Support My Blog

Wednesday, November 23, 2011

TANAMAN PENUTUP BUMI

TANAMAN PENUTUP BUMI atau 'Cover crops' merupakan tanaman ditanam bagi tujuan menutupi permukaan tanah untuk pelbagai tujuan. Tanaman penutup bumi banyak digunakan dalam pembukaan tanah-tanah baru bagi tanaman yang luas seperti Ladang Kelapa Sawit, Ladang Getah, Ladang Koko, Ladang Kelapa dan sebagainya serta tanaman makanan lain. Tanaman penutup bumi di Malaysia yang popular adalah daripada jenis kekacang yang merayap atau menjalar (Creepers) terutama bagi ladang-ladang yang luas. Penggunaan tanaman penutup bumi kini menjadi satu syarat penting bagi pembukaan ladang-ladang baru bagi mengurangkan kesan hakisan tanah, menambahkan unsur nutrien dalam tenah (terutamanya Nitrojan) dan memelihara kelembapan tanah. Artikel petang ini saya akan membincangkan teknologi penanaman penutup bumi untuk rujukan dan pembacaan umum.


Tanaman penutup bumi yang ditanam melindungi permukaan tanah yang terdedah daripada cahaya matahari yang akan menyebabkan berlaku proses pengeringan air dalam tanah akibat suhu tanah dan mengurangkan kelembaban tanah. Selain daripada itu ketika berlakunya hujan lebat tanaman ini berfungsi sebagai melindungi tanah daripada tamparan hujan lebat yang mengelakan berlakunya HAKISAN TANAH terutama dikawasan permukaan tanah curam. Apabila tanaman ini reput ianya akan menjadi baja atau bahan organik yang meningkatkan kesuburan tanah,  Bagi ladang getah dan ladang kelapa sawit tanaman penutup bumi jenios kekacang membantu mengikat unsur Nitrojan dari udara dan seterusnya menimatkan jaba unsur Nitrojan yang perlu digunakan. Kajian juga menunjukkan tanaman penutup bumi dapat mengurangkan masaalah jangkitan penyakit akar  pada pokok getah. Tanaman penutup bumi juga berfungsi dalam menggalakkan pertumbuhan akar rerambut pada tanaman.


Jenis tanaman penutup bumi yang paling lazim digunakan diladang-ladang komersial Malaysia adalah dari kombinasi beberapa spesis Kekacang iaitu Centrosema pubescens, Calopogonium monocoides, Calopogonium caeroleum, Peuraria phaseoloides dan Mucuna bractaeta. Pemerhatian saya diladang kepunyaan Felda, Sime Darby, IOI di Johor dan Pahang mendapati penanaman penutup bumi dilaksanakan setiap kali ada penanaman baru ladang sawit dan ladang getah. Kajian menunjukkan kombinasi campuran beberapa jenis kekacang ini disyorkan penanamannya perlu dibuat kerana sifat kekacang yang berbeza-beza. Campuran terbaik adalah mengandungi jenis Calopogonium caerolueum yang sifatnya cepat tumbuh dan tahan kepada naungan. Sekiranya hanya 2 jenis sahaja digunakan disyorkan dari jenis Calopogonium caeroleum sebanyak 1 kg dengan Jenis Peuraria phaseoloides sebanyak 5 kg untuk keluasan satu hektar. Kombinasi lain adalah seperti kombinasi C. mucunoides (2.9 kg), C. pubecens (1.2 kg) dan P. phaseoloides (1.9 kg). Beberapa kombinasi lain boleh diubahsuai mengikut kesesuaian jenis tanah, keadaan rupabentuk bumi dan musim penanaman (musim hujan atau sederhana kering).


Kaedah penanaman tanaman penutup bumi dlakukan bermula dengan penyediaan benih. Mula-mula beli benih kekacang penutup bumi dari sumber yang disahkan dan benih yang berkualiti. Gaulkan beberapa jenis benih tadi kedalam bekas seperti baldi atau tong drum plastik yang lebih besar daripada isipadu bijibenih sehingga rata. Kemudian rendamkan campuran biji benih tadi didalam air panas bersuhu 75 darjah Celsius selama 2 jam (Mudah sahaja caranya untuk dapat suhu optima iaitu campurkan 2 bahagai air panas mendidih dengan 1 bahagian air sejuk). Selepas direndam selama 2 jam toskan baki air dalam baldi jika masih ada bakinya (Air akan diserap oleh biji benih kekacang tadi). Tujuan aktiviti ini adalah untuk memecahkan domancy (Break dormancy period) biji kekacang tadi. Langkah seterusnya adlah menggaulkan biji tadi dengan Bahan Kompos Rhizobium pada kadar satu paket kompos (50 gram) bagi setiap 10 kilogram biji benih. Bahan ini boleh dibeli dari kedai atau daripada LGM. Langkah terakhir dijalankan adalah menggaulkan biji benih tadi dengan baja debu fosfat pada kadar sama iaitu 10 kkg biji benih dengan 10 kg baja drbu fosfat. Ini bertujuan bagi menggalakan peringkat pertumbuhan akar peringkat awal kelak.


Pengalaman saya ketika menanam kacang penutup bumi ketika Latihan Amali semasa tahun 2 di Ladang Pamol, Kg Gajah, Kluang Johor pada tahun 1979 mendapati kawasan untuk tanaman penutup bumi perlu betul-betul dibersihkan. Kerja penyediaan kawasan bermula dengan penebangan pokok lama (atau hutan), membakar, stacking, membajak tanak dan menyediakan kemudahan infrastruktur ladang. Bagi kawasan ladang getah yang mempunyai jarak tanaman getah 5 meter lazimnya akan di buat barisan penanaman kacang penutup bumi pada jarak 1.2 meter  antara pokok getah dan 1.3 meter antara barisan kekacang ( 3 barisan diantara barisan pokok getah).  Bagi kawasan ladang yang bercerun dan ada teres dimana jarak penanaman adalah 9 meter antara barisan pokok getah disyorkan penanaman kacang penutup bumi sebanyak 4 barisan diantara dua teres.


Sebelum menabur benuh perlu dibuat alur penanaman dengan menggunakan cangkul atau tajak  sedalam 4-5 cm.  Lazimnya pancang menggunakan buluh atau kayu dicacak dari bahagian tepi kebun atau ladang sehingga kehujung untuk mempastikan laur tersebut lurus dan mengikut jarak yang disyorkan. Semasa latihan amali dulu inilah kerja yang saya kena buat. Mula-mula tabur baha kedalam alor yang disediakan dan  kemudian tabur biji benih yang telah digaulkan tadi kedalam alor. Akhir sekali kuis tanah yang berada ditepi-tepi alor tadi dengan cangkul atau tajak sehingga rata. Pastikan tidak ada biji benih yang tidak di kambus. Jadual penanaman kacang penutup bumi biasanya dielakkan musim kering atau panas berpanjangan. Sembur racun rumpai Pra-cambah selepas aktiviti menutup alor tadi untuk menahan pertumbuhan rumpai lain yang tidak diingini. Tiga minggu selepas biji kekacang tadi bercambah perlu dijalankan pembajaan dengan baja Nitrophoska Kuning dengan kadar 60 kg sehektar. 


Kawalan rumpai bagi penjagaan kacang penutup bumi perlu dijalankan untuk mempastikan hanya tanaman kekacang penutup bumi sahaja yang akan tumbuh dengan baik. Paling kritikal adalan peringkat awal pertumbuhan iaitu semasa pokok kekacang mula menjalar diatas tanah dimana banyak ruang kosong yang ujud. Gunakan racun jenis selektif yang sesuai untuk mengawal rumpai.  Pembajaan bagi tanaman penutup bumi perlu dijalankan mengikut jadual yang disyorkan iaitu ketika penutup bumi berumur 3 bulan dan 8 bulan dengan baja sebatian  debu fosfat asli pada kadar 250 kilogram sehektar. Tanpa aplikasi pembajaan ini tanaman penutup bumi lambat tumbuh dan kurang subur menyebabkan fungsinya akan terjejas. Siapa kata tanaman penutup bumi tidak diserang serangga perosak dan penyakit. Kawalan ini perlu dijalankan dari peringkat awal untuk mengelakan ianya lebih serius. Proses yang sama juga boleh dijalankan untuk ladang kelapa sawit yang perlukan penanaman penutup bumi.


PENUTUP BUMI ....JENIS KEKACANG....
MESTI DITANAM....DIKAWASAN LADANG...
KOMBINASI KEKACANG...EFEKTIF DIAMALKAN...
SUBURKAN TANAH....MENGAWAL HAKISAN... 


By,
M Anem
P11, Putrajaya,
Malaysia.
(26 Zulhijjah 1432H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...