Friday, November 30, 2012

ALAT PEMOTONG CILI KERING

ALAT PEMOTONG CILI KERING (Dried Chilli Cutter) merupakan satu inovasi yang di calonkan untuk pertandingan inovasi Jabatan Pertanian 2012. Alat ini dicipta oleh satu kumpulan dari Bentong, Pahang melibatkan 6 orang termasuk seorang usahawan membuat sos cili iaitu En Suhaimi bin Rosmal yang menamakan kumpulannya sebagai 'Capsicum'. Mereka menamakan alat tersebut sebagai PC1M (Pemotong Cili 1 Malaysia). Aktiviti memotong cili kering untuk diproses dijadikan pelbagai kegunaan sering dijalankan dengan cara  manual seperti memotong dengan menggunakan pisau atau mengguntingnya. Kaedah konvensional ini memang perlukan masa lama untuk memotong dengan kuantiti banyak dan selalunya lambat serta tidak menepati masa.  Selain itu cili yang dipotong terhad pengeluarannya, kos tinggi dan perlukan ramai tenaga pekerja. Artikel malam ini saya menulis satu hasil inovasi dalam 'Anim Agro Technology' mengenai alat PC1M ini untuk dikongsi maklumat dengan anda semua.


Alat PC1M ini mempunyai komponen yang diperbuat daripada bahan metal dan kukuh. Terdapat bahagian 'feeder' untuk memasukkan cili kering kedalam ruangan pemotong. Pisau pemotong ini diperbuat daripada mata mesin rumput yang diubahsuai dan di pasang dengan menggunakan belting yang disambung pada motor eletrik 1 hp terpakai. Keseluruhan bahagian pemotongan tersebut ditutup kemas dengan dinding dari bahan metal bagi mengelakkan cili yang di potong tidak akan berterabur. Dibahagian hujung mesin telah di pasang dinding dimana cili akan di keluarkan terus kedalam bekas plastik jernih. Anggaran kos membuat alat ini adalah sebanyak RM 800.00 sahaja dan amat praktikal serta cekap. Beberapa penambahbaikan seperti merapatkan jarak pisau pemotong dan memasang roda untuk mudah dialihkan juga telah di laksanakan.


Cili kering yang hendak di potong akan dimasukkan melalui mulut dan pasangkan rotor eletrik. Tolak masuk cili kering dan mata pisau kan memotong cili kering dalam masa singkat. Perlu diulang lagi beberapa kali proses memotong untuk mendapatkan saiz paling halus untuk dijadikan sos cili seterusnya. Pemerhatian oleh kumpulan 'Capsicum' menyatakan, mesin ini mampu memproses 5 kg cili kering dalam masa 2 minit 45 saat sahaja dengan kos operasi terlibat cuma RM 0.50 sahaja ( 1 orang bekerja). Kajian kumpulan sebelum itu dengan cara manual memotong cili sebanyak 5 kg perlukan masa memotong cili selama 1 jam 35 minit dengan kos operasi RM 14.20 sen (2 orang bekerja). Mesin ini telah menjimatkan masa memotong cili sebanyak 1 jam 22 minit atau berlaku penjimatan kos opeasi sebanyak RM 13.70. Selain itu MATA kita tidak akan 'berair' akibat kesan 'capsaisin' apabila memotong secara manual dengan masa lama. Kesimpulannya alat ini didapati memang effisien, menjimatkan masa, cepat dan praktikan untuk memotong cili dalam kuantiti yang banyak. Wasallam.


Kaedah manual potong cili dengan gunting.
MEMOTONG CILI... PEDIH MATANYA...
ALAT DICIPTA.... MAMPU ELAKANNYA...
KERJA CEPAT ... MENINGKAT KUALITINYA...
MAKLUMAT LANJUT ... TERUSKAN BERTANYA..

By,
M Anem
Bentong, Pahang,
Malaysia

(14 Muharram 1434H - 14/11/12) 

Thursday, November 29, 2012

MAHA 2012


MAHA INTERNATIONAL 2012 diadakan di MAEPS, Serdang , Selangor  daripada 23 November 2012 hingga 2 Disember 2012. Banyak gerai pameran dan jualan diadakan untuk MAHA kali ini melibatkan 25 negara luar dan beratus-ratus gerai pameran serta jualan. Banyak tarikan yang boleh kita lihat di MAHA kali ini seperti Taman Florikultur, Taman Nenas, Pertandingan Hasil-hasil Pertanian, Promosi Makanan Malaysia dan Jualan pelbagai produk hasil pertanian. Semasa pelancaran MAHA 2012 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, dijangkakan seramai 3 juta orang disasarkan melawat MAHA 2012 dengan melibatkan pelbagai gulongan. Dewan A juga merupakan dewan paling besar mempunyai gerai pameran yang berhawa dingin. Pelbagai Jabatan, Agensi, Universiti, Bank, Kementerian dan sebagainya mempamerkan teknologi dan  promosi. Artikel petang ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai MAHA 2012 untuk bacaan dan rujukan anda semua.


Pintu masuk ke MAEPS ini ada dua iaitu melalui Pintu Utama dari Hospital Serdang ke MARDI atau pintu kedua di tepi Lebuhraya SKVE Puching ke Kajang. Walau pun berlaku kesesakan teruk pada waktu puncak, banyak kawasan tempat letak kereta disediakan. Pengunjung boleh menaiki tramp pengangkutan awam yang sentiasa berpusing dikawasan pameran. Kawasan pameran memang luang sekali dan merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dengan pameran dalam bangunan dan diluar bangunan malahan dikawasan kebun serta kawasan kolam. Pengunjung kena pastikan kemana mereka hendak tuju atau melawat bergantung kepada minat dan juga masa. Bagi pengunjung antarabangsa, mereka lazimnya mempunyai jurupandu atau telah disusun atur oleh pihat pengurusan. Dewan yang disertai oleh negara luar juga sering menerima pengunjung yang ramai selain daripada gerai jualan produk-produk pertanian yang di kelolakan oleh FAMA dan pihak lain.


MAHA International 2012/HPPNK kali ini mungkin agak terganggu sedikit kerana boleh dikatakan setiap hari sering hujan. Ini agak menyukarkan pergerakan para pengunjung dari satu lokasi kesatu lokasi yang lain. Apa lagi kerana tempat menunggu kenderaan awam sesak dan trekter yang bergerak juga agak perlahan disamping penumpang yang penoh sesak pada hari Sabtu dan Ahad. Hari-hari biasa bagaimana pun amat lapang dan sangat selesa. Walau pun masuk ke pameran ini percuma, terdapat beberapa bayaran dikenakan seperti bayaran untuyk meletak kereta dan menaiki tramp (ada yang percuma dan ada yang kena bayar - kena tanya dan baca stiker dibelakang trailer). Kalau hendak membeli benda berat juga kena fikir dulu sama ada mampukan anda membawa ke kereta kerana kedudukannya juga agak jauh. Sebaiknya rancang dulu jika hendak membeli barang berat seperti anak pokok, buah-buahan dan produk IAT dengan membawa tray sendiri atau beg galas.
SELAMAT MELAWAT MAHA INTERNATIONAL 2012!


Pelancaran padi baru MR263 di MAHA 2012
oleh Perdana Menteri Malaysia.
MAHA KALI INI ..... 10 HARU LAMANYA....
3 JUTA ORANG ... JUMLAH SASARANNYA....
KALAU HUJAN SAHAJA ... APA GAYANYA....
PAMERAN TAMAN ... 2 DEC BERIKUTNYA...

By,
M Anem
Gerai Pameran Hasil2 Pertanian
Hall A, MAEPS,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(12 Muharam 1434H)







Wednesday, November 28, 2012

ALAT PENGIKAT BENIH NENAS

ALAT PENGIKAT BENIH NENAS merupakan sejenis alat khas yang digunakan untuk mengikat sulur benih Nenas (Ananas cosmosus). Alat ini merupakan satu inovasi yang telah dicipta oleh seorang penanam nenas daripada Pulau Pinang yang sangat praktikal, murah, tahan lasak dan banyak menjimatkan masa. Encik Roslee bin Ahmad dari Kampong Selamat, Tasek Gelugor, SPU, Pulau Pinang  telah menanam nenas varieti Morris selama lebih 5 tahun dan kini berjaya mencipta alat ini untuk kegunaannya sendiri. Benih dari Sulur Nenas (Ground suckers) merupakan satu daripada punca benih selain daripada Bahagian Sulur Udara (Aerial suckers) dan juga bahagian Jambul (Crown). Anakbenih sulur nenas diperlukan dalam kuantiti yang banyak iaitu antara 18,000 - 20,000 seekar. Benih Sulur merupakan paling banyak digunakan sebagai bahan tanaman dan ianya perlu diikat untuk dibawa kekawasan penanaman baru. Artikel malam ini saya akan menulis sejenis alat pengikat sulur nenas dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi maklumat bersama  dan dijadikan satu lagi inovasi dalam pertanian.


Benih nenas lazimnya disediakan dalam bentuk anak sulur (suckers) yang di perolehi daripada pokok induk nenas dimana ia perlu dikumpulkan sebelum dihantar kekawasan baru untuk ditanam. Lazimnya sulur ini akan di kumpulkan kemudian disusun dan diikat dengan dawai dalam 30 sulur satu ikatan. Pemerhatian yang saya buat mendapati, kerja mengikat dengan kaedah konvensional ini memerlukan masa selama 1.47 minit untuk 30 sulur dengan cara menyusun kemudian aktiviti mengikat menggunakan dawai (Sila lihat foto). Kerja menyusun anak sulur diatas dawai memang agak sukar kalau tidak biasa, kemudian mengikat dengan dawai, mengetatkan dan seterusnya memotong hujong daun sulur dengan parang. Lazimnya bagi mengikat 9,000 sulur (300 ikat) perlukan masa selama 7 jam 35 minit dan memang amat meletihkan pengusaha. Kalau hendak membekalkan sebanyak 20,000 sulur seekar, hampir 15 jam diperlukan untuk kerja menyediakan ikatan anak benih. Ini jika dijalankan oleh mereka yang mahir dalam kerja mengikat sulur. 


Alat Pengikat Sulur Nenas (APSN) ini juga merupakan inovasi baru yang dicipta beliau dimana ia amat mudah, murah dan sangat praktikal. Alat ini mempunyai komponen besi yang dibentuk seperti 'bangku' dengan alat pemadat besi (Sila lihat foto sebelah). Harga membuatnya hanya RM 60.00 satu unit seberat 1.5 kg sahaja. Cara untuk kita menggunakannya juga amat mudah dengan menyusun sulur benih nenas diatas ruangan khas sebanyak 30 unit dan kemudian di tekan besi pemadat kebawah sebelum dikunci dan diikat dengan menggunakan kawat dawai. Daripada pemerhatian yang saya buat, satu kali mengikat sulur nenas memerlukan masa cuma 1.11 minit sahaja. Kalau hendak mengikat 300 ikatan (9,000 sulur) hanya perlukan selama 5 jam 55 minit sahaja atau penjimatan sebanyak 1 jam 40 minit. Kalau kita hendak mengikat untuk 20,000 sulur ada perbezan masa selama 5 jam bekerja. Bayangkan penjimatan masa untuk mengikat sebanyak 5 ekar ladang baru untuk tanam sebanyak 100,000 sulur benih nenas.


Alat ini amat senang digunakan dan ianya amat mudah dibawa, tahan lasak dan tidak perlukan penyelenggaraan. Selain daripada cepat dan kemas, ikatan sulur ini juga lebih seragam kerana kerja pemotongan daun atas sulur dibuat mengikut paras besi tidak seperti dengan kaedah yang lama dimana cara pemotongannya tidak seragam. Orang yang bukan petani nenas pun dapat gunakan alat ini dengan mudah dan cepat. Selain daripada itu, apabila kita sudah letih dikawasan ladang nenas, alat ini boleh di terbalikkan untuk dijadikan meja letak hidangan atau juga boleh dijadikan kerusi untuk berehat atau melepaskan kepenatan di ladang. Tahniah En Roslee yang dicalonkan untuk anugerah Inovasi Jabatan Pertanian Malaysia 2012.  Wallahualam!


En Roslee berehat diatas alat tersebut.
ALAT APSN MUDAH ... IKAT BENIH NENAS...
PENCIPTA KREATIF... INOVASI BERNAS...
HARGANYA MURAH ... TAHAN LAMA....
SIAPA BERMINAT ... BOLEH BERTANYA...

By,
M Anem

Tasek Gelugor
Pulau Pinang
Malaysia
(11 Muharram 1434H)



Tuesday, November 27, 2012

PASARAYA

PASARAYA (Supermarket) merupakan satu nama berkaitan kompleks membelibelah moden yang menjual barangan keperluan pengguna seperti bahan makanan, pakaian dan pelbagai jenis produk. Dalam kamus bahasa Inggeris ia dimaksudkan sebagai "A large store that sells a variety of food and household items to customer". Pasaraya adalah berasaskan kepada dua perkataan iaitu "PASAR" dan "RAYA" dimana pasar adalah temap berlakunya aktiviti jualbeli dan raya selalu dikaitkan dengan sesuatu yang besar, kuat atau kukuh. Pada zaman dahulu kaedah perniagaan barangan keperluan dapor dijalankan dengan Kedai Runcit dan Pasar Basah sahaja. Kemudian sekitar tahun 1970'an - awal 1980'an baru diujudkan dengan rancak Pasar Malam. Penduduk dikawasan Bandar dan Kampong hanya membeli keperluan barangan harian dan pakaian di kedai-kedai runcit yang banyak dan mudah dikunjungi. Dalam satu kedai runcit terdapat banyak jenis barang. Artikel subuh Isnin ini saya menulis mengenai pasaraya dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan dan rujukkan anda.


Pasaraya asalnya berasaskan dari kedai runcit yang telah di perbesarkan dalam satu kawasan yang luas dengan menjual bahan asas keperluan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging, bahan masakan kering, beras minyak dan sebagainya tetapi kini ditambah dengan pelbagai produk siap proses dan keperluan harian termasuk pakaian, perabot ringan dan juga perkakasan dapor. Selalunya pasaraya tradisional mempunyai ruang pameran jualan produk yang luas dengan satu tingkat sahaja untuk memudahkan proses pengangkutan dan penyusunan barang. Pasaraya lazimnya akan menyediakan ruang meletak kereta yang luas untuk memberikan keselesaan kepada pengguna. Kemudahan untuk meletak kereta ini merupakan satu faktor utama penentu pengguna mengunjungi pasaraya.


Terdapat pelbagai kategori berkaitan pasaraya yang kita boleh kenal. Antaranya adalah Pasaraya Mini (Mini market), Pasaraya (Supermarket) dan Pasaraya Besar (Hypermarket). Di seluruh dunia kini ramai pengguna mengunjungi kompleks membeli belah yang ada pasaraya untuk membeli belah, melancong, beriadah, bersukan dan mendapatkan pelbagai perkhidmatan. Antara perkhidmatan yang disediakan dikawasan pasaraya seperti mesin mengeluarkan wang automatik (ATM), Pejabat Pos, Kaunter Bayaran Berpusat, Lobby Pelbagai Guna dan sebagainya. Ramai orang sahaja-sahaja jalan dikawasan pasaraya atau kompleks ini untuk bersantai atau buat 'window shopping' sahaja. Ruang Lobby pula sering digunakan oleh pihat tertentu untuk menjalankan kempen, pengiklanan produk, pentas hiburan dan sebagainya. Memang tidak dinafikan lagi trend rakyat negara kita dan negara lain mengunjungi pasaraya untuk mendapatkan barangan keperluan harian.


Syarikat-syarikat gergasi multinational dunia kini telah pun memperkenalkan sistem jualan pasaraya dengan membina kompleks membeli belah berskala besar. Siapa yang tidak kenal dengan syarikat pengurusan pasaraya seperti GIANT, TESCO, JUSCO, CARREFOUR, IKEA, MYDIN dan banyak lagi. Mereka membuat perniagaan alaf baru dimana apa juga yang pengguna hendak beli, semuanya ada disediakan. Kompleks ini dilengkapi dengan hawa dingin, tempat yang bersih, mempunyai ruang susun yang menarik, jurujual yang masih muda, promosi iklan di pelbagai media cetak dan eltronik dan sebagainya. Kecenderongan masyarakat akan datang hanya akan mengenali pasaraya sahaja kerana anak-anak kita masa kini lebih kenal membelah dipasaraya daripada di kedai runcit. Mereka lebih kenal akan KFC, Burger King, Mc Donald, Marybrown Chicken, Cofee Starbuck, A&W dan banyak jenama antarabangsa. 


Keghairahan syarikat-syarikat peneraju pasaraya ini mungkin melalaikan banyak pihak. Kini telah banyak pasaraya yang didirikan dikawasan bandar-bandar kecil walau ada akta berkaitan dimana pasaraya dilarang didirikan dikawasan tersebut. Lebih banyak pasaraya diujudkan memang memberi kemudahan kepada pengguna, tetapi apa akan terjadi dengan pekedai runcit tradisional nanti?. Secara relatifnya kita tahu kos pengurusan untuk pasaraya adalah jauh lebih tinggi daripada kos operasi kedai runcit. Pernahkah kita terfikir untuk membuat perbandingan harga yang ditawarkan oleh pasaraya dengan harga dikedai runcit?. Mungkin kita akan terkejut jika saya katakan jika ada harga diskaun 80% disatu pasaraya terkemuka rupa-rupanya hanya untuk sebungkus belacan buatan Pulau Pinang!. Itulah kuatnya gimik promosi untuk pasaraya yang kuat mempengaruhi pengguna. Bagaimana pun kita berharap pasaraya yang ada di negara kita akan mengamalkan sikap telus dan amanah sentiasa.
Wasallam.



PASARAYA ... SEPERMARKET DIGELAR....
HYPERMARKET... PASARAYA BESAR ......
GIANT, TESCO... KITA YANG GUSAR....
BANYAK BELANJA.... KAWALNYA SUKAR...

Related Articles:
1. Pasar (Klik disini)
2. Pasar Malam (Klik disini)
3. Pasar Tamu (KJlik disini)
4. Pasar Karat (Klik disini)
5. Ladang Kontrak (Klik disini)

By,
M Anem
Giant Puchong Perdana,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(16 Muharram 1434H)


      

Monday, November 26, 2012

PASAR

PASAR (Market) adalah satu nama yang tidak asing bagi kita semua dalam mendapatkan keperluan barangan harian untuk keluarga. 'Pasar' dalam bahasa kita secara amnya adalah difahami sebagai pasar basah (wet market) walau pun kini maksudnya telah banyak diperluaskan. Kita kini telah lazim mendengar perkataan berkaitan 'pasar' seperti Pasar Besar, Pasar Basah, Pasar Mini, Pasar Raya, Pasar Borong, Pasar Malam, Pasar Tamu, Pasar Lambak, Pasar Tani, Pasar Barang Antik, Pasar Kraftani, Pasar Lelong, Pasar Ikan dan macam-macam lagi. Kalau dalam bahasa Inggeris pula penggunaan perkataan 'market' lebih luas seperti Mini Market, Supermarket, Hypermarket, Emporium, Mart dan banyak lagi. Terdapat beberapa jenis nama 'Pasar' yang popular di negara kita seperti nama Pasar Siti Khadijah di Kota Bahru, Kelantan, Pasar Payang di Terengganu, Pasar Rabu di Alor Setar, Pasar Seni di Kuala Lumpur, Pasar Satok, di Kuching dan banyak lagi. Artikel petang Sabtu ini sambil kepenatan selepas bercuti 5 hari, trip berpusing separuh dari  Semenanjung Malaysia, saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai satu tajuk yang biasa iaitu 'pasar' untuk dikongsi bersama pembaca. 


Pasar Borong (Wholesale market) pula merupakan satu jenis pasar yang menjual barangan produk kegunaan harian secara 'Borong'. Selalunya penjual di pasar basah atau lain-lain pasar akan mendapatkan bekalan mereka daripada pasar borong. Pembekal-pembekal barangan dari pelbagai lokasi akan menghantar produk mereka kepada pemborong di pasar borong. Pemborong diberikan lot-lot perniagaan mengikut jenis komoditi di pasar borong seperti zon buah-buahan, zon sayur-sayuran, zon ikan dan sebagainya. Pasar Borong diuruskan oleh Kerajaan Tempatan (Majlis Daerah) seperti Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Pandan JB dan banyak agi. 


Jualan sayur di pasar basah.
Pasar Basah (wet market) merupakan pasar yang diujudkan oleh setiap Kerajaan Tempatan atau Majlis Daerah di setiap bandar dan kota untuk keperluan penduduk tempatan. Bagi pasar ini produk seperti ikan, sayuran, buah-buahan, daging, ayam hidup, bahan dapur kering, bahan rempah ratus  dan sebagainya ada dijual setiap hari atau 6 hari dalam seminggu. Pasar ini ditadbir oleh Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran yang menentukan lot-lot jualan, kebersihan pasar serta penyelenggaraan infrastruktur ladang. Penjual dalam pasar basah kebanyakannya turun temurun sejak dulu kecuali lesen perniagaan di tamatkan atau penjual sudah tidak berminat lagi. Kebanyakan pasaar basah adalah dalam keadaan lama dan uzur kecuali jika telah di buat baru atau baru diselenggara. Pasar basah beroperasi dari awal pagi sehingga lewat petang dan tidak berniaga diwaktu malam. Kedudukan pasar basah ini terletak dilokasi yang strategik di tengah bandar atau pinggir bandar yang mudah dikunjungi. Pasar Tani, Pasar Tamu dan Pasar Malam ada ditulis didalam artikel berlainan. 


Pasar Raya (Super-Market), Pasaraya Besar (Hypermarket) dan Pasaraya Mini (Mini Market) pula merupakan jenis pasar yang moden dimana ianya mempunyai struktur tetap yang tersusun dan benyak kemudahan. Di Malaysia kita sering mengunjungi Pasaraya Besar seperti TESCO, GIANT, JUSCO, MYDIN, IKEA, CARREFOUR dan banyak lagi dikawasan bandar-bandar utama. Konsep 'all in one' yang dijalankan oleh pasaraya besar ini kebanyakkannya di punyai oleh syarikat gergasi antarabangsa. Konsep pasaraya ini menjalankan perniagaan dalam kompleks yang selesa, mempunyai pelbagai kemudahan, berhawa dingin, bersih, pelbagai produk jualan daripada bahan basah, alatan dapor, pakaian, elektronik , perkhidmatan produk kesihatan, buku dan semua jenis produk. Kemudahan kawasan meletak kereta dan keujudan mesin kewangan ATM dikompleks ini menyebabkan ramai orang datang untuk berbelanja. Saya anggarkan hampir 60 - 70% penduduk kawasan bandar mengunjungi pasar raya besar untuk berbelanja atau bersiar-siar. Aktiviti keceriaan dan promosi produk di anjurkan di ruangan utama (Lobby) kompleks perniagaan terutama pada waktu puncak. Bagaimana pun saya fikir keujudan pasar raya besar ini telah menjejaskan perniagaan pemilik kedai runcit diseluruh negara. Kebanyakan pasar raya besar terus dikunjungi oleh ramai rakyat kita (terutamanya Melayu) yang menganggapnya sebagai cara moden untuk berbelanja.

APA ITU PASAR.... TAHU JAWAPANNYA....

PASAR BORONG... PENTING PERANANNYA...
PASAR BASAH .... PELBAGAI PRODUKNYA....
PASARAYA BESAR.... BANYAK CAWANGANNYA...

Related Articles:
1. Pasar Tani (Klik disini)
2. Pasar Tamu )Klik disini)
3. Pasaraya (Klik disini)
4. PASKAM (Klik disini)
5. Pasar Karat (Klik disini)

By,
M Anem
Kompleks Serdang,
Selangor 
Malaysia
(9 (Muharram 1434H) 


Sunday, November 25, 2012

SPIRULINA - AGRONOMI MUDAH

SPIRULINA (Spirulina spp) merupakan sejenis algae hijau yang boleh dimajukan di Malaysia sebagai satu komoditi berpotensi tinggi. Dua spesis spirulina yang sesuai diusahakan adalah Spirulina maxima dan Spirulina platensis. Kajian menunjukkan spirulina mengandungi banyak jenis protin (55 - 70%) dan Karbohiderat 15 - 25%), Asid Lemak essential (18%), Vitamin, Bahan Galian (Minerals) dan Pigment Hijau seperti Karotin, Klorophylla serta Phycocyanin. Kegunaan spirulina masa kini adalah sebagai bahan makanan , komestik dan juga produk kesihatan. Faedah dari spirulina didakwa baik untuk mengawal pertumbuhan tumor, mengawal serangan virus, anemia dan juga isu  'malnutrition'. Kajian kesan spirulina pada haiwan yang dijalankan mendapati ia mempercepatkan kedewasaan haiwan (maturity), meningkatkan warna kuning telur serta meningkatkan kesuburan (fertility) pada ternakan lembu. Artikel kali ini bagaimana pun saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai amalan agronomi MUDAH atau cara TRADISIONAL untuk mengusahakan tanaman algae hijau bernama spirulina untuk bacaan dan rujukkan anda.

Berikut adalah kaedah pengurusan agronomi spirulina secara tradisional yang dijalankan di India untuk kita lihat. Kaedahnya memang mudah jika dibandingkan dengan kaedah teknologi moden yang telah dijalankan di Jepun, USA, Australia dan yang terkini di Thailand. Bagaimana pun kaedah ini boleh dipelajari diperingkjat awal oleh kita semua yamg baru hendak kenal akan perusahaan spirulina ini.


Kolam konkrit disediakan dan terdedah kepada cahaya matahari sepenuhnya.  Saiz kolam bergantung kepada kaedah pengurusan. Sebaiknya tidak terlalu besar sangat untuk memudahkan pengurusan terutama kawalan air dan aktiviti penuaian. Pembinaan struktur air keluar dan masuk perlu di lengkapkan. Pastikan ada punca bekalan air yang bersih dan tidak tercemar penting dikenalpasti untuk kolam .


Bagi struktur kolam diatas tanah juga boleh disediakan mengikut rekabentuk yang sesuai. Paling penting ialah kolam terbuka dan boleh dikawal pengaliran air pada kolam tersebut. Kolam tanah untuk spirulina sebaiknya dilapis dengan sejenis plastik tebal untuk mengurangkan resapan dan gangguan perosak daripada tanah didasar dan di tebing kolam. 


Benih siprulina berkualiti dimasukkan kedalam kolam yang telah mengandungi air bersih. Pastikan jumlah benih yang dimasukkan mengikut kadar yang sesuai untuk spirulina membiak melalui proses khas daripada pembentukan 'trichomes' sehingga pemanjangan filamen spirulina.  


Aktiviti meratakan benih spirulina dalam kolam konkrit agar benih akan tersebar rata didalam kolam. Jika aktiviti ini tidak dilakukan maka taburan spirulina hanya berkumpul disatu lokasi sahaja. Pemeriksaan kadar pertumbuhan dan tumbesaran spirulina juga diperiksa. 


Pemeriksaan pertumbuhan spirulina dijalankan mengikut jadual. Pemeriksaan dijalankan dengan menganbil air dalam kolam menggunakan bekas dan ditapis untuk mememriksa kadar panjang trichomes dan filamen spirulina. Aktiviti yang sama juga boleh digunakan untuk menuai spirulina.


Apabila cukup matang, gunakann penapis kain kasa untuk menapis air kolam yang mengandungi spirulina bagi tujuan penuaian (Harvesting). Aktiviti menuai spirulina boleh djalankan beberapa peringkat mengikut kadar tumbesaran.


Spirulina basah yang dihasilkan melalui penapisan air kolam dan dikumpulkan untuk dijual atau seterusnya melalui proses pemgeringan. Buang segala kekotoran dan lain-lain algae yang terdapat pada tuaian tersebut.
  

Spirulina dituai boleh dikeringkan melalui jemuran dibawah sinaran matahari atau menggunakan mesin pengering. Spirulina kering boleh disimpan lama sebelum dijual mengikut kadar harga pasaran.
Serbuk spirulina kering yang telah dikisar didalam kilang dan sedia untuk diproses didalam bentuk yang dikehendakki seperti di buat serbuk, kapsul, pill, cecair dan sebagainya. Proses membuat produk akhir dikilang mesti mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP - Good Manufacturing Practice).

Kaedah perusahaan spirulina secara tradisional dan konvensional ini sesuai untuk petani kecil-kecilan seperti yang banyak dijalankan di India, Sri Lanka dan beberapa negara lain. Walau pun kualiti, kuantiti dan produktiviti kaedah ini agak rendah atau sederhana tetapi ianya adalah praktikal dan kos pengeluaran yang sangat rendah juga. Kita akan berbincang mengenai kaedah teknologi pengeluaran spirulina lebih moden pada artikel lain nanti. Wasaalam!

KOLAM KONKRIT... BERSIH AIRNYA....
BENIH SPIRULINA.... DIMASUK DALAMNYA...
MENUAI SPIRULINA... KAIN KASA TAPISNYA...
KAEDAH MUDAH... LUMAYAN HASILNYA...

By,
M Anem
Bandar Lumut,
Manjong, Perak,
Malaysia.
(11 Muharram 1434H)  

LEBAH TUALANG

LEBAH TUALANG (Apis dorsata) merupakan sejenis lebah madu bersaiz paling besar yang gemar membuat sarang di pokok tualang. Pokok Tualang (Koompassia excelsia)  pula merupakan sejenis pokok saka tumbuh dihutan Malaysia dimana pokok ini tinggi dan didalam hutan serta mempunyai banyak dahan. Di Semenanjung Malaysia pokok tualang banyak terdapat di utara Semenanjung seperti di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu sahaja. Lebah Tualang di panggil sebagai 'Giant Honey Bee' terdapat dikawasan Asia Tenggra sehingga kekawasan India Selatan yang mempunyai iklim tropika. Lebah ini yang mempunyai saiz badan besar mampu terbang jauh untuk mencari makanan dan bersarang di tempat yang tinggi pada pokok tualang dihutan. Bagaimana pun pemerhatian saya kadang-kadang ada lebah tualang yang membuat koloni sarang pada pokok buah-buahan yang rendah ataupun di dalam rumah kayu di kampong-kampong. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai Lebah Tualang untuk dikongsi bersama dengan pembaca blog ini berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan rujukkan dari beberapa sumber.


Saiz lebah tualang lebih besar daripada Lebah Keran (Apis cerana) dari segi badan dan mampu terbang jauh. Saiz lebah tualang pekerja diantara 16 - 20 mm dengan bersarang pada dahan pokok yang tinggi melebihi 25 meter. Tujuan sarang atau koloni lebah tualang di tempat tinggi adalah untuk mengelakan gangguan oleh musuhnya seperti burung, haiwan, serangga lain dan terutama gangguan oleh manusia bergelar 'Pemburu Madu Tualang'. Lebah ini mampu mendebungakan hampir 50% bunga-bungaan dalam hutan belantara dengan menngunjungi banyak bunga setiap hari. Lebah ini ini tidak sesuai untuk diternak seperti Lebah Keran atau Lebah Impot (Apis melifera) kerana ianya adalah jenis yang defensif. Lebah Tualang akan menjaga sarangnya yang terbuka daripada sebarang gangguan dengan membuat pertahanan untuk koloni. Lebah pekerja juga akan terbang pada awal pagi sehingga petang untuk mengutip nektar dan debunga.


Kebanyakan lebah tualang akan membuat sarang atau koloni dipokok tualang yang sama setiap kali penambahan koloni (swarming) sebelum musim bunga. Satu koloni lebah tualang mamou membentuk koloni sepanjang 1 meter panjang melibatkan lebih daripada 50,000 ekor lebah. Bagaimana pun koloni tersebut hanya mempunyai satu ekor ratu lebah sahaja yang sentiasa akan bertelur. Telur dimasukkan kedalam kom dan dijaga dengan sempurna dan akan diberi makan sehingga menetas dan keluar menjadi lebah dewasa. Nektar dan debunga yang dibawa balik akan di pindahkan antara seekor lebah dengan lebah pekerja lain sehingga kepekatan nektar tersebut mencapai 15 - 20% kandungan air. Madu tersebut akan disimpan kedalam kom madu.  Pemburu lebah madu akan memanjat pokok pada masa simpanan madu sedang banyak dan menurunkannya sebagai 'Madu Lebah Tualang Asli' atau juga di panggil sebagai 'Madu Hutan Asli'.


Burung walit makan lebah.
Musuh utama bagi Lebah Tualang adalah serangan oleh burung pemangsa.  Apabila ada burung pemangsa menghampiri koloni lebah, maka lebah tualang akan melakukan aksi menegakkan abdomen dan sayapnya bergerak menyababkan alunan bunyi dan pergerakan sehingga menakutkan musuhnya. Pemerhatian saya mengenai kekurangan bilangan koloni lebah tualang yang membuat sarang kini adalah signifikan berkurangan akibat keujudan Industri Burung Walit.  Persatuan Perlebahan Malaysia yang membentangkan satu kertas teknikal ada menyatakan bahawa ramai pemburu lebah tualang sekitar Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengadu kekurangan populasi sarang lebah tualang semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya fikir memang logik dakwaan ini kerana tumbuhnya beribu-ribu rumah burung walit  di Malaysia. Burung walit ini mampu memakan banyak ekor lebah tualang dalam sehari yang berterbangan dan ini saya kira mengesahkan dakwaan tersebut. Selain itu semut juga mengancam sarang lebah tualang kerana ia akan makan propolis dan madu pada koloni lebah yang ada banyak simpanan.


Kualiti madu lebah tualang atau madu lebah hutan banyak diperkatakan sebagai madu lebah terbaik. Ini jika kita hendak bandingkan dengan kualiti lebah yang di ternak secara komersil. Antara kemungkinan adalah kerana lebah tualang hanya mengumpulkan nektar dari pelbagai bunga pokok hutan yang bebas daripada kesan racun dan kimia. Banyak jenis bunga yang dikunjungi yang menyebabkan banyaklah bahan mineral dan unsur lain terkandung didalam madu lebah ini. Kaedah mengutip madu masih secara tradisional dimana dijalankan aktiviti seperti pemujaan sebelum panjat pokok tualang yang tinggi dan merbahaya. Madu lebah hutan asli dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan madu lebah yang diternak atau madu lebah impot. Bagaimana pun kaedah memproses dan pembotolan serta penjualan maadu lebah tualang masih banyak dijalankan secara konvensional. 


Bagaimana kita hendak tahu madu lebah hutan yang kita beli tersebut adalah MADU ASLI?.  Banyak dakwaan yang di ketahui umum mengenai teknik mengenal lebah madu asli. Yang paling selalu dikatakan adalah dengan masukkan madu tersebut didalam peti ais selama 24 jam, jika tidak membeku ianya didakwa asli. Ada yang kata kalau bukan asli ianya akan basi atau menghasilkan buih dibahagian atas botol dan sebagainya. Madu Lebah Hutan Asli lazimnya berwarna gelap atau kuning coklat (bergantung kepada jenis bunga yang dikunjungi) dan tahan lama jika disimpan serta tidak basi. Khasiat madu lebah tualang banyak digunakan untuk kesihatan dan kaya dengan bahan mineral yang dipercayai mempu menyembuhkan banyak masaalah kesihatan. Awas kepada anda yang membeli madu di pasar malam, pasar lambak dimana akan diletakkan kom-kom asal lebah tualang... Jika anda kurang pasti dengan kualiti madu tersebut, bertanya kepada rakan-rakan lain atau peling baik tanya kepada pemburu lebah tualang.

SPESIS LEBAH TUALANG.... BESAR SAIZNYA...
BERSARANG TINGGI... BESAR KOLONINYA...
SUKAR DI TERNAK... HIDUP LIAR CARANYA....
MADU BERKUALITI ... MAHAL HARGANYA...

Related articles :
1. Lebah Keran (Klik disini)
2. Lebah Madu di Johor (Klik disini)
3. Nektar (Klik disini) 
4. Madu Lebah (Klik disini)
5. Bee keeping Equipments (Click here)
6. Rumput Israel (Klik disini)
7. Bisa Sengatan serangga (Klik disini)

By,
M Anem
Gerai Pameran MAHA International,
MAEPS, Serdang, Selangor,
Malaysia.
(9 Muharram 1434H) 

  

Saturday, November 24, 2012

APHID

APHID (Aphis spp) merupakan sejenis serangga dari keluarga Aphididae yang terdapat semenjak beratus tahun dahulu yang merosakan tanaman terutama tanaman makanan. Aphids adalah serangga dari kumpulan Hemiptera. Aphid juga mempunyai beribu-ribu spesis diseluroh dunia yang mana kebanyakannya adalah kategori serangga perosak dan juga pembawa lebih dari 200 jenis virus penyebab penyakit tanaman. Di Malaysia aphid berwarna hijau adalah jenis yang paling lazim dijumpai terutama dibahagian pucuk dan bawah daun yang diserang aphid. Aphid dari segi peranannya adalah serangga yang menghisap air sap tumbuhan pada sel-sel yang masih lembut seperti pada daun, pucuk muda, bunga, buah muda dan juga bahagian batang yang masih lembut. Malam Ahad ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' artikel mengenai Aphid untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan anda semua.


Aphid yang mempunyai badan lembut dan berbentuk seperti buah 'pear' berukuran sekitar 2 - 3 mm (Lihat foto sebelah). Dibeberapa negara lain warna aphid adalah daripada hijau terang kepada hijau gelap, kekuningan, pink, coklat atau kehitaman bergantung kepada keadaan lokaliti dan persekitaran. Aphid mempunyai sesungut (antennae) dibahagian kepala dan mempunyai 3 pasang kaki untuk bergerak. Aphid mempunyai alat penyedut dibahagian kepala untuk menyedut air sap dari 'sel phloem' tumbuhan yang dipanggil sebagai 'stylets'. Alat ini akan menyucuk sel lembut tumbuhan dan menyedut air sap keluar. Perpindahan virus berlaku ketika proses menyedut air ini dimana stylet tersebut akan memasukki sel-sel baru yang masih belum tercemar. Penyakit kerinting cili oleh virus CMV sering disebarkan oleh aphids yang terdapat pada pokok cili.


'Stylet' menghisap air sap.
Kebanyakan aphid hanya menghisap air sap dari phloem tumbuhan daripada satu jenis tumbuhan sahaja. Contohnya jika ia tinggal di pokok melon, maka ia akan menghisap pokok melon sahaja walau pun terdapat pokok cili disekitarnya. Aphid bergerak dengan menggunakan kakinya dari satu lokasi kesatu lokasi yang lain bagi menghisap air sap tumbuhan. Dibahagian bawah daun atau di bahagian pucuk tumbuhan yang terlindung dari matahari dan air hujan, aphid akan berkumpul dan bertelur yang melekat pada lai daun. Kaedah pembiakan aphid adalah unik dimana ada aphid betia yang banyak dalam populasi akan bertelur diantara 40 - 60 biji. Telur ini akan menetas menjadi nim (nymph) sebelum ia menjadi dewasa dalam beberapa hari sahaja. 


Kesan serangan aphid pada tumbuhan adalah serius sejak beribu-ribu tahun dahulu. Bahagian sel yang diserang akan rosak dimana sel-sel ini terencat pertumbuhannya. Jika kadar serangan pada tahap teruk, pokok boleh mati. Kesan paling teruk apabila aphid yang menyebarkan virus perosak menyerang tanaman tanpa diketahui diperingkat awal. Kawalan aphid ada pelbagai cara dengan kaedah kawalan bersepadu (Intergrated Pest Management) seperti menggunakan varieti yang tahan penyakit, kaedah giliran tanaman, penggunaan pemangsa semulajadi (natural predator) dan penggunaan racun kimia. Serangga seperti LadyBird didapati memakan telur dan aphid dewasa pada keadaan semulajadi. Pemerhatian juga menunjukkan bahawa ada semacam simbiosis diantara keujudan aphid dengan semut. Semut memang suka makan aphid dan telur aphid yang mengandungi air sap yang manis. 

NAMANYA APHID.... HIJAU WARNANYA....
BADAN LEMBUT .... AIR SAP DISEDUTNYA...
POKOK ROSAK ... PERLU DIKAWALNYA... 
KENALI APHID .... KAWAL KEUJUDANNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Tapak Ekspo, MAEPS,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(10 Muharram 1434H)       

    

Friday, November 23, 2012

NANGKA MASTURA

NANGKA MASTURA (Artocarpus heterophyllus) merupakan satu varieti nangka yang popular di Malaysia. Nangka ini telah dinamakan dengan varieti NANGKA MASTURA dengan nombor daftar J37 dalam senarai varieti tanaman Nasional Malaysia dimana telah diperkenalkan pada tahun 2000 oleh Prof Zainal daripada USM Pulau Pinang dengan nama Mastura CJ - USM yang kemudian popular ditanam diseluruh negara. Nangka ini mempunyai beberapa ciri-ciri khas hasil daripada program kacukan melibatkan 6 varieti nangka terpilih selama 6 tahun dijalankan aktiviti penyelidikan.  Diantara ciri yang baik pada varieti ini adalah seperti saiz buah yang besar (purata mencecah seberat 25 kg keatas sebiji), warna isi buah yang kuning keemasan dan juga mempunyai bau atau aroma yang kuat. Saya pernah menanam dan banyak kali makan nangka mastura segar yang mempunyai rasa yang manis, rangup (crunchy) , saiz ulas yang besar dan bahagian isi yang tebal. Saya lebih suka makan ulas nangka mastura yang telah disejukan dalam peti ais dan dimakan ketika lapar. Artikel petang sabtu ini saya menulis sedikit info mengenai teknologi berkaitan nangka mastura dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukan dan bacaan anda bersama.


Pokok nangka mastura.
Penanaman nangka di Malaysia adalah seluas 3,965 hektar dengan penghasilan lebih dari 27,800 metrik tan pada tahun 2012 (Laporan ststistik Jabatan Pertanian). Negeri Pahang merupakan negeri yang paling luas menanam buah nangka terutama daripada varieti Tekam Yellow yang kini mencapai kualiti ekspot. Penanaman nangka mastura banyak di Johor, Selangor dan Perak semenjak tahun 2000 dimana kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik. Pengalaman saya menanam nangka mastura di Dusun Nukleus di Segamat dan Dusun Nukleus Lenga mendapati, pokok ini sesuai ditanam mengikut pakej amalan teknologi yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Nangka ini menjadi sebutan ramai dan mendapat permintaan bekalan benih yang tinggi setelah dilaporkan dalam beberapa akhbar tempatan beberapa kali. 


Benih nangka mastura boleh didapati dengan mudah daripada pembekal benih tempatan atau PPK atau Jabatan Pertanian dengan harga diantara RM 3.00 - RM 10.00 bergantung kepada saiz dan kualiti. Sebaiknya beli benih nangka mastura yang telah disahkan ketulinannya daripada Jabatan Pertanian melalui skim SPBT terutama jika dibeli dari pembekal swasta. Sediakan lubang penanaman dengan jarak 25 kaki x 25 kaki dan ubahsuai jarak penanaman dengan keadaan tanah dan persekitaran. Berikan baja asas dan baja organik secukupnya semasa menyediakan lubang penanaman. Nangka mastura perlukan kawasan yang cukup cahaya matahari dan kawasan dimana tidak mudah banjir.


Pemerhatian saya di Segamat dan Pahang mendapati, pokok nangka mastura cepat berbuah iaitu seawal 18 bulan selepas ditanam. Saiz buahnya juga besar dimana saya dapati mudah sahaja untuk mendapatkan berat buah lebih 20 kg sebiji apabila bilangan buah di buat kawalan. Nangka kampong yang lain lazimnya berbuah selepas 2 tahun ditanam untuk mendapatkan saiz minima 25-30 kg setahun. Pokok yang berbuah rendah ini memudahkan proses penuaian nangka. Pokok nangka mastura yang masih rendah akan mengeluarkan dahan dan ada buah yang terletak diatas tanah. Serangan babi hutan sering makan buah nangka rendah ini di Projek Dusun Bukit Merah, Segamat dahulu.


Prof Dr Zainal tunjukan isi
nangka mastura.
Isi nangka mastura berwarna kuning keemasan dengan rasa yang manis jika betul-betul masak. Isinya juga agak berair jika hendak dibandingkan dengan varieti nangka Tekam Yellow (J33) yang agak lebih kering sedikit. Dari segi kemanisan yang saya buat ujirasa menggunakan Brixmeter telah mencecah 12 - 16 darjah brix. Buah nangka ini perlu dibalut ketika peringkat putik untuk mengelakkan serangan Lalat Buah (Bactocera spp) dan juga serangga perosak lain.  Dr Zainal beberapa kali berbincang dengan saya dahulu bagaimana ciri-ciri baik nangka mastura dan program pembangunan tanaman nangka mastura sebelum beliau bersara. Setelah hampir 10 tahun nangka ini dihasilkan, kini ia telah menjadi satu varieti yang ditanam oleh ramai petani terutama diprojek anjuran Jabatan Pertanian dan PPK.


Pada masa ini nangka merupakan buah yang mendapat perhatian ramai petani di Malaysia. MAHA International 2012 di MAEPS Serdang yang kini sedang berlangsung mempromosikan program penanaman dan pembangunan nangka seperti pada Gerai LPP dan Jabatan Pertanian. Saya dapati selain daripada untuk makan segar, kini buah nangka telah di proses untuk dijadikan kerepek nangka (Teknologi 'vacuum fry'), Jus nangka, Kordial Nangka, Pes Nangka dan pelbagai produk lain yang dipamerkan. Selain daripada varieti Mastura, beberapa varieti nangka lain yang dipromosikan adalah varieti Tekam Yellow, Varieti Hong , Varieti Mantin dan banyak lagi. Nangka mastura boleh ditanam di negara kita untuk mendapatkan keuntungan selaras dengan moto 'Pertanian Satu Perniagaan' yang berasaskan kepada inovasi.

NANGKA MASTURA... POPULAR NAMANYA....
BUAH BESAR.... KUNING EMAS WARNANYA...
CEPAT BERHASIL ... 18 BULAN LAMANYA....
DAPATKAN BENIH... PASTIKAN KETULINANNYA...

By,
M Anem
Senior Agrlogist,
Gerai MAHA International,
MAEPS Serdang, 
Selangor,
Malaysia.
(10 Muharram 1434H)