keluasan purata saiz pemilikan tanah adalah dibawah 2 hektar bagi seorang petani terutama merek yang terlibat dengan pengeluaran tanaman makanan. Ramai diantara petani kita yang menjual tanah untuk mendapatkan duit bagi tujuan menunaikan fardu haji, pembiayaan anak sekolah, anak masuk universiti, dijadikan modal untuk aktiviti perniagaan lain. Ramai juga dulu mendapat tanah daripada pembahagian harta pusaka yang keluasannya semakin mengecil. Artikel kali ini saya dapat idea menulis dalam "Anim Agro Technology" satu perkara berkaitan isu menjual atau membeli aset tanah pertanian untuk bacaan umum.

Tanah Bermilik Syarat Pertanian dalam taakrif kebanyakan Kerajaan Negeri adalah tanah yang mempunyai 'Title Hakmilik' atau mudahnya ada geran tanah. Geran tanah ini mempunyai maklumat mengenai pemilik atau nama-nama pemilik (Foto sebelah)lokasi, keluasan, syarat tanah, peta lakar  dan juga didaftar di pejabat tanah. Status Pemilikan juga banyak jenis daripada status pemilikan Geran Hakmilik Kekal, Geran Mukim, Geran Besar, Geran Belanda (di Melaka), Pemilikan Pajakan (Tempoh masa pajakkan bergantung kepada PTD) dan sebagainya. Tahap pemilikan ini akan menentukan nilai tanah tersebut dari segi harganya. Umumnya, Geran Tanah yang ada status Hakmilik Kekal adalah paling mahal kerana tanah tersebut boleh dimiliki oleh semua bangsa berbanding dengan tanah yang mempunyai status hakmilik terhad seperti Rizeb Melayu (Malay Reserve) atau Tanah MCL (Malay Customary Land) atau NCR (Native Customary Reserve) di Sarawak. Kalau kita berminat hendak beli tanah maka penting kita tahu dan faham akan status pemilikan tanah ini. Pastikan tanah bermilik sahaja yang boleh bertukar hakmilik melalui jualan atau pembahagian harta pusaka. Ini kerana terdapat beberapa sendikit yang cuba menjual 'Tanah Kerajaan' dengan mempalsukan geran tanah tersebut.

Tanah yang ada di Kampong Tradisional lazimnya mempunyai syarat tanah untuk pertanian. Syarat Penggunaan Tanah merupakan satu kenyataan yang mana kadang-kadang ada di nyatakan dengan jelas didalam geran tanah. Ada syarat yang ditulis secara umum seperti 'Tanah Pertanian' dan ada yang ditulis dengan khusus seperti tanah hendaklah di tanam dengan 'Kelapa Sawit', 'Dusun Buah-buahan', Getah, Koko, Padi dan sebagainya. Kadar bayaran cukai tanah berbeza-beza mengikut status jenis penggunaan tanah tersebut. Ada sesetengah negeri yang menyatakan Cukai Taliair untuk tanah sawah dan perlu dibayar bersama-sama dengan cukai tahunan tanah tersebut. Syarat sekatan penggunaan tanah boleh di tukar kepada tanaman lain dengan membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan siasatan akan dibuat oleh Jabatan Pertanian Daerah berkenaan sebelum diluluskan oleh kerajaan negeri.

Bagaimana nilai harga tanah pertanian di tentukan? Ini merupakan satu perkara yang SUBJEKTIF kerana penentuan nilaian tanah bergantung kepada banyak faktor. Nilai tanah sama ada Tinggi (MAHAL), Sederhana atau MURAH bergantung faktur Status Tanah, Lokasi Tanah, Siapa Pembelinya, Siapa Penjualnya, Kesuburan Tanah, Kemudahan Infrastruktur, Apa Yang Ada diatas tanah, Lokasi serta kedudukan tanah tersebut. Kawasan yang selalunya berhampiran dengan bandar besar dimana proses pembangunan pesat mungkin jauh lebih mahal berbanding dengan tanah pertanian yang terletak di Ulu Hutan yang tidak mempunyai jalan atau pun akses. Harga tanah sering di jadikan kayu pengukur oleh para 'speculators' jika berlaku proses jualbeli. Bagaimana pun kita boleh merujuk kepada Pejabat Penilaian Harta Kerajaan untuk membuat sebarang perbandingan nilaian tanah sama ada dinyatakan oleh Penjual atau Pembeli. Cara ini akan mengelakkan kes-kes penipuan akibat kekurangan maklumat.  Pastikan kita melihat dokumen yang asal bukan fotokopi untuk mengelakkan sebarang penipuan. Bersambung . . . . 

