Monday, November 28, 2011

RIBUT PETIR

Reactions: 
RIBUT PETIR kini berlaku setiap petang di negara kita bermula dari Pertengahan Oktober-November sehingga Disember. Kilat sabung menyabung, petir berdentum-dentum dan angin kuat bertiup bersama hujan yang saya fikir tahun ini 2011 amat ketara sekali berbanding dengan beberapa tahun lepas. Daripada pembacaan buku anak saya, Ribut Petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh). Bunyi ini kini sangat dekat dengan rumah kita sehingga rumah jiran saya bumbungnya pecah dan menyebabkan air hujan masuk kedalam rumah. Kenapa agaknya tahun ini terlalu banyak ribut petir dan hujan lebat setiap petang?....Kenapa pula negara jiran kita Thailand dilanda banjir yang berbulan-bulan tidak surut?...Adakah ini ada kaitan dengan dakwaan saintis kajicuaca yang ada hubungkaitnya dengan Fenomena El-Nino dan Fenomena La-Nina?...Allah sahaja yang amat mengetahuinya. Artikel pagi 2 Muharam ini saya menulis satu fenomena mengenai ribut petir untuk bacaan anda semua.

Dulu semasa disekolah dan belajar di universiti kita diajar mengenai Kajicuaca dan salah satu persoalan yang diutarakan ialah bagaimana ribut petir boleh terjadi?. Dari segi sains menyatakan bahawa Ribut petir biasanya terjadi dalam keadaan atmosfera yang 'lengas' dan tidak stabil dimana Awan Kumulus terbentuk apabila udara panas berlengas naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan memeluwap. Ini menyebabkan ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai Awan kumulonimbus dan dengan golakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya. Lazimnya Awan Ribut Petir yang matang kerapkali mempunyai struktur bersel dengan diameter mencapai 3 ke 5 kilometer dan ketinggiannya melebehi 10 kilometer. Awan ini boleh wujud secara terpencil, berkelompok atau dalam garisan. Kajian juga menunjukkan iaitu purata tempoh hidup ribut petir ialah antara 15 hingga 30 minit tetapi dalam keadaan tertentu, tempoh ini jauh lebih lama. Ribut petir berpotensi untuk menghasilkan hujan batu, hujan lebat, kilat sabung menyabung dan angin kencang. Sesetengah keadaan cuaca yang sangat buruk boleh terjadi apabila kelompok ribut petir melanda sesuatu kawasan untuk tempoh yang panjang.

Kajian mengenai petir ada istilah yang dipanggil sebagai 'Letusan Kebawah'. Letusan ke bawah ialah istilah yang menjelaskan tentang penurunan cepat udara di suatu kawasan kecil di bawah ribut petir. Angin kencang yang terhasil boleh mencapai kelajuan yang amat tinggi sehingga boleh menyebabkan kemusnahan ketara di sepanjang laluannya dan sangat berbahaya kepada operasi penerbangan. Ramai kita tidak berapa faham bagaimana kejadian KILAT yang menghasilkan cahaya terang dan hilang dengan cepat. Hanya ahli fotograpi yang profesional sahaja mampu mendapatkan foto kilat yang bergerak dengan pantas dan tanpa diduga. Sebenarnya Apakah Kilat?. Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut. Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Semasa kita kecil lagi sering diberitahu oleh ibubapa agak cepat berlindung apabila hendak hujan apa lagi kalau terdengar bunyi guruh dan petir. Saya mempunyai pengalaman sendiri di Kg Jawa, Segamat pada tahun 1994 bagaimana seorang penduduk kampong terkena panahan petir dan kilat ketika berteduh dibawah rumah dalam Majlis Kenduri Kahwin. Tiba-tiba hujan gerimis turun dan saya berada diatas lantai terkejut apabila orang kendarat bawah rumah menjerit melihat seorang saudara lelaki sekitar 56 tahun tumbang dan terus meninggal. Kejadian ini amat memilukan seluruh penduduk kampong. Kajian saintis menunjukkan Tempoh 'Ribut Petir Selalu Berlaku' boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November.Ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November. Di daratan, ribut petir lazimnya terjadi pada waktu petang dan senja manakala di lautan, ia kerap berlaku pada sebelah malam. Kilat boleh juga menyebabkan kerosakan peralatan elektrik yang terpasang dan boleh mencetuskan kebakaran. Kebanyakan kematian dan kecederaan akibat daripada kilat terjadi kepada mereka yang berada di luar bangunan.

Dalam sektor pertanian jarang kita cuba mengaitkan kejadian ribut petir dengan tumbuh-tumbuhan. Belum banyak kajian dijalankan hubungkait ribut petir dengan kemusnahan banyak serangga perosak tanaman akibat hujan lebat dan angin. Cuaca hujan yang berpanjangan dan berterusan juga menghalang cahaya matahari untuk menyinari daun bagi menjalankan fotosintesis. Hasil ladang sawit akan berkurang begitu juga dengan tanaman jangkapendek seperti sayur-sayuran. Harga komoditi ini akan meningkat semasa musim hujan dan banyak berlaku ribut petir. Penoreh getah juga tidak dapat menjalankan aktiviti menoreh. Kejadian ribut petir, hujan, kemarau dan apa juga yang terjadi adalah menunjukkan kebesaran Allah SWT. Dalam Quran banyak dinyatakan akan kejadian ini untuk mengingatkan manusia supaya beriman. Sama-samalah kita renungi akan kebesaran kejadian ribut petri ini. 

FENOMENA RIBUT PETIR…KUAT BUNYINYA…
BUNYI BERDENTUM…TERANG CAHAYANYA…
KEJADIAN ALAM…KITA TAKJUB KEJADIANNYA…
PERUBAHAN CUACA…APAKAH KESANNYA….

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Air Keroh , Melaka, 
Malaysia.
(2 Muharram 1433H)

Sunday, November 27, 2011

NASI AMBENG

Reactions: 
NASI AMBENG atau kini dipanggil oleh rakyat Malaysia NASI AMBANG merupakan satu menu turun temurun dikalangan masyarakat Jawa Malaysia semenjak dulu kala. Nasi Ambeng disediakan oleh setiap keluarga dikampong untuk dibawa ke surau bagi setiap sambutan Nuzul Quran atau 'Punggahan' dikalangan masyarakat di kampong di Muar semenjak berpuloh tahun dulu selepas majlis doa selamat. Cara makan nasi ambeng dalam majlis ini adalah dengan menghidangkan dalam dulang besar dan dimakan berama bersama-sama 4-6 orang satu hidangan. Jika tidak dimakan atau tetamu dijemput jiran dari kampong lain maka nasi tersebut akan dibahagi-bahagikan dikalangan mereka dan dibungkus untuk dimakan bersama ahli keluarga di rumah. Mereka akan bahagikan sama rata dan dibungkus dengan daun pisang dan dibawa balik dipanggil sebagai 'Berkat'. Kini nasi ambeng telah dikomersilkan dan boleh dibeli untuk sarapan pagi, makan tengahari atau makan malam. Artikel malam ini saya berkongsi maklumat dengan anda mengenai resepi nasi ambeng untuk pengetahuan anda.


Komponen penting dalam Nasi Ambeng adalah NASI, DAGiNG AYAM , SERUNDING, TEMPE GORENG, TAUHU GORENG, IKAN KERING, TERUNG , MEE KENDURI, SAMBAL GORENG dan PACERI NENAS. Kesemua komponen nasi ambeng ini akan disusun dalam satu bekas atau satu dulang sama ada dibungkus dengan daun pisang atau tidak dibungkus. Aroma daun pisang yang digunakan sebagai alas pelapik akan memberikan rasa enak dan lazat kepada nasi ambeng tradisional. Aktiviti bagi memasak dan menyediakan nasi ambeng ini memang memerlukan masa yang lama antara 3-6 jam dan bergantung kepada berapa banyak jenis lauk yang hendak dimasak untuk resepi nasi ambeng.


Beras yang sedap dimasak lazimnya dari beras berkualiti separa hancur kerana nasi akan lembut dan akan berbau wangi apabila diletakan dalam daun pisang. Sebaiknya masak menggunakan kayu api (bau kayu api juga menaikan selera) atau pun kini gunakan gas masak atau 'rice cooker'. Lebihkan air untuk mendapatkan kualiti nasi yang agak lembik dan lembut. Nasi yang sudah siap dimasukkan dalam dulang sebagai lapisan asas nasi ambeng. Daging Ayam merupakan komponen paling popular lazimnya dimasak Ayam Kicap walau pun  ada juga yang masak Ayam Ungkep atau masak ayam sambal mengikut kegemaran. Ayam Kampong paling sesuai atau ayam pencen selain daripada ayam daging biasa.


Sambal goreng jawa.
Komponen nasi ambeng lain yang penting adalah Mee Kenduri dan Sambal Goreng. Mee Kenduri dibuat menggunakan mee kuning yang digoreng dengan lada sulah, taugeh, ikan bilis dan kicap lemak manis. Mee kenduri akan dibungkus dengan daun pisang secara berasingan dalam 'berkat'. Sambal Goreng pula disediakan dari bahan mee so'on, tempe, tahu kering, kacang panjang, ikan bilis, kobis dan cili yang dipotong-potong dan ditumis. Kadang-kadang sambal goreng yang agak pedas ini ditambah dengan kicap dan juga petai. Sambal goreng ini juga akan dibungkus dalam daun pisang. Rasa sambal goreng yang pedas ini melengkapkan keenakkan nasi ambeng yang dihidangkan.


Paceri Nenas merupakan menu wajib dalam nasi ambeng. Nenas yang masak dikupas dan dimasak dahulu sebelum dimasak sebagai Paceri Nenas. Rasa masam manis nenas dalam nasi ambeng menaikan selera dimana ianya dibungkus juga dengan daun pisang. Serunding Kelapa juga merupakan satu komponen penting dalam nasi ambeng yang mana ia disediakan menggunakan kelapa parut. Kelapa parut akan dicampur dengan bahan herba serunding seperti ketumbar, jintan dan digoreng sehingga hampir kering dan cukup masak. Bubuh sedikit garam dan gula. Ikan Kering juga merupakan lauk penting dalam nasi ambeng. Jenis ikan kering yang digunakan ialah 'Ikan Kering Bulu Ayam' sama ada digoreng dengan tepong atau tanpa tepong. Kadang-kadang ada juga yang gunakan ikan kering kecil jenis lain.


Tempe Goreng dan Tahu Goreng adalah diantara komponen pilihan dalam nasi ambeng. Tempe yang di potong dadu panjang atau tiga segi ini dicelup dalam air garam sebelum digoreng. Begitu juga dengan tahu goreng yang juga dipotong tiga segi dan dicelup dengan air garam garam dan digoreng sehingga garing. Ada juga kadang kala Terung digunakan dalam nasi ambeng untuk digoreng atau dibuat pacri terung.  Kadangkala Cili hijau besar dipotong dua dan dimasukkan dalam ramuan nasi ambeng. Begitulah banyaknya ramuan-ramuan serta lauk-pauk dalam nasi ambeng tradisional yang disediakan. Bagaimana pun nasi ambeng komersil yang dijual dengan harga RM 4.50 - RM 6.00 sebungkus lazimnya mempunyai 2-3 lauk jenis sahaja. Lauk nasi ambeng komersial dipasar malam atau bazaar ramadan lazimnya hanya ada ayam masak kicap, mee goreng, ikan kering dan serunding sahaja. 


Makan nasi ambeng yang dibuat sendiri atau dari surau memang menyeronokan. Ini kerana cara makan tetamu duduk disekeliling nasi ambeng dan makan dengan tangan (Tidak dibenarkan pakai sudu dan garpu). Sambil makan sama-sama potong ayam dan makan lauk pauk dihidangkan bersama-sama. Semangat berebut-rebut dan semangat berkumpulan menyebabkan keseronokan ketika makan nagi ambeng dan meningkat kemesraan dikalangan ahli masyarakat. Sesungguhnya nasi ambeng dapat mengeratkan sirahtulrahim dikalangan anggota maysarakat di kampong dan di dalam negara kita!


NASI AMBENG...MEMANG LAZAT RASANYA...
MAKAN BERSAMA....BANYAK LAUKNYA....   
CARA MASAK...PELBAGAI RAMUANNYA...
NASI AMBANG...KINI NAMA KOMERSILNYA...


By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(! Muharram 1433H - artikel ke 3 hari ini)

ROTAN (Part 2)

Reactions: 
Penanaman Rotan Manau (Calamus manan) dan beberapa spesis rotan lain boleh menggunakan bahan tanaman Anak Sulur (tunas pangkal batang) tetapi cara penanaman rotan menggunakan benih dari BIJI BENIH adalah lebih mudah. Buah rotan adalah hampir serupa dengan Buah Salak cuma  bentuknya agak bulat. Kulit buah rotan juga mempunyai sisik. Seperti halnya tumbuhan dari keluarga palmae, didapati buah rotan berada dalam tandan dan seludang dimana saiz buah bergantung dari saiz ukurlilit batang  batang rotan. Pemerhatian saya mendapati ada yang sebesar bola ping-pong dan yang kecil bersaiz kurang dari 1 cm ukurlilit.  Buah rotan biasanya mempunyai biji tunggal dengan daging buah yang tipis dan rasanya sangat kelat.  Walau pun begitu didapati binatang hutan banyak yang makan buah rotan yang makan dengan menelan bersama bijinya dan proses ini membantu menyebarluasan spesies rotan secara lebih  efektif. Artikel dalam "Anim Agro Technology" Rotan Part 2 ini adalah mengenai bagaimana hendak menanam rotan, pembajaan dan kawalan perosak sehingga aktiviti menuai ditulis untuk tambah ilmu pembaca blog ini.
  
Buah rotan yang akan digunakan sebagai benih perlu dipilih dari yang benar-benar sudah cukup tua. Buah ini perlu dipisahkan dari kulit serta daging buahnya yang sangat tipis itu dengan cara mengupas (pulping). Caranya ialah dengan buah rotan diletak dalam keranjang yang kuat kemudian ditumbuk dengan alu kayu atau penumbuk yang berat. Kerja ini perlu dibuat dengan teliti dan pelahan2 agar kulit dan daging buah terkelupas tetapi bijinya tidak pecah. Buah yang telah dikupas kulit ini perlu ditapaikan dulu dengan cara dibiarkan dalam satu longgokan selama 24 jam. Setelah itu biji dicuci bersih dengan air yang mengalir. Pada waktu mencuci ini biji rotan boleh di pijak dengan kaki yang pakai kasut getah atau kasut but yang bersih.

Buah rotan yang sudah bersih kemudian dikeringkan dengan menggunakan angin iaitu dengan cara di hamparkan diatas alas ditempat teduh. Pengeringan perlu dilakukan selama dua sampai tiga hari. Setelah agak kering maka biji rotan perlu direndam dalam Bahan Peggalak Akar yang dilarutkan dengan air suam selama 10 - 20 minit. Setelah itu biji boleh disemai. Penyemaian boleh dilakukan terus dalam tapak semaian yang mengandungi media pasir dan humus. Cara lain adalah dengan membiarkan biji bertunas dulu dalam kotak yang diisi pasir dengan humus. Setelah biji rotan tumbuh maka baru dipindahkan kedalam ke polibeg sesuai. Keseluruhan proses penyemaian benih rotan dilaksanakan dikawasan yang terlindung dari panas matahari atau pun dibawah naungan 'netting hitam' lutcahaya sebanyak 60%.

Benih yang telah tumbuh setinggi 0.5-1.0 meter boleh terus dipindahkan ke lokasi penanaman dikebun. Tumbuhan atau pokok rotan adalah jenis merayap dan memerlukan pokok lain untuk naik keatas bagi mendapatkan cahaya matahari. Penanaman rotan dalam kebun Getah (Hevea brasilliensis)  atau tanaman dusun buah yang sesuai dengan pokok rotan. Tanaman pokok hutan yang mungkin sesuai untuk rayapan pokok rotan seperti Pokok Albisia (Albizia moluccana); Mahoni (Swietenia macrophylla); Sanakeling (Dalbergia sissoides); dan Jati (Tectona grandis). Bagaimana pun Pokok Pine (Punus merkusii) dan Pokok Akasia (Acasia mangium) adalah di antara dua jenis pokok yang kurang sesuai digunakan kerana tumbuhan ini didapati ada mengeluarkan unsur alelopati yang mengakibatkan tumbuhan lain sukar untuk hidup di dekatnya. Cara mudah menanam rotan sama ada dalam barisan (Jarak 7m x 7 m) atau secara berkelompok-kelompok diantara barisan getah dan jarak disyorkan sekitar 10 m x 10 m bergantung kepada kesesuaian tanah dan susun-atur pokok rayapan. 

Penanaman rotan sebenarnya boleh juga dilakukan serentak bersama dengan tanaman pokok getah yang masih muda atau pokok getah dewasa yang sedang ditoreh seperti dibuat dengan RISDA Muar di Kg Pt Bengkok , Gersik dahulu. Penanaman mengikut barisan pokok getah tidak mengganggu penoreh dari terkena duri rotan yang agak bisa jika tercucuk ketika menoreh getah. Pemerhatian mendapati pada peringkat awal pertumbuhan pangkal batang rotan itu akan memanjat pokok getah yang perlu dilatih iaitu dari mula penanaman sehingga mampu membelit dan menjalar pada bahagian atas pucuk pokok. Siram anak benih rotan sebelum menanam dalam lubang disediakan. Buat penyulaman pokok yang mati pada tahun pertama dan tahun kedua selepas penanaman. Bersihkan lorong penanaman rotan daripada rumpai lain yang tumbuh dan buat cantasan dahan pokok rayapan (Jika perlu dan terlalu redup). Cahaya matahari sebanyak 35-50% perlu untuk pembesaran pokok rotan pada peringkat pembesaran pokok rotan.

Pokok Rotan mempunyai masaalah serangan beberapa serangga perosak diantaranya seperti Ulat Makan Daun (Lepidoptera spp), Kumbang Makan Batang (Cerambycidae spp), Serangan Antraknos oleh Kulat (Collectotricum spp;  Fusarium spp, Culvularia spp., Cercospora spp) dan sebagainya pada bahagian daun muda dan pucuk. Terdapat laporan berlaku serangan patah tengkuk oleh Kulat Perosak Pokok (Rhizoctonia solani) pada pokok rotan yang perlu dikawal dengan racuk kulat dan sebagainya. 


Cara menuai pokok rotan juga perlu cekap kerana duri rotan merbahaya jika tercucuk pada tubuh kita. Kajian dari beberapa buku menunjukkan pokok rotan yang telah berumur 15 tahun keatas mempunyai kualiti rotan yang baik untuk dituai. Bagaimana pun pokok rotan yang bermur 7-10 tahun akan dituai awal kerana ianya sudah dikira matang. Tanda-tanda batang rotan sudah matang adalah jika didapati batang rotan (Cane) sudah tidak ditutupi pelepah (Licin) sepanjang 12-15 meter panjang. Warna batang rotan lazimnya hijau kekuningan atau telah menjadi warna kuning terang dan keras serta padu. Cara menuai rotan dengan memotong pangkal perdu rotan dan kemudian ditarik serta dibersihkan dari duri, pelepah dan seludang. Bagi rotan saiz kecil ianya di gulong-gulong atau dilipat beberapa kali untuk dibawa keluar. Rotan yang bersaiz atau diameter besar dan kasar di potong sepanjang 3-4 meter dan diikat untuk dibawa keluar.


Harga rotan mentah ditentukan oleh kualiti, kuantiti dan jumlah bekalan serta bekalan dipasaran. Rotan yang telah dikeluarkan dari hutan atau kebun penanaman rotan tahan lama jika menjalani proses pengawetan kemudian disimpan dengan elok dibawah teduhan. Selepas rotan dibawa keluar maka ianya akan dijemur sehingga agak kering sebelum disimpan. Rotan yang cukup matang dan kering boleh disimpan berpuloh-puloh tahun. Antara masaalah simpanan rotan adalah berlakunya reput jika terkena air, dimakan bubuk jika tidak diberikan rawatan dan sebagainya. Rotan akan dihantar kepada pengusaha perabot untuk dijadikan pelbagai produk hasilan rotan yang berharga mencapai berpuluh malahan ratusan ribu ringgit satu set!


PERABUT ROTAN...CANTIK BUATANNYA...
DIANYAM HALUS...ROTAN MANAU ASALNYA...
ORANG KAYA...YANG MAMPU MEMBELINYA...
ORANG MACAM KITA...TANAMLAH JAWABNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia.
(1 Muharram 1433H)

ROTAN (Part 1)

Reactions: 

ROTAN merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dari suku Calameae yang mempunyai  17 genus dan sekitar 611 spesies.  Tumbuhan ini ada dalam hutan malar hijau kawasan tropika termasuk di Malaysia dan digunakan dalam industri perabut, hiasan serta lain-lain kegunaan. Rotan di Malaysia juga sering dikaitkan dengan kegunaannya untuk ‘SEBATAN’ atau ‘Canning’ bagi banduan-banduan yang menjalani hukuman sebatan. Genus rotan adalah Calamus; Calospatha; Ceratolobus; Daemonorops; Eremospatha; Eugeissonia; Korthalsia; Laccosperma; Metroxylon; Myrialepis; Oncocalamus; Pigafetta; Plectocomia; Plectomiopsis; Raphia; Zalacca; Zalacella. Rotan jenis Metroxylon pula  sebenarnya masih satu genus dengan pokok  sagu. Sementara rotan jenis Zalacca masih satu genus dengan salak. Daripada 611 spesies rotan yang ada didunia dilaporkan paling banyak terdapat di Indonesia iaitu  sebanyak  246 spesies dimana di Malaysia (205), di Filipina (84), di Brunei (81), di Thailand (69), di India (60), di China (57), Papua New Guinea (42), Laos (29), Myanmar (27), Vietnam (21), Singapura (18), Cameroon (17), Equator Guinea (12), Bangladesh  dan Nigeria 11, Sri Lanka 10, Australia  9, Angola 8, Bhutan, Ghana dan  Zaire 7, beberapa negara di Afrika, Asia dan Asia Pasifik 5. Artikel subuh ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan rotan untuk bacaan umum.

Dari 205 spesies rotan yang ada di Malaysia didapati beberapa diantaranya merupakan rotan komersial yang kualitasnya sangat baik. Antaranya saya sering dengar Rotan Manau (Calamus manan), Rotan Lilin (Calamus javensis), Rotan Irit (Calamus trachycoleus), Rotan Jernang Besar (Daemonorops draco) dan juga Rotan Manis (Daemonorops melanochaeta). Rotan Manis mendapat nama kerana spesies ini mempunyai umbut (rebung)  yang manis dan enak dimasak sebagai sayur. Spesis batang rotan massif pula didapati  berongga seperti halnya buluh  dan banyak menyimpan air. Dalam hutan kita boleh memenafaatkan rotan manis ini dengan pucuknya dipotong dan bahagian pangkalnya juga dipotong maka dari akar akan keluar air yang segar untuk diminum. Semasa saya masuk hutan Endau di Mersing pada 1999, saya diberitahu oleh tok batin dan mendapati selain rasanya yang segar, air rotan ini juga mengandungi banyak kandungan zat yang menyihatkan dan menghilangkan kehausan. Batang rotan  merupakan komoditi  penting yang bernilai dipasaran tempatan dan antarabangsa.

Batang rotan terdiri dari kulit luar yang licin dan kuat dan biasanya digunakan untuk bahan anyaman serta bagian dalamnya yang elastik.  Batang rotan mempunyai pelbagai saiz bermula dari paling kecil berukuran 0.5 cm garispusat sehingga  sebesar 10 cm garispusat. Penggunaan batang rotan adalah berbagai daripada untuk dibuat tali, bahan anyaman berasaskan rotan (contohnya Bakul, Tikar Rotan, Langsir, Keranjang, Bekas, Hiasan Gantung, Alatan Dapur, Kerangka Lampu Tidur dan banyak lagi). Produk yang paling saya sukai adalah KERUSI ROTAN dimana selain ianya tahan dan cantik, kerusi rotan juga mempunyai pasaran diperingkat domestic dan antarabangsa yang meluas. Kalau kita pergi ke hotel-hotel 5 bintang dan orang kaya biasanya akan meletakkan kerusi diruang tamu atau lobi hotel. Kerusi rotan setti yang saya beli pada tahun 1982 masih ada sehingga sekarang…bayangkan bertapa tahannya produk berasaskan rotan. Penggunaan produk kerusi atau setti rotan mampu meningkatkan prestij kepada pemiliknya. Produk beradaskan rotan juga mempunyai harga yang sangat tinggi jika mencapai standard untuk di ekspot ke Eropah, Jepun dan Timur Tengah.



Tahap permintaan yang tinggi dan produk rotan yang ada nilai tambah menyebabkan bahan mentah rotan terus mendapat pasaran terbaik. Pengeluaran hasil rotan dari hutan simpan semakin berkurang dan perlu ada usaha untuk menanam semula rotan secara komersil di Malaysia. Pihak FRIM dan RISDA merupakan agensi yang bertanggungjawab dam industry penanaman rotan untuk dimajukan. Pada masa sekarang tidak mungkin hasil penuaian rotan harganya jatuh atau tidak boleh dijual. Terdapat dakwaan hasil dari pokok rotan diberikan harga lebih rendah dibanding rotan yang diambil dari hutan dan ini tidak betul. Penanaman rotan dibawah pokok getah di Gersik (kampong saya) dulu dikatakan agak Berjaya juga tetapi pekebun getah komplen ianya terlalu lama untuk dituai. Pemungut produk rotan dari hutan juga semakin sukar kerana semakin lama lokasi pengambilan rotan semakin jauh masuk ke dalam hutan. Kos untuk mengangkut rotan dari dalam hutan sama ada melalui darat dan sungai juga sangat tinggi. Kawasan penanaman rotan pula umumnya berada dekat dengan jalan raya maupun sungai sehingga mengurangkan kos pengangkutan. 
BERSAMBUNG....

MENCARI ROTAN ...DALAM HUTAN...
MENANAM ROTAN...BANYAK CABARAN....
DIBUAT PERABOT...HARGA TAK TAHAN....
KESELURUH DUNIA....ROTAN DIPASARKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia.
(1 Muharam 1433H)

Saturday, November 26, 2011

HEMPEDU BUMI

Reactions: 
HEMPEDU BUMI (Andrographis paniculata) adalah sejenis tumbuhan herba dari Keluarga Acanthaceae yang tumbuh subur dinegara kita serta negara jiran kita seperti Indonesia, Thailand dan India. Tumbuhan ini terkenal kerana khasiat perubatannya secara semulajadi dan kini ramai telah meminati tumbuhan ini untuk dikomersialkan penanamannya dan diproses menjadi satu makanaan kesihatan yang popular. Saya banyak melihat tumbuhan ini tumbuh menegak secara berkumpulan terutama dikawasan tanah gambut di sekitar Muar, Batu Pahat dan Pontian semasa menjalankan tugas pemeriksaan kebun petani. Saya terjumpa kebun tanaman hempedu di Batu Pahat pada tahun 2008 semasa melawat projek tanaman kelapa Matag . Nama lain tumbuhan ini adalah seperti Akar Cerita ; Akar Pahit (Malaysia), Sambiloto (Indonesia), King of Bitter ; Green Chiyaryta ; Andrographis (English), Chuan Xin Liang (China), Fa Thalai Chon (Thailand) , La Sa Bee (Laos), Kirayat (Hindi), Quasabhuya (Arab) dan Nilavembu (Tamil). Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan sebanar tumbuhan ini di Malaysia daripada sumber berkaitan. Kajian mengenai tanaman ini juga masih kurang diberikan perhatian di negara kita. Artikel tengahari ini saya menulis mengenai tumbuhan hempedu bumi untuk bacaan umum.


Pokok Hempedu Buni atau di Indonesia lebih terkenal dengan 'Sambiloto' merupakan pokok herba renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian 60-70 cm walau pun ada yang setinggi sehingga 1 meter. Daunnya berwarna hijau gelap dan berkilat serta bersisun secara bersilang. Bentuk daun heempedu bumi adalah bujur dengan agak meruncing dibahagian hijung dan nipis sedikit dibahagian pangkal. Saaiz daun bergantung kepada keadaan persekitaran dan lazimnya 7-8 cm panjang dan 2.0 - 2.5 cm lebar. Bunga agak kecil dengan kelopak unik berwarna pitih dengan warna ungu dibahagian tengahnya bergantung kepada spesis. Terdapat lebih daripada 28 spesis hempedu bumi dilaporkan dan paling banyak spesis di negara India. Biji hempedu bumi terbentuk hasil pendebungaan dan disimpan dalam kapsul berukuran 2 cm dimana didalamnya mengandungi banyak biji berwarna coklat kekuningan.


Penanaman tumbuhan hempedu bumi boleh dilaksanakan  menggunakan bahan tanaman dari BIJI BENIH atau bahan tanaman KERATAN BATANG. Pemerhatian saya semasa melawat negara Indonesia beberapa tahun dulu mendapati penanaman menggunakan Keratan Batang lebih banyak digunakan kerana mampu mengeluarkan bunga dari biji benih. Keratan yang mempunyai 3 ruas matatunas di potong dan boleh terus ditanam dikebun yang telah mempunyai sistem pengairan dan persediaan yang sempurna. Keratan mudah didapati dalam kuantiti yang banyak dan mempastikan varieti yang ditanam adalah tulin (true to type). Penggunaan biji benih hempedu bumi perlu kutip dari pokok yang telah cukup matang dan bijinya dijemur dahulu. Setelah itu benih direndam selama 24 jam kemudian disemai dalam tanah campura 1:1:1 (Tanah: Pasir:Organik) dan benih akan bercambah 7 hari kemudian. Setelah mempunyai 5 helai daun alihkan kedalam polibeg plastik kecil dan sesuai ditanam dikebuh selepas 21 hari. 
Penggunaan plastik silvershine diatas batas tanaman membantu mengurangan rumpai, kawal kelembapan tanah dan kesuburan tanaman.


Jarak penanaman yang disyorkan adalah 20 cm x 40 cm sebaiknya ditanam diatas batas kerana cara ini mudah dalam sistem pengurusan. Kawasan yang mempunyai sistem pengairan (biasanya gunakan sistem sprinkler) memberikan kadar pertumbuhan cepat dan seragam.  Pembajaan tanaman hempedu bumi secara monokrop perlu dilaksanakan dengan menggunakan baja Urea (100 kg/ha), TSP (100 kg/ha) dan KCL (50 kg/ha). Tanaman hempedu bumi perlukan banyak baja organik sebanyak 10-12 tan sehektar untuk mempastikan kadar pertumbuhan baik dan hasil yang berkualiti. Bagi tanah yang kurang bahan organik diperlukan baja organik sebanyak 15-20 tan sehektar. Tumbuhan ini sememangnya responsif dengan baja organik. Kekurangan baja organik menyebabkan pokok kurus, daun yang kecil dan banyak kandungan serat serta rendah kualiti dun dan akarnya. Penanaman hempedu bumi boleh juga dijalankan sebagai tanaman selingan bersama tanam jagung, pisang dan tanaman konta lain yang sesuai.


Pemerhatian saya daripada kebun mendapati dua masaalah penanaman hempedu bumi adalah serangan Penyakit Reput Akar (Sclerotium spp) yang menyerang bahagian akar dari mula penanaman sehingga pokok dewasa kerana patogen ini mudah menyerang pada keadaan tanah lembab. Kawalan disyorkan dengan amalan tanaman berselang-seli (Crop rotation) dan penggunaan racun kulat tidak digalakan kerana menjejaskan kualiti herba hempedu bumi. Masalah serangan Nematod (Aphelenchoides spp) di Indonesia didapati menggangu pertumbuhan tumbuhan ini dikawal dengan racun jenis Carbofuran pada kadar 2 gram/tanaman diaplikasikan ketika sebelum menanam atau peringkat awal penanaman. 


Ramai petani di Malaysia tidak mempunyai ilmu menanam hempedu bumi dengan lengkap dan perlukan latuhan khusus kepada yang baru hendak menceburinya. Hempedu Bumi adalah tumbuhan yang digunakan unuk makanan kesihatan dan kegunaan perubatan semestinya memerlukan kualiti yang tinggi serta bebas dari sisabaki racun kimia. Kajian saya menunjukkan tumbuhan ini sesuai dituai selepas 3-4 bulan ditanam iaitu apabila dilihat 50% daripada keseluruhan tanaman tersebut telah berbunga. Peringkat paling sesuai menuai adalah ketika pokok mulai berbunga dimana kandungan bahan aktif tumbuhan paling tinggi berbanding jika kurang tiga bulan masih peringkat vegetatif. Penuaian lewat melebihi 4 bulan pula berlaku pembentukkan buah dan kandungan khasiat tumbuhan sudah menurun. Cara menuai dengan memotong atau mencantas 15-20 cm daripada pucuk dan ini akan memberikan batang mengeluarkan pucuk baru. Sebaiknya elakkan daripada hempedu bumi yang dituai terdedah lama dibawah sinaran matahari atau terlalu lembab terlalu lama kerana menurunkan kualiti.


Proses seterusnya bagi tujuan komersial adalah dengan mengeringkan hempedu bumi dengan menjemur dibawah panas terik atau gunakan oven atau lain-lain mesin pengering (Dryer). Proses untuk mengekstrak dijalankan selama 12-15 jam dan kaedah ini paling sesuai untuk dijadikan produk ubatan selain daripada di jadikan serbuk debu hempedu bumi. Banyak jenis produk hempedu bumi dipasaran tempatan dan antarabangsa dengan berbagai dakwaan mengenai khasiatnya. Daun hempedu bumi ini boleh dijadikan ubat untuk menurunkan darah tinggi disamping merawat kencing manis. Cara menjadikannya ubat ialah merebus daun tersebut untuk mengambil airnya supaya boleh diminum. Daun ini juga boleh merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan letakkannya pada luka tersebut. Kandungan bahan kimia daun ini membolehkan ia memecahkan molekul- molekul lemak yang ada disekeliling salur darah yang tersumbat yang menyebabkan tekanan darah tinggi meningkat. Air rebusan daun ini yang pahit telah merangsangnya supaya memecahkan molekul lemak. Memang suatu yang tidak boleh dinafikan bahawa rasa pahit, kelat dan masam agar sukar dipisahkan dengan alam perubatan herba tempatan.Tetapi rasa sebegitu sememangnya tidak begitu menarik minat sebahagian besar masyarakat kita. Mereka lebih gemar kepada rasa manis dan masin. Pengambilan rasa manis dan masin yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit tertentu. Tetapi jika diseimbangkan pengambilan perasa-perasa itu adalah baik untuk kesihatan.. Antara herba yang mempunyai rasa pahit adalah pokok hempedu bumi (nama saintifiknya adalah Andrographis Paniculata atau pun sesetengah orang memanggilnya sebagai akar cerita. 


Pokok herba ini agak senang dicari kerana ia tumbuh di sekitar rumah, longkang ataupun kawasan semak samun yang terbiar. Mungkin ia tumbuh di kawasan sedemikian, maka sebahagian besar masyarakat hari ini kurang mengetahui khasiatnya yang agak popular bagi tumbuhan ini adalah untuk merawat penyakit darah tinggi dan juga demam. Malah, tumbuhan ini juga sesuai untuk merawat kesan gigitan serangga. Cara yang paling mudah adalah ambil beberapa helai daunnya dan hancurkan. Sapulah di tempat yang terkena gigitan serangga itu. Tetapi ia lebih popular dalam merawat penyakit darah tinggi dan demam. Cara yang sering diamalkan adalah kita perlu mengambil beberapa helai daunnya dan bersihkan terlebih dahulu. Kemudian rendam daun-daun itu dalam segelas air panas dan biarkan sehingga air panas itu menjadi suam. Selepas itu, minumlah perlahan-lahan. Rasanya agak pahit, khususnya bagi mereka yang pertama kali meminumnya. Tetapi harus ingat, sebagaimana tumbuhan herba yang lain janganlah minum kerap sangat dalam sehari. Cukup untuk minum sekali sehari.  Cubalah tanam sendiri untuk mendapatkah khasiat hempedu bumi. Boleh tanam di kawasan rumah dalam pasu dan pastikan anda menanam tumbuhan hempedu yang betul...bukan pokok lain yang bukannya Hempedu Bumi. Wasallam....


POKOKNYA RENEK...HEMPEDU BUMI NAMANYA....
SENANG DITANAM....AMAT MUDAH JAGANYA....
KHASIAT TERBUKTI...KAJIAN KLINIKAL ADA...
MARI MENANAM...'SAMBILOTO' NAMANYA...


By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(30 Zulhijjah 1432H)

Friday, November 25, 2011

PISANG TANDUK

Reactions: 
PISANG TANDUK (Musa spp. cv Tanduk) merupakan sejenis pisang dari keluarga Musaceae yang popular di tanam dinegara kita untuk tujuan pengeluaran segar dan di goreng atau diproses menjadi Kerepek Pisang Tanduk. Pisang Tanduk di tanam secara kimersial khas dalam satu kawasan atau bercampur dengan beberapa jenis pisang lain dan dikawasan dusun. Permintaan terhadap pisang tanduk meningkat ketika musim perayaan untuk diproses menjadi kerepek. Warna kerepek dan rasa lemak manis menjadikan kerepek pisang tanduk diminati ramai dengan harga mencecah RM 16.00 - RM 18.00 sekilogram di Banting dan Batu Pahat. Goreng pisang tanduk juga merupakan antara pisang goreng yang mendapat permintaan tinggi dikalangan penjual goreng pisang. Walau pun pisang tanduk jarang dimakan segar sebagai pencuci mulut selepas makan nasi tetapi saya memang minat makan pisang tanduk yang telah cukup masak. Artikel kali ini kita fahami akan pisang tanduk dari kaca mata penulis dari pengalaman yang didapati selama ini.

Tanah yang subur dengan panas serta lembab dan mempunyai saliran yang baik perlu dipilih dan pastikan bebas dari patogen merbahaya seperti Bakteria Moko (Ralstonia spp) dan sebagainya. Bersihkan kawasan penanaman dan bakar untuk mempastikan kawasan terbuka dan  cahaya matahari mencukupi bagi pertumbuhan subur. Pokok pisang tanduk akan lambat membesar dan lambat berbunga atau berbuah jika kawasan tanaman terdapat naungan. Tanah jenis lom berpasir dan kaya dengan baja organik disyorkan untuk penanaman pisang tanduk.  Pisang Tanduk tidak sesuai ditanam dikawasan yang banyak halangan seperti tanah berasid, Tanah Keras dan berbatu, Tanah  Gambut Dalam dan mempunyai paras air yang tinggi. Kawasan tanaman sebaiknya tidak ada gangguan angin kuat melebihi 15 km /jam kerana ini akan merosakan daun dan boleh menumbangkan pokok yang sedang berbuah. Tiupan angin ini juga mencederakan buah dan menurunkan kualiti buah.


Penanaman Pisang Tanduk menggunakan anak benih Sulur atau Anak Benih Tisu Kultur yang berkualiti dan dari pembekal yang dipercayai. Cara menanam pisang tanduk boleh dibuat secara Tanaman Tunggal atau Tanaman Selingan dengan tanaman kekal seperti getah, kelapa sawit, dudun durian atau pokok lain. Jarak tanaman pisang tanduk disyorkan pada jarak 3m x 3 meter memberikan densiti tanaman 1,100 pokok/ha (tanaman tunggal) dan 700 - 900 pokok/ha (Tanaman Selingan). Lubang penanaman digali berukuran 45cm x 45 cm x 60 cm dan bubuh sebanyak 12-14 kg baja organan serta 100-120 gram baja fosfat dibahagian atas dan gaulkan. Masukkan anak benih kedalam lubang penanaman dan kambus dengan menaikan sedikit pangkal pokok. 


Pokok Pisang Tanduk seperti juga jenis pisang lain mempunyai tahap responsif yang kritikal dengan program pembajaan. Tahun pertama penanaman berikan baja NPK 15:15:15 sebanyak 60-120 gram sepokok dalam 5-8 kali aplikasi setahun. Pada bulan ke 12 berikan baja NPK 15:15:15 sebanyak 150 gm/pokok, Baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 150 gram serta Kapor GML sebanyak 1 kg/pokok.  Baja buah diberikan seterusnya pada 18 bulan keatas mengikut kadar sesuai. Kawalan rumput dijalankan dengan menyembur racun rumpai jenis racun sentuh diantara barisan pokok. Kawasan keliling pangkal pokok dibersihkan menggunakan tajak dan cangkul secara manual.  Pisang memerlukan air sebanyak 8 - 12 liter sepokok sehari. Kekurangan air akan menyebabkan pokok lambat membesar dan pemasangan sistem pengairan untuk tanaman pisang hanya dibuat oleh petani yang banyak modal.


Aktiviti membuang sulur pisang tanduk yang tidak dikehendaki dengan tujuan menjarakkan penuaian hasil dalam satu-satu rumpun serta memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan dalam permakanan.  Pemangkasan peringkat awal dilakukan dengan memilih dan membiarkan satu pokok induk dan satu sulur, di peringkat pokok berumur 3 bulan bagi pisang emas dan 4 bulan bagi pisang berangan.  Seterusnya sulur-sulur lain dipangkas secara berjadual iaitu 3-4 minggu sekali dan dipilih serta dikekalkan satu lagi sulur pada umur 8 bulan bagi pisang emas dan 9 bulan bagi pisangan berangan.  Cara pemangkasan yang mudah ialah menggunakan pisau tajam untuk memotong sulur pada aras tanah. Pokok pisang tanduk yang mempunyai sulur yang banyak mudah mempunyai masaalah 'PATAH TENGKUK' akibat berat buah dan berat buah dan batang yangtidak cukup kuat selain dari serangan penyakit. 


Aktiviti perlu dijalankan dalam amalan agronomi pisang tanduk adalah membuang pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas dengan menggunakan pisau tajam dari peringkat awal penanaman.  Pelepah tersebut perlu dikumpulkan di suatu lokasi yang ditentukan diantara barisan tanaman pisang. Pokok yang condong perlu ditongkat dengan kayu atau buluh untuk menahan pokok pisang daripada tumbang atau patah tengkok kerana batang tidak dapat menampung buah yang berat.. Pembungkusan Tandan Pisang Tanduk dijalankan sebagai langkah awal untuk mengawal mutu buah pisang. Pembungkusan ini dapat mengelak gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu penyokong.  Juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa penuaian, pengumpulan dan seterusnya pengangkutan ke rumah pembungkusan. Sebelum pembungkusan, jantung perlu dipotong terlebih dahulu.  Tandan buah dibungkus dengan menyarung sehingga melepasi sisir utama dan diikat kemas.  Pada penghujung tandan dibiarkan sarung plastik berlebihan menutupi kesemua sisir pisang. Penandaan perlu dibuat selepas pembungkusan supaya tarikh penuaian dapat ditentukan semasa penebangan.

Pisang Tanduk akan mengeluarkan jantung dalam masa 7-10 bulan selepas ditanam dan buah boleh dikutip lapan minggu kemudian.  Bagi mengelakkan buah tercedera, tebang pokok pisang kira-kira 0.5 meter dari tandan buah.  Potong sedikit-sedikit sementara sebelah tangan   lagi memegang tandan pisang agar buah tidak terhempas di tanah. Buah pisang tanduk yang telah cukup mayang mempunyai warna kulit yang hijau gelap dan saiz ulurlilit 10-20 cm dan panjang sekitar 30-50 cm bergantung kepada varieti dan kaedah pengurusan penanaman. Buah yang cukup matang akan mempunyai warna kulit hijau kekuningan dengan rasa yang manis dan aroma yang wangi. Pisang tanduk digredkan mengikut saiz, bentuk, kesan serangan perosak dan tahap kematangan.

Harga Ladang Pisang Tanduk di sekitar Muar dan Melaka sekitar RM 2.50 - RM 4.00 sekilogram.  Pisang tanduk sering dijual sepanjang ditepi jalan dengan menggantungnya dan juga dijual di pasar malam dan pasar tani. Paling sedap jika digoreng dengan tepong pisang goreng Adabi dan dimakan semasa panas lagi. Pisang Tanduk Goreng dijual dengan 3-4 keping RM 1.00 dan kalau di Johor sering dimakan dengan sambal kicap. Kalau pisang tanduk yang dibeli sudah terlalu masak boleh di'lenyek' dan dibuat jemput-jemput pisang yang lazat atau juga Lempeng Pisang. Bagi membut kerepek pisang tanduk dapatkan pisang yang masih mentah tetapi tidak terlalu muda. Kerepek diproses dengan menyagat terus hirisan pisang tanduk kedalam kuali dan bubuh garam ketika sebelum dinaikan untuk ditos. Tanamlah pisang tanduk untuk mendapatkan hasil sendiri.

PISANG BESAR...PISANG TANDUK NAMANYA....
POKOK DITANAM...BANYAK MASAALAHNYA...
DI GORENG BOLEH...KEREPEK SEDAP RASANYA...
HARGANYA MAHAL...TINGGI PERMINTAANYA...

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, MAlaysia.
(29 Zulhijjah 1432H)   

Thursday, November 24, 2011

KUMBANG PALMA MERAH

Reactions: 
Kumbang Merah Palma (Rhynchophorus ferrugineus Olivier) atau lebih dikenali sebagai Red Palm Weevil (RPW) merupakan perosak tanaman jenis kelapa atau keluarga Palmae yang serius dan berbahaya. Serangga ini mula dikenalpasti menyerang disekitar Terengganu dan kini di beberapa negeri di Utara Semenanjung Malaysia telah mula dikesan. Saya difahamkan pihak berkaitan telah membuat pemerhatian kesan serangan kumbang ini dan kaedah mengawal agar tidak merbahayakan kepada industri kelapa serta tanaman potensi Palmae yang boleh diserang. Kemungkinan jika tidak dipantau kumbang ini boleh menyerang Tanaman kelapa (Cocos nucifera) serta berpotensi merebak dan mengancam industri Kelapa sawit (Elaeis guineensis) negara yang merupakan antara komoditi penting dalam sumbangannya kepada KDNK negara. Artikel malam ini saya cuba bincang dan jelaskan akan kumbang ini yang perlu diberi perhatian agar tidak mengancam industri tanaman penting di negara kita.


Sehingga kini dilaporkan bahawa ancaman kumbang merah palma ini perlu dibendung dengan segera kerana industri kelapa sawit telah  menyumbang RM50 bilion setahun kepada ekonomi negara. Kajian dan rujukan yang saya baca telah menunjukkan bahawa Kumbang Merah Palma yang tergolong dalam order Coleoptera dan Keluarga Curculionidae yang dipercayai berasal dari Asia Tropika dimana sering menyerang tanaman kurma. Juga ada di laporkan yang kumbang ini telah menyerang tanaman di beberapa buah negara lain seperti Kawasan Afrika, Eropah, India (1891), Teluk Arab (pertengahan tahun 1980-an), Sepanyol (1994), Perancis (2006) dan kini dianggap perosak paling merbahaya bagi tanaman kurma di Timur Tengah. Kumbang Merah Palma mungkin masuk negara kita melalui anak-anak pokok kelapa pandan atau kelapa untuk tanaman hiasan yang dibawa masuk dari negara jiran seperti dari Thailand. Laporan juga menunjukkan ada kemungkinan kemasukan pokok Kurma (Phoenix dectilyfera) bagi tujuan tanaman landskap yang dibawa masuk secara tidak sah tanpa memperolehi sijil atau permit import membawa bersama serangga ini melalui jalan tikus dan penyeludupan tanpa kawalan kuarantin.


Rujukkan dari buku menunjukkan yang kitaran hayat kumbang ini biasanya bermula daripada kumbang betina yang bertelur pada umbut pokok kelapa atau pangkal pelepah atau pada luka-luka yang terdapat pada pokok. Kumbang betina RPW dipercayai boleh menghasilkan sebanyak 250 telur pada satu-satu masa dalam keadaan yang sesuai terutama pada musim agak panas berpanjangan. Antara tanda serangan atau simpton awal serangan Kumbang Merah Palma diantaranya adalah seperti pucuk pokok menjadi layu kekuningan kemudian ianya jadi kering dan akhirnya akan mati. Larva berwarna putih akan mengorek keseluruhan dalam batang akan menyebabkan pelepah atau batang pokok patah dan akhirnya pokok mati. Petani yang nampak tanda serangan seperti di atas atau menunjukkan tanda- tanda serangan Kumbang Merah Palma perlu membuat tindakan segera dengan melaporkan kepada Pejabat Pertanian berdekatan untuk kawalan dan pemusnahan. Pegawai di Jabatan Pertanian telah dilatih untuk membenteras serangga ini mengikut SOP yang telah dikemaskini.


Kaedah pengawalan Kumbang Merah Palma ini sebaiknya adalah dengan pendekatan secara Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang mesra alam. Adalah penting untuk melaksanakan proses pemantauan awal keujudan kumbang ini dengan menggunakan bahan feromon (Chemical Pheromone) merupakan pendekatan kawalan yang baik dan sesuai dipraktikkan di ladang- ladang kelapa atau kelapa sawit. Bahan feromon ini perlu diletakkan dengan jarak sekitar 30 meter antara setiap perangkap. Petani saya dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan dengan cara memotong dan seterusnya dibakar. Cara ini dibuat bagi menghapuskannya daripada terus merebak. Kaedah kawalan alternatif yang boleh digunakan adalah dengan menyembur racun serangga seperti Diazinon, Carbaryl atau Nurelle. Caranya adalah dengan menyiram racun tersebut pada pelepah atau pucuk bagi kawasan pokok kelapa yang masih rendah. Jabatan Pertanian menasihatkan para petani tanaman kelapa atau kelapa sawit supaya mengambil langkah-langkah untuk mengenali kumbang ini dan menjalankan pencegahan awal bagi menggelakkan kadar kerugian yang tinggi di kemudian hari. Petani perlu tanya atau dapatkan maklumat mengenai kumbang ini dari sumber yang sah.


Kepada petani yang telah menjumpai kumbang RPW ini di kebun anda sila laporkan kepada pejabat pertanian yang terdekat untuk mengesahkan mengenai kumbang merbahaya ini bagi tujuan pengesahan dan kaedah kawalan selanjutnya. 


KUMBANG CANTIK...PEROSAK KELAPA....
PERLU DIPANTAU...ANCAMAN DIKIRA....
KAEDAH KAWALAN...BERMACAM CARA...
KALAU DAH JUMPA....LAPOR SEGERA!....


By,
M Anem
Melaka
Malaysia
(28 Zulhijjah 1432H)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA