Friday, November 26, 2010

KOBIS BULAT


Kobis Bulat (Brassica oleraceae var capitata) adalah sejenis tanaman sayuran dari keluarga Brassicaceae yang popular dikalangan petani di kawasan tanah tinggi Malaysia. Kobis Bulat adalah komoditi sayuran utama di kawasan seperti Cameroon Highland, Pahang dan Kundasang di Sabah. Pengeluaran kobis diseluroh dunia adalah sebanyak 234.87 juta metrik tan setahun dengan negara Belanda sebagai pengeluar kobis utama dunia. Kobis ditanam untuk digunakan sebagai sayuran, dimakan mentah sebagai salad atau diproses sebagai jeruk dan sebagainya. Terdapat seluas 914 hektar tanaman kobis di usahakan di Malaysia pada tahun 2009 dengan pengeluaran sebanyak 12,184 metrik tan bernilai RM 20.184 juta. Keluasan penanaman kobis bulat saya dapati  ini tidak banyak berubah pada tahun 2010, 2011 dan tahun 2013. Kawasan penanam kobis bulat utama di Malaysia ialah di Cameroon Highland Pahang (520 ha) dan Kundasang Sabah (276 ha) dan Lojing Kelantan (166 ha). Kobis juga ada ditanam di Sarawak, Kedah dan Terengganu secara kecil2an dinama saiz keluasan kurang dari 5 hektar. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman kobis bulat untuk rujukan dan bacaan anda berdasarkan pengalaman, rujukan kepad abuku teknikal dan pemerhatian yang dijalankan.
Penanaman kobis sesuai dikawasan subtropika yang beriklim sederhana tetapi kini telah ada benih hibrid baru dimana kobis bulat boleh diusahakan dikawasan tanah tropika yang rendah dan bercuaca panas. Kobis bulat perlukan tanah yang subur dengan sistem saliran yang sempurna. Kobis bulat tidak sesuai ditanam dalam musim hujan kerana hasilnya mudah rosak. Tanah yang mempunyai pH antara 5.0 - 6.0 adalah paling ideal untuk tanaman kobis. Tanah perlukan baja organik yang banyak untuk menentukan kesuburannya. Dikawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland, kobis kini banyak ditanam dibawah struktur pelindung hujan (SPH) bagi mengelakkan kerosakan semasa musim hujan. Penanaman kobis bulat dikawasan tanah terbuka bagaimana pun sesuai ditanam sepanjang tahun. Dalam pemerhatian saya menganai penanaman kobis bulat di Cameroon Highland, kebanyakan petani menanam dilereng bukit dengan sistem penanaman yang dijadualkan.


Jenis kobis bulat yang popular ditanam di Malaysia ada 4 (empat) jenis iaitu Varieti Autumn Queen, Eiyu, KK Cross dan juga US Tropical. Jenis Autumn Queen adalah varieti yang tahan kepada cuaca panas dengan anggaran berat biji kobis bulat lingkungan 1.0-1.5 kg sebiji dan matang dalam masa 70-80 hari. Kobis ini mempunyai kepala yang berwarna hijau muda dengan isi padat dan mampu memberikan purata hasil sebanyak 12-25 mt/ha bergantung kepada pengurusan dan cuaca. Varieti KK Cross juga popular di tanam di negara kita dengan saiz buah sederhana dan ia tergulung dalam kategori kobis yang sederhana ringan (Lihat foto sebelah). Varieti Eiyu pula mempunyai kepala berwarna hijau muda kekuningan dibahagian tengah tetapi bersaiz kecil sedikit iaitu kira2 0.9-1.0 kg sebiji dengan masa kematangan antara 60-75 hari lepas tanam. Purata hasil varieti Eiyu ini lingkungan 10-24 kg/ha.


Varieti KK Cross antara varieti kobis bulat yang popular ditanam di Malaysia dimana masa kematangan lingkungan 60-65 hari (Paling cepat) dan mempunyai kepala berwarna hijau muda ke warna putih dibahagian tengah. Purata anggaran berat kepala kira-kira 1.0-1.6 kh sebiji dengan isi yang agak kampak dan padat serta mempu menghasilkan sebanyak 20-30 metrik tan sehektar (antara yang paling produktif). Benih dijual dalam paket khas (sila rujuk foto sebelah). Varieti US Tropical pula adalah varieti yang mempunyai kepala berwarna hijau keputihan dibahagian dalam dengan umur matang kira-kira 65-70 hari lepas tanam. Jenis ini mampu menghasilkan sebanyak 15-25 mt/ha dengan anggaran berat setiap biji antara 1.0-1.8 kg. Benih kobis ini adalah 100% diimpot dari luar negara kerana Malaysia tidak mampu menghasilkan benih sendiri. Harga benih kobis bulat dari kajian yang saya jaalankan pada tahun 2012 mendaopati purata harga runcit sekitar RM 1,180 satu kilogram atau dijual dalam bungkusan RM 15.00 - RM 18.00 dalam paket 10 gram. 

Kawasan tanaman kobis perlu dibersihkan (kawasan baru) dari semak samun dan dibajak sehingga sedia untuk dibuat batas. Bagi kawasan penanaman sedia ada perlu dirotor dan kemudian dinaikan batas tanaman berukuran 1.0-1.2 meter lebar setinggi 20-25 cm dan panjang bergantung kepada keadaan tanah (6-7 meter). Baja organan seperti tahi ayam di gaulkan kedalam batas tanaman dengan kadar sebanyak 4,000 kg sehektar atau mudahnya kira-kira 5-6 kg satu batas. Ada petani yang menutup batas dengan plastik silvershine diatas batas dengan tujuan mengawal rumpai, mengawal hakisan dan mengawal serangan serangga perosak. Kini penggunaan teknologi menanam kobis dibawah struktur pelindung hujan semakin popular. Struktur Plastik di naikan dengan sokongan kayu setinggi 6 - 8 kaki tinggi untuk memberikan perlindungan tanaman kobus dari hujan ketika musim hujan. Pembinaan SPH ini menjadi satu trend di kawasan pertanian di Cameroon Highland. 

Kobis Bulat ditanam menggunakan biji benih yang dibeli daripada kedai pertanian dan merupakan jenis benih hibrid. Kaedah menanam ada yang membubuh 2 biji benih terus kedalam lubang penanaman tetapi lebih baik disemai dahulu. Keperluan benih sebanyak 0.5-0.8 kg sehektar. Benih dirawat dengan racun benomyl atau Thiram untuk elak serangan kulat. Tabur benih dalam tapak semaian berisi tanah peroi dan pasir. Benih akan bercambah dalam masa 3-4 hari.
Menanam kobis bulat dengan anakbenih berumur 4 minggu keladang dimana telah mempunyai 4-5 helai daun. Buat penyiraman diatas tapak semaian sebelum mencabut anakbenih dan sebaiknya cabut anak benih dengan tanah untuk mengurangkan kecederaan akar anakbenih. Pastikan menyiram selepas mengubah dan sebaiknya lakukan meanam pada awal pagi atau petang atau waktu cuaca redup untuk kurangkan stress. Jarak tanaman disyorkan adalah 15 cm x 20 cm. Kalau tidak ada plastik silvershine sungkupan lain seperti lalang kering boleh digunakan dikebun.

Pembajaan tanaman kobis mesti damalkan dengan baja organik seperti seperti tahi ayam, serbuk udang, tahi kambing untuk mempastikan kesuburan tanah. Lazimya program pembajaan kobis bulat menggunakan baja kimia NPK 12:12:17:2:TE sebanyak 12-15 gm/pokok (atau sebanyak 200kg/ha) dua minggu selepas menanam dinaikkan kepada 400 kg/ha pada minggu keempat selepas menanam. Berikan sebanyak 400 kg/ha baja NPK 12:12:17:2 pada minggu ke Enam. Pada masa ini banyak baja foliar digunakan oleh petani berkemampuan bagi mendapatkan hasil kobis bulat yang lebih berkualiti. baja foliar ini mudah digunakan, murah dan amat praktikal. Teknologi penanaman kobis secara fertigasi didalam polibeg  juga menggunakan larutan baja formulasi yang semakin popular digunakan. Kawalan rumpai dijalankan dengan kaedah manual dan semburan racun kimia bergantung kepada keadaan. Penyiraman untuk tanaman kobis bulat adalah penting dijalankan setiap masa. Teknologi penanaman kobis ini disambung dalam bahagian 2 seterusnya.
Wasallam!



KOBIS BULAT...TINGGI PERMINTAANNYA...
TANAH TINGGI... LUAS DIUSAHAKANNYA..
AMALAN GAP...PERLU DILAKSANANANNYA ..
DIJUAL SEGAR...BERPATUTAN HARGANYA....

By
M Anem
Visit Kundasang, 
Sabah
29 Nov 2010
(Kemaskini info pada 16 Febuari 2013)

Tuesday, November 23, 2010

Limau Nipis


Limau Nipis (Citrus aurantifolia) adalah sejenis limau yang sangat digemari di negara ini untuk kegunaan sebagai air minuman dan juga untuk dicampur dalam masakan. Limau ini berbeza dengan Limau Lemon (Citrus limon) walau pun bentuk buah hampir sama dan merupakan sejenis limau yang mudah ditanam serta menguntungkan jika di jaga dengan rapi. Terdapat seluas 898 hektar tanaman limau Nipis di Malaysia pada tahun 2009 dengan hasil pengeluaran sebanyak 9,760 metrik tan. Kawasan utama tanaman limau nipis seperti di Johor, Perak dan Selangor. Pokok limau nipis adalah sejenis pokok saka yang mampu mencapai ketinggian sehingga 5-8 meter tanpa dibuat cantasan. Pokoknya mempunyai akar tunjang dan mempunyai dahan-dahan kayu yang banyak. Daun limau nipis berwarna hijau gelap dan mempunyai bunga berwarna putih yang terbentuk pada bahagian pucuk atau celah dahan muda. Buahnya adaah kecil dan bulat yang lazimnya berukuran 2.5cm – 5 cm garispusat. Kulitnya berkilat dan licin dan isinya berwarna hijau kekuningan, berair tetapi masam. Pokok limau nipis perlukan cahaya matahari yang banyak untuk berbunga dan berbuah.Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman limau nipis berdasarkan pengetahuan dan pemerhatian dikebun semasa bertugas dalam sektor pertanian selama lebih 30 tahun.


Iklim yang sesuai untuk tanaman Limau nipis mesti cuaca yang agak panas dan lembab seperti di negara kita. Limau nipis mampu berbuah sepanjang tahun di Malaysia kerana mempunyai cahaya matahari yang banyak dan suhu yang stabil sepanjang tahun. Tanah yang sesuai untuk limau nipis adalah dari jenis lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Pokok limau nipis tidak tahan denga banjir dan keadaan 'water-logged'. Bagi petani yang menanam diatas tanah rendah atau tanah bekas sawah biasanya dibuat batas dan parit ladang diantaranya. Pokok limau nipis senang dibiakan melalui semaian biji tetapi biasanya ia dibiak secara tampang iaitu secara tut. Jika dibiak secara ini pokok-pokok mengeluarkan buah lebih awal , murah, cergas dan mudah didapati. Bagaimanapun terdapat kelemahan menggunakan benih tut kerana apabila berlakunya wabak penyakit atau serangan perosak ianya menjejaskan prestasi pokok tut yang serious. Kalau beli benih limau nipis di nurseri boleh dapat dengan harga RM 6.00 - RM 10.00 sepokok. Pastikan anak pokok mempunyai ciri-ciri yang sihat dan pastikan bebas dari sebarang penyakit. 



Penanaman pokok limau nipis menggunakan benih dari tut yang segaryang bebas penyakit dan senang mendapatkan bemih sulaman. Jarak tanaman yang disyorkan adalah ditanam dalam susunan empat segi sama dengan jarak 9 m x 9m. Ini menjadikan jumlah pokok sehektar sebanyak 270 pokok. Gali lubang sebesar 0.4m x 0.4m x 0.2m. Campurkan 10 hingga 12 kg baja organan ke dalam lubang. Siram sejurus selepas menanam. Penyiraman boleh dibuat 1-2 kali sehari selama 2-3 bulan pertama. Selain daripada itu, pembajaan juga dilakukan dengan menggunakan baja organan seperti tahi lembu. Sebanyak 30-40kg/pokok/tahun boleh digunakan bagi peringkat tumbesaran (umur pokok 1-3 tahun) dan 40-60 kg/pokok/tahun selepas pokok-pokok mula berbuah.

Cantasan untuk membuang pucuk-pucuk air, ranting-ranting mati dan ranting-ranting yang tidak dikehendaki adalah perlu dilakukan untuk limau njipis. Pokok ini mempunyai sistem cabang yang seimbang dan berkemampuan mengeluarkannya dengan kuantiti yamg banyak. Cantasan pembentuk perlu dijalankan peringkat awal agar mudah untuk proses penuaian hasil. Cantasan juga akan menggalakan pengeluaran tunas-tunas baru dan akhirnya pokok akan terus subur dan stabil. 
Bagi pokok-pokok limau nipis yang masih muda, kerja-kerja merumput hendaklah dilakukan dengan mencabut atau menggunakan cangkul dikeliling pokok. Bila pokok sudah cukup besar dan matang, kawalan rumpai secara kimia boleh dijalankan dengan menggunakan racun rumpai yang sesuai dan gunakan ikut peraturan keselamatan Racun. Elakkan menggunakan racun rumpai sistemik untuk kawalan rumpai kerana ianya akan menjejaskan pertumbuhan akar pokok ketika pokok masih muda. 

Pembajaan limau nipis dibuat dengan dua jenis campuran baja kimia dan mesti digunakan dengan kadar seperti pada label. Untuk Baja Tumbesaran digunakan baja (NPK Mg (15:15:6:4) dengan kadar 200 kg/ha semantara bagi Baja Buah iaitu baja NPK Mg (12:12:17:2) yang di tabur di sekeliling pokok di bawah hujung kanopi daun. Kadar dan kekerapan pembajaan sebanyak 3-4 kali setahun. Baja jenis impot seperti Yara atau Baja Jenama Hoest dan sebagainya juga sesuai digunakan dari jenia yang 'fast release'. baja organik seperti tahi ayam diletakan setengah guni setiap 6 bulan.




Limau nipis memang sangat masam iaitu pH 2 - pH 3 dan sering digunakan sebagai air jus minuman. Perahkan setengah biji jus limau nipis dangan segelas air dan sedikit gula. Lebih lazat jika diminum sebagai 'Juice ice' atau 'tea lemon ice'. Jus limau juga jika diambil bersama madu lebah dapat menghilangkan batuk. Limau nipis juga digunakan dalam masakan Tomyam ala Thai untuk menambahkan rasa perisa masam dalam makanan tersebut. Dalam perubatan tradisional biasa limau nipis digunakan sebagai 'Pengeras' atau digunakan untuk mandi semasa berubat. Dari segi klinikal limau nipis mampunyai kandungan vitamin C yang tinggi serta beberapa jenis itamin lain.


Potensi untuk menanam Limau Nipis (Citrus aurantifolia) adalah baik untuk di komersialkan. Kos untuk membangunkan tanaman limau nipis lingkungan RM 24,500 sehektar dan mampu memberikan keuntungan kepada petani pada kadar pulangan RM 1.80 setiap RM 1.00 yang dilaburkan. Permintaan limau nipis adalah terhad dan perlu di buka lebih luas ruang pasaran iaitu untuk pasaran segar dan juga untuk pasaran memproses limau nipis. Ekstrak Limau Nipis juga boleh di hasilkan bagi menyediakan makanan kesihatan dan kegunaan perubatan. Umumnya tanaman ini masih diperlukan dalam industri pertanian negara kita.

TANAM LIMAU...JENIS LIMAU NIPIS....
BENIH DIBELI.. DARI KUALA LIPIS...
BANYAK BUAH... POKET TIDAK TIPIS...
BUAH BERKUALITI ...PASTI LARIS...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Stesyen Pertanian Serdang,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(Kemaskini pada 21 Julai 2013)

Fotosintesis

1 Apakah itu Fotosintesis?
Fotosintesis (Photosynthesis) adalah satu proses dimana tumbuh-tumbuhan, bakteria dan organisma menggunakan tenaga daripada matahari untuk menghasilkan gula melalui sel-sel semulajadi yang manjadikan bahan tenaga kepada hidupan. Penukaran tenaga matahari tersebut kepada bentuk tenaga lain melalui sel hijau pada tumbuhan yang dikenali sebagai Klorofil (chlorophyll). Lazimnya proses fotosintesis memerlukan air dan mengeluarkan gas oksijen untuk mempastikan bahawa manusia hidup dengan menyedut oksijan setiap masa. Proses fotosintesis juga menyerap Karbon dioksida (CO2) untuk ditukar kepada oksijan. Hasil daripada proses ini juga tumbuhan menghasilkan makanan daripada tumbuhan sebagai bahan sumber tenaga manusia. Bertapa pentingnya proses fotosintesis dalam pusingan kehidupan manusia. Artikel kali ini saya ingin berbincang mengenai proses fotosintesis dan kepentingannya kepada kitaran hidup manuisa daripada pembacaan dan pembelajaran semasa diuniversiti 25 tahun dulu.

Ramai diantara kita telah faham mengenai proses fotosintesis semenjak belajar dibangku sekolah lagi. Cikgu kita dan buku-buku sains kita mendedahkan bagaimana tumbuhan memggunakan Karbon Dioksida dan Air untuk ditukarkan kepada Oksijan dan tenaga oleh krolofill pada daun tumbuhan dengan formula yang kita tidak boleh lupa iaitu :

6H2O + 6CO2 ----------> C6H12O6+ 6O2

Maksud formula tersebut ialah dimana enam (6) molekul air digabung dengan enam (6) molikul karbon dioksid diproses dengan kaedah fotosintesis menghasilkan satu (1) molekul gula dan enam (6) molikul oksijen. MasyaAllah sungguh besar rahmat Allah kepada umatnya untuk mendapat rahmat dengan berlakunya proses ini. Manusia pula bernafas dengan menyedut oksijen dan membebaskan karbon dioksida sebagai proses Pernafasan. Ini bermakna kitaran pusingan udara sentiasa seimbang dengan adanya berjuta-juta tumbuhan didunia untuk membebaskan iksijen.


2. Struktur Daun Tumbuhan
Tumbuhan merupakan sejenis organisma fotosintetik yang mempunyai komponen Akar, Batang dan paling utama Komponen DAUN. Terdapat beberapa tumbuhan yamh tidak mempunyai struktur daun yang lazim walaupun mampu menjalankan proses fotosintesis (Pokok Kaktus dsb). Daun lazimnya berwarna hijau dan menghadap cahaya matahari atau berada dibahagian tas tumbuhan supaya mempu menerima cahaya matahari terus kepada sel-sel stomata atau sel-sel fotosintetik. Bahan asas fotosintesis iaitu air dan karbon dioksida diserap masuk kedalam sel-sel daun yang dipanggil klorofil untuk menghasilkan tenaga dan oksijen.

Keratan rentas bahagian daun menunjukkan kita perlu faham struktur daun iaitu mempunyai sel Stomata, Sel Pelindung (Guard Cell), Sel Mesopil (mesophyll cells) dan juga pembuluh (vein). Air dalam tanah diserap melalui sel-sel akar dan disalurkan melalui batang terus ke bahagian daun melalui sel-sel khas yang dipanggil sebagai xylem (disebut sebagai zigh-lem). Tumbuh2an tidak mudah kering kerana sel-sel khas yang dipanggil sebagai STOMATA yang membenarkan udara masuk dan keluar tanpa menjejaskan kandungan air dalam daun. Gas Karbon dioksida yang diserap tidak melepasi lapisan seperti lilin yang dipanggil sebagai lapisan sel berlilin (Kutikel atau cuticle). Sel-sel stomata akan terbuka dan tertutup dengan membebaskan oksijen dan menyerap karbon dioksida sahaja. Masaalah bertapa agungnya fungsi daun yang dicipta Allah Taala!.

3 Cahaya Matahari
Cahaya matahari yang terang sebenarnya terdiri daripada banyak warna yang dibezakan dengan GELOMBANG (wavelengths) dimana dapat dilihat jika dilalukan diatas kanta atau Prism. Tenaga cahaya matahari berbeza-beza dengan warna dan keadaan gelombang yang mana kuantiti bergantung kepada jenis sinaran. Gelombang yang Panjang yang terpancar akan menghasilkan kuasa spektra elektromagnetik bagi cahaya yang dapat dilihat dengan matakasar (Warna Merah). Cahaya bertindak dalam bentuk Gelombang dan Partikel yang boleh memantul dan membengkok apabila terkena objek tertentu. Tenaga dari cahaya matahari ini digunakan oleh daun untuk proses fotosintesis.

4 Klorofil dan Fungsinya
Klorofil adalah sel yang ada kebanyakkannya pada permukaan daun yang juga dipanggil sebagai pigmen yang mampu menyerap tenaga cahaya matahari. Klorofil yang berwarna hijau akan menyerap semua sinaran geklombang cahaya matahari kecuali gelombang yang berwarna hijau. Kajian saintis juga menunjukkan hanya pigmen hitam sahaja yang mampu menyerap semua warna gelombang cahaya matahari. Pigmen berwarna putih membalikkan semua gelombang dari cahaya matahari. Klorofil adalah struktur molikul yang amat kompleks dimana kemampuannya memproses fotosintesis berbeza-beza antara tumbuhan biasa di darat, didalam air, dibawah kawasan terlindung, sel-sel kecil dan sebagainya. Klorofil menyerap tenaga matahari paling cekap dengan Gelombang Biru-ungu dan Gelombang Merah-Oren dan hanya sedikit tenaga dari gelombang Hijau-Kuning-Oren.


5 Struktur Klorofil.
Kecekapan proses fotosintesis dalam krorofil daun berbeza bergantung kepada bentuk gelombang cahaya matahari yang menghasilkan tenaga yang dipanggil sebagai 'elektron'. Apabila tenaga matahari dlam bentuk elekttron ini diserap oleh pigmen daun atau stomata maka 3 perkara akan berlaku. Tenaga akan dibebaskan dalam bentuk HABA atau tenaga tersebut terbebas keudara dalam bentuk 'Fluoresence' dan yang ketiga tenaga tersebut akan menyebabkan berlakunya tindakbalas kimia dalam sel yang dipanggil sebagai proses fotosintesis. Proses tindakbalas kimia tersebut berlaku apabila klorofil mempukarkan unsur-unsur protein, air dan nutrient serta tenaga dan gas untuk menghasilkan tenaga, oksijen dan komponen lain. Struktur atau unit dalam fotosintesis dikenali sebagai Taikaloid (thylakoid) iaitu proses prokaryotes dan eukaryotes mempunyai sarung (sacs/vesicles) yang mengandungi bahan kimia photosintetik. Struktur dalam taikaloid juga mempunyai lapisan2 seperti kek lapis yang dipanggil Grana dan lapisan diantaranya dipanggil sebagai stromata.

6 Peringkat Proses Fotosintesis
Proses Fotosintesis mempunyai dua peringkat. Peringkat pertama adalah Proses Tindakbalas Cahaya (Light Reactions) dimana cahaya matahari diterima dan diserap oleh sel daun yang menghasilkan sumber tenaga. Proses kedua adalah dimana berlakunya tindakbalas kimia yang berlaku ketika tidak ada cahaya matahari dipanggil Proses Tindakbalas Tanpa Cahaya Matahari (Dark Reactions) dimana unsur karbohiderat dipecahkan untuk menjadi sumber tenaga. Semua proses tersebut hanya berlaku dalam stomata dimana Tindakbalas Cahaya berada di dalam Grana sementara Tindakbalas Tanpa cahaya Matahari berlaku didalam Stromata iaitu kedua-duanya didalam Kloroplas.

Proses Fotosintesis merupakan satu proses penting dalam kehidupan manusia dan tumbuhan. Proses ini mempastikan bahawa bekalan oksijan dan makanan dapat dihasilkan untuk kesinambunagn hidup manusia. Perimbangan gas karbomn dioksida dan oksijan dalam udara berlaku pada waktu siang dan malam hari. Ramai diantara kita tidak memahami secara langsung proses fotosintesis yang berlaku pada daun tanaman kita dan tumbuhan hutan setiap hari.



PROSES FOTOSINTESIS ....... ADALAH PENTING.....
MENGHASILKAN GAS.....KALAU TIDAK GENTING....
DAUN-DAUN YANG HIJAU....JANGAN DIGUNTING......
HIDUP SEJAHTERA ..... TIDAK PERLU PENING....


By,
M Anem
Serdang
Selangor

Wednesday, November 17, 2010

Alat CANTASAN

Alatan Cantasan (Pruning Tools) yang digunakan dalam aktiviti mencantas digunakan untuk memotong dan membuang bahagian-bahagian pokok bagi tujuan tertentu. Aktiviti Cantasan atau Pangkasan (Pruning) memerlukan kemahiran (Skill) dan ilmu pengetahuan khusus (Knowledge) bagi menentukan bahawa aktiviti cantasan yang dijalankan betul dan tepat. Cantasan dijalankan dari peringkat awal untuk tujuan Cantasan Pembentukkan, Cantasan Penyelenggaraan Pokok, Cantasan Untuk Rangsangan Berbunga dan juga Cantasan Membuang Bahagian yang diserang penyakit. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa alat2an cantasan yang biasa digunakan di Malaysia berdasarkan kajian dan pengalaman penulis sendiri dalam bidang pertanian selama lebih 30 tahun dalam bidang pertanian untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan.


Secateurs - Asas alat cantasan
Beberapa alatan cantasan yang biasa digunakan untuk kerja-kerja cantasan adalah seperti SECATERUS (Gunting Cantasan) , PRUNING SAW (Gergaji Cantasan) dan KNIFE (Pisau Cantasan). Terdapat beberapa alatan lain yang digunakan dalam menjalankan cantasan bergantung kepada teknologi yang ada, jenis tumbuhan, tujuan cantasan, ketinggian tumbuhan, bahagian yang hendak dicantas, kepakaran pencantas atau petani dan kekuatan dahan (Lembut, sederhana atau keras). Cantasan bagi tumbuhan ornamental (Bunga Hiasan) agak berbeza dengan aktiviti cantasan untuk tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran (Tanaman makanan). Apa yang saya perhatikan, ramai petani dapat melakukan cantasan pokok buah-buahan dengan baik setelah menerima latihan dengnan baik berbanding dengan penduduk taman perumahan yang mencantas pokok (seperti pokok mangga dikawasan rumah) yang kurang mahir.


Scateurs - Praktikan dan mudah.
1) SECATEURS 
Scateurs secara mudahnya adalah alat seperti Gunting dimana ia merupakan alat cantasan paling popular dan mudah untuk digunakan. Scateurs merupakan alat yang menggunakan tangan untuk memotong bahagian yang hendak dicantas diperbuat dari besi yang mempunyai pemegang, ensel dan mata pisau membengkok yang tajam. Bahagian pemegang biasanya disalut dengan lapisan jenis getah dan yang setaraf dengannya untuk memudahkannya untuk di pegang, tidak licin dan memberikan kemantapan kuasa pegangan. Bentuk mata scateurs bermacam-macam daripada mata yang rata, separa bulat, lonjong , panjang dan pendek. Mata pisau juga ada yang serong tajam, rata dan sebelah tajam. Ada juga yang stu mata sebelah pelapik dan ada yang tajam dikedua-dua mata. Harga alat scateurs ini berbeza-beza mengikut model, negara pengeluar, kualiti dan juga antara yang paling murah di bawah RM 10.00 satu unit sehingga yang berharga lebih dari RM 100.00 satu unit. Jenis scateurs yang diimpot dari Jepun, German dan USA lazimnya mahal tetapi berbaloi kerana ia tahan lama, tajam dan sangat effisien digunakan.


Pemilihan jenis scateurs bergantung kepada jenis tanaman, tujuan cantasan dan dahan yang hendak dicantas. Bagi tanaman berkayu lembut dan bersaiz kecil (Kurang 2 cm garispusat) maka memadai dengan menggunakan scateurs yang mempunyai dua mata atau satu mata. Kerja mencantas dahan lembut mudah dilaksanakan jika mata pisau tajam seperti mencantas pucuk bunga kertas, tunas air pada dahan pokok buah-buahan (Limau, Rambutan, Longan dsb). Bagi dahan yang mempunyai kayu sederhana keras dan bersaiz sederhana garispusat (Kurang 4 cm garispusat) boleh digunakan scateurs yang berbentuk separa bulat (Lihat foto) dengan menghalakan mata scateurs dan potong dengan membuat putaran kepada dahan terebut. Kaedah ini tidak merosakan kulit pokok dan dapat bentuk potongan yang licin dan tidak mencederakan tanaman. Ada dahan yang perlu dipotong dengan 'menyerong' bagi memudahkan potongan dan tidak berlaku takungan air yang akan menyebabkan serangan kulat.


Gergaji cantasan
2) Gergaji Cantasan (Pruning Saw) 
Gergaji Cantasan pula merupakan alatan gergaji untuk mencantas yang sesuai digunakan untuk dahan yang lebih keras dan dahan bersaiz besar sama ada dahan tersebut rendah atau tinggi. Gergaji Cantasan atau (GC) biasanya diperbuat dari besi yang sangat berkualiti untuk mempastikan mata pisau sentiasa tajam , tahan lama dan tidak mudah tersepit (Kesat) apabila digunakan. Mata gergaji berbagai bentuk sama ada tajam sebelah atau tajam dua belah. Mata gergaji 'makan sebelah' bertindak dengan memotong apabila gergaji di tolak atau di tarik sahaja manakala 'mata makan dua belah' akan memotong semasa gergaji di tolak dan ditarek. Terdapat juga GC yang boleh dilipat untuk memudahkan cara penyimpanan dan menentukan keselamatan pengguna. Harga gergaji cantasan juga banyak jenis bergantung kepada kualiti dan model serta negara pengeluar. Satu gergaji cantasan yang saya beli model dari Jepun berharga RM 120.00 yang boleh dilipat dan amat tajam serta sesuai untuk memotong dahan pokok mangga Cho Anan (MA224) dikebun mangga di Tehel , Jasin.


Bagi pokok yang tinggi perlukan alat cantasan khusus sama ada bentuk scateurs atau gergaji yang disambung dengan Galah pemegang yang diperbuat dari jenis logam yang kuat (Aluminium, besi, GI Pipe dsb). Tergapah galah yang boleh diubahsuai ketinggian (adjustable height) bagi memudahkan kerja-kerja cantasan. Bagi jenis scateurs biasanya di sambung dengan tali untuk ditarik dan mata scateurs akan memotong dahan tersebut. Alatan jenis ini dapat mengelakan pengguna daripada kena panjat pokok untuk menjalankan kerja-kerja cantasan. Memanjat pokok untuk mencantas agak merbahaya kerana risiko jatuh kebawah, risiko tercedera kerana alatan dibawa dan risiko dahan patah.


3) PISAU atau PARANG 
Alatan pisau atau parang juga merupakan alatan tradisional untuk membuat cantasan. Alat ini yang serinag dibawa oleh petani tradisional dikebun merupakan rakan karib mereka untuk mencantas dahan dengan memotong (Slashing) terhadap dahan-dahan yang hendak dibuang walau pun cara ini kurang menepati amalan agronomi. Peringatan kepada pembaca sila sapukan cat atau bahan kimia diatas permukaan potongan dahan yang dicantas untuk mengelakkan serangan kulat dan serangga perosak dikawasan yang luka.


Harga scateurs di pasaran atau kedai berbeza mengikut kualiti, saiz, bentuk dan mengikut jenama (Impot atau lokal). Kajian saya di Johor dan Melaka mendapati harga scateurs paling murah cuma RM 5.00 (Made in China) yang tidak kuat dan yang mahal saya beli harganya sekitar RM 120.00 (Impot dari German) yang tajam dan kuat. Menurut penjual ada scateurs yang berharga lebih RM 250.00 dipasaran. Bagi Gergaji Cantasan yang sesuai untuk dibeli , tajam dan mudah digunakan berharga lingkungan RM 65 - RM 150.00. Sebaiknya beli yang tajam dua belah mata kerana mudah digunakan. Pemilihan alatan untuk cantasan bergantung kepada kegunaannya, modal yang kita ada dan juga kecekapannya. Diharap artikel ini dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada para pembaca sekelian.

PAKAI SCATEURS....CANTASAN DILAKUKAN...
GUNA GERGAJI CANTASAN... MENAKJUBKAN...
KERJA MENCANTAS... POKOK JADI CERGAS....
ILMU MENCANTAS...GAP DI JADIKAN TERAS...

Related articles:
1. Pengembangan Pertanian (Klik disini)
2. Pembiakan Benih Tumbuhan (Klik disini)
3. Bahan Tanaman di Malaysia (Klik disini)
4. Industri Benih di Malaysia (Klik disini)
5. Klasfikasi Tanaman Penting (Klik disini)

By,
M Anem
Masjid Besi Al-Mizan,
Putrajaya,
Wilayah Persekutuan
Malaysia
'Selamat Hari Raya Aidil Adha'
17 Nov 2010
(Kemaskini pada 11 Jun 2013)

Tuesday, November 16, 2010

DAFTAR VARIETI BUAH2AN



VARIETI buah-buahan di Malaysia telah di daftarkan dengan Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia, Jabatan Pertanian Sarawak dan Jabatan Pertanian Sabah. Varieti merupakan klasfikasi paling rendah dalam menamakan tumbuh-tumbuhan tetapi orang di Malaysia lebih suka dengan panggilan 'KLON' dan nombor Daftar Varieti. Bagi varieti buah-buahan di Semenanjung Malaysia proses pendaftaran dijalankan semenjak dulu dan telah diterbitkan pada tahun 1995 melibatkan sebanyak 27 jenis buah-buahan tropika dengan sebanyak 454 jenis klon. Penulis ingin berkongsi maklumat mengenai klon buah-buahan yang telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian berdasarkan pembacaan dan pengalaman bertugas disektor pertanian.

Antara buah-buahan yang paling banyak di daftarkan di Semenanjung Malaysia adalah Durian (Durio ziberthinus) sebanyak 121 varieti/klon daikuti dengan Buah Rambutan (Nephellium lappaceum) sebanyak 111 varieti/klon dan juga Nangka (Artocarpus heterophyllus) sebanyak 64 varieti/klon. Buah-buahan lain kurang daripada 20 klon. Usaha mendaftarkan klon buah-buahan merupakan satu kaedah untuk mengetahui asal usul tanaman tersebut di dapati , nama pemilik yang mendaftarkan, tarikh didaftarkan, nama panggilan biasa dan beberapa ciri asas mengenai klon buah-buahan tersebut. Rekod ini akan memudahkan petani, usahawan nurseri, pegawai pertanian dan semua yang berkaitan mengenail dan membuat rujukkan.

Kepada mereka yang berminat hendak mendaftarkan klon buah-buahan tempatan di Semenanjung Malaysia pada masa ini boleh menghubungi dengan Jabatan Pertanian. Terdapat Akta Baru Pendaftaran Perlindungan Tanaman (PVP - Plants Variety Protection) yang menjaga hak pemilik asal pendaftaran klon baru yang mengikut perundangan antarabangsa. Mereka perlu mendaftar mengikut prosedur khusus dan pemeriksaan akan dijalankan oleh pakar2 Jabatan Pertanian untuk mengesahkan ciri-ciri DUS pada pokok tersebut. Borang untuk mendaftar varieti tumbuh-tumbuhan adalah Borang DK-1 yang boleh dimuat turun dar laman web Jabatan Pertanian atau mendapatkannya dari Pejabat Pertanian Berhampiran. Borang ini adalah percuma.


Kebaikan pendaftaran ini adalah untuk mempastikan Malaysia mempunyai senarai DAFTAR NASIONAL Varieti tanaman bagi dijadikan bahan rujukkan oleh pengguna. Proses pendaftaran ini adalah percuma dan semua permohonan akan di proses dan di daftarkan oleh Urusetia, Pendaftaran Varieti Tanaman, Bahagian Kualiti Tanaman, Aras 7, Jabatan Pertanian, Wisma Tani, Putrajaya. Nombor pendaftaran dan nama varieti akan boleh dirujuk untuk pelbagai tujuan dan kegunaan. 

SELAMAT MENDAFTAR KLON BUAH2AN ANDA!


RELATED ARTIKEL:
1. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
2. Klon Avocado (Klik disini)
3. Klon Belimbing (Klik disini)
4. Klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
5. Klon Ciku di Malaysia (Klik disini)


By
M Anem
Muar, Johor,
Malaysia
(2 Safar 1432H)

Monday, November 15, 2010

TUBA

Tuba (Derris elliptica) adalah sejenis tumbuhan renek dari keluarga Fabaceae (dulu ialah keluarga Leguminaceae) yang terdapat di Asia Tenggara dan kepulauan di Pasifik Barat-daya yang biasa digunakan untuk meuba atau bertindak sebagai racun ikan. Tumbuhan ini adalah natif di Malaysia dan Indonesia dan biasanya tumbuh sendiri secara liar di kawasan hutan dan kawasan kebun yang tidak di racun atau tidak diusahakan secara intensif. Nama-nama bagi tumbuhan tuba ini yang  lainn adalah tuba akar, tuwa laleur, areuy kidang (Sd.), jenu, jelun, tungkul (JAWA), tobha, jheno, mombul dan lain-lain dan sebagainya. Akar tumbuhan tuba ini memiliki kandungan bahan iaitu rotenona (rotenone) iaitu sejenis racun kuat untuk membunuh ikan air tawar dan juga boleh digunakan sebagai racun mengawal serangan serangga pada tanaman. Artikel kali ini penulis ingin berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan tuba dan beberapa kegunaannya berdasarkan kepada pengalaman penulis ketika jadi 'budak kampung' di Muar dahulu yang sering menggunakan tanaman tuba sekitar tahun 1960'an dan awal 1970'an.

Tumbuhan tuba adalah jenis yang menjalar dan mampu memanjat atau merambat pada pokok (tumbuhan memanjat) yang berkayu. Keupayaan memanjat pokok mempu mencapai ketinggian dengan membelit sehingga setinggi 10m. Ranting-ranting tuba yang tua berwarna kecoklatan dengan lentisel serupa jerawat. Daun-daun tuba adalah tersebar, majmuk yang menirus dengan bilangan ganjil dengan jumlah helai daun antara 7-15 helai. Tangkai daun berukuran antara 13-23 cm panjang dengan sisi bawah bahagian sisi bawah daun kekelabuan atau agak kebiruan. Daun muda atau pucuk yang muda berwarna coklat-ungu/ Tanaman tuba mempunyai bunga yang terkumpul dalam kumpulan yang panjangh tangkainya kira-kira 12-26 cm panjang. Kelopak bunga tuba berbentuk cawan dengan warna hijau dan warna ros pucat. Buah tuba berbentuk oval yang memanjang dengan saiz kira2 3.5-7cm × 2 cm serta mempunyai antara 1-2 bijibenih.


Tumbuhan tuba tumbuh liar dalam semak-semak dekat tepi hutan dan juga di tepi sungai yang agak lembab dimana kadang-kadang ditanam di kebun atau dikeliling rumah di kawasan kampong tradisional. Di Malaysia dan kebanyakan negara Asia Tenggara tuba didapati mulai dari dataran rendah hingga ketinggian sekitar 1500 meter dari paras laut. Saya mendapatkan bekalan tuba dari kawasan kebun getah dikawasan kampong dan kawasan belukar. Apabila tumbuhan tersebut telah matang saya kutip akarnya dengan mencabut pokok dan kutip akarnya sebelum digunakan. Kalau berlebihan saya akan simpan dengan mengeringkannya dan boleh digunakan kemudian.


Kajian mendapati bahawa kandungan racun pada tuba dikenali sebagai derrids pada masa dulu tetapi sekarang dikenali sebagai rotenona. Bahan aktif ini dijumpai pada akar tuba (Lihat foto sebelah) dengan kadar antara 2½-3% sahaja dan sebenarnya terdapat paling banyak terkandung dalam bahagian kulit akar.kajian saintis juga mendapati bahan Derrids hampir tidak terlarut dalam air. Tuba digunakan secara tradisional sebagai racun ikan. Cara menggunakan adalah dengan bahagian akarnya biasanya digali dan dipotong. Akar tuba akan dikeringkan selama beberapa hari (sekitar 3-4 hari) dulu. Akar tuba ini kemudian ditumbuk dan dicampur dengan air menghasilkan cairan yang berwarna seperti susu. Campuran air dengan kepingan akar ini kemudian dituang kedalam lubuk ikan atau parit atau anak sungai yang ada arus air. Jika arus air tidak laju kandungan tuba digunakan tak perlu banyak tetapi jika air berarus deras dan luas makan jumlah tuba perlu banyak. Akar tuba yang ditumbuk diletakkan dalam air mengalir.


Pengalaman saya biasanya akan membuat empangan untuk memperlahankan arus dan mempastikan ikan tidak lari ketempat lain. Pasangkan jaring atau jala di bahagian bawah arus untuk memungut ikan yang terapung2. Ikan-ikan yang mabuk tuba. Ikan yang kena tuba akan mabuk dan timbul di permukaan air dan dengan mudah ditangkap. Kebaikan racun tuba ialah kerana setelah beberapa jam sahaja atau sampai beberapa hari bergantung pada derasnya aarus aliran sungai maka keadaan sungai sudah akan pulih kembali.


Dalam bidang pertanian sektor tanaman adalah dikaji bahawa racun tuba dimanfaatkan pula sebagai racun serangga yang mampu mengawal masaalah kutu-kutu, hamama dan ulat yang merosakan tanaman dikebun. Racun tuba dibuat dengan mengekstrak iaitu dengan menumbuk akar yang segar atau yang telah dikeringkan. Akar tersebut kemudian di rendam dengan sejumlah air hingga satu malam (atau, ada pula yang merebusnya selama beberapa jam). Ekstrak ini kemudian dicampurkan dengan larutan sabun untuk menstabilkannya dan disembur kepada tanaman kita berulang kali untuk elakan serangan hamana terutama pokok tembakau dan kajian juga mendapati racun tuba dapat membasmi kutu pada anjing, tungau pada ayam, gangguan lalat dan lain-lain.

Saya pernah lihat di kampong dulu racun tuba digunakan dengan beberapa campuran lain seperti minyak masak sebagai ubat untuk mengawal penyakit kulit seperti Kudis Buta, Kurap dan panau. Pemerhatian saya mendapati ianya mujarab dan merupakan satu kaedah kawalan penyakit kulit. Penggunaan racun tuba untuk menangkap ikan di lubuk atau anak sungai air tawar adalah menjadi satu kesalahan kini dibawah Akta Perikanan di Malaysia. Inii kerana racun ini secara tidak langsung membunuh banyak ikan sekali gus dan juga membunuh anak-anak ikan yang masih kecil. Pemerhatian saya mendapatu jika arus aliran air deras maka kesan kerosakan agak kurang dan ikan cuma mabuk sahaja. Kajian lanjut penggunaan tuba perlu dijalankan untuk memenafaatkan tumbuhan tuba sebagai tumbuhan herba serbaguna pada masa akan datang.


MEREDAH HUTAN....MENCARI AKAR TUBA...
AKAR DI KUMPUL...KERINGKAN SEKETIKA....
MENUBA IKAN....HASILNYA DIJANGKA...
ELAKKAN MENUBA...LEBIH SEJAHTERA...

By,
M Anem,

Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok

Gersik, Muar/Ledang,
Johor,

Malaysia
(Kemaskini pada  4 Mac 2013)

Friday, November 12, 2010

KACANG KUDA

KACANG KUDA (Cicer arietinum) merupakan sejenis tumbuhan renek dari keluarga Fabaceae yang tidak di tanam di Malaysia tetapi banyak digunakan untuk makanan di Malaysia. Kacang Kuda juga dipanggil sebagai 'Chickpea', Indian Pea, Ceci bean, Garbanazo bean atau Bengal Gram. Tanaman ini merupakan tanaman kekacang yang di tanam di Negara seperti India, Meditrinean, Asia barat dan Benua Australia iaitu kawasan beriklim subtropika yang agak kering. Negara India merupakan negara pengeluar utama Kacang Kuda dengan penghasilan sebanyak 5.97 juta metrik tan setahun diikuti dengan Negara Pakistan (842,00 mt/tahun) dan Turki (523,000 mt/tahun) dan Australia (313,000 mt/tahun). Negara lain yang ada mengeluarkan kacang kuda adalah seperti Iran, Myanmar, Canada, Ethiopia, Mexico dan Iraq. Jumlah pengeluaran kacang kuda didunia lingkungan 9.313 juta metrik tan setahun. Artikel kali ini saya menulis mengenai tanaman kacang kuda berdasarkan kajian penulis dan lawatan ke Myanmar tahun 2009 yang sempat melawat kebun kacang kuda di Daerah Bago , Myanmar.

Terdapat dua jenis kacang Kuda yang di tanam iaitu Jenis Desi dan Jenis Kabuli. Jenis Desi adalah jenis yang agak berbiji kecil dan berwarna lebih gelap berbanding dengan jenis Kabuli yang bijinya agak lebih besar dan berwarna lebih cerah. Hampir 90% jenis yang ditanam di dunia adalah jenis Desi yang diguna di India sebagai sumber makanan utama mereka. Pokok kacang kuda tumbuh menegak dari jenis renek yang mampu mencapai ketinggian antara 20-30 cm dengan daun berwarna hijau serta berbulu. Buah kacang kuda dalam sarung yang terdapat 2 - 3 biji kacang kuda didalamnya. Bunga kacang kuda berwarna putih dengan warna kebiruan ungu pink pada bahagian tertentu. Kacang kuda memerlukan iklim subtropika dan tropika dengan keperluan hujan lingkungan 400 mm setahun.

Tanaman kacang kuda diatas tanah atau batas yang mempunyai saliran yang baik. Tanaman menggunakan biji benih yang matang dis\tanam dengan jarak 60 cm x 80 cm bergantung kepada kesuburan tanah. Kawalan rumpai dan musuh dijalankan secara bersepadu antara Kimia dan manual. Pokok kacang kuda akan matang dalam masa 80 - 120 hari bergantung kepada variety, pengurusan dan iklim. Pokok Kacang Kuda yang telah bersedia untuk dituai akan dipastikan telah mempunyai buah yang matang melebihi 80% sebelum dituai dengan manual atau jentera. Bagi penanaman di negara maju, penuaian dijalankan dengan jentera dan bagi negara lain seperti di India dan Myanmar, penuaian dengan tangan secara manual. Buah yang dikutip dikeringkan, dikumpul dan dikeluarkan biji kacang kuda. Kacang kuda tersebut digredkan mengikut kualiti sebelum dipasarkan.


Kacang Kuda adalah kekacang yang sangat kaya dengan sumber protin dan merupakan tumbuhan kekacang yang terawal di tanam oleh manusia sebagai makanan. Kacang Kuda mengandungi banyak khasiat seperti Serat (7.6 gm), karbohiderat (27.42 gm), Lemak (2.59 gm), Gula (4.9 gm) dan Protin (8.9 gm) setiap 100 gram kacang kuda. Kandungan vitamin kacang kuda sangat banyak dari jenis seperti Thiamin, Riboflavin, Vitamin (A, B, C ,D,E,K) dan pelbagai zat galian seperti Magnesium (48 mg), Posforan (168 mg), Kalium (291 mg), Sodium (7 mg) dan Zink (1.53 mg). Kacang kuda didakwa dapat mengurangkan kolesterol dalam badan manusia. Kacang Kuda adalah makanan untuk kesihatan manusia.

Di Malaysia kacang kuda di makan kebanyakkanya dengan merebus sahaja setelah direndam sekurang-kurangnya 4-5 jam dalam air bersih. Campur dengan sedikit garam perasa semasa merebus atau mengukus. Kacang Kuda Rebus selalu di jual di pasar malam, pasar tani, R&R Lebuhraya PLUS dan dianggap sebagai 'snack food'. Selain itu kacang kuda di goreng dan dibubuh garam perasa yang dijual sebagai kacang kuda proses. Sejumlah besar kacang kuda di Malaysia digunakan dalam masakan ala India yang banyak terdapat di Restoran2 Mamak diseluroh Malaysia. Malaysia mengimpot banyak tan kacang kuda terutama dari India untuk pasaran tempatan. harga jualan kacang kuda juga murah dan mampu dibeli lingkungan RM 5.00 - RM 7.00 sekilogram. Biasanya peruncit akan membungkus dalam pek 300 gram atau 500 gram untuk dijual secara runcit kepada surirumah. Semuga artikel ini memberikan maklumat mengenai kacang kuda kepada para pembaca.

BANYAK JENIS KACANG...ADA KACANG KUDA...
DIREBUS DI GORENG... RAMAI YANG SUKA..
MUDAH DIBELI ...MEMANG TAK MAIN HARGA..
MALAYSIA TAK TANAM... MENGIMPOT SAJA...



Related articles:
1. Kacang Pea (Klik disini)
2. Kacang Hijau (Klik disini)
3. Kacang Parang (Klik disini)
4. Kacang Tanah (Klik disini)
5. Kacang Serinding -Lenthil (Klik disini)


By
M Anem
Air Keroh
Melaka
Malaysia

Klon Belimbing Besi


Belimbing Besi (Averrhoa carambola Linn.) atau Star Fruit merupakan sejenis buah-buahan tropika yang popular ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan ekapot. Terdapat seluas 1,340 hektar tanaman belimbing di Malaysia pada tahun 2009 dengan anggaran hasil tahunan sebanyak 11,400 metrik tan. Kawasan utama yang banyak ditanam dengan belimbing besi ialah di daerah Gombak, Selangor (132 hektar), Daerah Seremban N Sembilan (79 ha) dan Daerah Temerloh Pahang (68 hektar). Ramai petani yang ingin mula menanam bekimbing besi tetapi tak tahu klon-klon yang telah didaftarkan dan disyorkan untuk ditanam. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat 18 jenis belimbing besi dalam "Anim Agro Technology"  yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia untuk pengetahuan bersama dan makluman pembaca. Kebanyakan klon belimbing besi didaftarkan lebih 15-20 tahun dahulu dan tidak banyak klon-klon baru yang didaftarkan.

1. Klon B1
Nama biasa : Yong Toh Yin
Tahun di daftar : 1997
Pemilik Asal : Ng Kee Seng
Tempat Asal : Kinta Perak
Ciri2 Asas: Buah Besar, Kuning pucat dan style bunga panjang

2. Klon B2 (Varieti disyorkan)
Nama Biasa : MAHA 66
Tahun daftar : 1966
Pemilik asal : Foo fatt
Tempat Asal : Port Dickson, Negeri Sembilan
Ciri-ciri khas : Belimbing B2 mempunyai buah yang besar, berwarna kuning kehijauan dan rasanya yang manis. Isinya berair dan ira isinya halus. Didapati 'style' bunga adalah panjang.

3. Klon B3
nama Biasa : Foo Red
tahun didaftar : 1966
Pemilik asal : Foo fatt
Tempat asal: Port Dickson, N Sembilan

4. Klon B4
nama Biasa : Sg Besi 1
tahun didaftar : 1966
Pemilik Asal : Tiada maklumat
Tempat asal : Sg Besi

5. Klon B5
nama Biasa : Sg Besi 2
Tahun didaftar : 1966
Pemilik asal : Tiada maklumat
Tempat asal : Sg Besi

6. Klon B6
nama Biasa : Sg Besi 3
Tahun didaftar : 1966
Pemilik asal : Tiada maklumat
Tempat asal : Sg Besi

7. Klon B7
Nama Biasa : Sg Besi 4
Tahun didaftar : 1966
Pemilik asal : tiada maklumat
Tempat Asal : Sg Besi

8. Klon B8
Nama biasa : Sg Besi 5
Tahun didaftar : 1968
Pemilik asal : Tiada maklumat
Tempat asal : Sg Besi

9. Klon B9
nama Biasa : Tiada
tahun didaftar : 1968
Pemilik asal : Tiada maklumat
Tempat asal : Sg Besi, Selangor

10. Klon B10
 (Varieti disyorkan)
Nama Biasa : Tiada
Tahun di daftar : 1968
Nama pemilik : Ching Sing Keaw
Tempat asal : Serdang baru, selangor
Ciri-ciri B10: Buah besar, berwarna merah keemasan, Ira isi yang halus, rasa manis dan berair serta 'style' bunga yang pendek.

11. Klon B11
nama Biasa : Chan Yong 2
Tahun di daftar : 1968
Pemilik asal : Chan Yong
Tempat asal : Serdang

12. Klon B12
Nama biasa : Chan Yong 2
tahun di daftar : 1968
Pemilik Asal : Chan Yong
Tempat asal : Serdang

13. Klon B13
Nama Biasa : Istana Perak 1
Tahun di daftar : 1971
Pemilik asal : Istana Perak
Tempat asal : Istana Kuala Kangsar

14. Klon B14
Nama Biasa : Istana Perak 2
Tahun di daftar : 1971
Peilik Asal : Istana Perak
Tempat Asal : Istana Kuala kangsar

15. Klon B15
Nama Biasa : Istana Perak 3
Tahun didaftar : 1971
Pemilik asal : Istana Perak
Tempat Asal : Istana , Kuala Kangsar

16. Klon B17  (Varieti di syorkan)
Nama Biasa : Belimbing Madu
Tahun didaftar : 1988
Pemilik Asal : Ti Kok Seng
Tempat Asal : Triang, Pahang
Ciri-ciri khas : Belimbing B17 mempunyai bentuk buah yang menarik, berwarna kuning seginya lembut dan berwarna hijau. Didapati 'style' bunganya pendek.

17. Klon B18
Nama Biasa : Belimbing
Tahun di daftar : 1989
Pemilik Asal : Toh Ah Mei
Tempat Asal : Batu 3, Balakong, Selangor

18. Klon B19
Nama biasa : Belimbing
Tahun daftar : 1989
Pemilik Asal : Toh Ah Mei
Tempat asal : Batu 3, Balakong, Selangor

Tanaman belimbing merupakan satu aktiviti yang intensif dan perlukan ilmu teknologi penanaman yang sempurna untuk mempastikan kejayaan. Diantara 18 klon diatas hanya beberapa klon yang sesuai dan popular serta diyorkan untuk ditanam iaitu Klon B10, Klon B17 dan Klon B2. Klon B2 digunakan sebagai agen pendebungaan untuk klon B10 dan B17 bagi mendapatkan kualiti buah yang sangat berkualiti. Sebarang pertanyaan tentang Teknologi Tanaman Belimbing besi boleh didapati dari Jabatan Pertanian berhampiran kebun diseluroh Malaysia.
Selamat membaca.

By,
M Anem 

Ladang Bt 18, Sengkang,
Bukit Gambir, Muar,
Johor,

Malaysia
(Mantan AO Muar)