JUAL TANAH ... BANYAK PROSESNYA...
SEMAKKAN YANG TELITI.. ELAK TIPUNYA....
BANYAK DAPAT WANG.. LABURKANNYA...
JANGAN BOROS... ITU 'LEBURKANNYA'...

By,
M Anem
RISTEC Training Center,
Port Dickson,
Negeri Sembilan
( 4 Syaaban 1433H)

Sunday, June 24, 2012

DURIAN D197 VS D168

Reactions: 
DURIAN (Durio zibethinus) merupakan raja segala buah-buahan daripada banyak jenis buah-buahan tropika yang popular. Diantara lebih 200 varieti durian yang telah didaftarkan di Malaysia dengan hanya kurang dari 10 varieti yang disyorkan untuk ditanam secara komersil dan menerima permintaan tinggi dikalangan petani dan penggemar buah durian. Diantara dua varieti durian paling popular masa kini adalah VARIETI DURIAN RAJA KUNYIT atau Nama lain MOUS'NG KING (D197) dan juga VARIETI HAJAH HASMAH atau IOI (D168). Kedua-dua varieti ini mempunyai ciri baik yang menjadi kesukaan ramai peminat durian dan kini mampu untuk di ekspot keluar negara sejauh Negara China. Kawasan utama pengeluaran Durian adalah Negeri Johor, Perak dan Pahang seperti dari Daerah Ledang, Muar, Raub, Bentong, Batu Kurau dan sebagainya. Artikel malam Insin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sedikit maklumat mengenai buah ini berserta foto terkini yang saya rujuk kepada Bulletin SPBT terbitan Jabatan Pertanian Malaysia.

VARIETI RAJA KUNYIT (D197)


Bentuk Buah: Ovate atau Bujur Telur





Duri Buah : Pendek, Lebar dan kurang tajam dengan warna pangkal duri perang kekuningan.

Isi Buah : Warna sangat Kuning (seperti warna isi kunyit), isi yang sangat tebal dengan rasa yang agak pahit. Varieti ini sering kita jumpa kesep (tiada biji)
    Tangkai Buah : Tapak sekeliling hujung tangkai 
     adalah luas
Hujung Buah : Tidak lekuk kedalam dan juga sering tidak berduri di hujungnya (Lihat foto)




VARIETI HAJAH HASMAH (D168)

  Bentuk Buah : Bulat





 

Isi Buah : Warna kuning oren dengan isi sederhana tebal, tidak ada rasa pahit dan banyak biji yang kesep.




Tangkai buah : Tapak dihujung tangkai sekeliling adalah kecil





Hujung Buah :  Lekuk kedalam dan buah mudah di kopek. Susunan duri adalah halus pendek pada tapak hujung buah.




MAKAN DURIAN.... MACAM SEDAP RASANYA....
RAJA KUNYIT D197 ... MOUS'ANG KING NAMANYA...
HAJAH HASMAH .... D168 DAN IOI MUAR ASALNYA....
KENAL CIRI.... PASTI PENTING GUNANYA...

By,
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia
(3 Syaaban 1433H)

