Friday, April 29, 2011

KURMA


KURMA (Phoenix dactylifera) atau 'Date Palm' dari keluarga ARECACEAE merupakan sejenis tanaman yang hidup semenjak beribu tahun dulu di kawasan gurun di Arab Saudi, Timur Tengah dan kawasan Benua Afrika Utara yang di gunakan sebagai sumber makanan utama penduduk di negara-negara tersebut. Umat Islam yang telah pergi ke Arab Saudi pastinya tidak lepaskan peluang untuk melihat pokok-pokok kurma yang di tanam di tepi jalan dan juga di sekitar masjid-masjid serta tempat rombongan jemaah berziarah. Kita di Malaysia pun memang merupakan pengguna dan makan kurma terutama di bulan Ramadan setiap tahun sebagai hidangan yang amat di perlukan. Semasa saya ke Arab Saudi dulu pada tahun 2000 pun memang berpeluang melawat kebun kurma di Masjid Qubaa' dan amat suka membeli dan makan buah kurma segar yang dibeli dipasar kurma yang sangat lazat dan murah. Boleh kata kalau ada kesempatan akan membeli kurma segar terutama ketika di Madinah. Artikel kali ini saya akan berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kurma berdasarkan pembacaan dari beberapa buah buku dan rujukan dalam laman sesawang serta pengalaman semasa di tanah Arab Saudi pada tahun 2000 dan lawatan sambil kerja dengan Ketua Pengarah Pertanian masa itu (Dato Soffian) ke Dina Farm, Cairo di Mesir pada tahun 2005.

Pokok kurma sekali pandang macam pokok kelapa sawit yang banyak tumbuh di Malaysia dan yang tua macam pokok kelapa. Pokok kurma dipercayai berasal dari kawasan Teluk Parsi yang sesuai hidup di kawasan panas, kering yang panjang dan mempunyai sumber pengairan. Tumbuhan ini kemudian di sebarkan ke Sepanyol dari Lembah Sg Nil, Sudan dan ke benua Tropika Amerika ( Arizona dan California). Sebanyak 6.9 juta metrik tan buah kurma dihasilkan setiap tahun dengan pengeluar utama dunia iaitu Mesir (1.33 juta mt/tahun) , diikuti Iran (1.0 juta mt/tahun) dan Arab Saudi (0.89 juta mt/tahun). Negara lain yang banyak menghasilkan kurma adalah UAE, Pakistan, Algeria, Iraq, Sudan, Oman dan Libya. Semasa kita melalui padang pasir dari kapalterbang, ita akan melihat bulatan atau titik-titik hijau atau gelap diatas padang pasir dan sebenarnya itu adalah kawasan oasis yang di tanam dengan kurma atau tanaman makanan yang lain.

Tumbuhan kurma sesuai tumbuh di kawasan yang mempunyai iklim yang panas serta kering dalam waktu cukup panjang untuk pengeluaran bunga serta proses pendebungaan dan pembentukkan buah. Ianya perlukan suhu melehihi 30 darjah selsius atau lebih tinggi lagi. Kajian mendapati pokok kurma juga tahan pada suhu sejuk walau pun jatuh atau kurang dari 0 darjah selsius. Pokok kurma sesuai hidup dalam pelbagai jenis tanah walau pun sangat beralkali asalkan kering dan 'aerated' dan tidak sesuai dikawasan lembab. Dikawasan yang ada sumber air bumi akan di pam naik sesuai untuk tanaman kurma sehingga timbul peribahasa " Pokok kurma perlukan air dikakinya dan panas terik (fire) di atasnya untuk hidup'. Pokok kurma yang di tanam di Bulatan Sg Abong Bandar Maharani (Muar) Johor dulu sering menghasilkan buah berwarna kuning tetapi tidak sempat masak betul dan kini telah di tebang pada tahun 2007 kerana di buat kedai...sayang sungguh!

Pokok kurma tumbuh menegak dengan batang yang juga seperti batang kelapa sawit setinggi 15-25 meter. Pokok ini tidak bercabang bagaimana pun ada tunas anak yang keluar dari pangkal pokok. Anak pokok ini di potong untuk di buat anak benih atau bagi meningkatkan kesuburan pokok. Akar pokok kurma adalah akar serabut yang berwarna coklat gelap dan panjang seperti tali dari perdu pokok. Akar ini tersebar di atas tanah keliling pokok dan panjang yang kadang-kadang berlaku simbiosis dengan Kulat Mycorhiza. Daun yang tumbuh menyerupai 'payung' di bahagian pucuk mempunyai purata 100 helai daun iaitu 10-20 lai daun setiap pelepah. Pelepah keluar secara SPIRAL dengan daripada bahagian apikal yang aktif. Pelepah dewasa sepanjang 3-7 m panjang berwarna hijau kelabu dan tebal serta tangkai yang keras yang tirus dihujungnya. Panjang Lai daun 20-40 cm setiap satu dengan kedudukan bersilang yang mempunyai bilangan, saiz dan ukuran berbeza-beza mengikut varieti.

Pokok kurma jenis 'dioecious' walau pun pokok jantan dan betina nampak serupa. Pakar akan dapat membezakan pokok jantan dan betina semasa pokok kecil atau tampang. Bunga Jantan dikeluarkan sebanyak 100-150 jambak berukuran sepanjang 12-15 cm sementara jambak bunga betina kecil sedikit iaitu berukuran 30-50 cm sahaja. Jambak ini ditutupi dengan lapisan upeh sebelum terbuka. Apabila cukup masa, bunga betina keluar dengan 6 'perianth segments' berukuran 1 cm panjang yang ada 6 stigma. Pendebungaan kurma dijalankan dengan cara berbantu oleh manusia. Petani lelaki akan memanjat pokok dengan menggunakan tangga dan menyemburkan debunga kepada bunga betina. Kadar pokok ialah dimana 1 pokok jantan boleh digunakan debunga untuk 100 pokok betina secara komersil. Debunga yang dikutip boleh disimpan selama beberapa tahun dan masih segar untuk proses pendebungaan dengan kaedah penyimpanan yang betul. Jika berlaku 'pendebungaan silang' akan menjejaskan kualiti dan keseragaman buah yang dihasilkan.

Selepas proses pendebungaan , petani akan mempastikan tangkai jambak tersebut akan membengkak membentuk buah. Setiap jambak dan tandan biasanya ada 10-30 tangkai buah yang ada beberapa biji buah kurma (Lihat foto sebelah). Buah kurma adalah mempunyai satu biji benih dikelilingai dengan isi dan kulit buah yang sangat manis berukuran 2-8 cm panjang dan 6-8 mm garispusat bergantung kepada varieti. Buah muda berwarna kehijauan akan bertukar kepada kuning, merah dan merah gelap kehitaman jika cukup matang. Buah kurma mengandungi glukos, fruktos dan sukros yang sangat tinggi dalam isi buah. Bahan ini memberikan tenaga yang sangat tinggi kepada manusia iaitu sebanyak 230 kcal (760 kJoule) dan banyak Vitamin C untuk kesihatan jika di makan segar.

Terdapat 3 jenis kurma yang di tanam iaitu Jenis Lembut (Soft - Varieti Barhee, Halawee, Kadrawy dan Medjool), Jenis Separa-Kering (Semi-Dry - Varieti Dayri, Daglet Noor dan Zahidi) serta Jenis Kering (Dry - varieti Thoori). Penanaman kurma boleh menggunakan biji benih yang disemai dimana kaedah akan ini memberikan 50% pokok betina dan sebahagian lagi pokok jantan. Lazimnya baki penanaman akan menggunakan keratan atau sulur pokok betina biasanya dari varieti Medjool yang buahnya berkualiti dan manis. Pokok kurma yang ditanam dengan keratan akan akan berbuah selapas 2-3 tahun di tanam dan dijaga amalan agronominya. Isu kawalan rumpai tidak ujud dikawasan tanaman kurma tetapi pembajaan perlu dijalankan. Antara penyakit yang menyerang pokok kurma adalah serangan Penyakit Bayoud disebabkan kulat jenis Fusarium oxyporium.

Buah kurma yamg masak akan dituai dalam 4 peringkat mengikut amalan tradisi di Saudi Arabia. Peringkat pertama apabila Masak Muda (Unripe - 'Kimri' dalam bahasa arab), Masak (Full size - 'Khalal'), Matang (Ripe - 'Rutab') dan Masak Kering (Sun dried - 'Tamar'). Saya sejak kecil cuma faham dan dengar 'BUAH TAMAR' sahaja, rupa-rupanya ia dari kategori keempat iaitu buah kurma yang telah masak kering diatas pokok atau telah diproses menjadi buah kurma kering. Bagaimana pun pun kini saya dah dapat makan kesemua 4 kategori buah kurma tersebut semasa di Arab Saudi dan di Mesir. Kandungan air dalam buah kurma adalah sedikit sahaja dan apabila buah kurma dikeingkan dibawah sinaran matahari maka kandungan vitamin C akan berkurangan.

Pokok kurma akan berbuah selepas 4-7 tahun selepas ditanam diladang. Cepat atau lambat pokok berbuah bergantung kepada kaedah penjagaan, keujudan bekalan air pokok, penjagaan dan varieti yang ditanam. Lazimnya pokok akan dituai hasilnya secara komersil selama 7-10 tahun sebelum pokok jadi terlalu tinggi dan dibuat penanaman semula. Pokok yang tinggi sukar untuk membuat proses pendebungaan dan pengutipan hasil kelak. Pokok kurma dewasa mampu menghasilkan sebanyak 80 - 120 kg buah sepokok satu musim walau pun proses menuai tidak serentak (berperingkat2). Buah yang matang dikutip akan yang belum matang akan di bungkus semula untuk mengelakkan serangan burung. Kebanyakan buah yang di ekspot keluar negara adalah buah kurma jenis kering dan ianya tahan lama dalam penyimpanan. Buah segar boleh di beli di Hypemarket di Malaysia tetapi...Harganya sangat mahal.

Khasiat dan kegunaan buah kurma memang tidak perlu cerita lagi. macam-macam produk berasaskan kurma di hasilkan daripada produk minuman, serbuk, sirap, jus, kordial, kosmetik, makanan kesihatan dan lain-lain. Buah kurma dipercayai dapat menyembuhkan demam, batuk, diaheria, mengurangkan kepanasan badan dan banyak lagi. Kandungan Tanin yang tinggi didapati mampu membersihkan saluran usus penghadaman dan melancarkan pengaliran darah. Walau pun di luar bulan ramadan agak sukar untuk dapatkan buah kurma, tetapi jika kempunan boleh beli dibeberapa outlet di Malaysia...Tunggulah bulan Ramadan nanti, akan melambak-lambaklah buah kurma di jual dan yang best sekali dapat free...

POKOK SAWIT....POKOK KURMA....
DARI JAUH...MACAM IANYA SAMA..
BUAH SEGAR ...AMAT LAZAT RASANYA...
KENA PERGI LAGI ..KESAUDI ARABIA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(12 Ramadan 1433H))

Thursday, April 28, 2011

LIMAU MANDARIN


LIMAU MANDARIN (Citrus recticulata) merupakan sejenis limau yang banyak di tanam dan di makan oleh penduduk dunia. Limau ini adalah dari Keluarga RUTACEAE. Limau ini mendapat permintaan tinggi diantara beberapa jenis limau kerana rasanya yang manis, senang di kupas, banyak jus, tahan penyimpanan dan mempunyai teknologi yang lengkap untuk pengeluaran besar-besaran secara komersial dinegata tertentu. Limau Mandarin juga di panggil sebagai Tangerine, Satsuma, Clementine, Kinnow, Tagor , Sweet orange, Naranjita (Filipina), Mandarina (Sepanyol), Chinese Mandarin dan banyak lagi. Pengeluaran limau mandarin didunia lingkungan 27-30 juta metrik tan setahun dengan Negara China mengeluarkan sebanyak 16.5 juta mt setahun (54% pengeluaran dunia) diikuti dengan Sepanyol (1.97 juta mt) dan Brazil (1.2 juta mt setahun). Negara lain yang banyak mengeluarkan limau mandarin adalah seperti Jepun, Morocco, Korea Selatan, Mesir, Turki, Iran, Thailand dan Pakistan. Keluasan tanaman Limau Mandarin di Malaysia dianggarkan sekitar 140-160 hektar CHE sahaja walau pun 10 tahun dulu keluasan tanaman ini mencecah lebih dari 500 hektar. Artikel ini saya akan bincang dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman limau mandarin dari pembacaan beberapa buku teknikal, laman sesawang dan pengalaman penulis dalam bidang pertanian selama 32 tahun.

Rakyat di Malaysia tidak hairan dengan Limau Mandarin kerana setiap Tahun Baru Cina berjuta-juta limpahan Limau ini di edarkan dan dijual di tepi jalan, kedai buah, supermarket dan kedai buah tradisional di seluruh pelosok tanahair. Harga limau ini sekitar RM 20 - RM 40 setiap satu crate bergantung kepada varieti, saiz, brand, kesegaran, masa dan juga jenis pembungkusan. Semua kaum di Malaysia membeli dan makan buah ini dan juga di agihkan oleh kaum cina sebagai 'angpau' sempena perayaan tersebut. Pernahkan kita terfikir bagaimana berjuta-juta limau tersebut ditanam dan di ekspot keseluroh dunia dari negara China sebagai satu komoditi penting dari negara tersebut?. Berapa luaskah ladang limau mandarindi tanam di negara China sebagai pengeluar lebih separuh dari keperluan limau mandarin dunia?. Apakah teknologi yang di gunakan sehingga limau tersebut boleh di hasilkan berlipat kali ganda semasa perayaan 'Kong Hi Fat Choy'.


Limau Mandarin di percayai berasal dari kawasan Asia Timur Selatan iaitu Filipina, Selatan China, Jepun dan juga Australia Utara. Dua jenis limau dibawa dari Canton ke England pada 1805 dan kemudian disebarkan di kawasan Meditrenean serta Italy pada 1840 sebelum di jadikan tanaman diminati dikawasan tersebut. Penanaman limau mandarin di perluaskan ke Amerika dan Amerika Selatan pada tahun 1908 dimana ianya menjadi komoditi penting di usahakan di sekitar Kansas, Alabama dan beberapa Negara seperti Brazil,Canada Mexico sehinggakan berlaku limpahan bekalan pada tahun 1970-1972. Pokok Limau Mandarin lebih tahan pada cuaca sejuk dan juga panas atau kemarau panjang berbanding Limau Oren.


Penulis di ladang Limau Tangerine 

Dina Farm, Cairo, Eygpt (120 km ke Iskandariah).

Jenis Limau Mandarin dikategorikan mengikut 3 pengelasan (3 clases) iaitu Kelas 1, Kelas 2 dan Kelas 3. Jenis Kelas 1 iaitu MANDARIN mempunyai beberaapa jenis iaitu Changsa, Le-dar, Emperor, Oneco dan Willow Leaf. Jenis Kelas ke 2 ialah Kelas TANGERINE yang terdiri dari jenis Clamentine, Cleopatra, Dancy, Ponkan, Robinson dan Sunburst. Kelas ke 3 di panggil SATSUMA (Kadang2 dipanggil 'Emerlard Tangerine') iaitu jenis Owari, Wase dan Kara. Di Malaysia ada 6 varieti atau klon Limau Mandarin telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian semenjak 1937. Varieti tersebut adalah Klon M17 (nama tempatan ialah Mandarin Oren) didaftarkan pada 25.10.1937 ditanam di Raub, Pahang. Klon M26 didaftarkan pada 25.2.39 ditanam di Kuantan, Pahang oleh En Khoon Choon. Klon M 28 (Nyor) didaftarkan pada 30.10.1948 oleh Jabatan Pertanian Air Hitam, Johor. Klon M 31 (Lin Siew) didaftarkan pada 6.10.1956 oleh En Tai Hin ditanam di Kg Sri Lalang, Kluang, Johor. Klon M 32 (Pt Haki Limau Manis) didaftarkan pada 27.11.1956 di Bakri, Muar, Johor. Klon M 33 (Limau Wangi Malaysia) didaftarkan pada 24.7.1989 oleh Robert Wong Sai Kow di tanam di Jementah, Segamat, Johor. Limau M 33 pernah menjadi tanaman luas pada awal tahun 1990'an dimana saya juga ada membeli benih tersebut dari En Robert Wong.

Penanaman limau ini perlukan anak benih dari sumber yang disahkan dari segi varieti dan sumber bahan tanaman. Anak benih limau mandarin lazimnya menjalani 2 peringkat penyediaan iaitu penyediaan Pokok Penanti dan Mata Tunas dari induk yang di sahkan. Pokok dari limau masam agak tahan serangan Reput Akar (Phythopthora parasitica). Jarak tanaman yang di syorkan adalah 6m x 6m untuk memberikan kepadatan sebanyak 260 pokok sehektar. Kawasan kebun mestilah dari kawasan tanah lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Pokok limau tidak tahan di tanam dikawasan yang mudah banjir atau paras air dalam tanah tinggi. Lubang penanaman di gali dan isikan dengan baja organik seminggu sebelum tanam dan gaulkan. Semasa menanam bubuh CIRP atau MOP untuk menggalakan pertumbuhan.

Kawasan kebun limau akan lebih baik jika mempunyai sistem pengairan sempurna. Jika menanam di kawasan tanah rendah yang rata di syorkan buat batas atau busut di tapak pokok setinggi 1-3 kaki. Pokok dibaja dengan baja organik dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 20-40 gram sepokok pada tahun pertama dan ditambah mengikut peringkat umur. Baja Buah NPK 12:12:17:2 diberikan untuk menggalakkan pembungaan dan pengeluaran buah. Kawalan rumpai dijalankan dengan manual atau racun rumpai diantara barisan pokok. Sebaiknya elakkan menggunakan racun rumpai di bawah kanopi pokok limau sebaliknya gunakan cangkul atau tajak.

Tanaman limau mandarin di Malaysia mempunyai banyak masalah serangan serangga perosak dan Penyakit semenjak awal penanaman sehingga peringkat menuai. Lembah Limau Terengganu yang luasnya beribu ekar yang dibangunkan kini menjadi sejarah kerana masaalah serangan Penyakit Citrus Greening Disease (CGD) serta banyak masaalah lain. Saya amat teruja pada tahun 1990'an apabila melawat projek tersebut pada peringkat awal penanaman yang subur dan meyakinkan. Pelbagai usaha dan teknologi dicari untuk mengatasi pelbagai masaalah tanaman limau tetapi belum mendapat kaedah terbaik bagi pembangunan Industri Tanaman Limau. Kawasan Samarahan dan Asajaya di Kuching Sarawk juga pernah menjadi pengeluar utama limau manis di Malaysia tetapi telah merudum akibat serangan penyakit. Kajian literature mendapati tanaman limau merupakan tanaman yang paling mudah di serang pelnagai serangga perosak dan penyakit. Rujukan dalan internet menyenaraikan berpuluh malahan beratus jenis serangga perosak dan penyakit mengikut kawasan penanaman.

Limau ini akan di tuai hasil selepas 3-4 tahun di tanam di ladang. Pokok yang ditanam dengan menggunakan anak benih tut dapat mengeluarkan hasil 2.5-3 tahun selepas ditanam. Bunga akan keluar mengikut musim dan buah muda yang akan berwarna hijau akan bertukar menjadi kuning oren cerah apabila masak. Buah yang di petik mengikut indek kematangan untuk tujuan jualan domestik atau jualan ekspot keluar negara. Buah di petik bersama tangkai sebaiknya untuk memanjangkan lagi jangkahayat buah. Buah di kumpulkan dan digredkan mengikut saiz, berat dan warna. Keseragaman buah akan memberikan keuntungan kepada petani. Buah yang terlalu masak akan di proses untuk dijadikan jus atau kordial minuman. Buah akan disimpan dalam bilik suhu sejuk dan tahan untuk beberapa bulan penyimpanan.

Industri tanaman limau mandarin atau Tangerine di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan negera jiran Thailand yang tersenarai sebagai 10 negara pengeluar utama Limau Mandarin. Banyak kajian dan R&D perlu dijalankan oleh MARDI dan swasta bagi mendapatkan teknologi dan klon yang sesuai di bangunkan di iklim Malaysia. Malaysia mengimpot berjuta ringgit setahun Limau Mandarin setiap tahun dan harga limau impot yang murah tidak menjamin berterusan. Malaysia perlu mempastikan tanaman limau ini dijalankan pada masa akan datang.

LIMAU MANDARIN...MANIS RASANYA....
KURANG DITANAM...APA MASAALAHNYA...
BANYAK DI IMPOT...MURAH HARGANYA...
BULAN FEBUARI...MELIMPAH PESTANYA....


By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11
Putrajaya
Wilayah Persekutuan
Malaysia
(Sabtu 11.11 malam - Kemaskini pada 17 Julai 2013)

Monday, April 25, 2011

LIMAU LEMON



LIMAU LEMON (Citrus limon) adalah sejenis buah dari kumpulan Limau atau Citrus dari keluarga RUTACEAE yang digunakan sebagai sumber untuk vitamin C dalam minuman, makanan dan juga boleh diproses untuk pelbagai kegunaan lain. Ramai orang Malaysia tidak pasti perbezaan antara Limau Nipis (Citrus aurantifolia) dengan Limau Lemon (Citrus limon) kerana nama dan buahnya mungkin macam serupa dan juga cara penggunaannya juga agak sama tujuannya. Limau Lemon lazimya mempunyai buah yang berwarna kuning apabila cukup masak dengan bentuk bulat bujur sementara limau nipis tetap hijau. Keluasan tanaman limau lemon di Malaysia tidak dapat dipastikan keluasannya tetapi saya menganggarkan lingkungan 200-240 hektar CHE. Ini berdasarkan kepada keluasan keseluruhan tanaman limau di Malaysia seluas 4,200 kektar pada tahun 2010 dengan penghasilan sebanyak 18,620 mt (Sebahagian besar adalah limau manis). Artikel ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai teknologi penanaman limau nipis berdasarkann pembacaan dan pengalaman penulis selama 30 tahun dalam bidang agronomi.


Tumbuhan limau lemon seperti pokok limau yang lain merupakan pokok jenis saka yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dan rimbun dengan ketinggian sehingga 5-7 meter. Daunnya berbentuk tirus dengan susunan bersilang berwarna hijau gelap. Dahan terbentuk dengan merimbun dan menghasilkan kanopi yang seimbang. Bunga Limau Lemon mempunyai 3-6 kelopak yang berwarna putih dengan stamen dan stigma ditengahnya. Pendebungaan dijalankan oleh serangga dan bunga limon memang mengeluarkan nektar manis. Buah Limau Lemon berbentuk bulat bujur dengan mempunyai bucu buah yang unik dan ada bonjolan. Buah lazimnya berwarna hijau pekat ketika muda dan bertukar kepada warna kuning kuat yang sangat menarik. Akar pokok mempunyai akar tunjang yang kukuh dan juga akar serabut.

Limau Lemon adalah sejenis limau yang sangat digemari di negara ini untuk kegunaan sebagai air minuman dan juga untuk dicampur dalam masakan. Buahnya sederhana besarl dan bulat bujur berukuran 2.5cm – 5 cm garispusat. Kulitnya berkilat dan licin dan isinya berwarna hijau keputihan atau kekuningan, berair tetapi masam. Kandungan pH atau kemasaman buah lemon lingkungan pH 2 - pH 3 iaitu sangat masam. Tanaman ini sesuai ditanam dengan iklim yang panas dan lembab seperti di negara kita. Tanah yang sesuai adalah dari pelbagai jenis tanah tetapi didapati lebih subur ditanam di atas tanah jenis lom berpasir. Tanaman ini mesti ditanam dikawasan yang mempunyai saliran sempurna kerana ianya tidak tahan dengan banjir. 

Limau Lemon senang dibiakkan melalui biji tetapi biasanya ia dibiak secara tampang iaitu secara tut. Benih ini ada di jual di nurseri swasta dengan anggaran harga antara RM 5.00 - RM 12.00 sepokok bergantung kepada saiz pokok varieti. Jika anakbenih dibiak secara tut maka biasanya pokok-pokok mengeluarkan buah lebih awal iaitu 2-3 tahun berbanding dari biji benih hingga 4-5 tahun. Ini juga dapat mengelakkan serangan nematod dan Citrus Greening Disease yang perlu di elakkan pada peringkat awal lagi. Pastikan membuat kajian awal mengenai kualiti anak benih tanaman agar sesuai ditanam. Sebaiknya dibuat busut atau batas penanaman jika kawasan kebun adalah tanah rendah seperti di atas bekas tanah sawah.Tanah baru di teroka perlu dibajak dulu dan berikan baja organik. Pemasangan sistem pengairan samaada sistem pengairan titis atau sistem renjis akan meningkatkan kesuburan tanaman.

Limau Lemon diladang dibuat dengan jarak tanaman yang sesuai untuk limau ini iaitu 6 m x 6 m. Ia boleh di tanam dalam susunan empat segi sama. Ini menjadikan jumlah pokok sehektar sebanyak 270 pokok. Gali lubang sebesar 0.4m x 0.4m x 0.2m. Campurkan 10 hingga 12 kg baja organik atau organan ke dalam lubang. Baja CIRP atau MOP juga diberikan untuk menggalakkan pengakaran. Siram sejurus selepas menanam. Penyiraman boleh dibuat 1-2 kali sehari selama 2-3 bulan pertama. Selain daripada itu pembajaan juga dilakukan dengan menggunakan baja organan seperti tahi lembu. Kadar pembajaan awal yang disyorkan adalah sebanyak 30 - 40 kg/ pokok/ tahun boleh digunakan bagi peringkat tumbesaran (umur pokok 1-3 tahun) dan 40 - 60 kg /pokok /tahun selepas pokok-pokok mula berbuah.

Cantasan untuk membuang pucuk-pucuk air, ranting-ranting mati dan ranting-ranting yang tidak dikehendaki adalah kritikal dan sangat perlu dilakukan. Pembentukkan dahan pokok dijalankan sejak peringkat awal dengan teliti agar pokok mempunyai dahan yang seimbang. Potong menggunakan 'gunting atau scateurs' jika dahan bersaiz kecil atau 'gergaji cantasan' bagi dahan bersaiz besar. Kawalan rumpai dijalankan dari peringkat awal penanaman dimana bagi pokok-pokok muda dimana kerja-kerja merumput hendaklah dilakukan dengan mencabut atau menggunakan cangkul dikeliling pokok. Bila pokok sudah cukup besar dan matang kaedah kawalan rumpai secara kimia boleh dijalankan dengan menggunakan racun rumpai. Pastikan menyembur racun rumpai dengan kadar yang disyorkan. Elakkan menggunakan raun rumpai jenis sistemik.

Pembajaan pada pokok limau lemon penting dijalankan menggunakan dua jenis campuran baja kimia yang boleh digunakan iaitu Baja NPK jenis Baja Tumbesar iaitu NPK Mg (15:15:6:4) dan Baja Buah iaitu NPK Mg (12:12:17:2). Cara membaja bagi baja tumbesaran dengan kadar yang diberikan sebanyak 0.3 kg/pokok ( Tahun 1), 0.5 kg/pokok (Tahun 2) dan sebanyak 1.0 kg sepokok (Tahun 3) dengan aplikasi 3 kali setahun. Bagi membaja dengan Baja Buah, kadar yang diberikan adalah sebanyak 1.5 kg/pokok (Tahun 4), 1.8 kg/pokok (Tahun 5) dan 2.0 kg (Tahun 6). Kadar pembajaan selepas 6 tahun keatas sebanyak 2.5 kg/pokok/tahun. Penggunaan baja foliar juga boleh diberi mengikut kesesuaian. Baja Kimia NPK di tabur di sekeliling pokok di bawah hujung julai daun. 

Antara masaalah serangan serangga dan perosak tanaman Limau Lemon adalah Penyakit CGD (Citrus Greening Disease), Penyakit Kanker Batang, Penyakit Antraknos (Buah dan Daun) yang perlu dikawal dengan cara bersepadu dan racun kimia. Serangga perosak adalah seperti Cengkerik, Cacing Nematod (Meloidogyne spp), Aphid, Koya, Semut dan sebagainya. Kawasan yang lembab, tanaman terlalu padant dan kurang di buat cantasan mudah di serang oleh musuh dan penyakit. Buah-buah yang masak dan gugur perlu di kutip dan di buang untuk elakkan menjadi perumah kepada perosak.

Pokok mula berbuah antara umur 2-3 tahun iaitu bagi pokok-pokok yang ditanam dari anak tut. Hasil antara 12 -15 kg/pokok/tahun boleh diperolehi. Buah yang matang berwarna kuning cantik dan dipetik menggunakan pisau tajam dan di kumpulkan. Bersihkan dan cuci (Jika kotor) dan buat pengreddan mengikut saiz dan buang buah yang cacat serta tidak unifom. Sebaiknya hantar kepada pembeli seberapa segera bagi mempastikan kesegarannya. Berat buah akan berkurangan jika disimpan agak lama. Buah limau Lemon tahan sehingga 10-14 hari dalam keadaan biasa dan lebih lama jika di simpan dlam bilik sejuk. Kajian dan pemerhatian penulis mendapati jangkamasa ekonomi bagi pokok yang ditanam dari anak tut adalah dalam lingkungan 10 tahun. 

Jus limau lemon merupakan minuman yang paling sedap apa lagi kalau di sediakan dengan ais ketika tekak terlalu dahaga. Apa lagi kalau minuman dapat free... Minuman jus lemon yang dicampur dengan sedikit gula dan kadar kemasaman sederhana serta dihidangkan bersama sedikit keratan lazim di hidangkan di hotel lima bintang, restoran, jamuan makan VVIP dan sebagainya. Minuman ini mengandungi vitamin C yang sangat tinggi dan juga asid citrik yang menyihatkan manusia. Limau Lemon ini juga digunakan sebagai buah untuk perubatan sama ada untuk perubatan tradisional atau perubatan moden. Diharap pada masa akan datang banyak lagi maklumat mengenai limau lemon untuk pengetahuan semua.

LIMAU LEMON...CANTIK KUNINGNYA....
RASA MASAM....BANYAK KHASIATNYA...
DIBUAT JUS....BERSAMA AISNYA....
MENGHILANG DAHAGA...BESTNYA...

By,
M AnemRoom 256, Hotel Selesa,
Port Dickson, Negeri Sembilan
Malaysia
(Kemaskini pada 4 Disember 2012)

Saturday, April 23, 2011

PEGAGA EMBUN

PEGAGA EMBUN (Hydrocotyle sibthorpioides Lamk) adalah sejenis pengaga dari keluarga UMBELLIFERAE yang digunakan sebagai ulam dan sebagai tanaman untuk tujuan kesihatan dan perubatan. Tumbuhan ini dipercayai berasal daripada kawasan tropika dan subtropika terutama di kawasan Asia Tenggara. Tumbuhan ini juga di panggil sebagai Lawn Pennywort (English), Tikin ; Antanan Leutik Andem (Indonesia), Pegaga Embun ; Ulam Gunung (Malaysia), Tomtomon ; enit ; Kanapa (Filipina) dan ya-kleithoi (Thailand). Walau pun saya dah tulis artikel mengenai PEGAGA (Centella asiatica) tetapi saya dapati tumbuhan ini adalah berbeza. Artikel ini saya cuba buat entri mengenai Pegaga Embun atau Ulam Gunung berdasarkan sebuah buku lama yang saya jumpa di perpustakaan di terbitkan pada tahun 1980 untuk bacaan anda semua.

Tanaman Pegaga Embun atau Ulam Gunung ini seakan-akan pegaga biasa tetapi jarang di tanam sebagai tanaman komersial. Tidak ada data mengenai keluasan yang ditanam atau maklumat pengeluaran kerana ianya hanya digunakan secara skala kecil dan tradisional. Tanaman ini juga di kenali dengan nama bontanikal lain iaitu Hydrocotyle rotundifolia (!800) dan Hydrocotyle benguentesis (1909) dan Hydrocotyle delicata (1909) iatu jenis yang liar. Walau pun ada yang mengatakan tumbuhan ini sebagai 'rumpai' dan didakwa membantu dalam mengurangkan kadar hakisan tanah di kawasan lereng curam. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai tanaman hiasan untuk tujuan landskap di kawasan yang sesuai.

Kandungan zat permakanan tumbuhan Pegaga Embun tidak dibuat kajian lagi tetapi kajian mengenai kegunaan untuik perubatan pernah di jalankan di Jepun dimana di dapati banyak kandungan 'essential oil' didalamnya seperti komponen terpenoid. Kandungan lain seperti trans-beta-farnesence, A-Liganan, L-sessamin dan caffeoyglgalactoside. Tumbuhan ini mudah tumbuh dikawasan terbuka atau dibawah sedikit naungan terutamanya di kawasan lembab. Lokasi ia tumbuh seperti di tebing sungai, antara batuan dalam hutan, laluan di taman, didinding dan juga dicelah-celah tanaman kontan.

Tumbuhan Pegaga Embun ini adalah jenis herba yang menjalar sepanjang 50 cm. Bantangnya adalah stolon yang mempunyai ruas dan 'nodes' yang agak lembut dan mengeluarkan akar diantara ruas. Daunnya adalah berwarna hijau susunan bersilang berukuran 0.3 cm x 2.5 cm panjang berbentuk bulat dengan 5 segi. Bentuk daun agak berbagai-bagai mengikut lokaliti dan juga spesis tersebut. Bunganya berbentuk Umbell dengan 5-15 bunga didalamnya dan dari jenis biseksual. Buah adalah jenis schizocorp padat dengan 2 one-seeded mericarp dan berwarna kuning atau coklat berukuran 1 mm x 0.8 mm dan mempunyai rerambut.

Pembiakan tanaman pegaga gunung boleh menggunakan Keratan Stolon atau juga biji benih. Walau pun tumbuhan ini jarang-jarang di tanam sebagai sayuran komersil tetapi kepentingannya masih ujud. Lazimnya di Indonesia, Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain memungut hasil pegaga embun di kawasan kebun ubi kayu atau tanaman makanan yang lain. Tumbuhan ini juga di ragut oleh ruminan sebagai makanan mereka. Prospek tanaman ini ditanam didalam pasu atau pot di sekeliling rumah boleh dijalankan melalui kempen kesedaran dan kepentingan tanaman ini dalam pemakanan untuk kesihatan sebagai ulam-ulaman. Kandungan zat permakanan dipercayai memberikan kelebihan pegaga gunung untuk di tanam secara kecil-kecilan.


ULAM GUNUNG....DIPANGGIL PEGAGA EMBUN....
JARANG DI KOMERSIL....SEMUA MAKLUM....
RAMAI TIDAK KENAL....MAKAN PUN BELUM...
KALAU DAH KENAL...TANAM DI KEBUN.....

By,
M Anem
Putrajaya
Ahad (11.50 pagi)
Malaysia

GAMET (Rosel Palsu)

GAMET (Hibiscus acetosella) adalah sejenis tumbuhan yang di gelar ' Rosel Palsu' dan hampir serupa dengan Roselle Sebenar (Hibiscis sabdariffa) dari keluarga MALVACEAE yang boleh tumbuh dikawasan tropika seperti di Afrika, Amerika Selatan dan juga kawasan Asia Tenggara termasuk di Malaysia. Nama lain bagi rumbuhan ini adalah False Roselle ; Red Leaf Hibiscus ; Cranberry Hibiscus; Bronze Hibiscus (English), Fausee oseille de Guinea (Perancis) dan Gamet (Indonesia). Tumbuhan ini dipanggil 'Gamet' di Indonesia dimana pucuk dan daun muda digunakan sebagai 'sayur salad' atau ulaman yang di makan dengan nasi putih. Rasanya yang masam dan agak berlendir memerlukan beberapa bahan perasa lain yang sesuai ketika memakannya seperti garam atau bahan lain. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai tanaman hiasan dan daunnya yang berwarna merah serta bunga yang menarik menjadikan tumbuhan ini adalah ornamental tang sesuai untuk landskap. Artikel ini saya berkongsi maklumat tumbuhan gamet ini untuk tatapan pembaca.


Tumbuhan yang dipercayai berasal dari Angola dan Zaire di Afrika ini juga terdapat tumbuh liar di Asia Tenggara. Pokok tumbuh menegak dengan bercabang sama ada jernis herba atau parennial jangka pendek dengan ketinggian 0.5-2.5 meter. Keseluruhan pokok berwarna merah gelap dengan daunnya yang susnan bersilang berukuran 0.5-10 cm panjang berbentuk lebar atau binocular-ovate dengan tepi daun yang bergigi tajam (Lihat foto sebelah). Bunga Gamet berbentuk kembang seperti bunga raya dengan 6-8 kelopak berwarna wine-red atau merah cerah berukuran 1-2 cm panjang dan ada nektar ditengahnya. Bunga ini digunakan sebagai salad di kawasan Amerika dengan rasa masam dan warna menarik jika di campur dengan jenis salad lain.


Buah Gamet adalah jenis kapsul yang berukuran 1-2.5 cm x 1-1.5 cm berbentuk 'densely tuberculate', hispid dan mengandungi biji benih yang banyak yang berwarna juga Merah Gelap. Biji tumbuhan ini berbentuk reinform atau globular berukuran 3-5 mm garispusat berwarna coklat gelap. Bunga gamet menjalankan pendebungaan sendiri (self pollination) walau pun berlaku juga pendebungaan silang (cross pollination). Kultivar paling banyak di tanam sama ada untuk kegunaan manusia atau sebagai tanaman hiasan adalah jenis ' Red Shield' yang hampir keseluruhan tumbuhan tersebut berwarna merah (Lihat foto dibawah). Terdapat juga jenis gamet liar (Hibiscus surattensis) yang tumbuh untuk dikutip sebagai sumber fiber di Afrika dan Asia Tenggara.


Penanaman Gamet lazimnya menggunakan biji benih tetapi juga boleh di biakkan dengan KERATAN. Oleh kerana belum ada usaha menanam tumbuhan ini secara komersil untuk hasil produk pertanian maka tidak ada kajian bertulis mengenai Amalan Agronomi seperti jarak tanaman, pembajaa, kawalan musuh perosak dan penyakit serta kaedah pengutipan hasil. Bagi Rosel Sebenar (Hibiscus sabdariffa) telah di komersilkan di Malaysia semanjak dulu lagi dan Jabatan Pertanian telah mempunyai Pakej Teknologi Tanaman yang lengkap. Tanaman Roselle Sebenar tersebut telah saya tanam di Daerah Mersing semenjak tahun 1998 lagi sebagai komoditi penting di daerah tersebut dan penanaman masih dijalankan sehingga kini. Penyakit yang mungkin menyerang adalah seperti serangan Kulat Reput Batang (Rhizoctonia solani) atau Kulat Sclerotium rolfsii terutama pada musiam hijan atau lembab.


Tumbuhan ini mungkin agak kurang penting pada masa kini untuk di komersilkan tidak seperti Roselle sebenar yang telah maju untuk dijadikan tanaman menghasilkan minuman dan sebagainya. Kepentingan tanaman ini hanya untuk tanaman ornamental landskap dan mungkin dalam koleksi janaplasma bagi tujuan penyelidikan pada masa akan datang. Tanaman Gamet kurang dikenali oleh kebanyakan orang yang menyangka ianya hanya untuk hiasan sahaja. Sesipa yang ingin menanam tumbuhan ini sebagai untuk sumber sayuran daun dan pucuk atau sebagai tanaman ornamental atau tanaman hiasan boleh mendapatkan maklumat lanjut dalam laman web dan bertanya. Semuga tumbuhan ini akan di kenali ramai yang baca blog ini...

JENIS ROSELLE....'GAMET' TIDAK SAMA....
POKOKNYA MERAH....CANTIK DAUNNYA....
DALAM TAMAN...TERSERLAH UJUDNYA....
DAH KENAL NI...APA LAGI NAK TANYA.....

By,
M Anem
Putrajaya
MALAYSIA
(Sabtu 23.4.11 jam 10.15 pagi)

Friday, April 22, 2011

PEMANASAN SUHU DUNIA


PEMANASAN SUHU DUNIA atau dalam bahasa Inggeris di panggil sebagai 'Rising Global Temperatures'. adalah satu fenomena yang terus berlaku. Kesan ini amat memberi kesan terhadap hidupan yang ujud dimuka bumi seperti daripada hidupan yang paling halus sehingga sebesar-besar makhluk di dalam air, atas daratan dan juga dalam udara. Para saintis telah membuat bacaan dan ukuran mengenai suhu dunia semenjak tahun 1850 lagi untuk mengetahui perubahan kenaikan suhu yang berlaku. Kenaikan suhu sangat berhubung kait dengan kenaikan tahap Karbon Dioksida dan kesan Perlepasan Gas Rumah Hijau (Greenhouse gases). Artikel ini saya akan bincang tajuk diatas berdasarkan beberapa buku sains dan pemerhatian yang dapat saya tulis untuk tatapan pembaca.


Kajian para saintis menunjukkan bahawa kenaikan suhu dunia agak ketara dari tahun 1961 - 1990 dimana semanjak tahun 1895 sehingga 1910 keadaan suhu dunia adalah di katakan sangat stabil dan tidak mengalami kenaikan. Keadaan ini berubah daripada tahun 1940 hingga 1940 dimana berlaku kenaikan sedikit tetapi kemudian stabil. Pada masa ini berlaku proses perindustrian di kawasan tertentu di Eropah dan USA yang menyebabkan kenaikan suhu dunia secara perlahan. Apa yang berlaku kemudian ialah selepas tahun 1970 berlaku kenaikan suhu dunia yang terus meningkat. Kajian saintis menunjukkan tahun 1998 dan tahun 2005 mencapai suhu terpanas yang pernah di catitkan.


Sejak beberapa dekad lalu suhu dunia meningkat sebanyak 0.7 darjah celsius secara purata dan ini telah berlaku semenjak 1,000 tahun lagi. Kesan ini memberikan kesan terhadap kejadian-kejadian "El-Nino" dan juga "La Nina" yang akan menentukan keadaan cuaca duna seperti kemarau, hujan lebat berlebuhan sehingga banjir dan juga pelbagai bencana cuaca dunia. Negara-negara yang terdedah mengenai bencana alam akan sentiasa bersedia untuk mempastikan bencana yang berlaku akibat perubahan cuaca dunia dapat di atasi atau di kurangkan kadar kemusnahan.


Tahap Karbon Dioksida Yang Meningkat (Rising Carbon Dioxide Levels) yang terperangkap di kawasan Antartik yang diukur memberikan kesan semulajadi kepada iklim dunia. Bacaan pada tahun 1880 sehingga tahun 1950'an adalah hanya sebanyak 270 ppm kandungan CO2 di kawasan Antartika tetapi telah meningkat kepada sebanyak 370 ppm. Pada tahun 2010 di katakan bacaan ini telah meningkat lagi. Kesan gas CO2 ini akan menyebabkan banyak salji dan air batu akan cair dan menyebabkan meningkatkan suhu di kawasan tersebut dan akhirnya di seluroh dunia. Kesan tersebut menyebabkan paras air laut akan naik dan banyak kawasan pertanian akan terjejas.



Kesan Gas Rumah Kaca (Greenhouse gases effect) iaitu dimana kandungan udara yang terdiri dari gas karbon dioksida, gas methane, gas nitrojan oksida dan gas sulfur dioxide terkumpul. Ini menyebabkan sinaran matahari yang terdiri dari sinaran gelombang pendek menembusi sehingga ke muka bumi dan ini akan menyebabkan berlakunya kesan kenaikan suhu. Gelombang panjang pula akan di balikkan semula yang juga menyebabkan kesan pemanasan. Pemerangkapan suhu dan gas (Heat Retention) yang berlaku ini di panggil Fenimena Kesan Rumah Hijau (Greenhouse Effect). Aktiviti pembangunan manusia yang menebang tumbuhan hijau, mengeluarkan asap daripada sektor industri dan kenderaan menyebabkan kadar perlepasan CO2 keudara berlaku tidak seimbang. Kesan ini akan meningkatkan suhu dunia yang kelak akan mengakibatkan Kesan Pemanasan Dunia (Global Warming).

SEMAKIN HARI ..... SEMAKIN PANAS.....
PASANG AIRCON.....BIL LETRIK TINGGI....
BENCANA ALAM...SEMAKIN GANAS....
MUNGKIN KIAMAT...TAK LAMA LAGI.....

By,
M Anem
Labohan Dagang
Banting
Selangor, Malaysia
(Jumaat 11.30 malam)

Wednesday, April 20, 2011

BENIH SAYURAN (Part 4)


BENIH TANAMAN merukapan asas kepada penanaman sayuran dan tanaman bahan makanan yang lain. Benih diperolehi daripada pembekal bertauliah di kedai atau pun penyediaan benih sendiri oleh petani yang mahir dalam menyediakan benih. Terdapat benih berkualiti masa kini yang di sediakan dengan sistematik secara 'Hibrid' yang kebanyakanya di impot dari luar negara. Benih jenis ini lazimnya berharga agak tinggi tetapi jaminan kualiti dan varieti yang menepati kehendak pasaran. Benih tanaman seperti tomato, timun, kacang panjang , sawi, bayam serta kebanyakan sayuran daun dihasilkan di luar negara. Saya ada membuat analisa mengenai kos pengeluaran benih tanaman di Malaysia dan mendapati untuk mengeluarkan benih sayuran terutamanya sayuran daun lebih tinggi berbanding dengan kos pengeluaran di negara seperti China, Myanmar, Indonesia dan sebagainha. Artikel kali ini saya akan bincang beberapa verieti benih sayuran dan tanaman makanan yang diedarkan untuk pasaran tempatan dalam 'Anim Agro Technology' bagi rujukan anda.


1. TOMATO
Benih tomato (Lycopersicum esculantum) syarikat Greeen Eagle Sdn Bhd ada dua jenis iaitu Tomato 102 dan Tomato 103. Benih TOMATO MUTIARA F1 HIBRID / F1 HYBRID PEARL TOMATO (102) mempunyai buah berwarna merah terang yang berbentuk bulat serta warna dan bentuk seragam. Rasa buah ini sedap, pokok yang tahan cuaca panas dan rintang serangan penyakit. Kutipan Hasil dijalankan 98 hari selepas menyemai dan berpotensi memberikan hasil tinggi. Penanaman secara terus atas batas memerlukan 1 kg/ha biji benih sementara penyemaian di atas tapak semaian atau dulang semaian perlu cuma 200 gram/ha sehaja. Kaedah semaian dalam tray menggunakan bahan media cocopeat atau pestmost memberikan percambahan baik. Bilangan biji setiap 1 gram tomato mengandungi 240-400 biji.


Benih TOMATO CERI RUBY HIBRID F1 / F1 RUBY RED CHERRY TOMATO (103) adalah sejenis 'tomato cherry' yang dijual bercirikan buah bersaiz 4.5 cm x 3 cm berbentuk bujur dan berat lingkungan 20 gram sebiji. Tomato ini sering di tanam menggunakan sistem fertigasi dimana rasa buah agak manis dan warna serta bentuk agak seragam. Kutipan hasil dituai 45 hari lepas disemai dengan tahap hasil tinggi. Kadar keperluan benih tomato ceri sebanyak 200 gram/ha menggunakan semaian (Tray atau nurseri) dan sebanyak 1 kg/ha jika di tanam terus diladang. Kadar setiap 1 gram mengandungi 280-300 biji benih.


2. SPINACH

Benih SPINACH CAMEROON CROSS F1 HIBRID/ F1 HYBRID SPINACH CAMEROON CROSS (809) adalah sejenis spincah yng sesuai untuk kawasan tanah tinggi. Varieti ini menghasilkan daun berwarna hijau tua, agak berminyak dan menarik. Kutipan hasil 50-60 hari lepas di semai dengan hasil yang tinggi dan tahan kepada serangan penyakit serta sesuai pada cuaca panas. Kadar keperluan benih sebanyak 10-20 kg sehektar dimana setiap gram mempunyai 100 biji benih. Tanaman spinach memberikan hasil cepat dituai.


3. LEMBAYUNG/REMAYONG

Benih Lembayung , Remayong atau Tembayung (Basella rubra) ada 2 jenis iaitu TEMBAYUNG MERAH / RED CEYLON SPINACH (808) ini akan menghasilkan daun berwarna hijau berminyak dengan batang berwarna merah yang tumbuh menegak. Daun dan batang bertekstur halus licin dan khasiat tingi. Kutipan hasil lingkungn 30-35 hari selepas menyemai dan boleh di tuai terus mencabut sekali atau beberapa kali dipotong tangkai daun. Jenis ini sesuai dengan cuaca panas dan hasil yang tinggi. Keperluan benih sebanyak 10-15 kg sehektar dengans etiap 1 gram mengandungi 50-55 biji benih.


Benih TEMBAYUNG HIJAU / GREEN CEYLON SPINACH (807) daun dan batang berwarna hijau dan tumbuh secara menjalar atau menegak. Daun dan batangnya bertekstur halus licin dan merupakan sayur yang berkhasiat tinggi. Kutipan hasil 30 - 35 hari dimana hasilnya adalah tinggi. Boleh dituai berulang kali dengan memotong bahagian yang sesuai dan biarkan menjalar. Keperluan benih sebanyak 10-15 kg/ha dimana kadar 1 gram ada 50-55 biji benih.

Nombor yang diberikan oleh syarikat pengedar dan penjual benih sayuran dan buah-buahan tembikai , melon dan sebagainya adalah untuk memudahkan penjual dan petani membeli benih. Kod ini akan memudahkan petani mengingati berbanding dengan nama panjang gelaran seperti bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia. Nombor ini juga dirujuk untuk mempastikan iri-ciri benih sebenar. Beberapa syarikat akan menggunakan kod nombor yang berbeza mengikut strategi pemasaran. Pengedar benih seperti Green Eagle. LecKat, Green World Genetic, Utara Seeds, dans ebagainya merujuk sistem kod nombor yang berlainan walau kemungkinan benih adalah dari varieti yang agak sama. Industri benih tanaman makan negara perlu dilikat untuk mengurangkan kebergantungan benih impot untuk keselamatan bekalan makanan negara.


MEMBELI BENIH...PILIH YANG BERKUALITI...
BERCAMBAHAN TINGGI...KURANG YANG MATI...
HASIL LUMAYAN..PETANI SENANG HATI...
INDUSTRI BENIH...PERLU DI PERBAIKI...

By,
M Anem
Titi Gantung,
Perak
(Lawatan ke Pusat benih)

Sunday, April 17, 2011

LIMAU GEDANG

LIMAU GEDANG (Citrus paradisi Macfad) merupakan sejenis limau dari keluarga RUTACEAE yang tumbuh di kawasan tropika dan sederhana di seluruh dunia. Limau Gedang adalah nama biasa bagi limau ini baagi kawasan di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia. Nama diberikan ialah 'Grape Fruit' yang buahnya seperti buah limau bali atau Pomelo (Citrus maxima) tetapi saiznya dan teksturnya agak berlainan. Limau ini paling banyak di tanam dan dihasilkan di USA dengan pengeluaran 1.6 juta metrik tan setahun diikuti dengan China (567,000 mt/tahn) dan Afrika Selatan (470,000 mt/tahun). Jumlah pengeluaran limau gedang didunia sebanyak 5.06 juta metrik tan setahun. Malaysia menanam lingkungan 180-220 hektar setahun limau gedang. Artikel ini akan membentangkan tanaman limau gedang berdasarkan bacaan dari buku dan maklumat rujukkan dari laman sesawang.

Pokok Limau Gedang adalah jenis pokok menegak yang mempunyai banyak cabang dengan ketinggian sehingga 4.5-6 meter atau jika terlalu tua mampu mencapau 13 meter. Dahannya banyak dengan ukurlilit batang 15-20 cm dan mempunyai daun berwarna hijau gelap berukuran 7.7-15 cm panjang dan 4.5-7.5 cm lebar. Warna daun agak hijau cerah di bahagian bawah dan permukaan daun agak berkilat seolah2 berminyak. Bunga limau gedang berwarna putih dengan mempunyai 4 kelopak dan bersaiz 4 -5.5 cm garispusat. Buah Limau Gedang berbentuk bulat atau bulat leper berbagai bentuk dan mempunyai kulit yang agak tebal. Saiz buah berbeza-beza ikut varieti dan pengurusan lazimnya 10-16 cm garispusat dengan warna kulit buah hijau, kuning, pudar lemon dan sebagainya. Kulit buah juga berjus dan mempunyai aroma wangi yang kuat. Isinya sama ada padat atau 'spongy' berwarna kuning, keputihan, pink atau pucat berjus dengan rasa asid citrus bila cukup masak. Biji limau gedang adalah 'Polyembryonic'.


Di Malaysia saya telah membuat kajian di Jabatan Pertanian dimana terdapat 4 jenis Klon atau Varieti Limau Gedang yang telah di daftarkan semenjak tahun 1949 (63 tahun dulu). Klon tersebut adalah GF 4, GF 5, GF 6 dan GF 7. Klon GF 4 telah didaftarkan pada tahun 1949 oleh Jabatan Pertanian Pahang yang masa itu ditanam di Pusat Pertanian Kuala Lipis , Pahang. Buah klon ini bersaiz besar, kulit yang berwarna hijau dan lapisan kulit agak tebal. Isinya kurang berair dan rasa yang agaak masam seperti buah limau pomelo yang belum masak. Klon GF 5 telah di daftarkan pada 30.11.1949 oleh Jabatan Pertanian yang mana pokoknya ditanam di Pusat Pertanian Gajah Mati, Alor Setar, Kedah. Buahnya besar dan kulitnya berwarna hijau kekuningan. Kulitnya sangat tebal dan mempunyai rasa yang sederhana sedap. Klon GF 6 juga di panggil dengan nama tempatan 'Mac Charity' didaftarkan pada 10.3.1955 di Pusat Pertanian Degong, Perak. Buahnya besar berwarna hijau kuning. Permukaan kulitnya berlubang2 atau lekuk2 dan agak tebal. Isinya kurang berair dan kualiti buah adalah sederhana. Klon GF 7 dikenali sebagai 'Duncan' didaftarkan pada 24.9.1955 di Pusat Pertanian Gajah Mati, Alor Setar, Kedah. Rupa buahnya sangat menarik tetapi kulit agak berkedut sedikit di bahagian dekat tangkai. Kini saya tak pasti pokok induk itu masih ada lagi atau tidak. Kena cek ...

Penanaman Limau Gedang menggunakan anak benih yang sihat telah disahkan tidak membawa penyakit Citrus Greening Disease (CGD). Lazimnya anak pokok penanti menggunakan pokok dari biji benih limau masam atau yang disyorkan sebelum di cantum dengan sion dari pokok limau gedang yang telah di kenalpasti. Pastikan kawasan penanaman sesuai untuk penanaman komersial seperti mempunyai cahaya matahari 100% dan tanah yang mempunyai saliran yang baik. Bagi penanaman di Malaysia pastikan tidak ada serangan CGD berhampiran. Jarak penanaman kena jauh sedikit dari cara penanaman Limau Manis (Citrus suhuensis) iaitu lebih 6 meter.

Pembajaan dan kawalan rumpai adalah serupa dengan Amalan Agronomi Tanaman untuk tanaman Limau Manis. Pembajaan peringkat awal dengan baja organik sebanyak 4-6 mt/ha dan baja NPK 15:15:15 mengikut jadual pembajaan yang disyorkan. Apabila sampai umur berbunga gunakan baja NPK 12:12:17:2 dan jalankan cantasan mengikut manual tanaman. Pengawalan rumpai adalah penting dan pastikan tumbuhan preumah untuk pembawa virus CGD di musnahkan 'Leaf Hopper' (Diphorina spp). Buang dahan-dahan yang kurang sihat dan sentiasa buat sanitasi kebun dengan sempurna.

Pokok yang subur dan di jaga dengan baik akan berhasil 36-40 bulan selepas tanam walau pun ada pokok yang berbuah lebih awal. Pastikan proses pembentukan bunga dan buah di awasi untuk memgelakkan dari kerosakan akibat serangan musuh dan penyakit. Buah yang hampir masak di tuai dengan memungut atau mamotong tangkai mengikut indek kematangan. Buah di kumpulkan dan digredkan sebelun di jual. Pokok limau gedang perlu sentiasa di awasi penjagaannya kerana musuh dan penyakit mudah menyerang tanaman ini di Malaysia.


'GRAPEFRUIT'... ITU LIMAU GEDANG....
SUKAR DITANAM....WALAU DI LADANG....
KHASIAT BANYAK....AROMA TERBILANG....
TAK TANAM...BACA BERULANG-ULANG....

By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Ahad petang 17.4.2011)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA