Support My Blog

Monday, February 1, 2010

Tanaman Keladi


KELADI (Colocasia esculenta L.) merupakan sejenis tanaman umbisi yang di percayai berasal dari Malaysia atau India yang hidup subur di kawasan rendah (khususnya tanah gambut) dan mempunyai saliran yag baik seperti di kawasan tanah gambut sederhana dalam. Keladi adalah tumbuhan umbisi dari keluarga Araceae. Tanaman Keladi atau juga di panggil Taro (Indonesia), Callalo, Coco dan Cocoyam digunakan sebagai sumber makanan ramai penduduk semanjak dulu kala. Tumbuhan ini menghasilkan umbisi dimana ada beberapa negara yang menjadikannya sebagai bahan makanan ruji atau makanan asasi. Penulis yang lama bertugas dalam bidang pertanian sebenarnya mempunyai pengalaman dalam sistem penyampaian teknologi menanam keladi. Artikel kali ini saya akan membincangkan tanaman keladi dari sudut pengalaman penulis selama 34 tahun dalam bidang pertanian, rujukan buku, risalah dan minat makan keladi goreng. Keladi banyak zat mineral dan vitamin seperti Thiamin, Riboflavin, Zink, Posforus, Kalium, Manganese dan juga  Zat Besi. Kandungan vitamin pula dalam keladi seperti Vitamin C, Niacin, B6 dan juga asid Oksalik. Umbisi Keladi mempunyai sumber Kanji yang sangat tingggi. Dibeberapa negara seperti Irian Jaya, Papua New Guinea, Timor Leste dan beberapa masyarakat di Afrika menjadikan keladi sebagai makanan ruji mereka. Ini telah menjadikan tanaman keladi amat penting dinegara mereka dengan ditanam untuk sumber makanan negara. Artikel pada kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman keladi untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Tanaman keladi merupakan sejenis tanaman umbisi yang mempunyai daun lembut berwarna hijau gelap dan juga mengeluarkan umbisi dibahagian pangkal pokok dibahagian dalam tanah. Terdapat dua jenis keladi iaitu Keladi yang tidak boleh dimakan (Digunakan sebagai pokok ornamental atau tanaman hiasan) dan jenis keladi yang boleh di makan. Di Malaysia keladi yang popular di tanam adalah seperti Keladi Minyak, Keladi Cina, Keladi Mawar, Keladi Sarawak, Keladi Taro, Keladi Ais Kerim dan sebagainya yang ditanam secara komersial. Beberapa keladi lain yang diambil bahagian batang sahaja untuk dibuat sayur seperti Keladi Lambuk atau Keladi Kemumu dan Keladi Kemahang. Walau pun jenis keladi sayur ini semakin kurang digunakan tetapi ia masih popular terutama di Pahang (Daerah Kuala Lipis, Raub) dan juga di Lenggong, Perak. Keladi ini dimasak gulai dengan tempoyak bersama ikan patin atau bahan lain. Dalam industri makanan pencuci mulut, pembuatan Ais Kerim perasa keladi biasanya berwarna Ungu oleh Syarikat Marigold atau beberapa jenama lain. Rasa aiskrim keladi memang sedap dan diminati ramai dijual di Hypermarket dan banyak lokasi lain.


Pada zaman dulu keladi digunakan sebagai sumber makanan utama dengan merebus sahaja dan kemudian akan dimakan terus. Di Malayisia keladi lebih banyak dimakan atau digemari dengan di goreng sama ada disalut dengan tepong (70% kegunaan masa kini) atau digoreng begitu sahaja dicampur dengan rempah seperti jintan dan ketumbar untuk menambah keenakannya. Bagaimana pun penulis dapati keladi juga popular untuk di proses menjadi kerepek keladi yang enak dan rangup. Keladi juga diproses sebagai bahan asas membuat kueh tradisional. Pucuk keladi atau batang keladi yang umbisinya boleh dimakan selalunya boleh digunakan sebagai sayuran. Batang keladi amat enak dimasak gulai atau lemak cili api bergantung kepada cara masak dan jenis keladi digunakan. Bahagian akar keladi lazimnya akan menghasilkan struktur yang di panggil 'SULUR' sangat enak untuk dijadikan sayuran dikalangan maysrakat Jawa di Muar, Batu Pahat, Melaka dan beberapa lokasi lain selalu meneliti bagaimana amalan agronomi tanaman ini dijalankan petani (Sila lihat foto disebelah). Keladi dilaporkan banyak mengandungi kabohiderat dan protin serta nutrient lain serta antiokisdan. Penulis dapati pengalaman petani dalam menanam keladi penting untuk mempastikan tuaiaian yang baik.   


Daripada 11,860 hektar kategori tanaman kontan di Malaysia dalam tahun 2010 yang dimajukan , seluas 4,520 hektar (38%) merupakan tanaman keladi (Sumber: Laporan statistik tanaman 2010, Jabatan Pertanian Malaysia). Negeri Johor dan Selangor merupakan penyumbang utama pengeluaran keladi di Malaysia. Negeri Johor pada tahun 2010 menanam seluas 685 hektar tanaman keladi iaitu di Daerah Kota Tinggi (303 ha), Muar (41 ha) dan bakinya di daerah2 lain sementara Daerah Kuala Langat, Selangor menanam seluas 22 ha pada tahun yang sama. Kebanyakan kawasan penanaman padi di Johor dan Selangor adalan dari jenis tanah gambut. Jenis keladi yang popular ditanam di Johor adalah Keladi Mawar, Keladi Minyak dan ada sedikit jenis Keladi Sarawak. Ia ditanam secara bercampur dan monokrop. Selain daripada pasaran domestik, penulis daimaklumkan petani banyak juga keladi yang dieksport ke Singapura terutama daripada Daerah Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Ia dijual dalam bentuk keratan umbisi bersama batangnya agar tahan lama (Sila lihat foto disebelah). Harga jualan runcit keladi ini sekitar RM5.00 - RM8.00 sebiji mengikut saiz.

Kebanyakan keladi ditanam diatas tanah gambut (Gambut sederhana atau gambut cetek). Selain daripada dijual segar sebagai "fresh produk" didapati keladi ini dihantar kekilang proses ais kerim dan sebahagian lagi di buat kerepek keladi yang popular terutama Hari Raya Puasa. Keladi Mawar merupakan jenis keladi yang disukai pengguna terutama disekitar daerah Muar dan Batu Pahat serta Melaka kerana keladi jenis ini mempunyai pasaran yang baik. Harga ladang bagi keladi jenis ini ditawarkan sehingga RM 1.30 - RM 1.60 sekilogram dan kajian penulis pada tahun 2015 ia meningkat kepada RM2.00 - RM2.50 sekilogram. Ada beberapa petani Cina yang menanam keladi jenis ini diatas tanah mineral tetapi mesti dibuat batas agar pembentukkan umbisi keladi dapat membesar. Semasa penulis membuat lawatan teknikal ke Kahang, Kluang, Johor saya berpeluang bagaimana Mr Lee menanam keladi diatas tanah mineral seluar 4 hektar ditanam berselingan dengan tanaman pisang berangan. Petani tersebut menanam keladi dengan membuat batas setinggi1.5 kaki dengan panjang mengikut barisan sepanjang lebar kebun. Penanaman dilakukan dengan jarak 1m x 1m dimana benih akan diletakkan diatas batas mengikut baris. Jika tanah mineral jenis liat berpasir ditanam dengan keladi ada kemungkinan dimana jika tidak dibuat batas maka pembentukkan umbisi keladi kurang menjadi.


Benih keladi di perolehi daripada sulur anakbenih pokok berumur lebih 4 bulan dan dikutip dengan memotong sepanjang 4 - 6 inci (Buang daun dan umbisi keladi). Kos bagi benih keladi sekitar RM0.30 - RM 0.50 satu sulur bergantung kepada saiz dan jenis keladi. Kawasan penanaman di tanah gambut yang telah dibersihkan di buat lubang dengan menggunakan tugal kayu tajam berukurlilit 4-6 inci untuk membuat lubang sedalam 5 -8 inci. Masukkan satu benih sulur kedalam setiap lubang dangan jarak tanaman 75 cm x 75 cm dan bilangan pokok sebanyak 18,000 pokok/ha. Pembajaan dengan NPK 15:15:15 sebanyak 20 gm/pokok dibuat peringkat 2 minggu lepas tanam. Baja 12:12:17:2 pula diberikan dengan kadar 300 kg/ha pada umur 2 bulan lepas tanam serta Bulan ke 5 dan Bulan Ke 6. Jalankan kawalan rumpai menggunakan kaedah manual dan semburan racun rumpai tidak digalakkan. Penggunaan racun pra-cambah seperti Racun Altrazine dan Racun Ametryn dibuat sebelum mula penanaman.


Tanaman keladi matang dalam tempoh 7-12 bulan bergantung kepada jenis keladi dan kaedah pengurusan dengan hasil potensi sebanyak 20,000 kg sehektar. Penuaian keladi perlu dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut saiz pokok, umur pokok dan harga pasaran. Tanda pokok keladi telah cukup umur dan matang adalah dengan melihat daunnya yang agak kering sedikit dan apabila dikorek umbisinya cukup berisi dan besar. Pilih pokok yang sesuai dan lazimnya keladi yang matang di cabut dan ia kemudian dibersihkan dengan membuang daun serta bahagian batang serta akar serabut tinggalkan kira-kira 6-10 inci. Hasil ubi keladi ini akan digredkan mengikut saiz dan jenis sebelum dijual. Ubi Keladi yang dituai dengan cara penyimpanan yang sempurna akan tahan sehingga 3-4 bulan jika dijaga dengan baik sebelumkualitinya menurun. Dalam pada itu lazimnya sakibaki tanah pada keladi yang tidak dibuang akan dapat mengekalkan kesegaran keladi lebih lama. Ada jenis keladi seperti ini seperti yang diimport akan disalut dengan tanah atau lumpur untuk mengekalkan kesegarannya. Sebaiknya keladi tidak dijemur atau di letakkan yang lembab atau kurang pengudaraan kerana ia mencepatan keladi menjadi busuk.

Antara masaalah penanaman keladi ialah kesukaran untuk mendapatkan anakbenih berkualiti dan selalunya kena cari daripada pembekal yang telah disahkan jenis dan kualitinya. Oleh kerana kawasan penanaman biasanya tanah gambut, maka kejadian tanah terbakar musim kemarau dan banjir musim hujan juga menjejaskan tanaman keladi. Antara perosak tanaman keladi ialah serangan koya hijau pada daun yang berlaku pada musim panas dan serangan siput kecil yang merosakkan bahagian daun tanaman. Kawalan menggunakan racun kimia yang disyorkan. Antara Penyakit tanaman keladi adalah Penyakit Hawar Daun yang menyerang daun dan dikawal dengan mengamalkan giliran tanaman. Penyakit Reput Umbisi pula menyerang umbisi keladi yang menyebabkan reput dan busuk dikawal dengan mencabut dan musnahkan serta rawatan racun kulat pada sulur benih sebelum menanam. Perosak keladi pula ialah Kumbang Pengorek Umbisi yang mengorek buah keladi mengakibatkan umbisi busuk dan dikawal dengan mencabut serta musnahkannya. Serangan Koya sering berlaku pada musim panas dimana koya akan berada di bahagian bawah daun dan menghisap air sap daun akibatkan kerosakan daun dan boleh dikawal dengan 'white oil'. Serangan Tikus yang makan umbisi keladi di kawal dengan racun Matikus (Bahan aktif warfarin). Kini lebih ramai pengguna membeli keladi organik yang dipersijilkan.

Kajian saya di beberapa lokasi termask di Kg Bt 14, Air Hitam, Muar mendapati purata hasil dicapai tanaman keladi di kawasan tanah gambut sebanyak 18,000 kg sehektar (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya petani akan menjual dengan purata harga ladang sekitar RM 1.20 sekilogram menjadikan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 21,600 sehektar. Sementara itu kiraan kos pengeluaran tanaman keladi pula sebanyak RM 11,460.00 sehektar (Kos benih meruakan komponen yang paling banyak) dan akan menjadikan pendapatan bersih ladang adalah sebanyak 
RM10,140.00 sehektar. Kos pengeluaran setiap kilogram keladi ialah sebanyak RM0.63 dan pulangan setiap ringgit dilaburkan ialah bernilai RM1.88. Tanaman keladi juga merupakan aktiviti yang menguntungkan jika di urus dengan baik dengan menjalankan Amalan Pertanian Baik di ladang. Pengurusan oleh petani dengan bimbinngan oleh pegawai pengembangan adalah diperlukanMemang semakin ramai dikalangan pembaca mencari artikel mengenai tanaman dan amalan agronomi tnaman keladi tetapi amat kurang boleh dirujuk diinternet. Artikel ini yang saya post pada tahun 2010 dan dikemaskini pada 1 Mac 2016 mendapat pautan yang memang sangat tinggi dikalangan pelayar internet. Salam Bahagia!...Wasallam!.
TANAM KELADI ...MESTI MENJADI....
MAKAN KELADI...KENYANG PASTI ....
KELADI MAWAR...ENAK SEKALI....
TEKNOLOGI KELADI ..KENA CARI...

Related Articles :-
1. Keladi Mawar (KLIK DISINI)
2. Pengurusan Tanaman Keladi (Klik di SINI)
3. Racun Rumpai (KLIK DISINI)
4. Cashflow Keladi (KLIK DISINI)
5. Petani di Malaysia (KLIK DISINI)

By,
M Anem
Senior Agronomist
DOA, Jalan Kamariah,

Muar , Johor,
Malaysia.
(Kemaskini pada 8 Febuari 2014 dan 1 Mac 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...