Saturday, June 23, 2012

PENYEBARAN BENIH TUMBUHAN

Reactions: 
BENIH TUMBUH-TUMBUHAN disebarkan melalui pelbagai kaedah semenjak dulukala dalam sistem ekologi. Terdapat berbagai jenis tumbuh-tumbuhan dari Kumpulan Plantae yang membiak melalui penghasilan BIJIBENIH setelah berlaku proses persenyawaan (Fertilization) bunga betina dan bunga jantan pada tumbuhan jenis DIOCEOUS. Biji benih yang dihasilkan akan terbentuk dengan struktur ovul yang mengandungi Angiosperm dan Gymnosperm dan kulit testa yang melindunginya. Komponen biji benih terdiri daripada 3 iaitu Bahagian EMBRYO (Cotyledon, Hypocoxtyl dan Radicle) , Bahagian Nutrien membekalkan Tenaga dan Bahagian Kulit Biji (TESTA).  Embryo biji benih mengandungi cotyledan dari jenis MONOCOTYLEDON dan DICOTYLEDON bergantung kepada spesis tumbuhan. Benih ini ada yang terus dapat dikenalpasti seperi Bijirin tetapi ada juga yang diselaputi dengan isi buah seperti kebanyakan jenis biji dalam buah-buahan. Penyebaran Biji Benih merupakan satu proses yang berterusan untuk mempastikan akan berlaku pembiakan tumbuh-tumbuhan.


Penyebaran Biji Benih adalah terhad berbanding dengan proses pembiakan haiwan yang boleh berpindah-randah berbanding dengan kedudukan pokok induk adalah statik dan tidak mampu bergerak.  Pembiakan benih tumbuhan memerlukan beberapa kaedah khusus dan membentuk ciri khusus agar boleh di sebarkan. Biji benih ada yang terbit dalam bentuk yang kecil, ringan, dalam buah yang dimakan, mempunyai sabut, mempu meletup, mempunyai kepak dan sebagainya. Kaedah penyebaran boleh berlaku secara Mekanikal, Aliran Air, Terapong, Diterbangkan angin dan di bawa oleh manusia dan haiwan. Kali ini saya akan menulis kaedah penyebaran biji benih melalui ANGIN, HAIWAN atau MANUSIA dan juga melaui AIR. Kesemua benih yang disebarkan melalui ketiga-tiga cara berlaku secara semulajadi.


Biji benih yang disebarkan oleh angin adalah benih jenis ANEMOCHORY yang mempunyai ciri khusus seperti biji yang sangat ringan, mempunyai kepak, sangat halus, kering dan juga terdedah dikawasan brangin. Benih Lalang (Imperata cylindrica) berwarna putih yang ringan serta mudah diterbangkan angin apabila cukup matang. Kemampuan jarak benih jenis ini disebarkan banyak bergantung kepada kadar kelajuan tiupan angin dan halangan-halangan semasa biji benih tersebut diterbangkan. Apabila biji benih lalang jatuh dikawasan baru maka ianya akan jatuh ketanah dan akan bercambah apabila menerima keadaan persekitaran yang sesuai. Bagi tumbuhan jenis Orkid pula benihnya adalah sangat halus dalam bentuk SPORA yang boleh diterbangkan angin.  Paling unik tumbuhan yang mempunyai biji benih yang berkepak. Pokok Dandelion dan Maple contohnya mempunyai struktur seperti kepak yang akan terbang apabila ditiup angin. Terdapat beberapa jenis pokok hutan yang mempunyai 'Spiral Wing' dimana apabila jatuh ketanah akan berpusing sehingga beberapa jauh.


Biji benih yang disebarkan oleh agen AIR (benih HYDROCHORY) lazimnya dari tumbuhan yang hidup ditepi kawasan berair seperti di tepi sungai, tepi tasek dan di kawasan pantai. Pokok Kelapa (Cocos nucifera) diantara jenis tumbuhan yang sangat ketara disebarkan oleh air. Buah Kelapa mempunyai lapisan selaput yang dipanggil SABUT KELAPA yang menyebabkan buah kelapa terapong untuk jangkamasa lama diatas permukaan air. Sabut kelapa mempunyai lapisan kulit luar yang kuat dan kalis air. Biji kelapa juga mempunyai ketahanan dan mampu hidup walau pun telah terapong beberapa lama diatas air. Biji Benih Kelapa bagaimana pun kini banyak dibiakan oleh manusia melalui projek penanaman kelapa secara komersil dan menggunakan benih kelapa hybrid (Seperti Kelapa MATAG) dan sebagainya. Penyebaran benih tumbuhan melalui air menghadapi masaalah cara pembiakan yang agak lambat berbanding dengan 2 kaedah lain.


