Support My Blog

Tuesday, February 2, 2010

Benih Kelapa MATAG

Benih Kelapa MATAG di Pusat Pengeluaran Kelapa MATAG Jabatan Pertanian di Muar, Johor.



Apa itu Kelapa MATAG ?


Mana nak dapatkan benih Kelapa MATAG?
Ramai petani di Malaysia berlumba-lumba untuk mendapatkan benih Kelapa MATAG. Kelapa (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman saka yang dikenali sejak zaman dahulu kerana dikatakan sebagai pokok pelbagai guna. Pengeluaran buah kelapa didunia adalah sebanyak 57 juta biji setahun daripada seluas 12.48 juta hektar kawasan penanaman. Pengeluar utama kelapa dunia adalah Indonesia (3.9 juta hektar) diikuti dengan Filipina (3.2 juta hektar ) dan India (1.9 juta hektar). Di Malaysia terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa dimana kawasan tumpuan penanaman adalah di Johor , Selagor, Perak, Sabah dan Sarawak. Dari pucuk daun hingga buah, batang dan akarnya pokok kelapa boleh digunakan. Buah kelapa antara bahagian yang paling berguna kerana hampir semuanya digunakan. Produk seperti Santan, sabut, tempurung, air kelapa, cocopeat, hampas kelapa semuanya boleh digunakan dan diproses. Kebanyakan varieti kelapa sedia ada yang ditanam di Malaysia ialah dari Jenis Malayan Tall yang tinggi yang berhasil sederhana. Jabatan Pertanian pernah menjalankan program penanaman kawasan kelapa di seluroh negara iaitu Program RPSKK semanjak tahun 1970'an lagi. Kelapa lain yang ada seperti Kelapa MAWA, Kelapa MRD, Kelapa MYD, Kelapa Pandan Wangi dan beberapa jenis lagi. Artikel ini saya menerangkan teknologi penyediaan benih kelapa MATAG dan perkara berkaitan dengannya berdasarkan pengalaman di Stesyen PTIF Jorak iaitu satu-satunya stesyen Jabatan Pertanian yang aktif dalam menghasilkan benih kelapa MATAG di Malaysia.




Produk Minyak Kelapa Dara (VCO - virgin coconut oil) merupakan satu produk paling popular masa kini di Malaysia dengan khasiatnya tersendiri. Ramai pengusaha yang telah menjalankan projek memproses minyak VCO dengan tunjukajar dari beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dengan menghasilkan Produk seperti VCO Aliff (Batu Pahat) dan banyak lagi syarikat2. Harga pasaran lingkungan RM 25.00 satu botol mengandungi 250-300 ml. Minyak VCO mengandungi pelbagai khasiat untuk digunakan sebagai makanan kesihatan. Kandungan Asid Lauric didalamnya didapati sangat sesuai untuk menambahkan kesihatan kepada penggunanya. Lain-lain kandungan dalam VCO ada di nyatakan dalam kajiann oleh MARDI yang berjaya menghasilkan 'Enriched VCO' dengan tambahan beberapa nutrien dalam produk tersebut.

MATAG adalah singkatan nama Kelapa Hibrid baru iaitu Kelapa Hibrid di antara Kelapa Renek Asal Malaysia dengan Kelapa Asal Filipina (Tagnanan). Kelapa Malaysia (Malaysian Yellow Dwarf -MYD atau Malaysian Red Dwarf - MRD) merupakan kelapa jenis rendah atau Kelapa Renek (Sumber Bunga Betina) yang akan di kacukan dengan debunga jantan dari Kelapa Tinggi Tagnanan (Berasal dari Filipina dan ditanam di Malaysia) . Proses pengeluaran benih Kelapa MATAG adalah rumit dan memerlukan kepakaran yang tinggi. Pengalaman penulis (Pegawai Pertanian Daerah Muar dari 1996-2010) yang telah beberapa kali melawat proses pengeluaran benih kelapa MATAG di Stesyen Pertanian Jorak, Muar , Johor dan United Plantation Estate Jenderak, Teluk Intan di Perak mendapati untuk mengeluarkan sebiji benih kelapa MATAG memerlukan kos, kesabaran, ilmu teknikal, sumber tulin debunga, sumber tulin induk MYD/MRD yang matang serta kepakaran pekerja pendebunga. Kini permintaan uuntuk benih kelapa MATAG adalah sangat tinggi dan bekalan tidak mencukupi.


Proses menyediakan benih kelpa MATAG dimulakan dengan debunga jantan perlu di sembur setiap hari kepada mayang bunga betina pokok Kelapa MRD atau MYD yang terbuka (Bunga betina terbuka berperingkat2). Proses pendebungaan ini dibuat dengan menggunakan tangga dari satu pokok ke pokok lain oleh pekerja mahir dan dari satu mayang dan kemudian di balut atau tutup dengan plastik telus cahaya. Tujuan menutup mayang tersebut adalah untuk mengelakkan debunga kelapa dari pokok sama atau pokok lain masuk kepada mayang tersebut. Kalau tak berjaya boleh di bubuh debunga lagi berulangkali pada hari berikutnya. Kerja ini perlu dijalankan dalam cuaca kering atau tidak hujan kerana jika hujan akan menyukarkan aktiviti pendebungaan dan menurunkan prestasi kejayaan. Penggunaan plastik pembalut telus cahaya memudahkan kerja-kerja pemeriksaan sama ada pendebungaan yang dijalankan berjaya atau tidak. Adalah perlu diteliti jambak bunga betina yang berjaya menerima debunga setiap hari selama seminggu sebelum berhenti menjalankan pendebungaan pada jambak yang sama.

Kelapa MATAG memang banyak buah dan sesuai untuk di tanam di Malaysia. Gambar buah kelapa MATAG di Projek Tanaman Kelapa MATAG di Sg Balang ,Muar bantuan Pejabat Pertanian Muar 2008.



Benih yang berjaya di debungakan akan dibuka plastik penutup dan dibiarkan sehingga 6-8 bulan untuk menjadi buah kelapa hibrid. Pembajaan pokok perlu di buat mengikut jadual standard untuk mempastikan benih kelapa MATAG dapat dihasilkan dengan baik. Baja NPK 12:12:17:2 digunakan dengan kadar 100-150 gram sekali sebanyak 4 kali setahun.. Buah yang telah matang di tuai dan yang berkualiti sahaja di susun dalam tapak semaian. Kelapa yang rosak, deform dan tak elok tidak diambil sebagai sumber benih. Buah kelapa yang dipilih akan di semai selama 4-5 bulan ditapak semaian sehingga daun pucuk 3-5 helai keluar dan kemudian dibuat pemilihan (culling) sama ada ianya F1 (MATAG) atau pun benih menjadi pokok induk MRD/MYD atau macam pokok induk Tagnanan. Kajian di Stesyen Jorak, Muar mendapati purata untuk jadi benih MATAG F1 yang tulin 100% cuma lingkungan 40 - 45 % sahaja. Maknanya jika kita berjaya mengeluarkan 1,000 biji kelapa hasil kacukan tadi cuma 400-450 biji sahaja yang akan jadi kelapa MATAG tulin selainya tidak boleh dijual atau ditanam.


Kelapa MATAG merupakan kelapa jenis baru dipercayai mampu mengeluarkan sehingga 40,000 biji sekhektar setahun. Projek kelapa MATAG di Kg Sg Gulang2 Batu Pahat yang saya pantau dan di tanam pada tahun 2001 mendapat hasil setangkai sehingga 15 biji (terdapat 4-6 tangkai pada satu pokok). Isi kelapa MATAG adalah tebal dan kandungan santan yang tinggi. Daerah Sabak Bernam (Selangor), Bagan Datok (Perak) dan Batu Pahat (Johor) merupakan tumpuan projek penanaman kelapa MATAG oleh Jabatan Pertanian. Penulis telah beberapa kali melawat projek tersebut untuk melihat kejayaannya.
Di Johor kawasan tumpuan adalah Batu Pahat, Muar dan Pontian melibatkan kawasan penanaman antara 100 -150 hektar setahun. Bantuan berbentuk bahan input, anak benih, baja, tanaman kontan dan prasarana asas dengan kadar yang ditetapkan Program Tanaman Baru atau Program Tanaman Semula. Kawasan lain yang menanam kelapa MATAG seperti di Mersing dan Kota Tinggi. Selain dari penanaman kelapa, tanaman lain seperti pisang, nenas, serai, kontan di usahakan bagi mempercepatkan pendapatan petani. Petani lebih minat menanam kelapa sawit berbanding menanam kelapa kerana faktur pendapatan dan jaminan pasaran.



Penulis (kiri) dengan pokok kelapa MATAG berumur 2.5 tahun di Endau Mersing April 2010.


Permintaan benih kelapa MATAG adalah tinggi berbanding bekalan berdasarkan maklumat diatas. Dapatkan nasihat daripada pegawai2 Jabatan Pertanian khususnya dari cawangan PTIF atau Pejabat Pertanian Daerah bagi mengetahui sumber-sumber kelapa MATAG yang tulin. Sukar bagi petani biasa mengenalpasti sama ada benih kelapa itu MATAG atau bukan jika tidak tahu punca dan ciri-ciri khasnya.Kepada mereka yang berminat untuk beli benih kelapa MATAG boleh berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah atau Nurseri yang disahkan mempunyai benih yang tulin. Mereka juga boleh berhubung dengan Pengurus United Plantation Estate di Teluk Intan Perak yang merupakan syarikat swasta pengeluar tunggal terbesar di negara ini. Harga kontrak dengan Jabatan Pertanian Malaysia dengan UP Estate dulu cuma RM 6.40 sepokok tetapi kini harga pasaran antara RM 10.00 hingga RM 15.00 bergantung kepada kontrak perjanjian dan jumlah dibeli serta tarikh tempahan (booking). Pastikan anda menanam kelapa MATAG menggunakan benih yang benar-benar tulin dan disahkan agar mandapat hasil sewajarnya!
Sekian...Selamat mencuba...


NAK MENANAM KELAPA?.....PILIH KELAPA MATAG.....
NAK BELI BENIH MATAG.... KAT MANA NAK MINTAK....
NAK BELI BENIH YANG TULIN..... KENA PAKAI OTAK....
BILA BUAH KELAPA KELUAR ..... PASTI BERSORAK.....


Related Articles:
1. Kelapa Pandan  (Klik disini)
2. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
3. Rumpai di Dusun (Klik disini)
4. Cashflow Tanaman Kelapa (Klik disini)
5. Coconut (Klik disini)
6. Kopra (Klik disini)
7. Racun Rumpai (Klik di sini)
8. Petani Malaysia (Klik di sini)
9. VCO Technology (Klik disini)
10. Pembiakan Tampang Tumbuhan (Klik disini)




By
M Anem
DOA Muar
Johor
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...