HAIWAN dan MANUSIA (Jenis ZOOCHORY) merupakan agen penyebaran biji benih yang paling signifikan semenjak dulukala. Penyebaran benih tanaman bijirin merupakan satu industri penting untuk membekalkan bahan mentah untuk makanan ruji seperti Padi (Oryza sativa) , Gandum (Triticum spp), Jagung (Zea mays) , Millet (Pennisatum spp) dan sebagainya dibiakan oleh manusia. Penggunaan banyak biji bijirin yang tulis dan bernas di tanam setiap musim secara berterusan semenjak dulu. Terdapat jenis benih yang mempunyai struktur Cangkuk seperti Rumput Kemuncup dan sebagainya yang akan melakat pada bulu haiwan dan melekat. Biji jenis ini melekat dengan kuat pada bulu binatang, pakaian manusia dan juga kenderaan yang menyentuhnya dan sisebarkan kelokasi baru. Paling banyak adalah bijibenih yang mempunyai isi buah (Fruit Flesh) yang mana dijadikan makanan oleh haiwan dan manusia dan bijinya di buang atau digunakan sebagai bahan tanaman. Paling mudah dijadikan contoh seperti Buah Durian (Durio zibethinus), Rambutan (Nephellium lappaceum), Manggis (Garcinia mangoestana) dan banyak lagi.  Semuga artikel ini memberikan info tambahan kepada pembaca ANIM AGRO TECHNOLOGY. Wasallam.


BENIH DISEBARKAN.... BERBAGAI CARA...
DITERBANGKAN ANGIN... RINGAN SAHAJA....
MEMPUNYAI SABUT .. AIR PENYEBARNYA...
BUAH DIMAKAN ... DIBUANG BIJINYA....


By,
M Anem
Puchong Lestari, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(3 Syaaban 1433)

Friday, June 22, 2012

VARIETI PADI DI MALAYSIA 3

Reactions: 
PADI (Oryza sativa) merupakan tanaman penting di banyak negara Asia sebagai tanaman strategik yang mendapat banyak bantuan subsidi. Di Malaysia terdapat sebanyak 35 varietii padi yang telah diistiharkan dan kini telah didaftarkan didalam National Varieti Listing oleh Jabatan Pertanian. Mungkin ada diantara kita dari kumpulan generasi baru (Generasi Y) yang tidak pernah dengar atau tidak tahu langsung mengenai varieti padi yang generasi saya (Generasi Baby Boomer's) tahu.  Malam ini sambil membaca dan menonton TV ASTRO rancangan 'Kilauan Emas 2' saya menyambung menyenaraikan 10 lagi varieti padi yang telah diistiharkan.  Mmemang sesuai sekali saya kaitkan antara penyanyi dalam program tersebut yang sebaya dengan nama-nama varieti padi yang telah diistiharkan. Agaknya suara mereka sedap pun kerana makan banyak varieti lama yang popular seperti Varieti Kadaria, MR 84 dan Malinja serta Padi Ria.


Nama varieti seterusnya adalah 26. Varieti 127 yang diidtiharkan pada tahun 1991 mempunyai tempoh masa matang 120 -128 hari. Varieti seterusnya adalah 27. Varieti MR159 yang telah diistiharkan pada tahun 1995. Masa iatu saya bertugas di Sarawak selama 2 tahun lebih. Varietii ini walau pun rintang dengan Penyakit Karah dan Hawar Bakteria tetapi mempunyai potensi hasil yang rendah sahaja iaitu sekitar 3.0 - 5.4 mt/hektar sahaja. Padi 28. Varieti MR 167 yang distiharkan pada tahun 1995 juga saya kurang kenal kerana kurang popular di banyak tempat. Varieti seterusnya mempunyai potensi hasil yang tinggi sehingga 9.2 mt/ha adalah 29.Varieti MR 185 yang diistiharkan pada tahun 1997. Kerajaan seterusnya mengistiharkan varieti padu baru untuk menentukan bekalan makanan asasi beras dapat di kekalkan walau pun terpaksa memberikan subsidi yang amat tinggi setiap tahun. Pada tahun 1999 telah di istiharkan 30. Varieti MR 211 yang memang agak popular ditanam oleh pesawah padi. Kelebihan varieti ini adalah kerana ianya mempunyai tempoh matang cepat iaitu 90 - 100 hari sahaja dengan potensi hasil sebanyak 6.0 - 9.6 mt sehektar (antara varieti padi yang terbukti mempunyai potensi yang paling tinggi hasilnya di Malaysia!).


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini beberapa varieti padi masih ditanam sehingga artikel ini ditulis. Pada tahun 1999 kerajaan buat pertama kalinya mengistihar varieti Beras Wangi iaitu 31. Varieti MRQ 50 yang matang dalam tempoh 105 - 111 hari dan potensi hasil 4.0 - 5.0 mt/hektar. Bagaimana pun dalam pemerhatian saya,  varieti ini agak kurang berjaya di perluaskan penanamannya. Padi 32. Varieti MR 219 merupakan varieti yang paling popular ditanam di Malaysia masa kini yang telah diistiharkan pada tahun 2001 (Itu dah kira-kira 12 tahun dulu!).  Kehebatan varieti ini kerana ianya kemampuannya mengeluarkan sehingga 10.7 metrik tan sehektar (Paling Tinggi sehingga kini!). Ketinggian pokok cuma 76 - 78 cm sahaja dengan tempoh kematangan hanya 105 - 111 hari sahaja.  Kejayaan seterusnya adalah dengan pengistiharan 33. Varieti MR220 yang diistiharkan pada tahun 2003 yang sangat popular ditanam pada masa kini. Artikel mengenai varieti ini sila baca (Klik disini). Kajian saya mendapati varieti padi seterusnya adalah 34.  Varieti MRQ 74 iaitu beras wangi yang diistiharkan pada tahun 2005 walau pun didapati kurang mendapat sambutan. Menerima kedudukan terakhir dalam National Listing adalah 35. Varieti MR 232 yang didaftarkan pada tahun 2006 oleh kerajaan.


Daripada tahun 2006 hingga kini belum ada varieti padi baru yang diistikarkan selain daripada Varieti MR220CL yang merupakan improvement dari varieti MR 220. Sudah hampir 6 tahun tidak diistiharkan varieti padi baru untuk di gunakan bagi menjamin produktiviti padi yang terus ditingkatkan. Bukan mudah untuk membuat R&D dalam menghasilkan varieti padi. Banyak kos, kepakaran teknikal, masa, LVT dan sebagainya bagi menghasilkan varieti baru. Bilangan Saintis BiakBaka dalam Agensi Kerajaan dan Pihak Swasta perlu lebih aktif dalam membuat penyelidikan biakbaka terutamanya untuk padi. Sistem penyediaan benih sah padi oleh kerajaan bagaimana pun berjaya membantu ketulinan varieti benih padi yang ditanam oleh petani.  Rakyat Malaysia makan sebanyak 79.6 kg seorang setahun beras (Penggunaan perkapita). Kita mengimpot sebanyak 30% beras untuk keperluan dalam negara. Semuga artikel mengenai varieti padi di Malaysia yang saya tulis dalam 3 sisi ini memberikan maklumat berguna kepada pembaca Anim Agro Technology!


ADA 35 VARIETI .... DIISTIHARKAN ....
KINI 3 VARIETI... BANYAK DI TANAM...
SUDAH ADAKAH ... VARIETI LAIN...
MENANTI SABAR .... ANNOUNCEMENT...


By,
M Anem
Presint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(2 Syaaban 1433H)

Thursday, June 21, 2012

VARIETI PADI DI MALAYSIA 2

Reactions: 
Di Malaysia terdapat 35 varieti padi yang telah diistiharkan semenjak tahun 1964 untuk ditanam oleh pesawah-pesawah. Kebanyakan varieti tersbut diistihar untuk ditanam secara komersil untuk membekalkan beras iaitu makanan asasi penduduk dinegara kita. Kini semua 35 varieti tersebut telah pun didaftarkan didalam SENARAI DAFTAR VARIETI TANAMAN KEBANGSAAN (National Listing) yang sekarang dibangunkan dan di kawalselia oleh Jabatan Pertanian Malaysia selaku pendaftar varieti tanaman rasmi di Malaysia melalui website http: pvpbkkt@doa.gov.my yang boleh dilawati. Mungkin tidak ramai diantara kita yang tahu akan verirti-varieti padi yang telah didaftarkan dan saya akan berkongsi dengan pembaca untuk berkongsi pengetahuan. Semasa tinggal di Bandar Baru UDA, Johor Bahru dulu memang nama-nama varieti padi digunakan untuk jalan-jalan di kawasan perumahan tersebut. Saya pun tinggal menyewa rumah di Jalan Padi Ria 17 iaitu bersebelahan dengan Jalan Padi Mahsuri dan Padi Malinja.


Artikel ini akan menerangkan sambungan varieti padi yang telah diistiharkan dari bilangan 16 hingga 25 dalam 'National Listing' tersebut. Varieti padi seterusnya adalah 16. Varieti Manik (MR52) yang diistiharkan pada 1984 yang mengambil dari nama Kawasan TanamanPadi Sungai Manik. 17. Varieti Muda (MR71) pula diistiharkan pada tahun 1984 yang khusus untuk penanaman di kawasan MADA dan utara Semenanjung Malaysia. Seterusnya adalah 18. Varieti Seberang (MR77) yang diistiharkan pada tahun 1984 yang sesuai untuk kawasan Jelapang Padi di Kawasan Seberang Perak, Perak. Padi 19. Varieti  Makmur (MR 73) telah pun diistiharkan pada tahun 1985 mempunyai tempoh matang antara 130-145 hari. Paling popular dalam ingatan saya dengan masa yang agak lama adalah padi 20. Varieti MR 84 (Tiada nama khas) yang telah diistiharkan pada tahun 1986. Padi varieti ini telah terbukti rintang terhadap penyakit karah dan memerlukan masa selama 124 - 137 hari sahaja untuk dituai. Pokoknya rendah dengan 97 - 105 cm sahaja berbanding dengan varieti lain dan tidak mudah rebah. Potensi hasil varieti MR84 adalah antara 4.0 - 6.0 mt sehektar.


Walau pun nombor daftarnya MR 81 tetapi varieti 21. MR81 ini telah diistiharkan pada tahun 1988 (Lewat 2 tahun dari MR 84). Varieti ini cuma popular dikawasan khas sahaja tidak seperti varieti MR 84 yang ditanam hampir siseluruh Semenanjung Malaysia. Seterusnya adalah varieti yang saya fikir kurang popular iaitu 22. Varieti MR103 (juga tiada nama khas) yang diistiharkan pada tahun 1990. Padi 23. Varieti MR 106 juga saya kurang kenal kerana kurang di tanam dikawasan luar Jelapang Padi seperti di Melaka dan Johor dulu yang diistiharkan  pada tahun 1990. Seterusnya pada 1990 kerajaan telah mengistiharkan satu varieti pulut iaitu 24. Varieti Pulut Hitam 9 (PH9) yang agak popular. Saya dapati varieti ini masih ada di tanam di Melaka, Kelantan dan Kedah untuk kegunaan domestik. Varieti ini mempunyai ketinggian cuma 88 - 102 cm dengan masa kematangan selama 132 - 136 hari sahaja dan potensi hasil 3.8 - 4.7 mt sehektar. Varieti padi dalam senarai National Listing yang seterusnya adalah  25. Varieti MR 123 yang diistiharkan pada tahun 1991 tetapi saya dapati ianya kurang popular si Selatan Semenanjung Malaysia. Kini kebanyakan varieti tersebut  sudah tidak ditanam lagi......


BANYAK VARIETI .... MEMANG ADA BAIKNYA....
VARIETI DITUKAR .... TENTU ADA SEBABNYA...
LEPAS 5 TAHUN.... PERLU ADA GANTINYA....
SERANGAN PEROSAK .... KURANG KETAHANNYA....


By,
M Anem
Sunway Putra Hotel,
Kuala Lumpur,
Malaysia

(1 Syaaban 1433H)

Wednesday, June 20, 2012

VARIETI PADI DI MALAYSIA 1

Reactions: 
MALAYSIA mempunyai banyak verieti padi yang di tanam semenjak dahulu kala oleh datok dan moyang kita. Daripada maklumat yang saya cari dari Jabatan Pertanian Malaysia pada masa ini terdapat sebanyak 35 varieti padi yang telah didaftarkan kepada 'National Listing' yang boleh dijadikan bahan rujukan berguna kepada kita. Malaysia menanam padi seluas 673,500 hektar pada tahun 2010 dengan melibatkan seramai 172,000 pesawah dan menghasilkan sebanyak 2.4 juta metrik tan. Keluasan ini pada dasarnya mampu untuk membekalkan makanan dalam negara sebanyak 70% kadar kecukupan (Self Sufficient Level - SSL) dalam negara. Pihak penyelidik dan saintis tempatan dengan kerjasama antarabangsa telah menghasilkan banyak varieti padi dalam negara semenjak dulu secara berperingkat-peringkat. Dulu banyak varieti tempatan yang ditanam selama 6 bulan untuk satu musim tetapi varieti baru terkini cuma perlukan sekitar 110 hari sahaja. Artikel malam ini saya menulis mengenai beberapa varieti padi yang saya rujuk dari 'National Listing' atau ringkasnya 'NL'.


10 Varieti paling awal dalam senarai NL adalah 1. Varieti Malinja yang diistihar pada tahun 1964 diikuti dengan 2. Varieti Mahsuri (1965), 3. Varieti Ria (1966), 4. Varieti Bahagia (1968), 5. Varieti Murni (1972), 6. Varieti Masria-P (1972), 7. Varieti Jaya (1973) , 8. Varieti Sri Malaysia 1 (1974)  , 9. Varieti Sri Malaysia 2 (1974) dan 10. Varieti Pulut Malaysia 1 (1974). Kebanyakan varieti diatas sudah tidak ditanam secara komersil lagi oleh pesawah dan hanya digunakan untuk tujuan pembiakbakaan sahaja. Bank Benih mungkin masih menyimpan germplasm dan benih vaieti tersebut dilokasi yang selamat. Saya dapati hanya varieti Pulut Malaysia 1 yang masih ditanam di sekitar Bukit Rambai, Melaka oleh beberapa petani secara kecil-kecilan (itu pun perlukan pengesahan daripada pihak tertentu mengenai varieti ini - sila baca artikel berkaitan - Klik disini).


Varieti Padi dari 11-20 yang telah didaftarkan ddalam NL adalah jenis padi yang popular dalam hujung tahun 1970'an hingga awal tahun 1980'an. Varieti tersebut adalah 11. Varieti Setanjung dengan kod daftar MR1 yang telah diistiharkan pada tahun 1979. Seterusnya adalah 12. Varieti Sekencang (MR7) diistiharkan pada 1979, 13. Varieti Sekembang (MR10) diistiharkan pada 1979, 14. Varieti Kadaria (MR27) diistiharkan pada tahun 1981. Padi varieti Kadaria (MR27) ini merupakan varieti yang sangat popular semasa saya mula bertugas yang ditanam dengan meluas diseluruh negara selama beberapa tahun. Saya mula bekerja dalam sektor pertanian pada Jun 1982 dan padi ini merupakan varieti yang saya terlibat terus dalam pengeluaran benih padi sah melalui Ladang Benih Padi Sah di Melaka dahulu (Kira-kira pun dah hampir 30 tahun dulu!). Kini saya tidak dengar lagi varieti Kadaria atau MR27 ditanam secara komersil. Padi seterusnya adalah 15. Varieti Pulut Siding (MR 47) yang diistiharkan pada tahun 1981. Pulut ini masih ada ditanam dibeberapa lokasi secara kecil-kecilan untuk kegunaan domestik yang memerlukan masa 135 - 143 hari untuk dituai.
BERSAMBUNG!


VARIETI PADI .... BANYAK JUMLAHNYA....
DULU POPULAR ... DITANAM LUASNYA...
KINI TIDAK ADA .... KENAPA AGAKNYA....
TANYA PAKAR .... ADA JAWAPANNYA...


By,
M Anem
Bilik Enggang, Aras 9,
Sunway Putra Hotel,
100, Jalan Putra,
Kuala Lumpur,
Malaysia 
(30 Rejab 1433)
Hadir APEC Food Security Workshop

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA